KARYA instalasi “Wings Before Words” oleh Syakir Hashim, yang dipamerkan di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, bukan sekadar tontonan visual; ia adalah sebuah tesis konkrit mengenai keadaan eksistensial manusia moden yang bergelut dalam ketegangan antara keinginan untuk kepastian dan realiti pluralistik kehidupan. Himpunan bentukan organik daripada bahan Ethylene Vinyl Acetate (EVA) putih yang tumbuh daripada struktur keluli dan dawai jaring ringkas berdiri sebagai metafora fizikal bagi jiwa yang terperangkap dalam medan pergelutan antara “doubt and conviction, logic and faith.” Pendekatan Syakir dalam karya ini secara jelas menolak cita-cita modenisme untuk mencari ‘jawapan muktamad’ atau ‘kebenaran tunggal’. Sebaliknya, ia menjemput kita untuk melihat keraguan bukan sebagai krisis, tetapi sebagai prasyarat kepada keyakinan (faith) dan makna (meaning). Esei ini akan meneroka secara mendalam dua paksi utama karya ini—ketidakpastian (doubt) sebagai kondisi ontologi asas, dan pengulangan (repetition) sebagai disiplin epistemik dan spiritual—sekali gus meletakkannya dalam dialog falsafah Barat dan spiritualiti Asia Tenggara.
Keraguan sebagai Asas Eksistensi
Instalasi “Wings Before Words” dengan berani memposisikan keraguan bukan sebagai kegagalan dalam pencarian, tetapi sebagai titik permulaan kesedaran. Syakir dengan jelas menolak sebarang tuntutan terhadap “jawapan yang muktamad,” satu sikap yang selaras dengan wacana falsafah eksistensialis dan pascamoden yang kritikal menyoal naratif besar dan autoriti kebenaran tunggal. Jean-François Lyotard (1984) ada menegaskan bahawa “postmodernism is incredulity toward metanarratives.” Dalam erti kata lain, keraguan adalah bentuk kesedaran terhadap pluraliti kebenaran dan relativiti makna. Dengan menolak tuntutan terhadap “jawapan yang muktamad,” karya Syakir secara langsung sejajar dengan kesedaran Lyotardian ini: keraguan dalam seni bukan kegagalan, tetapi tindakan kritis yang membebaskan keyakinan daripada kewajipan untuk bersandar pada kebenaran tunggal yang autoritarian.
Secara formal, dialektik antara logik dan keyakinan yang diwujudkan Syakir adalah melalui kontras bahan yang ketara. Struktur keluli yang ringkas melambangkan akal (logos), yang menyediakan kerangka, namun secara sengaja tidak diberikan kuasa dominan. Ia menjadi ruang negatif yang membolehkan bentuk-bentuk organik EVA —simbol kepada keyakinan—berkembang. Susunan spatial ini menunjukkan bahawa akal hanyalah wadah bagi pengalaman rohani, bukan penguasanya. Dalam konteks ini, karya ini sejajar dengan falsafah Søren Kierkegaard (1983), terutamanya dalam Fear and Trembling. Kierkegaard berhujah bahawa iman bukanlah kesimpulan logik, tetapi satu bentuk pembumian dalam ketidakstabilan—suatu tindakan berani untuk mencari makna walau dalam keraguan. Pergelutan yang dirakamkan oleh kontras bahan antara keteguhan keluli dan kelembutan EVA adalah detik ‘lompatan’ Kierkegaardian ini. Yakni, kontras antara kekerasan keluli yang teguh dan kelembutan EVA yang tumbuh merakamkan detik pergelutan ini: logika menyediakan sempadan, tetapi imanlah yang mengisi ruang, memerlukan keberanian dan proses berterusan, iaitu pengulangan.

Perubahan skala dan bentuk karya yang tidak seragam turut memperkukuh tema ketidakpastian ini. Melalui variasi visual yang ketara ini—daripada benjolan padat yang kecil hinggalah kepada bentukan melengkung yang lebih besar—karya tersebut secara aktif menyatakan bahawa makna tidak pernah tetap; ia sentiasa cair dan berubah mengikut konteks, masa, dan sudut pandang pemerhati. Dalam hal ini, “Wings Before Words” menyerlahkan kesedaran pascaformalis yang mendalam—iaitu, satu keengganan terhadap bentuk muktamad atau ideal yang sempurna, serta penerimaan terhadap ketidakhadiran pusat yang tunggal dalam penciptaan makna. Bentuk-bentuk yang sentiasa berbeza dan tiada simetri ketat ini mencerminkan pengalaman eksistensial manusia di mana kebenaran tidak terpusat pada satu titik, tetapi sebaliknya tersebar dan bergerak dalam pluraliti keadaan kewujudan yang tidak menentu.
Pengulangan sebagai Disiplin dan Ketahanan
Dalam ruang ontologi yang dicirikan oleh keraguan, pengulangan muncul sebagai strategi pragmatik, etika, dan rohani untuk membina keyakinan dan mencapai pemahaman. Syakir menegaskan bahawa bentuk-bentuk organik EVA yang lembut itu dihasilkan melalui “tindakan perlahan dan berulang,” mewujudkan satu “rutin senyap yang menanam disiplin.” Di sini, pengulangan tidak direndahkan sebagai perbuatan mekanikal; sebaliknya, ia berfungsi sebagai teknologi rohani—satu geseran yang diperlukan dan tekun untuk membentuk keyakinan.
Pengulangan tindakan ini menjadi bentuk latihan diri yang secara fundamental menentang hegemoni immediacy (kesegeraan) dalam budaya moden kini. Dalam konteks ini, karya Syakir berfungsi sebagai kritikan tersirat yang tajam terhadap struktur nilai neoliberal. Ahli falsafah Byung-Chul Han (2015) berhujah dalam The Burnout Society bahawa masyarakat telah bertukar daripada “disciplinary society” kepada “achievement society” – sebuah masyarakat yang menilai produktiviti berdasarkan kepantasan, lantas menyebabkan individu berterusan mengeksploitasi diri mereka tanpa henti atas nama pengoptimuman. Keadaan ini menjerumus mereka ke dalam kancah keletihan (burnout) dan kemurungan serta pembentukan diri (self-fashioning) yang tidak berkesudahan dalam dunia yang telah dilucutkan daripada makna yang sedia ada. Malah, Han telah memperluaskan kritikan ini dalam Psychopolitics: Neoliberalism and New Technologies of Power (2017), dengan menegaskan bahawa tekanan untuk mencapai kepantasan ini adalah mekanisme psikopolitik di mana kawalan sistemik terselindung di sebalik ilusi kebebasan individu.
Proses perlahan dalam karya Syakir secara sedar menolak imperatif prestasi yang sentiasa mendesak ini. Secara khusus, proses ini mencerminkan kritikan Han yang diperincikan dalam The Scent of Time: A Philosophical Essay on the Art of Lingering (2017), di mana beliau mengecam kehilangan ‘masa kontemplatif’. Beliau berhujah bahawa keghairahan kapitalis terhadap kecekapan telah memecahkan masa kepada ‘atom masa’ yang terfragmentasi. Dalam kontrasnya yang mendalam, setiap lapisan EVA yang disusun dan dilekatkan dengan tangan adalah perlawanan fizikal dan temporal terhadap idea “kepuasan segera” yang mendominasi ekonomi perhatian (attention economy). Proses perlahan ini menuntut kesabaran dan kehadiran seniman (mindfulness), memaksa jeda yang disengajakan dalam hiruk-pikuk tuntutan moden. Dengan itu, seni bukan sahaja sekadar refleksi, malah menjadi amalan subversif yang memulihkan nilai masa kontemplatif sebagai etika terhadap tekanan sistemik, menegaskan bahawa nilai sejati ditemui dalam tempoh dan irama yang tekun, bukan kelajuan.
Pengulangan sebagai Struktur Eksistensial
Dengan mengulangi tindakan yang sama—melapis, membentuk, dan menyusun—Syakir mengubah kerja fizikal menjadi ritual; tubuh menjadi instrumen kesedaran yang sedar. Proses pengulangan itu sendiri menjadi bentuk doa yang senyap—satu zikir material yang dilakukan melalui sentuhan dan ketekunan. Ini mengingatkan bahawa makna dan keyakinan tidak dilahirkan daripada kejayaan tunggal, tetapi daripada pengulangan tindakan kecil yang ikhlas dan tekun.
Kekuatan utama “Wings Before Words” terletak pada cara ia menukarkan pengulangan daripada strategi formal yang mudah dilihat kepada struktur eksistensial yang mendasari kewujudan. Syakir sendiri menyatakan bahawa perjalanan ini “berulang tanpa henti antara keraguan dan kepastian, jatuh dan bangun.” Kenyataan ini memancarkan kesedaran Heideggerian yang mendalam, terutamanya mengenai konsep Dasein—keberadaan manusia. Menurut Martin Heidegger, Dasein sentiasa dalam proses menjadi (being-in-the-world), dan tidak pernah selesai atau mencapai keadaan yang muktamad. Pengulangan dalam karya ini secara visual mewakili ketegangan kekal ini; setiap benjolan EVA yang tidak sempurna adalah Dasein yang cuba membina dirinya dalam ketidakpastian. Maka, dalam karya ini, keyakinan bukanlah puncak yang dicapai (an attained peak), tetapi irama yang dikekalkan (a sustained rhythm) —satu kitaran penegasan semula yang berterusan.

Judul “Wings Before Words” mengesahkan falsafah ini dengan berkesan. “Sayap” melambangkan tindakan, gerak, dan dorongan rohani, manakala “kata-kata” melambangkan artikulasi, rumusan, dan kebenaran yang telah disistematiskan. Dengan mendahulukan “sayap” daripada “kata,” Syakir menegaskan keutamaan pengalaman langsung berbanding artikulasi teoretis—tindakan sebelum wacana, amalan sebelum ideologi. Pendekatan ini secara langsung mendekati apa yang disebut oleh Maurice Merleau-Ponty (2005) sebagai embodied consciousness (kesedaran yang menjelma). Bagi Merleau-Ponty, makna tidak hanya difahami oleh fikiran, tetapi juga dihayati dan dibentuk melalui tubuh dan interaksi kita dengan dunia. Sentuhan berulang Syakir pada EVA adalah tindakan menghayati dan membina keyakinan itu secara fizikal, menegaskan bahawa pengetahuan sejati adalah pengetahuan yang dijelmakan dalam praktik yang berterusan.
Pengulangan dan Spiritualiti dalam Konteks Asia Tenggara
Karya “Wings Before Words” berakar dalam wacana serantau yang lebih luas mengenai spiritualiti dan ritual, yang amat ketara dalam seni kontemporari Asia Tenggara. Karya Syakir Hashim boleh dikatakan telah menjadi sebuah kesinambungan tradisi yang berani menolak dikotomi Barat antara material dan spiritual, sebaliknya melihat seni sebagai amalan yang menyatukan kedua-duanya.
Para seniman di rantau ini menggunakan pengulangan bahan dan tindakan sebagai alat kontemplatif dan kritikan. Montien Boonma dari Thailand, misalnya, dalam siri utamanya “Temple of the Mind” (1995), menekankan idea seni sebagai amalan spiritual yang berulang—satu meditasi material terhadap kesedaran dan kehadiran. Struktur terulang yang beliau cipta daripada bahan-bahan kuil (seperti rempah ratus) meniru ritual keagamaan, berfungsi sebagai alat untuk pengalaman transenden. Proses Boonma adalah tindakan menyusun, mengumpul, dan memproses, yang meniru ritual kuil yang memerlukan disiplin tinggi.

Di Indonesia, Tisna Sanjaya kerap menggunakan performance dan ritual berulang sebagai kritikan sosial. Karyanya seperti “Sujud” (2018) memperlihatkan beliau melakukan sujud berulang kali di tengah ruang seni. Tindakan ini berfungsi sebagai doa yang berterusan dan amalan tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa) di ruang awam, sekali gus mengkritik isu-isu sosial.
Di Malaysia Yee I-Lann menggunakan pengulangan motif dan corak dalam karya tekstil kolaboratifnya. Terutamanya dalam siri “Tikar/Meja” (bermula 2018), proses menganyam yang berulang oleh komuniti wanita Bajau Laut dan Dusun menjadi ritual kolektif. Pengulangan corak meja pada tikar (medium lembut) berfungsi untuk menyerap dan mengatasi simbol kuasa pentadbiran (meja) dengan kuasa komunal (tikar), menekankan seni sebagai praktik sosial dan meditasi terhadap identiti kolektif. Hamidi Hadi melalui karya catan abstrak seperti yang dilihat dalam siri “In the name of …” (2024), menggunakan lapisan demi lapisan cat sebagai tindakan pengulangan gestural yang tebal. Pengulangan sapuan ini menzahirkan konflik antara kawalan artistik dan keinsafan spiritual, di mana proses yang berterusan berfungsi sebagai penapisan diri (self-filtering).
Keempat-empat seniman ini (hanya menyebutkan beberapa seniman), termasuk Syakir, secara kolektif boleh di katakan telah menolak idea karya sebagai produk akhir, dan sebaliknya menegaskan seni sebagai amalan rohani yang berterusan. Mereka mempraktikkan apa yang boleh disebut sebagai aesthetics of repetition—estetika pengulangan yang membuka ruang bagi renungan, sabar, dan kesedaran terhadap kehadiran (mindfulness).
Ikhlas dan Istiqamah: Dimensi Falsafah Islam
Dalam konteks falsafah Islam, gagasan pengulangan ini berhubung langsung dengan ikhlas dan istiqamah. Menurut sarjana Muslim terkemuka, Seyyed Hossein Nasr (2002), ikhlas ialah “penyucian niat daripada segala bentuk kepentingan duniawi,” sementara istiqamah merujuk kepada “keteguhan hati dalam kebenaran meskipun berdepan keraguan dan godaan.”
Dari perspektif ini, tindakan berulang dalam “Wings Before Words” dapat dibaca sebagai suatu bentuk amal estetik—seni yang diangkat ke tahap ibadah. Setiap lapisan EVA yang dilekatkan dengan sabar mencerminkan ikhlas (kesungguhan tanpa harapan untuk balasan), sementara keseluruhan proses berulang itu menggambarkan istiqamah (keteguhan untuk terus berbuat meskipun dalam keraguan), sementara keseluruhan proses berulang itu menggambarkan Istiqamah (keteguhan untuk terus berbuat meskipun dalam keraguan). Dengan itu, karya ini melangkaui perbincangan dualistik antara keyakinan dan logik semata-mata; ia memperlihatkan seni sebagai jalan tazkiyah al-nafs—penyucian diri melalui tindakan berulang yang sedar, menjadikannya satu zikir material yang unik.
Kesimpulan
“Wings Before Words” adalah karya instalasi yang berkuasa, secara cemerlang mempertautkan material, falsafah, dan spiritualiti dalam satu irama yang berterusan. Karya ini adalah sebuah pengajaran yang kuat bahawa keraguan adalah keadaan ontologi asal manusia, dan pengulangan adalah cara yang berdisiplin untuk memaknai keraguan itu. Secara falsafah, tindakan pengulangan yang perlahan ini adalah aplikasi praktikal kesedaran yang menjelma (embodied consciousness) Merleau-Ponty, di mana makna (Kata) tidak difikirkan tetapi dihayati dan dibentuk melalui tubuh (Sayap) dan sentuhan berulang pada material EVA. Dalam konteks sosial yang lebih luas, proses yang disengajakan ini berfungsi sebagai kritikan politik-estetik terhadap struktur nilai neoliberalisme dan ekonomi perhatian (Han) yang menjunjung tinggi kepantasan, hasil segera, dan keletihan (burnout). Dengan menolak naratif moden tentang pencerahan segera (instant epiphany), karya Syakir mengajarkan bentuk pengetahuan dan keyakinan yang perlahan dan berdisiplin, sekaligus mewakili kesinambungan tradisi spiritual mendalam Asia Tenggara di mana pengulangan fizikal menjadi refleksi kepada nilai Ikhlas dan Istiqamah. Pada akhirnya, karya ini membuktikan bahawa dalam zaman yang dikuasai oleh kepantasan digital dan kehilangan kesabaran, pengulangan—apabila dilaksanakan dengan keikhlasan dan ketekunan—masih mampu menjadi sayap bagi jiwa manusia yang terbang mencari makna di antara keraguan dan harapan; sebuah pengakuan artistik bahawa perjalanan rohani adalah kitaran berterusan antara jatuh dan bangun, di mana setiap ulangan, betapa kecilnya, adalah satu tindakan keyakinan yang baru.
Rujukan:
1. Han, Byung-Chul. (2017). Psychopolitics: Neoliberalism and New Technologies of Power. London. Verso Books.
2. Han, Byung-Chul. (2015). The Burnout Society. Stanford: Standford University Press
3. Han, Byung-Chul. (2017). The Scent of Time: A Philosophical Essay on the Art of Lingering London: Polity Press
4. Heidegger, Martin. (1962) Being and Time (Diterjemahkan oleh J. Macquarrie & E. Robinson). Oxford: Blackwell Publishing.
5. Kierkegaard, Søren. (1983). Fear and Trembling. (Diterjemahkan oleh Howard V. Hong & Edna H. Hong). Princeton, NJ: Princeton University Press.
6. Lyotard, Jean-François. (1984). The Postmodern Condition: A Report on Knowledge. (Diterjemahkan oleh Geoff Bennington & Brian Massumi). Manchester: Manchester University Press.
7. Merleau-Ponty, Maurice. (2005). Phenomenology of Perception. (Diterjemahkan oleh Colin Smith). London: Routledge & Kegan Paul.
8. Nasr, Seyyed Hossein. (2002). Islam: Religion, History, and Civilization. New York: HarperOne.
