Felda Kumai, Bera, Pahang, 18 Jan – Lebih 500 penduduk Felda Kumai membanjiri Padang Astaka bagi memeriahkan Malam Anjung Budaya Wayang Pacak, sebuah program kebudayaan yang menghidupkan kembali tradisi tontonan luar masyarakat desa. Program ini dianjurkan melalui kerjasama strategik Exco Jaringan Komuniti dan Antarabangsa, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, UPSI, serta komuniti Felda Kumai.
Mengangkat nilai patriotisme dan warisan seni, filem epik “Pahlawan Mat Kilau” dipilih sebagai tayangan utama, menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat daripada kanak-kanak, belia hingga warga emas. Paparan perjuangan wira bangsa itu bukan sahaja membangkitkan semangat kecintaan terhadap sejarah, malah memberikan pengalaman tontonan warisan yang jarang lagi dinikmati generasi kini.

Kemeriahan semakin terserlah dengan kewujudan gerai jualan makanan yang diusahakan oleh penduduk tempatan. Kehadiran gerai-gerai ini turut membantu merancakkan ekonomi komuniti setempat.
Menurut Pengarah Program, Saudara Danish, Anjung Budaya Wayang Pacak berperanan sebagai jambatan budaya yang menyatukan masyarakat.
“Malam ini bukan sekadar tayangan filem, tetapi satu pengalaman warisan yang membawa kita kembali kepada suasana kebersamaan. Kehadiran penduduk yang begitu ramai serta sambutan gerai makanan menunjukkan bahawa program ini berjaya mengukuhkan hubungan komuniti,” katanya.
Majlis turut dirasmikan oleh wakil kepimpinan setempat yang menyatakan penghargaan terhadap kerjasama antara komuniti Felda dan mahasiswa UPSI.
“Program seperti ini penting dalam memupuk semangat kejiranan dan jati diri. Kerjasama masyarakat dan universiti wajar diperkukuh untuk manfaat bersama,” ujar beliau.
Penganjur turur mengadakan cabutan bertuah yang menambahkan keterujaan para pengunjung, sekali gus menamatkan malam tersebut dengan sorakan kegembiraan dan suasana penuh harmoni.
Program Malam Warisan Wayang Pacak sekali lagi membuktikan bahawa seni tradisi dan semangat komuniti apabila digabungkan, mampu mencipta ruang kebersamaan yang bernilai dan menghidupkan identiti Felda Kumai.
Laporan: Sarah & Syahmi
