KELAB filem Wayang Budiman akan menayangkan enam filem dengan nuansa Islami bersempena dengan bulan Ramadan bermula hujung minggu ini.
Slot yang diberi nama Rohaniah Ramadan dibuka pada malam ini (Jumaat, 8 Mac) dengan tayangan filem dari Sudan bertajuk You Will Die at Twenty diikuti Haseena dari India pada esok (Sabtu, 9 Mac).
You Will Die at Twenty arahan sulung Amjad Abu Alala yang juga memperkenalkan beliau kepada dunia selepas filem itu mendapat perhatian pengkritik di Festival Filem Venice pada 2019 dan beberapa festival lain.

Ceritanya diadaptasi daripada cerpen penulis Sudan, Hammour Ziada, yang mengisahkan seorang pemuda yang diramal akan hidup setakat umurnya 20 tahun.
Haseena pula arahan Girish Kasaravalli, yang dianggap antara pengarah dalam kelompok sinema paralel di Bengal Bara iaitu gerakan yang dipengaruhi neorealisme Itali.
Filem dalam bahasa Kannada ini mengisahkan seorang wanita yang didera suami kerana tidak melahirkan anak lelaki.
Tayangan bermula pada 10.30 malam selepas solat terawih, bertempat di Alam Budiman, Shah Alam.
Siri tayangan ini akan diteruskan pada setiap Jumaat dan Sabtu sepanjang bulan ini dengan Knife in the Clear Water (China), After Love (United Kingdom), Honey (Turkiye), dan 3 Doa 3 Cinta (Indonesia).
Semua dijemput hadir. Masuk percuma, bertujuan pendidikan.
Lokasi: No 13-2, Jalan Pulau Lumut P U10/P, Seksyen U10, Alam Budiman, 40170 Shah Alam, Selangor
