DALAM semangat sambutan Hari Seni Sedunia pada 15 April, Taman Tugu — jantung hijau kota Kuala Lumpur — menjadi pentas kepada keindahan seni dan budaya Malaysia melalui acara “Celebrate Arts @ Taman Tugu”, satu pengalaman seni yang memadukan warisan tradisional dan kreativiti kontemporari di tengah kehijauan alam semula jadi.
Acara separuh hari yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari ini merupakan hasil kerjasama antara Taman Tugu dan Yayasan Hasanah, di bawah naungan Khazanah Nasional. Ia menyatukan pelbagai aktiviti seni, persembahan budaya, dan bengkel interaktif yang terbuka kepada seisi keluarga.

“Hari Seni Sedunia adalah masa yang tepat untuk meraikan kuasa kreativiti yang menyatukan. Sinergi antara Yayasan Hasanah dan Taman Tugu adalah komitmen kami untuk menyokong bakat seni tempatan dan memupuk rasa bangga terhadap budaya Malaysia,” kata Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad.
Salah satu tarikan utama ialah demonstrasi Kelingkan — seni sulaman tradisional Melayu yang menggunakan benang emas dan perak pada kain halus. Ditampilkan oleh Nik Marhamah Nik Megat dari Kelantan, seni ini menghubungkan warisan tekstil Malaysia dengan sejarah Eropah, meminjam nama dari istilah Perancis clinquant yang bermaksud “keemasan yang berkilauan”.

Turut dipersembahkan ialah teknik Telepuk oleh Fatimah Rashidi, yang menggunakan blok kayu atau tembaga untuk mencetak motif halus di atas kain, sebelum dihias dengan daun emas. Kehalusan teknik ini mencerminkan kecintaan terhadap seni yang diwarisi turun-temurun.
Pengunjung juga berpeluang menyertai bengkel mini seperti lukisan batik, tembikar labu sayong, dan tarian tradisional Kuda Pacu — peluang mendekati seni warisan dari tangan-tangan mahir artisan tempatan.
Sementara itu, pentas budaya dihidupkan dengan persembahan berwarna-warni seperti tarian Muhibbah, Magunatip dan Joget Lambak, melambangkan kepelbagaian budaya dan semangat perpaduan yang menjadi teras identiti Malaysia.
Acara ini turut menyerlahkan misi lestari Taman Tugu dan Yayasan Hasanah, dengan pelaksanaan amalan mesra alam sepanjang program. Ia selari dengan strategi Advancing Malaysia oleh Khazanah — untuk membina komuniti yang lebih sihat, inklusif dan berdaya tahan melalui pemeliharaan alam sekitar dan pengukuhan budaya tempatan.

“Ia adalah usaha komuniti untuk menghargai kekayaan seni dan budaya Malaysia. Kami teruja dengan kerjasama ini dan berharap lebih banyak inisiatif seumpamanya dapat dilaksanakan,” kata Pengarah Projek Taman Tugu, Fizulin Mohamed Zin.
Celebrate Arts @ Taman Tugu bukan sekadar sambutan seni, tetapi satu pengalaman menyeluruh — merentasi masa, budaya dan komuniti — menghidupkan kembali warisan seni Malaysia di tengah-tengah kota raya yang moden.
Nota: Semua foto ihsan Yayasan Hasanah.
