KEINDAHAN seni adalah subjektif. Tidak kira siapa anda atau apa yang anda alami, pasti ada karya seni yang menyentuh hati pada momen tertentu. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk mewujudkan hierarki dalam seni atau menetapkan secara objektif karya mana yang paling unggul, kerana keunikan setiap karya itulah yang menjadikannya istimewa.
Meskipun begitu, ada karya-karya tertentu yang dianggap lebih bernilai—baik kerana keunggulannya yang jelas mahupun pengaruh budaya yang mengelilinginya. Salah satu karya yang menduduki puncak senarai ini ialah Mona Lisa.
Leonardo da Vinci mula melukis Mona Lisa pada tahun 1503, dan sejak itu, ia menjadi salah satu karya seni paling terkenal di dunia. Banyak perkara yang menjadikan Mona Lisa menonjol—sama ada senyuman subjeknya, teknik yang digunakan, atau sekadar hakikat bahawa ia dikaitkan dengan nama Leonardo da Vinci. Suka atau tidak, Mona Lisa kekal sebagai salah satu karya seni yang paling dikenali di dunia dan, secara tidak langsung, salah satu yang paling berharga.
Semua orang tahu, jika anda berjaya mencuri Mona Lisa, anda akan jadi kaya raya. Hari ini, idea ini mungkin dianggap mustahil dengan tahap keselamatan yang ketat di Muzium Louvre di mana ia dipamerkan. Namun, pada awal 1900-an, kawalan keselamatan di Lourve tidaklah seketat hari ini, dan mendorong seorang lelaki berbangsa Itali untuk mengambil kesempatan.
Vincenzo Peruggia, seorang pencuri kecil-kecilan, berpindah ke Paris pada tahun 1908 dengan harapan untuk membina kehidupan baharu. Di sana, dia bekerja sebagai tukang di Louvre, bertanggungjawab memasang dan membaiki kaca pelindung untuk lukisan-lukisan yang dipamerkan. Bagi kebanyakan orang, tugas ini hanyalah rutin harian, tetapi Vincenzo melihatnya sebagai peluang. Sambil bekerja, dia diam-diam mengkaji sistem keselamatan muzium, memahami cara menanggalkan kaca pelindung, dan memerhati setiap langkah yang diambil bagi melindungi karya seni daripada jatuh ke tangan pencuri.
Sebagai seorang tukang di Louvre, Vincenzo menikmati akses tanpa had ke galeri pada bila-bila masa. Dengan baju sarung putih—pakaian seragam rasmi tukang muzium—dia bebas bergerak ke setiap sudut tanpa menarik perhatian. Setiap kali orang melihatnya berpakaian begitu, mereka tidak pernah mempertikaikan kehadirannya. Baginya, pakaian itu bukan sekadar pakaian seragam, tetapi kunci yang membuka laluan ke seluruh muzium, tidak kira siang atau malam.
Pada malam kejadian, Vincenzo tidak bertindak sendirian. Dia mengupah dua orang pembantu yang bersembunyi di dalam almari keselamatan sebelum galeri ditutup. Lewat malam, Vincenzo membuka pintu almari, dan mereka menanggalkan lukisan dari dinding dan membungkusnya dengan selimut. Kemudian mereka kembali bersembunyi, menunggu hingga galeri dibuka keesokan paginya. Dengan tenang, mereka melangkah keluar melalui pintu utama, menyamar sebagai pelawat biasa.
Ia adalah jenayah yang sempurna, dan Vincenzo hampir terlepas. Namun, dia melakukan kesilapan apabila dia cuba menjual lukisan itu kepada Alfred Geri. Geri, seorang peniaga seni, segera mengenal pasti ketulenan Mona Lisa dan berpura-pura bersetuju dengan urus niaga. Namun, di sebalik senyumannya, dia diam-diam menghubungi polis. Akhirnya, Vincenzo ditangkap, dan Mona Lisa dikembalikan ke tempat asalnya di mana ia terus kekal hingga ke hari ini.
– Diterjemahkan oleh: Ahmad Kamal Abu Bakar

