KETIKA tubuh Ignacio jatuh sempoyongan. Hanya kedua lututnya sahaja masih berpaut, di lantai. Tanah, sebagai lantainya di kamar rumah yang sepi itu. Memantul-mantulkan gema suaranya. Di sebalik erangan tentang anak yang tak didengari Paulina.
“Kau punya nasib yang buruk, Paulina!”
Ignacio merepek sendirian. Ia meracau, seperti tidak akan berhenti.
“Aku bukan bernasib buruk,” balas Paulina. Ia tenang. Ternyata dirinya seorang wanita yang sangat penyabar. Meskipun dimaki-maki suami.
Paulina tahu dia tidak seperti yang ditanggapi. Dia hanya seorang wanita terpencil, yang seperti suaminya Ignacio—yang gemar meniup serunai—hanyalah kaum tani yang terpinggir. Tapi Paulina tahu ia lebih dimangsakan penjajahan kuasa asing, yang secara rahsia memandulkannya menerusi program penjagaan kesihatan awam mereka yang celaka itu. Jadi titik tolak kaum tani bangun melawan!
Maka isu ini diangkat dalam Blood of the Condor (1969, terajutama Jorge Sanjines); sebuah filem dokudrama dari Bolivia yang secara terbuka tuntas memperkatakan tentang pencabulan hak orang asli, di samping memperjuangkan hak perubatan Ignacio yang dinafikan, setelah dia ditangkap dan ditembak aparat penjajah yang mengusirnya. Sampai enyah.

Sinema dan perubahan sosial menjadi persoalan relevan di Amerika Latin sehingga hari ini. Berkongsi tentang bagaimana negaranya diasaskan dan sejak dunia mengalami perubahan mendadak oleh beberapa faktor seperti imigrasi, neo-colonialism, pembantaian genosida sebagai satu keperluan untuk pendudukan, diskriminasi ras dan pengasingan kaum serta eksploitasi; kebangkitan protes masyarakat sivil berlaku sebagai reaksi kepada penindasan oligarki cermat diangkat Jorge Sanjines menerusi filem debutnya itu.
Seorang revolusioner, Jorge Sanjines dikenali sebagai pembikin filem angkatan “New Latin American Cinema” atau Third Cinema (gerakan alternatif kepada First Cinema iaitu pawagam kapitalis) dengan kehebatannya mengangkat filem politik yang merevolusikan estetika wayang gambar ke tahap paling tinggi untuk dinikmati kaum tani dan penonton-penonton “working class”.
Selain menderita wabak penyakit seperti di Afrika, era pascaperang neo-colonialism di Amerika Latin juga mengingatkan tentang keperitan ujikaji demokrasi, konon memeliharanya mengecap kebebasan namun hanya persoalan pinggiran. Hakikatnya sebagai warga yang digelar masyarakat dunia ketiga; persoalan kepentingan kaum orang asli berhadapan dengan kerakusan keturunan kaum bangsa penghijrah, adalah kandungan yang menarik khususnya terhadap filem-filem yang membahaskan isu atau persoalan kebangsaan dan kaum pendatang alias perantau. Filem ini unik dengan ekspresi pluralisme budaya di Amerika Latin berkait pertanyaan jatidiri kebangsaan dan kesan badai globalisasi.
Saya tidak rasa persoalan ini dapat diangkat sejujur mungkin jika di Malaysia; justeru peluang bikin filem hanya merupakan hal yang bernasib baik, manakala memiliki peluang untuk bikin filem seperti yang diimpikan adalah kesempatan bernasib baik yang ekstra. Saya skeptikal sewaktu berangan-angan tentang hal ini terbit dari pengucapan yang dipetik dari filem On Top of the Whale (1982, terajutama Raul Ruiz) – sebetulnya sebuah filem eksperimental yang telah lama dilupakan dari pembikin filem yang berasal dari Chile dan kemudian lebih dikenali di Perancis – tatkala melontarkan perbandingan antara Mozart sang reaksioner dengan muziknya yang kegelapan dan Beethovan sang revolusioner dengan muziknya yang lebih diraikan. Untuk sesebuah filem itu dianggap berjaya dalam konteks perdagangan dan terjual dengan banyaknya, ia tuntutan untuk memilih hanya salah satu.
Ia antara memilih Mozart atau Beethovan. Memilih Mozart, misalnya, Blood of the Condor segelintir daripada filem yang dimaksudkan. Ia sebuah pengucapan layar lebar yang jujur dan realisme. Mengangkat kisah terpinggir masyarakat orang asli di Bolivia seperti yang dinyatakan sebelum ini, di mana ketika perjuangan mereka dinafikan dan pembelaan yang tidak mendapat keadilan.
Pembikin filem Jepun, Masato Harada telah menyebut bagaimana mustahilnya untuk dia bikin filemnya, Kamikaze Taxi (1995) kerana memilih bercerita tentang Nikkeijin untuk diterbitkan studio perfileman gergasi di Jepun; meskipun Nikkeijin – berkenaan kembalinya rakyat Jepun yang merantau ke Amerika Utara (fenomena yang berakar akibat kegawatan politik) – semasa itu merupakan bahagian dari tenaga kerja yang signifikan; dan telah lama berurusan untuk memperkenalkan ekspresi budaya Amerika Latin yang ada kekuatan, seperti samba dan bolasepak ke dalam sfera atau lingkungan hidup masyarakat Jepun.
Berbeza di Eropah, berlaku apabila filem mengenai kebangsaan dan imigran muncul, mereka acapkali bersikap matang mengekspresikan etnik atau menuangnya ke dalam acuan diaspora walaupun filem-filem sedemikian yang diistilahkan Isaac Julien sebagai black British Cinema itu dianggap kecil berbanding filem arus perdana. Akan tetapi hasrat untuk meraikan nuansa filem yang lebih berterus terang tercapai.
“Art Cinema” dan gerakan filem radikal
Pembudayaan pengkopratan filem ke pasaran global hendaklah dibaca dalam kerangka kebangkitan manifestasi tempatan iaitu “art cinema” dan gerakan filem radikal yang tumbuh secara independen. “Art Cinema” mensasarkan pasaran yang lebih khusus kepada peminat-peminat seni dan budaya, di mana dalam konteks pawagam tempatan, ia datang dari kelompok generasi millennials dan anak muda dari komuniti seni, yang lebih senang digelar budak-budak indie.
Saya tertarik apabila dalam sebuah sesi podcast, ada dijelaskan mengenai kebangkitan penonton baru sebagai justifikasi perubahan demografi penonton filem di pawagam tempatan. Ia sekali gus menunjukkan faham tentang komersialisme tidak selamanya relevan sebagai jalan pertengahan untuk bikin filem di Malaysia.
Secocoknya, kita boleh anggapkan pudarnya dan gerhananya jalan pertengahan ini bukan untuk melenyapkan nasionalisme dan ekspresi mediumnya; namun kebangkitan yang diteraskan dari semangat hendak membawa dan mengangkat filem ke peringkat yang lebih tinggi, seperti ditayang dan dibicarakan dalam forum-forum antarabangsa untuk menawarkan pengedarannya ke festival-festival filem: kental sebagai usaha yang sangat signifikan. Adalah penting untuk mendapatkan semula perhatian dunia terhadap perfileman negara untuk menilai sejauh mana era baru global telah mengubah budaya filem yang anjal.
Baru-baru ini, telah diumumkan pemilihan filem Abang Adik (2023, terajutama Jin Ong) sebagai wakil Malaysia ke Oscar. Ia sekali lagi menunjukkan tumpuan kepada projek Road to Oscar yang telah berjalan sejak 2021 sebagai inisiatif membawa filem tempatan ke tahap dunia, mengatasi perhatian kita terhadap pembangunan bakat yang lebih diharapkan karyawan akar umbi. Saya konsisten untuk kekal skeptikal atau bersikap was-was dengan Oscar bersandarkan kenyataannya yang flip flop dan elastik.
Pada tahun 1968, The Arch (1968, terajutama Tang Shu Shuen) merupakan penyertaan Hong Kong untuk Oscar, tetapi filem seni yang diundang ke Cannes ini, pada tahun itu, tidak mendapat sebarang pengiktirafan bahkan tersirna pencalonan. Senasib dengan The Arch, sebagai misalan yang lain, A City of Sadness (1989) sebuah filem Hou Hsiao Hsien juga tidak diangkat di Oscar malah tersisih. Ironinya inilah filem yang memenangi anugerah Golden Lion di Festival Filem Venice pada masa yang sama. Dalam coretan-coretan yang lalu, saya ada menyingkap mengenai kedua-dua filem antarabangsa ini, yang telah melakar namanya dalam naratif sejarah filem dunia.
Tentulah ada beberapa lagi filem terbaik lain yang tidak dilayan sebijaknya dalam penganugerahan Oscar; bagi mengangkat karya dan pembikin filem relevan di dunia. Justeru Oscar juga bukan cerminan penganugerahan tertinggi untuk perfileman dunia, sebaliknya sebuah pesta filem penuh gemerlapan era Hollywood. Tetapi saya tidak tahu tentang method dan realiti politiknya; apakah bersangkutan sama ada geopolitic dan geohistory sebagaimana mitos dan lagenda pengiktirafannya bergentayangan selama ini? Maksud saya, hujahnya di sini adalah, Oscar bukan gelanggang sebenar mengangkat filem tempatan ke peringkat dunia. Tetapi usaha seharusnya digerakkan untuk mencari jalan lain ke Cannes, Venice, Berlin dan lain-lain festival alternatif seperti di Vina del Mar – sebagaimana yang disebut Catherine Benamou kepada rakannya di Universiti Michigan, Lucia Saks di mana mereka mengajar dan menulis termasuk di Cahiers du cinema – pada hakikatnya akan menyuluh lebih banyak cahaya.
Saya tidak tahu, tapi bukanlah naif total untuk merasakan adanya politik budaya dan pergelutan komoditi yang menjadi kiblat persaingan kapitalis ke Oscar. Tetapi siapakah yang lebih layak memetakan halatuju perfileman negara sekiranya ia tidak ditunjuk kepada sosok yang paling relevan. Saya menyedari sosok filem seperti U-Wei HajiSaari bukan hanya pemain dan terajutama, tetapi pensejarah filem di kalangan yang terbaik di dalam negara ini.

Maka termasuklah juga jika bersandarkan filemnya yang mendapat pemilihan rasmi ke Cannes, tanpa beliau mengisi borang dan mengirim penyertaan tetapi kelayakannya diundang. Sebaiknya dilakukanlah demistifikasi terhadap kekacauan ini. Filem nasional wajib kembali ke landasannya.
Penyudahnya, hanya memilih salah satu. Memilih Beethovan, misalnya, persoalan sinema yang dinyatakan pada kali ini hendaklah ditunjukkan jalan keluar. Sekiranya saya diberi peluang memberikan cadangan; rasanya projek Road to Oscar wajarlah ditukar kepada pembangunan projek filem menerusi bimbingan mentor seperti U-Wei bagi melahirkan pembikin filem berdaya saing–yang dapat membuka laluan karya mereka ke festival filem antarabangsa, sekaligus menempa kembali nama Malaysia dalam peta sinema dunia.
Sekiranya sebelum ini U-Wei telah membimbing pembikin filem antaranya dari Kazakhstan, Sri Lanka, India & Jepun sebagai mantee-nya menerusi program mentorship yang dikendalikan Universiti Griffith di Australia, sampailah waktu agar dilakukan pula di Kuala Lumpur. Sudah acapkali kelebihannya dimanfaatkan di peringkat antarabangsa didengari, di mana ianya selari pula dengan kecuaian kita mengabaikan potensi tempatan yang boleh berdaya maju. Simpang malaikat empat puluh empat, ratib orang-orang tua dulu, maka janganlah ia terus berlaku.
– Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, ia tidak mencerminkan pendirian kelompok editorial Senimalaya.

