Legenda itu kembali
Selepas hampir dua dekad sejak kemunculan asalnya, Puteri Gunung Ledang The Musical bakal kembali ke pentas teater pada 31 Oktober hingga 15 November 2026, membawa semula salah satu karya teater muzikal paling ikonik tanahair untuk dikongsi pengalamannya kepada generasi baharu.
Produksi terbitan Enfiniti ini dipersembahkan sebagai projek pembukaan besar-besaran Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.
Kebangkitan semula muzikal ini hadir bukan sekadar sebagai sebuah pertunjukan nostalgia semata mata, ia merupakan percubaan untuk membaca semula sebuah legenda yang telah berakar dalam imaginasi budaya Malaysia, kisah tentang cinta, kuasa, pengorbanan dan harga yang harus dibayar apabila kehendak manusia bertembung dengan takdir.
Keterujaan terhadap produksi baharu ini sudah bermula sejak pengumuman barisan pelakon menerusi sebuah program TV, diikuti dengan pembukaan jualan tiket.
Respons segera di media sosial memperlihatkan bahawa Puteri Gunung Ledang masih mempunyai daya tarikan merentasi generasi. Perbualan di Threads, Instagram dan TikTok, selain pertanyaan menerusi talian tiket JCPAC, menunjukkan bahawa memori terhadap produksi terdahulu masih hidup dalam kesadaran khalayak.
Namun, cabaran bagi sebuah karya yang telah mencapai status ikonik ialah bagaimana untuk kembali tanpa sekadar mengulangi kejayaan masa lalu.
Untuk edisi 2026, watak Puteri Gunung Ledang dikongsi oleh Aisha Retno dan Mila Mohsin, manakala Aqasha menggalas watak Hang Tuah. Mereka disertai Mimi Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz dan Yusof Hashim dalam barisan pelakon yang mempertemukan pengalaman, populariti dan tenaga generasi baharu.
Pilihan pelakon ini memberi petunjuk bahawa produksi tersebut tidak mahu sekadar bergantung pada nostalgia. Sebaliknya, ia berusaha mencipta semula hubungan antara legenda lama dengan sensibiliti penonton hari ini.
Dalam hal ini, tubuh pelakon, muzik, kostum, koreografi dan reka bentuk pentas bukan hanya berfungsi sebagai medium penceritaan, tetapi menjadi ruang menifestasi semula sebuah mitos nasional untuk terus hidup.
Salah satu aspek paling menarik dalam produksi kali ini ialah usaha mendekati sumber budaya dengan lebih serius.
Awal tahun ini, barisan pelakon menjalani bengkel Javanese Cultural Immersion selama 10 hari bagi memperdalam pemahaman terhadap dunia budaya, adat dan tradisi yang menjadi sebahagian daripada latar kisah Puteri Gunung Ledang.
Langkah tersebut penting kerana pementasan legenda bukan sekadar persoalan menghasilkan kostum yang kelihatan tradisional atau membina dunia pentas yang eksotik. Ia menuntut pemahaman terhadap sistem nilai, simbol, tubuh, bahasa dan sejarah yang membentuk sesuatu kebudayaan.
Di sinilah produksi baharu ini mempunyai peluang untuk melangkaui sekadar “pementasan semula”. Ia boleh menjadi satu bentuk tafsiran semula, mengambil mitos yang telah dikenali ramai dan bertanya apakah maknanya kepada masyarakat Malaysia pada 2026.
Dari perspektif teater kontemporari, karya seperti Puteri Gunung Ledang juga menarik kerana ia berada di persimpangan antara sejarah, mitologi dan budaya popular. Legenda Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang telah berulang kali ditafsir melalui kesusasteraan, filem, seni visual dan teater.
Setiap generasi membawa persoalan baharu terhadap hubungan antara cinta dan kuasa, antara pengorbanan dan kehendak, serta antara sejarah yang diwarisi dengan identiti yang ingin dibentuk.
Produksi 2026 kini mempunyai peluang untuk memperlihatkan bahawa legenda tidak pernah benar-benar statik. Ia berubah mengikut siapa yang menceritakannya dan siapa yang menontonnya.
Di sebalik pentas, pasukan kreatif dan teknikal telah menghabiskan beberapa bulan membangunkan pendekatan baharu terhadap muzik, koreografi, set, kostum, kesan visual dan elemen teatral.
‘Rehearsal’ berskala penuh akan bermula pada hari ini (17 Ogos 2026) bagi menandakan peralihan daripada fasa pembangunan kepada proses menghidupkan dunia tersebut secara fizikal.
Bagi Tiara Jacquelina, Pengarah dan Penerbit Bersama Eksekutif Puteri Gunung Ledang The Musical, kepulangan produksi ini mempunyai nilai emosi yang tersendiri.
Lapan tahun selepas Enfiniti kali terakhir mementaskan OlaBola The Musical, beliau melihat fasa pra-pementasan ini sebagai tempoh yang kembali menghidupkan rasa teruja terhadap teater muzikal, daripada jangkaan penonton hingga kepada proses kreatif yang berlangsung di belakang tabir.
“Kami benar-benar bertekad menghasilkan sebuah produksi yang akan diingati oleh penonton sepanjang hayat mereka,” katanya.
Kenyataan tersebut membawa satu persoalan yang lebih besar: apakah yang diperlukan untuk sesebuah karya teater menjadi sesuatu yang “diingati”?
Jawapannya mungkin bukan semata-mata skala produksi atau kehebatan visual, tetapi keupayaannya meninggalkan kesan selepas tirai ditutup.
Dengan Puteri Gunung Ledang The Musical, Enfiniti kini berdepan dengan tugas yang cukup kompleks, menghormati aura sebuah karya yang telah menjadi sebahagian daripada memori kolektif, sambil membebaskannya daripada beban nostalgia.
Jika produksi baharu ini berjaya, “undangan diraja” itu bukan sekadar diterima, malah ia akan menjadi satu undangan untuk penonton melihat semula legenda yang mereka fikir sudah dikenali, dan menemukan sesuatu yang mungkin selama ini tersembunyi di sebalik kisah cinta Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah.
Puteri Gunung Ledang The Musical akan dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square. Produksi ini diterbitkan oleh Enfiniti sebagai sebahagian daripada pembukaan JCPAC di Sunway Square.
Puteri Gunung Ledang The Musical
Tarikh: 31 Oktober – 15 November 2026
Lokasi: Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.
