TUBUH II: Second Installment from The Pakha Sulaiman Collection meneruskan satu amalan yang semakin mengujakan dalam landskap seni visual Malaysia: membawa koleksi peribadi keluar dari ruang pemilikan dan mempersembahkanya untuk dilihat, direnung, dipersoal dan ditafsir semula oleh khalayak.

Dihimpunkan daripada karya 29 seniman, daripada pemerolehan sejak era 1980-an hingga akuisisi yang lebih mutakhir, pameran ini tidak sekadar memperlihatkan apa yang dikumpulkan oleh Pakhruddin “Pakha” Sulaiman.
Lebih menarik, ia memperlihatkan bagaimana citarasa seorang kolektor berubah mengikut masa, bagaimana karya memperoleh makna baharu apabila diletakkan bersebelahan, dan bagaimana sebuah koleksi peribadi secara tidak langsung boleh menjadi salah satu bentuk dokumentasi terhadap sejarah seni Malaysia.
Hal tersebut menjadikan TUBUH II lebih daripada kesinambungan sebuah pameran.
Koleksi tidak pernah benar-benar bersifat neutral.
Setiap karya yang dibeli, disimpan dan kemudian dipamerkan membentuk satu jaringan pilihan, tentang seniman yang diberi perhatian, idea yang dianggap penting, dan sejarah yang dianggap wajar dipelihara.

Dalam jaringan ini, koleksi Pakha menarik kerana ia terbina dalam tempoh beberapa dekad, ketika seni visual Malaysia sendiri melalui perubahan besar dari segi bahasa, medium, politik budaya dan hubungan antara seniman dengan masyarakat.
Pameran terdahulu, TUBUH: Selected Works from the Pakha Sulaiman Collection, yang dipersembahkan pada 2024, memberi tumpuan kepada hampir 100 karya figuratif daripada 15 seniman, khususnya karya sekitar 1990-an hingga awal 2000-an.
Pameran tersebut banyak berlegar pada persoalan tubuh, identiti dan suasana sosial-politik Malaysia, termasuk gema Reformasi yang membentuk sebahagian penting sejarah visual negara.
TUBUH II bergerak dengan skala dan tempoh masa yang berbeza.
Daripada satu kelompok karya yang relatif tertumpu, ia membuka perspektif yang lebih panjang terhadap proses mengumpul itu sendiri.
Rentang daripada 1980-an hingga hari ini menjadikan pameran ini bukan seperti satu tema yang tertutup dan lebih seperti sebuah arkib yang sedang bergerak.

Perkara ini penting kerana koleksi seni tidak hanya menyimpan objek; ia menyimpan hubungan antara masa, manusia dan keputusan.
Sebuah karya yang dibeli ketika seorang seniman masih berada pada tahap awal kerjaya, misalnya, membawa sejarah yang berbeza apabila dilihat semula beberapa dekad kemudian.
Nilainya bukan semata-mata pada kedudukannya dalam pasaran, tetapi pada apa yang dapat dibacanya tentang satu zaman dan tentang keyakinan kolektor ketika karya itu mula-mula dipilih.
Pakha sendiri pernah menjelaskan bahawa pengumpulan baginya bukan semata-mata soal memiliki karya, tetapi membina “ruang imaginasi” yang berkembang melalui pertemuan dengan karya dan seniman.
Dalam wawancara terdahulu, beliau turut menekankan minat terhadap karya yang mencabar, tidak mudah diselesaikan dan memerlukan proses pemikiran daripada penonton.
Sikap tersebut memberi kerangka penting kepada TUBUH II.
Koleksi ini tidak kelihatan seperti usaha untuk menghasilkan satu gambaran seni Malaysia yang seragam. Sebaliknya, kepelbagaian karya daripada 29 seniman membuka kemungkinan untuk melihat percanggahan, perubahan dan pergeseran dalam amalan seni visual tempatan.

Itulah kekuatan sebuah koleksi yang dibina dalam jangka panjang: ia tidak semestinya menghasilkan naratif yang kemas. Malah, ketidakselarasan tersebut menjadikannya lebih menarik.
Seni Malaysia tidak berkembang melalui satu garis sejarah yang lurus. Ia dibentuk oleh pelbagai generasi, medium, pendekatan dan respons terhadap perubahan sosial. Lukisan, arca, fotografi, karya campuran dan bentuk-bentuk eksperimentasi lain muncul dalam konteks yang berbeza, kadangkala saling bertentangan.
Koleksi yang berkembang merentasi dekad berupaya memperlihatkan lapisan tersebut tanpa perlu memaksa semuanya masuk ke dalam satu kategori.
Dalam pengertian ini, TUBUH II boleh dibaca sebagai satu bentuk historiografi alternatif, bukan sejarah seni yang ditulis melalui institusi semata-mata, tetapi sejarah yang terbina melalui tindakan memilih, menyimpan dan mempersembahkan semua dari ruang pribadi ke ruangan awam.
Peranan kolektor menjadi lebih kompleks apabila karya-karya ini dipamerkan. Kolektor bukan lagi sekadar pemilik yang berada di belakang tabir didalam ruang pribadinya. Melalui pameran, keputusan peribadi tersebut kini memasuki ruang wacana awam dan boleh ditafsir semula oleh khalayak.

Maka dengan kehadiran sesi Collector’s Guided Tour, yang telah dikendalikan sendiri oleh Pakha Sulaiman ini menjadi penting.
Sesi ini memberi peluang untuk memahami bukan sahaja karya yang dipilih, tetapi juga naratif menarik di sebalik pemerolehannya, siapa yang ditemui, bila karya diperoleh dan mengapa sesuatu karya kekal dalam koleksi selama bertahun-tahun.
Namun, nilai sebenar sesi tersebut bukan sekadar mendengar cerita peribadi seorang kolektor. Ia meletakan kemungkinan melihat bagaimana sejarah seni turut terbentuk melalui hubungan informal: persahabatan antara seniman dan kolektor, sokongan pada peringkat awal kerjaya, pertemuan di ruang galeri, dan keputusan untuk mengambil risiko terhadap karya yang pada ketika itu belum mempunyai kedudukan sejarah yang jelas.

Ini turut menjelaskan bagaimana koleksi Pakha terus relevan dalam perbincangan seni Malaysia. Ia bukan sekadar kumpulan objek yang bernilai kerana usia atau nama senimannya.
Sebahagian daripada kepentingannya datang daripada tempoh masa yang direntasinya dan daripada hubungan yang terbentuk di sekeliling karya tersebut.
Penerbitan mengenai koleksi ini juga semakin memperlihatkan kecenderungan tersebut.
Buku The UR-MU Collection: The Toffee @ Raja Chulan: Urban Museum, misalnya, menghimpunkan hampir 100 karya daripada koleksi Pakha dan menempatkannya dalam perbincangan yang lebih luas tentang identiti, ketahanan, politik, budaya dan tubuh dalam seni kontemporari Malaysia.
TUBUH II dengan demikian hadir pada satu tahap yang berbeza. Jika pameran pertama membantu membuka kandungan koleksi kepada umum, pameran kedua mula memperlihatkan koleksi itu sebagai satu entiti yang mempunyai sejarahnya sendiri.
Persoalannya kemudian bukan lagi sekadar apa yang dikumpulkan, tetapi apa yang berlaku apabila semua karya itu mula berbicara semula antara satu sama lain.

Di ruangan UR-MU@Toffee, karya daripada dekad yang berbeza bertemu dalam satu konteks baharu. Hubungan antara karya tidak lagi ditentukan hanya oleh tahun penghasilan atau nama seniman, tetapi oleh jarak masa, perubahan perspektif dan cara penonton hari ini membaca semula imej yang mungkin lahir daripada konteks yang sangat berbeza.
Dalam keadaan seni visual Malaysia terus berhadapan persoalan tentang pemeliharaan, akses dan penulisan sejarah, pameran seperti TUBUH II menawarkan satu perkara yang semakin penting: peluang untuk melihat sejarah sebagai sebuah naratif yang panjang dan berterusan
Sebuah koleksi, akhirnya, bukan muzium kecil yang beku, ia adalah sejarah yang berubah setiap kali sebuah karya dipilih, dipindahkan, dipamer dan dipersembahkan semula kepada khalayak.
TUBUH II: Second Installment from The Pakha Sulaiman Collection
Level 6, UR-MU@Toffee. Maklumat lanjut di: UR-MU
