DALAM dunia yang penuh hiruk-pikuk kemodenan dan kadang-kala kehilangan arah dalam nilai hidup bersama, hadir sebuah karya kecil dari Kementerian Perpaduan Negara yang besar maknanya—iklan “Tuai Kasih”. Bukan sebarang iklan. Ia bukan hanya perhiasan musim perayaan, bukan juga sekadar tontonan yang berakhir dengan paparan logo kementerian. “Tuai Kasih” ialah cerminan wajah Malaysia yang tidak pernah lekang daripada warna-warna damai, andai kita tahu menghargai.
Disempurnakan di bawah ilham Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, dan dicanai dengan teliti oleh pasukan komunikasinya termasuk Dr Shatesh Kumar, iklan ini menjadi penanda aras kepada bagaimana sebuah karya visual boleh menjadi medium menyemai kasih, mengangkat budaya dan menjahit kembali fabrik kebersamaan yang kian lusuh dek perbezaan yang sering digasak oleh sesetengah tangan yang tidak bertanggungjawab.
Dalam Setiap Bingkai, Ada Kasih
“Tuai Kasih” membawa penonton menyusuri detik-detik penuh makna – dari persiapan Gawai dan Kaamatan yang syahdu, hinggalah kepada suasana sambutan yang mekar dengan tawa dan harapan. Tidak ada naratif yang keras. Tidak perlu pun slogan yang diulang-ulang. Cukuplah dengan alunan muzik rakyat yang lembut dan tarian etnik yang menyapu hati, lalu mengalirkan kesedaran bahawa Malaysia ini bukan milik satu kaum, tetapi milik semua.
Dengan tema “Dalam setiap sambutan, kita raikan keharmonian dalam kepelbagaian”, karya ini menyulam nilai-nilai yang sering kita ucap tetapi jarang benar-benar kita hayati: kasih sayang, hormat, dan sokongan merentas sempadan budaya. Malah, makna tajuknya sendiri – Tuai Kasih, yakni menuai kasih sayang – ialah kias yang dalam. Bahawa jika kita menanam pengertian dan saling menghormati, maka kasih yang dituai bukan untuk satu bangsa, tetapi untuk Malaysia seluruhnya.
Seperti kata Setiausaha Akhbar kepada Menteri, Dr Shatesh Kumar a/l Sanggar, “Iklan ini bukan sekadar bahan promosi sempena dua perayaan di Malaysia, ia merupakan simbol keindahan nilai kebersamaan dan penerimaan budaya dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.”
Simfoni Warna dari Timur Malaysia
Keunikan iklan ini juga terletak pada keberaniannya menjadikan warisan budaya Sabah dan Sarawak sebagai nadi utama. Visual desa dan alam semula jadi di Bumi Kenyalang dan Negeri Di Bawah Bayu dilukis dengan kehalusan sinematografi moden, tanpa mengorbankan unsur tradisi. Tidaklah berlebih-lebihan, tidak pula menggula-gulakan budaya. Yang terlihat adalah keindahan yang tulus – hasil kerja tangan yang memahami, bukan yang sekadar meniru.

Watak-watak yang ditampilkan bukan bintang iklan glamor, tetapi wajah-wajah yang memikul maksud. Izzul Faiq (Ismail), Nicole Jay (Lizzy), Dhakshu (Deva), Ethan, dan Dunstun Luther Junior bukan hanya mewakili kaum Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak—tetapi lebih penting lagi, mereka mewakili aspirasi kita untuk hidup bersama. Tiada siapa yang lebih tinggi, tiada siapa yang lebih rendah. Dalam “Tuai Kasih”, semua sama rata, sama rasa.
Lebih Daripada Tontonan
Sejak tayangannya di media sosial Menteri pada 26 Mei 2025, “Tuai Kasih” telah mencatat lebih 2.5 juta tontonan – satu angka yang membuktikan bahawa rakyat dahagakan kandungan yang membina, bukan sekadar hiburan kosong. Rata-rata netizen menyifatkan iklan ini sebagai menyentuh, halus, dan paling penting – tidak memaksa. Ia menyampaikan mesej tanpa mendesak. Ia meresap masuk ke hati kerana ia jujur.
Ia juga bukan satu karya yang muncul dari ruang vakum. Gagasan iklan ini bergerak seiring dengan semangat yang sering disebut oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bahawa perpaduan mesti menjadi asas Malaysia Madani. Dalam bait ucapan beliau yang sering bergema, ada harapan untuk Malaysia menjadi bukan sahaja negara yang makmur, tetapi juga bangsa yang bersatu.
Merayakan yang Asli, Memupuk yang Abadi
Kita tidak harus melihat Gawai dan Kaamatan sebagai sambutan ‘orang sana’. Kita harus melihatnya sebagai cerminan siapa kita – rakyat Malaysia yang rencam tetapi berpaut pada akar budaya yang sama. “Tuai Kasih” mengangkat ini dengan sederhana, dengan jiwa yang tenang, tanpa retorik yang membingitkan.
Dan seperti yang diharapkan, ini bukan pengakhiran. Ini adalah permulaan kepada lebih banyak karya yang tidak melupakan kekuatan sebenar Malaysia – keindahan dalam perbezaan.
Kerana dalam ladang budaya yang kita jaga bersama, kasih yang dituai bukan hanya indai, tetapi abadi.
