Sebuah Renungan Filosofis Pasca-Kuliah Nietzsche di Toko Buku ‘TARJAMAH’

Remang petang Sabtu, tanggal 22 Ogos 2026 / 9 Rabiul Awal 1448H, bertempat di toko buku Biblio TARJAMAH, Plaza Paragon Point, Bandar Baru Bangi, saya telah diundang untuk sebuah sesi kuliah yang dijudulkan dengan nama Seri Kuliah Nietzsche.
Di hadapan khalayak pendiskusi, saya langsungnya mengumbar bicara tentang susuk filsuf enigmatik, pemikir soliter yang mencengangkan dari Jerman, Friedrich Wilhelm Nietzsche melalui tiga karya yang telah saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu, yakni Maka Bersabdalah Zarathustra (Thus Spake Zarathustra), Di Seberang Kebaikan & Kejahatan (Beyond Good and Evil), dan Berhala Senjakala (Twilight of the Idols).
Buat mencapai khulasah secara dialektis, di sebalik ketiga-tiga karya tersebut, saya seakan-akan terilham untuk menemukan satu metafora yang barangkali agak canggung, menggelisah, namun dapat jua kita ‘membidik’ fikrah-fikrah Nietzschean, iaitu tentang konsep ‘Trivikrama’.
Trivikrama, yang secara harfiah dapat dimengerti sebagai ‘tiga aturan’ atau ‘tiga jangkauan’, merujuk kepada bentuk agung dewa Vishnu sebagai Vamana dalam epik purba Mahabharata, yang mengukur alam dengan tiga langkahnya.
Kisah daripada karya masyhur Timur ini, sedang menuai sebuah anjakan tentang bagaimana halnya tubuh cilik manusia yang bertumbuh, lalu mengembang menjadi bentuk kosmik, sang ‘raksasa’ perkasa yang tidak terkalahkan.
Setiap satu langkahannya menakluk bumi, menjangkaui langit, dan jejaknya yang terakhir menyempurnakan penguasaan terhadap semesta raya (syurga).
Periwayatan heroisme dalam tradisi Hinduisme ini, bukan sekadar ceritera mengenai keluasan badani serta fizikal.
Ia menyiratkan percikan simbolisme nan terdalam, yang boleh saya nisbahkan jua kepada susunan kefalsafahan Nietzsche itu sendiri.
Suatu perkara kecil dapat mengandungi kemungkinan yang tidak terduga daripada seluruh permulaan itu, adalah cikal-bakal terhadap kewujudan sejati.
Sekurang-kurangnya, begitulah telahan saya terhadap azimat-azimat Nietzsche yang dijelmakan sebagai aforisme radikal, rentan, namun manjur jua pada suntikan sastera-falsafahnya!
Jika direnungkan dengan cermat, Nietzsche juga seolah-olah cuba untuk ‘mengulirkan’ hasrat falsafah melalui tiga jangkauan.
Jangkauan pertama ialah pemikiran. Jangkauan kedua memuarakan pola tindakan terhadap nilai, dan jangkauan ketiga menjadi perlawanan terhadap nilai lama, demi kemungkinan terciptanya nilai-nilai baharu umat manusia.
Alhasil, tiga landasan ‘Trivikrama’ acuan Nietzsche, dapatlah dimanfaati secara simbolik melalui tiga naskah yang saya maksudkan di atas, iaitu adikarya Maka Bersabdalah Zarathustra, Di Seberang Kebaikan & Kejahatan, dan Berhala Senjakala.

Langkah pertama yang mempersiapkan pemikiran.
Dalam Maka Bersabdalah Zarathustra, Nietzsche tidak sekadar menyodorkan sebuah sistem falsafah. Beliau menggemakan suara seorang manusia bijaksana, dengan inspirasi umpama sang nabi pesuruh mulia yang sengaja bergerak di antara langgam sasterawi, aforisme-aforisme unik, serapan mitos dan gelora falsafah.
Zarathustra turun dari gunung-gemunung untuk mentarbiah manusia. Namun, apakah yang sebenarnya diserukan oleh sang pendeta bijaksana?
Dia tidak mendakwahkan hukum baharu, agama baharu, doktrin baharu, bahkan juga bukan gagasan-gagasan mutakhir. Yang cuba didakyahkan adalah keperluan untuk menjadi manusia yang baharu.
Manusia yang melampaui dirinya sendiri, dengan gengsi gelar Übermensch! ‘Manusia ialah sesuatu yang harus diatasi’ merupakan salah satu paksi gerakan ajaran Nietzsche menuju Übermensch.
Dalam bahasa kita, ia dapat diterjemahkan secara konseptual sebagai Adi-Manusia, yakni manusia yang tidak lagi menerima dirinya sebagai bentuk penghabisan, tetapi sebagai wahana menuju kemungkinan yang lebih tinggi.
Di sinilah langkahan pertama ‘Trivikrama’ dapat kita ibaratkan sebagai suntikan ‘wahyu’ terhadap pemikiran.
Ia bukanlah suruhan dalam pengertian dogmatis agamawi, tetapi suatu pendedahan terhadap hal yang sebelumnya tersembunyi.
Nietzsche membuka kemungkinan bahawa manusia tidak semestinya menjadi titik akhir terhadap perkembangan spiritualnya sendiri.
Manusia dan kemanusiaan adalah sesuatu yang seharusnya dilampaui.
Sebelum dunia dapat diubah, cara kita mengamati cakerawala dunia itu sendiri harus terlebih dahulu diolah.
Nietzsche mempersiapkan ‘Trivikrama’ pertamanya, tatkala beliau melangkah keluar daripada cara fikir yang sejak sekian lama diwarisi.
Dia justeru mempertanyakan segala perkara, baik moral, agama, kebenaran, kehendak, bahkan subjek manusia itu sendiri.
Langkah kedua menjadi pola aksi
Di dalam karya Di Seberang Kebaikan & Kejahatan, Nietzsche membawa kita ‘menyeberang’ daripada wilayah pemikiran Zarathustra yang bersifat simbolik dan profetik, menuju wilayah yang lebih kritis, analitis, keras, dan meregang. J
ika Zarathustra mencitrakan hal manusia yang harus dilampaui, Di Seberang Kebaikan & Kejahatan sedang mempersoalkan apakah nilai-nilai yang selama ini menjadikan manusia sebagaimana adanya?
Dari manakah nilai itu bertunas? Siapa penciptanya? Dan untuk kepentingan siapa pula ia selayaknya dipertahankan?
Pada hemat saya, jika mahu disandarkan pada simbolika ‘Trivikrama’, bolehlah ia diandalkan sebagai pola aksi, cetusan dakwah atau menjadi pelaksanaan ajaran.
Nietzsche tidak mahu manusia sekadar mengetahui bahawa nilai lama mempunyai sejarah.
Manusia harus ada keberanian untuk mempertanya, menduga, bahkan menilai kembali segenap nilai tersebut. Moral tidak lagi diterima sebagai sesuatu yang dipercaya dengan sewenang-wenang tanpa diperhitung tanggungjawab sejarahnya.
Nilai baik dan buruk, dosa dan pahala pula harus dicurigai sebagai dampak daripada hasrat kekuasaan, naluri, kehendak serta perjalanan tawarikh manusia.
Dengan demikian, Nietzsche sedang mengusik fikrah melalui singgungan terhadap ‘apa yang benar?’ kepada pertanyaan ‘mengapa kita merasakan sesuatu itu benar?’
Pertanyaan ini mempunyai kewajaran intelektual kerana ia memaksa manusia berhadapan dengan asal-usul, bahkan kepercayaannya sendiri.
Sekiranya langkah pertama cuba mengubah cara manusia memandang alam, langkah kedua merupakan tatanan terhadap perubahan cara menilai.
Namun, gagasan ini akhirnya akan bertembung jua dengan sesuatu yang mempertahankan dirinya.
aka kita sampai kepada landasan ketiga, sebagai langkah penghabisan.
Langkah ketiga ialah serangan terhadap ‘Berhala’.
Teks yang disurahkan dalam naskah Berhala Senjakala mungkin merupakan karya yang paling tajam serta berbahaya untuk menggambarkan gerakan ini.
Gesaan Nietzsche tampil bukan untuk membina sistem kepercayaan baharu dengan meruntuhkan keniscayaan-keniscayaan lama.
Sebaliknya, sang filsuf terlebih dahulu mengetuk berhala-berhala (secara simbolik, berhala dalam konteks karya ini adalah kesemua nilai, tradisi, institusi, hukum, kebudayaan serta dogma-dogma lama) yang selama ini dianggap suci, kukuh dan tidak boleh dipersoalkan.
Nietszche mahu menguji, adakah ‘berhala-berhala’ itu benar-benar hidup, berfungsi atau hanya kerana kita tidak pernah menghancurkannya?
Oleh itu, termaktublah anjuran yang paling mustahak dalam karya ini, ‘hancurkan segala berhala dengan paluan tukul’.
Tukul Nietzsche bukan sekadar alat pemusnahan, ia senjata yang ‘merawat’.
Berhala diketuk untuk didengar gemanya.
Jika ‘dentingannya’ kosong, maka kita dapat mengetahui bahawa segala berhala (baca: nilai-nilai lama) yang kita anggap kukuh, sebenarnya hanyalah sebuah kehampaan yang telah dikuduskan.
Pada peringkat inilah, ‘Trivikrama’ menjelmakan bentuk, yakni upaya perlawanan, perang dan serangan tuntas terhadap seluruh nilai-nilai lama.
Sebuah Tamsilan Sederhana

Terima kasih kepada semua pendiskusi yang berkenan hadir, yang responsif menanyakan soalan, melontar pandangan serta optimis ingin mengenal susuk Nietzsche dengan lebih intim.
Seyogia, saya menyimpul syarah yang berlangsung hampir dua jam dengan mendalilkan bahawa ketiga-tiga karya tersebut (Maka Bersabdalah Zarathustra, Di Seberang Kebaikan & Kejahatan, dan Berhala Senjakala), dapatlah direnungkan sebagai satu gerakan yang membuka seluruh kemungkinan, menguji segenap nilai dan meledakkan aksi penghancuran terhadap nilai-nilai palsu!
Pada saya, landasan inilah yang menghubungkan ketiga-tiga hasrat tersebut untuk menggapai martabat Übermensch.
Adi-Manusia bukan sekadar insan yang lebih kuat daripada manusia lain. Ia bukan ‘manusia unggul’ secara harfiah, ia bukan manusia yang memiliki kuasa fizikal, dan bukan pula manusia yang menguasai manusia lain.
Ia adalah simbol keampuhan kepada sesiapa yang sanggup mengatasi dirinya sendiri, termasuklah nilai-nilai yang pernah membentuk diri tersebut.
Dengan demikian, ‘Trivikrama’ Nietzsche bukan sekadar gerakan dari bawah ke atas.
Mungkin juga di sinilah kita dapat mencermati hubungan yang menarik di antara ‘Trivikrama’ dan lempiasan falsafah Nietzsche.
Dewa Vishnu dalam bentuk ‘Trivikrama’ memperlihatkan bagaimana tiga langkah dapat mengubah skala jagat raya. Nietzsche pula memperteguhkan bagaimana tiga ‘lompatan’ fikrah dapat menggugat nilai tradisi.
Maka Maka Bersabdalah Zarathustra menjadi langkah pertama menuju penemuan kemungkinan.
Di Seberang Kebaikan & Kejahatan menjadi aturan kedua menuju pembongkaran struktur nilai, manakala Berhala Senjakala membongkar prakarsa ketiga menuju penghancuran berhala, sembari membuka ruang untuk nilai-nilai baharu diciptakan. Ketiga-tiga anjakan akhirnya bertemu pada satu persoalan mendasar, apakah manusia sanggup melampaui dirinya sendiri?
Lalu, sesi kuliah pun berlabuh tepat jam 5.30 petang, meninggalkan sedikit ‘gangguan’, saranan berfikir radikal dan keperluan untuk percaya.
Moga-mogalah, hasutan pada seri bicara falsafah pada kali ini membekas jua ke relung akal dan sukma hadirin…
Kerana sesungguhnya, manusia bukanlah pengakhiran kepada sebuah kembara hidup. Manusia ialah langkahan agung menuju sesuatu yang fana dan tak bernama!
*Rakaman penuh sesi kuliah:
