Terjemahan ibarat seni menulis lagu–penterjemah menyusun lirik tepat pada irama melodi yang sudah ada. Tugasnya bukan menggubah semula lagu asal, tetapi menjaga keaslian karya pengarang dengan penuh setia.
Analogi yang dikongsikan oleh A. Pandian dalam menghuraikan makna penterjemahan yang baik begitu menggugah dan menginspirasi. Ia mencetuskan semangat untuk saya terus mengikuti forum ini dengan sepenuh tumpuan dan rasa ingin tahu yang mendalam.
Tambahnya lagi, terjemahan yang baik mesti berakar daripada keikhlasan hati. Pengalih bahasa yang diberi mandat untuk menyampaikan makna sewajarnya menunaikan tugas itu dengan penuh integriti dan amanah.
A.Pandian merupakan antara panel utama dalam program yang julung kali diadakan ini. Mungkin yang pertama dalam sejarah kesusasteraan Malaysia.
1 Jun lalu, bertempat di Dewan YMCA, Brickfields, Kuala Lumpur telah berlangsungnya Triangle of Tales. Program yang menjadi jambatan menghubungkan penulis, penterjemah, penyunting, dan pencinta sastera daripada pelbagai latar belakang budaya dan bahasa. Lebih daripada sekadar memperkayakan khazanah kesusasteraan pelbagai bahasa–usaha ini membuktikan bahawa naratif yang melintasi sempadan bahasa mampu menyatukan hati, menyuburkan empati, dan merapatkan jurang antara komuniti yang berbeza.
Rasa seperti berada di rumah sendiri–pengacaranya Salma Dineshwari yang bertutur 100% bahasa Malaysia dengan begitu fasih dan mesra sekali sepanjang acara. Senyuman yang menghiasi wajah setiap ahli dan petugas Kumpulan Vallinam yang bertungkus lumus untuk menjayakan acara ini–begitu menghangatkan. Begitu welcoming.
Dialog sastera dari tiga penjuru bahasa (Tamil, Melayu dan Ma Hua) merupakan inisiatif Persatuan Penulis Berbilang Bahasa (PEN Malaysia) dan Vallinam dengan kerjasama Nusa Centre dan Tamilasia.
Vallinam merupakan sebuah majalah sastera dalam talian yang ditubuhkan pada tahun 2007 oleh M. Navin–penulis sastera Tamil Malaysia yang prolifik dan berpengaruh. Majalah ini berfokus pada penerbitan karya-karya sastera alternatif dalam bahasa Tamil. Platform ini penting dalam perkembangan kesusasteraan Tamil Malaysia dan berperanan memperkenalkan karya sastera yang radikal, kritis, dan inovatif.
Sejak mengundang M. Navin membincangkan novelnya Sigandhi terbitan Buku Fixi di acara Kultus Kata tahun lalu, saya menyimpan hasrat untuk meneroka lebih jauh gerakan komuniti sastera di luar kerangka bahasa Melayu dan Inggeris. Ternyata, Navin mengotakan impian itu dengan menganjurkan acara ini. Dalam gemuruh keberadaannyaopetang itu, terpancar rasa bangga yang tulus–sepertinya segala yang dirancang akhirnya menemui makna yang sebenar.

Saya rasa sangat teruja dan senang hati dapat duduk bersama mereka yang benar-benar peduli dengan perkembangan kesusasteraan kita. Terharu melihat semangat dan dedikasi mereka yang tak pernah putus asa menyatukan khazanah sastera daripada pelbagai bahasa dan budaya demi memperkukuh perpaduan dan kefahaman bersama. Cuma mungkin atas faktor Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang masih berlangsung, kehadiran tidaklah begitu memuaskan (untuk saya). Di sudut hati kecil, saya mengharapkan lebih ramai lagi dapat memenuhi dewan YMCA itu, terutamanya peminat buku yang selalu kritis terhadap kemajuan sastera Malaysia.
Terjemahan Cerpen bahasa Melayu ke dalam bahasa Tamil merupakan forum pertama yang menampilkan Mohana sebagai moderator bersama ahli panel SM Zakir dan A. Pandian. Perbincangan ini menyelami proses kreatif serta pertimbangan penting dalam usaha membawa karya-karya sastera Melayu kepada khalayak pembaca berbahasa Tamil. Terjemahan Tamil bagi karya SM Zakir dengan tajuk asalnya Perempuan yang Jatuh Dari Langit–antologi yang menghimpunkan 10 cerpen terjemahan A. Pandian. Diskusi ini turut melihat bagaimana terjemahan dapat membuka lebih banyak ruang dalam dunia kesusasteraan serta membantu kita memahami antara satu sama lain–merentas bahasa dan budaya.
Nama SM Zakir acap kali bergema dalam acara ini. Ternyata kolektif sastera Tamil amat beruntung dan berbesar hati dipertemukan dengan beliau, yang sentiasa memberi dorongan untuk mereka terus melangkah ke hadapan agar suara mereka didengari. Sikap prihatin dan komitmen Pengarah Urusan Nusa Centre ini yang berusaha menyatukan kepelbagaian bahasa dalam kesusasteraan negara kita–memungkinkan semua ini terjadi. S.M. Zakir menjadi jambatan yang menyatukan penulis pelbagai bahasa, termasuk dari golongan minoriti, membuka ruang agar suara mereka dihargai dalam arus perdana sastera negara.
SM Zakir yakin dan positif dalam menyokong inisiatif sebegini dengan menyatakan:
“Penterjemahan karya sastera terutamanya dalam negara sendiri yang mempunyai kepelbagaian bahasa, kaum dan agama, merupakan langkah penting dalam memahami masyarakat.”

Beliau juga mengambil sikap saling berkompromi dalam hal penterjemahan. Tidak perlu rigid dan ketat dalam proses memindahkan bahasa, asalkan maknanya tercapai.
Sesi dua pula membawakan diskusi tentang Cerita-Cerita Cina dalam Terjemahan Bahasa Tamil. Ashir Lavanya sebagai moderator dengan menampilkan Dr. Florence dan Shalini sebagai ahli panel, dan turut melancarkan Chelsea Neelam–sebuah antologi terjemahan cerpen oleh tujuh penulis Cina ke dalam bahasa Tamil. Perbincangan ini mengupas kehalusan seni terjemahan sastera dan potensi transformasi yang berlaku melalui penceritaan rentas budaya. Ia turut mengetengahkan bagaimana kesusasteraan mampu menyatukan pelbagai suara dan perspektif yang berbeza–menjadikan bahasa sebagai jambatan, bukan sempadan.
Shalini yang merupakan penterjemah antalogi ini mengungkapkan rasa bangga dan gembira diberi peluang mengerjakan projek ini yang dirasakan begitu mencabar. Ia memberikan pengalaman yang membuka mata dan fikiran. Sehinggakan beliau mula jatuh cinta pada dunia penulisan. Pada cerita dan krafnya. Tidak mustahil dia juga akan mula mengarang kisah yang terbuku di dada satu hari nanti.
“Karya sastera mampu menyampaikan emosi yang terpendam. Kita mungkin tak dapat memahami sepenuhnya budaya sesuatu bangsa itu, namun emosi disampaikan itu boleh kita rasai. Kita boleh berempati dengan perasaannya. Itulah kekuatan karya sastera. Itu juga kepentingan terjemahan.”
Menurut Pensyarah Jabatan Pengajian Cina, Universiti Malaya, Dr Florence Kuek, perbezaan generasi antara tema utama yang diangkat dalam pemilihan cerita pendek untuk dimuatkan dalam antalogi ini. Kumpulan cerpen Ma Hua yang telah diterjemahkan terlebih dahulu ke dalam bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Nusa Centre dengan tajuk Tasik Itu Bagai Cermin pada tahun 2022. Sastera Ma Hua merujuk kepada karya dalam bahasa Cina yang ditulis oleh orang Cina di Malaysia.
“Melalui usaha penterjemahan karya, kita dapat menjernihkan budaya pemikiran yang stereotaip dalam masyarakat–seperti tanggapan bahawa semua masyarakat Cina itu kaya, sedangkan hakikatnya tidak begitu.”
Dr. Florance turut menegaskan usaha ini perlu konsisten dilakukan, agar momentum dalam memperkasakan kepelbagaian bahasa dalam sastera dapat diperluas. Forum dan wacana perlu seiring dengan penerbitan karya.

Slot diskusi terakhir ialah Cerita-Cerita Tamil dalam Terjemahan bahasa Melayu, yang dipandu oleh Aravin Kumar, bersama barisan panel Fadli al-Akiti editor Dewan Sastera, dan Saravanan Satianandan seorang penterjemah berpengalaman. Perbincangan ini meneroka bagaimana tema-tema sastera Tamil diterjemahkan dan diimaginasikan semula dalam bahasa Melayu–satu usaha yang bukan sahaja memperkayakan kedua-dua tradisi sastera, tetapi juga memupuk dialog merentas bahasa dan budaya, seterusnya memperdalam hubungan antara komuniti yang berbeza latar.
Dunia di Kaki Lima merupakan tajuk dari kumpulan cerpen ini yang diselenggarakan oleh M.Navin dan diterjemahkan oleh Saravanan. 10 buah cerpen terpilih dari penulis Tamil Malaysia, yang meliputi era pasca merdeka sehingga era mutakhir.
Fadli al-Akiti yang telah menekuni koleksi cerpen ini menyeru khalayak pembaca untuk membeli dan menikmati sebuah pengembaraan realiti yang dasyat dan mengagumkan. Menurut editor, penulis dan pengkritik sastera ini, sifat-sifat sosialis yang kental dapat ditemukan dalam ceritera yang menelanjangkan hakikat kehidupan yang tragis dan menyayat hati. Roh setiap kisah dapat disampaikan dengan baik dan ikhlas oleh penterjemahnya.
Saravanan yang lebih dikenali dalam dunia kesusasteraan perdana setelah menerjemahkan novel Sigandhi ke dalam bahasa Melayu dengan begitu lancar dan sedap sekali, jujur memberitahu khalayak beliau tidak mengikuti sebarang kelas profesional untuk memahami dunia penterjemahan.
“Setiap projek adalah latihan untuk saya. Menguasai bahasa adalah kuncinya. Sebuah terjemahan yang baik, lahir dengan pemilihan bahasa yang tepat dan berjiwa.”
Triangle of Tales diharap dapat mengisi kekurangan dalam hasil penterjemahan sastera, di samping memupuk budaya membaca yang mendorong kepada persefahaman antara kaum serta menyemai semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Projek terjemahan ini hadir sebagai wahana penting untuk mengangkat suara-suara yang selama ini terpinggir dan terbungkam. Melalui terjemahan, karya-karya daripada komuniti minoriti, yang mungkin sebelumnya hanya beredar dalam lingkungan terbatas–diberi peluang untuk menembusi khalayak yang lebih luas.
Kisah-kisah tabu, pengalaman hidup yang sering disenyapkan, serta perspektif yang jarang didengar kini mendapat ruang untuk disuarakan dengan jujur dan berani. Ini bukan sekadar usaha pemindahan bahasa, tetapi tindakan memperluas empati; membolehkan kita menatap realiti orang lain dari dekat dan menyedari bahawa di sebalik perbezaan budaya–wujud persamaan rasa, perjuangan dan harapan. Projek ini bukan sahaja menjembatani perbezaan, malah membina naratif Malaysia yang lebih inklusif.
Dalam situasi hubungan antara kaum yang kian terpisah akibat politik, jurang ekonomi dan segmentasi sosial, sastera tampil sebagai titian penghubung yang merentas batas perbezaan. Melalui cerita dan gambaran dalam karya, sastera membuka ruang untuk kita memahami budaya lain secara lebih dekat. Matlamat utamanya bukan sekadar menikmati keindahan bahasa, tetapi untuk menghayati dan memahami satu sama lain–kerana dari pemahaman, terbitlah persefahaman.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.
