DALAM seni persembahan kontemporari, “tradisi” sering dijadikan bahan mentah untuk eksperimentasi. Ia dikutip, disunting, dan kemudian disusun kembali untuk menjadi sebahagian daripada naratif moden yang dianggap lebih relevan. Setanggi Tari Melayu adalah contoh jelas bagaimana tarian tradisional Melayu direka dan disusun semula untuk pentas moden, dengan tujuan memperkenalkannya kepada khalayak urban yang semakin jauh dari akar budaya.
Namun, hal ini menimbulkan suatu persoalan asas yang kritikal, iaitu apakah yang dimaksudkan dengan konsep “tradisi” itu sendiri? Apakah tradisi sekadar kumpulan bentuk atau gaya yang boleh diambil, dipinjam, dan dipersembahkan semula dalam konteks baharu? Atau adakah tradisi merupakan suatu struktur pengetahuan yang kompleks, merangkumi sistem nilai, epistemologi, serta konteks sosial dan budaya komuniti yang mendukungnya, yang perlu difahami secara menyeluruh sebelum sebarang bentuk adaptasi atau penafsiran dilakukan?
Bagi menanggapi persoalan ini, adalah penting untuk terlebih dahulu menelusuri bagaimana konsep “tradisi” difahami dan dimaknai dari aspek kebudayaan dan kesenian. Dalam konteks antropologi budaya, tradisi tidak boleh difahami hanya sebagai bentuk (form) semata-mata, tetapi sebagai satu proses sosial yang bersifat dinamik iaitu sesuatu yang terus dibentuk, dirunding dan dihidupkan oleh komuniti. Tradisi ialah pengetahuan yang terkandung dalam amalan kolektif, melibatkan nilai-nilai tertentu, struktur hubungan sosial, serta persepsi kosmologi yang diwarisi dan dikembangkan secara berterusan. Hal ini jelas dan berstruktur apabila ASK Dance Company yang berpengalaman lebih dari 10 tahun meneruskan usaha untuk memperkenalkan tradisi tarian tradisional melalui program Forging Traditions: Beyond Borders yang mereka usahakan sekian lama sejak 2017. Saya kira, mereka sangat arif tentang konteks tradisi itu sendiri.
Keasyikan Tari Melayu Di Pentas Moden
Sejarah, lagenda dan mitologi Melayu penuh dengan pejuang wanita ikonik seperti Tun Teja, Mahsuri, Cik Siti Wan Kembang, dan Puteri Saadong. Tidak hairan Setanggi Tari Melayu mengangkat simbol dan imej wanita dalam persembahan yang di jayakan Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) bermula 30 Mei sehingga 1 Jun 2025.
Cerita ini mengisahkan Melati, seorang pejuang Silat muda dan pewaris takhta keturunannya. Dia jatuh cinta dengan seorang lelaki tampan yang juga merupakan rakan seperguruannya. Lelaki itu sebelumnya telah tewas dalam penentuan siapakah yang akan duduk sebagai pewaris tahta. Tanpa disedarinya, lelaki yang tamak kuasa dan jahat itu telah mengancam keharmonian kerajaan malah nyawanya sendiri.

Persembahan dimulakan dengan alunan gurindam dan seterusnya tarian mengadap rebab. Segmen pembukaan dalam mana-mana persembahan tradisional bukan sahaja berfungsi sebagai pengenalan naratif, tetapi juga memuatkan isyarat budaya yang kaya dengan makna dan fungsi. Dalam konteks Setanggi Tari Melayu, gabungan antara gurindam dan mengadap rebab dalam pembukaan persembahan mencerminkan satu usaha yang perlu diberi pujian untuk mengekalkan dan meremajakan tradisi persembahan Melayu dalam format persembahan kekinian. Keindahan busana dan kehalusan gerak tari sangat memukau tontonan disokong pula oleh visual pentas yang menarik. Paduan elemen-elemen ini bukan sahaja memperkukuh suasana yang ingin dibina malah membangkitkan keasyikan tontonan. Penataan ruang yang berlatarkan istana, disulam dengan alunan muzik tradisional dan gerak tari yang lemah gemalai telah menguatkan lagi pembukaan persembahan ini dari segi estetika.
Selain tari mengadap rebab, tarian istana dan tarian rakyat juga di tampilkan dalam persembahan ini seperti tari inai, zapin, joget, piring selain gerak tari silat melayu.

Halwa Feminin dalam Tari Melayu
Martha Graham (tokoh tari dunia) tidak pernah menggelarkan dirinya sebagai feminis, tetapi karya-karyanya sering menempatkan wanita sebagai pusat naratif dan menggambarkan hubungan mendalam antara wanita dengan diri dan fizikaliti mereka, begitu juga Setanggi Tari Melayu mengangkat kekuatan dan keberanian wanita melayu melalui watak utama Melati.
Setanggi Tari Melayu tidak hanya memaparkan tarian sebagai gerakan seni, tetapi turut menonjolkan perjalanan emosi dan perjuangan wanita, selari dengan semangat revolusioner yang dibawa oleh Graham melalui koreografinya. Dengan menampilkan watak wanita sebagai asas penceritaan, Setanggi Tari Melayu telah mengukuhkan peranan wanita dalam seni tari sebagai agen untuk meneroka emosi dan jiwa wanita. Sebenarnya, ia merupakan satu penghormatan kepada kekuatan wanita dimana persembahan ini menggabungkan elemen tradisi dan halwa feminin dalam persembahan yang berjiwa dan penuh makna. Feminin dalam persembahan tidak wujud secara semulajadi, tetapi dikonstruksi (dibentuk) melalui pelbagai medium persembahan seperti lakonan, gerak tari, kostum, suara, dan naratif. Dalam kes Setanggi Tari Melayu, feminin ini dikonstuksikan dari segi persepsi patriarki. Dalam konteks patriarki, feminin sering dipandang sebagai pasif atau bergantung, namun ini boleh dicabar dalam persembahan kontemporari. Hal ini dilakukan dalam Setanggi Tari Melayu.
Dalam Setanggi Tari Melayu, terdapat satu adegan pertarungan untuk menentukan pewaris tahta (simbolik pengurniaan keris). Melati telah menewaskan Adam dalam pertarungan ini. Dalam kosmologi budaya Melayu, keris bukan sekadar senjata, tetapi lambang kedaulatan, keturunan, identity dan semangat spiritual. Pemberian keris kepada wanita selepas pertarungan mengangkatnya bukan sahaja sebagai pemenang fizikal, tetapi juga sebagai pemimpin yang sah dan bertuah. Ia adalah satu pengiktirafan terhadap kebolehan, keberanian, dan kebijaksanaan wanita, telah jauh meninggalkan stereotaip “wanita sebagai pelengkap lelaki.”
Tindakan ini mencerminkan peralihan simbolik dalam struktur patriarki, di mana kuasa maskulin (keris) diserahkan kepada tubuh feminin, menjadikannya subjek utama naratif kepimpinan. Pada pandangan saya, simbol dan halwa feminis yang ingin di angkat dalam persembahan ini telah sampai pada tujuan. Adegan ini bukan hanya mencabar norma gender dalam dunia “melayu’’ dan seni persembahan Melayu, tetapi juga memberikan ruang imaginasi baru terhadap posisi wanita dalam masyarakat dan budaya. Ia merupakan suatu bentuk tafsiran semula tradisi melalui lensa feminis yang kontekstual iaitu lembut tetapi tegas, dan sangat relevan untuk meneroka kuasa wanita tanpa meninggalkan akar budayanya.
Produksi ini menghidupkan semula nilai keberanian, ketabahan, dan kebijaksanaan wanita Melayu, yang bukan sahaja berjuang secara fizikal melalui gerak tari Silat, tetapi juga secara dalaman untuk mempertahankan warisan dan identiti mereka.
Antara Teknik dan Penghayatan: Keresahan terhadap Babak Malam Pertama
Walaubagaimanapun, ada beberapa babak dalam persembahan ini pada saya kurang memberikan impak terhadap artmosfera yang ingin diciptakan. Salah satunya adalah babak malam pertama. Apabila melihat persembahan Setanggi Tari Melayu, ianya tidak boleh tertumpu pada aspek bentuk atau teknik semata-mata. Sebaliknya, ia menuntut pemahaman yang mendalam terhadap bagaimana elemen tersebut difungsikan, diberi makna, dan dirasai dalam konteks asalnya. Ini termasuk melihat bagaimana makna tradisi dirunding semula apabila ia dipindahkan ke dalam ruang persembahan moden. Adakah ia bersifat penghormatan, pengolahan, atau sekadar peniruan bentuk?

Apabila mengangkat judul Setanggi Tari Melayu, sudah pasti tunjangnya tentang adat, budaya dan resam melayu itu sendiri. Dalam adat resam perkahwinan orang melayu, ‘malam masuk tidur’ ini merupakan bahagian yang ditunggu-tunggu setelah ‘mandi sampat’ dan ‘mencuk’. Sayangnya, babak ini kurang menyatu dengan artmosfera yang telah diciptakan. Doborah Jowitt menegaskan bahawa kesinambungan antara gerak dan cerita adalah nadi kepada keberkesanan sebuah persembahan tarian. Gerakan yang tidak selari dengan tema boleh melemahkan daya penceritaan dan mengurangkan kesan dramatik. Tanpa penyatuan yang erat antara gerak dan naratif, tarian hanya menjadi sekadar persembahan visual tanpa jiwa. Pada saya, kenyataan Jowitt ini ada benarnya. Pada malam persembahan, saya merasakan bahawa gerak tari yang dipilih adalah berdasarkan lagu Zapin Malam Pertama, maka tarian zapin dipilih untuk menghiasi babak itu kerana lagunya, bukan kerana roh dan semangat babak itu. Sekiranya koreografer tidak bergantung kepada lagu asal, mungkin gerak zapin itu boleh diolah dari segi tempo dan ritma agar pergerakan lebih dramatik, abstrak dan mampu mencipta nuansa yang berbeza.
Selain dari itu, terdapat juga beberapa kelemahan kecil dalam persembahan yang sewajarnya diberi perhatian khususnya susunan repertoire dan kesinambungan dramatik antara babak. Adegan-adegan yang dijahit dalam persembahan drama tari ini tidak begitu kemas. Sebagai contoh perubahan adegan dengan membawa bantal putih yang dibawa oleh penari, adegan pertukaran kostum di lakukan secara literal di atas pentas tanpa memasukkan pergerakan kreatif atau abstrak dan beberapa lagi adegan yang terasa kosong.
Visual dan Pengalaman Penonton
Walaupun terdapat beberapa bahagian dalam persembahan yang dilihat masih memerlukan penajaman dari segi susunan repertoire dan kesinambungan adegan, hal ini tidak menenggelamkan keindahan Setanggi Tari Melayu. Persembahan ini tetap menyerlah melalui keupayaannya dalam menggabungkan elemen tradisi dan eksperimentasi visual secara berani. Salah satu elemen yang paling mencuri tumpuan dalam persembahan ini ialah unsur tasmat yang digunakan. Ada satu adegan apabila penari digantung dan perlahan-lahan ditarik ke udara dan terus melayang ke luar pentas. Unsur ini bukan sahaja mencipta kesan visual yang luar biasa malah penggunaan teknologi pentas moden seperti harness dalam konteks tari tradisional bukanlah satu tindakan yang melampaui batas, sebaliknya satu usaha inovatif yang mengangkat keindahan tari Melayu ke aras persembahan kontemporari bertaraf tinggi. Ia mencerminkan kebolehan produksi untuk mencipta ilusi dan kesan dramatik, sekali gus membuktikan bahawa seni tari Melayu mampu beradaptasi dengan pendekatan moden secara kreatif. Selain itu, persembahan turut dihidangkan dengan busana yang indah dan terperinci rekaannya. Hal ini memperkayakan lagi nilai visual persembahan, seterusnya memperkukuh identiti budaya yang diangkat.
Secara konklusi, Setanggi Tari Melayu adalah usaha yang mengagumkan dalam memperkenalkan semula tarian Melayu kepada generasi baharu. Tradisi bukanlah kotak simpanan arkib. Ia hidup jika terus berakar dalam masyarakat, berfungsi dalam kehidupan, dan berubah mengikut keperluan zamannya. Setanggi Tari Melayu adalah langkah penting dalam memperkenalkan semula bentuk tari tradisional kepada penonton baharu, satu usaha yang wajar dihargai. Terima kasih ASK Dance Company atas usaha dan persembahan ini dan tahniah buat seluruh ahli produksi yang terlibat. Walaubagamanapun, langkah seterusnya adalah lebih penting iaitu bagaimana membawa tradisi kembali kepada masyarakat dan menghidupkan tradisi itu sendiri, bukan sekadar berdiri sebagai sebuah persembahan.
– NAQUE ARIFFIN merupakan penggiat, pengkritik dan pendidik dalam bidang seni persembahan.
