KEKECOHAN dan unjuk rasa di Indonesia buat saya buka semula buku Aku Ingin Jadi Peluru, koleksi puisi penyair dan aktivis Indonesia, Wiji Thukul yang diterbit Kedai Hitam Putih. Di dalamnya saya dapat tahu, Wiji pernah menggerakkan komuniti yang bernama Sanggar Suka Banjir di Solo.
Sanggar Suka Banjir merupakan komuniti kecil yang menawarkan pendidikan tak formal kepada kanak-kanak sekitar melalui aktiviti seni seperti teater, muzik, puisi dan seni tampak. Di Malaysia, mungkin kita boleh samakan seperti Borneo Komrad dan Pangrok Sulap.
Antara yang diajar kepada kanak-kanak di situ ialah seni cetak toreh kayu (woodcut print). Mata saya laju perasan perkataan woodcut print itu ketika membuat bacaan tentang Sanggar Suka Banjir sebab saya baru saja pulang dari PrintLab Festival yang diadakan di Balai Seni Negara Langkawi.
Dalam PrintLab Festival, seni cetak seperti toreh kayu dan toreh lino diajarkan kepada seniwan dan pelajar sekolah di sekitar Langkawi. Tenaga pengajarnya dari Pangrok Sulap, komuniti seni dari Sabah yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa.
Toreh kayu menjadi identiti seni Pangrok Sulap. Sejak melihat karya mereka entah berapa tahun lalu, saya selalu tertanya, mengapa teknik itu yang menjadi pilihan?
Strok kasar, kurang warna, lukisannya kadang-kadang herot. Kalau ikut silibus Pendidikan Seni yang kita belajar di sekolah dulu, ia bukan karya yang boleh dapat markah tinggi. Malah, gambarnya sering tidak menyenangkan.
Yang dekat dengan masyarakat
Sebelum bertemu jawapan, pastilah saya bersangka-sangka dahulu. Dan sangkaan saya, gaya lukisan yang nampak kasar serta garis-garis yang meruncing itu sesuai dengan mesej perlawanan yang biasa dibawa Pangrok Sulap.
Namun, selepas duduk merokok sambil menemu bual salah seorang penggeraknya, Bam, di PrintLab Festival baru-baru ini, baru saya tahu ia bukan sekadar gaya.
Wiji tidak menggerakkan Sanggar Suka Banjir kerana dia ada banyak wang. Kelas atau bengkelnya juga hanya dibuat di rumahnya yang kecil, dibantu isterinya, Sipon dan beberapa aktivis lain.

Pangrok Sulap juga tak bermula mewah. Mereka komuniti muzik punk yang melihat muzik saja belum cukup untuk menyebarkan kesedaran kepada masyarakat. Melalui rangkaian muzik, mereka bertemu Marjinal yang menggerakkan komuniti Taring Babi. Taring babi, seperti Taring Padi di Jogjakarta, menggunakan teknik toreh kayu dalam karya-karya seni mereka. Dari situ, Pangrok Sulap bertemu identitinya.
Kata Bam, seni cetak toreh kayu dekat dengan mereka memandangkan bahan yang diperlukan mudah dijumpa di Sabah. Blok kayu boleh dibeli di kedai perkakas atau kilang. Cat yang diguna juga tak susah nak cari. “Tak perlu mesin cetak, malah tak perlu elektrik,” kata Bam.
Ia sesuai dengan Pangrok Sulap yang banyak bekerja dengan komuniti pedalaman di Sabah, khususnya Ranau. Sesetengah kawasan itu tidak ada kemudahan mencukupi, termasuk bekalan elektrik dan air. Kalau di Sabah, karya-karya seni Pangrok Sulap dihasilkan bersama komuniti dan dijual dengan tujuan meningkatkan taraf hidup komuniti.
Apa hasilnya apabila gaya seni marhaenis dan memberontak ini dibawa ke Langkawi – pulau pelancong yang makin lama makin dalam menjadi syurga konsumer?
Kurnia seni di Langkawi
Tiga kali dibawa Balai Seni Negara ke sana, harapan saya melihat Langkawi sebagai pulau seni lebih daripada pulau pelancong semakin mekar. Saya selalu melihat kawasan yang lebih ke darat, seperti pekan Kuah yang selalu jadi lokasi tidur kami para media, sebagai kawasan yang berbeza dengan pantai-pantai pilihan pelancong, seperti Pantai Cenang.
Di pekan Kuah, contohnya, masa bergerak lebih perlahan. Ruang lebih luas. Orang tak ramai. Memang kurang wang berkitar di situ – saya mula perasan yang beberapa hotel di Kuah semakin suram, malah kedai makannya juga tidak begitu meriah. Tapi ia lebih menenangkan dan ketenangan ialah senjata melawan jahiliyah.

Dalam lingkungan Balai Seni Negara Langkawi, manusia-manusia seni di Langkawi nampak semakin bersemangat mahu memenuhi darat pulau itu dengan kurnia-kurnia seni. Mereka selalu aktif mengikuti program Balai Seni Negara, malah terus berkarya secara individu.
Lebih manis, saya dapat tahu seniman ternama, Raja Azhar Idris juga akan buka galerinya di Langkawi. Selepas Muzium Ibrahim Hussein ditelan semak, bukankah langkah Raja Azhar itu sekelip sinar yang kita semua perlu?
PrintLab Festival membawa seni cetak ke darat Langkawi dan ia juga menggembirakan. Saya melihat anak-anak sekolah menoreh kayu sambil bergurau dengan cikgu. Ada seniman, Nazri Abdullah, mencetak tekstur batu yang menyerupai belut laut.
Di sini saya mahu sebut satu lagi kelebihan seni cetak seperti toreh kayu. Ia boleh melibatkan ramai orang, termasuk mereka yang bungko-sebungkonya* dalam soal seni. Hanya perlu ada seorang yang berjari seni untuk melukis panduan atas blok kayu, yang lain kerjanya menoreh. Siapa saja yang cukup sifat dalam dunia ini tak boleh menoreh garis di atas kayu?

Antara amalan unik Pangrok Sulap di Sabah, komuniti dilibatkan dalam penghasilan seni cetak mereka. Ada yang kerjanya menoreh, ada juga yang akan menari di atas kanvas, menampal cat dari blok kayu ke kanvas. Di sana, untuk karya bersaiz besar, proses cetak menggunakan kaki.
Di PrintLab Festival, mereka memilih menggunakan jentera penggelek jalan (steamroller). Saya fikir, ketika belajar memandu jentera itu dulu, tak pernah pemandunya terbayang akan terlibat dalam penghasilan karya seni. Tapi di PrintLab Festival, pemuda yang memandu jentera penggelek itu menjadi tumpuan. Dia jadi watak penting dalam penghasilan karya seni cetak.
Panggung tanpa batas
PrintLab Festival membawa 26 seniman, dari dalam dan luar negara, ke Pulau Tuba untuk mencari ilham. Karya-karya yang terhasil daripada lawatan itu dipamer megah di Balai Seni Negara Langkawi. Sepanjang acara itu juga, para pelajar dari beberapa sekolah di sekitar turut terlibat menghasilkan seni cetak.
Saya melihat kurnia seni turun dari kendongan awan ke darat Langkawi. Seni yang merakyat dan membumi. Hari itu, keindahan alam dicetak atas kanvas. Mungkin suatu hari nanti, mereka yang belajar seni cetak di acara ini lebih meresap semangat Pangrok Sulap, Taring Babi, Taring Padi dan Wiji Thukul lalu menggunakan seni sebagai alat mengangkat komuniti.

Sindir Wiji dalam sajak Batas Panggung: “biarkan kami menjalankan kekuasaan kami / tontonlah / tempatmu di situ”. Entah apa yang berlangsung dalam otaknya, dia melihat kejadongan pemerintah korup seperti sombongnya ahli seni. Yang tak tahu seni jangan masuk campur urusan seni.
Seni tak boleh sombong. Seni perlu duduk dekat, kalau boleh, bercampur gaul dalam hidup sehari-hari masyarakat. Itu yang saya belajar dari PrintLab Festival.
*bungko bermaksud tak mahir dalam dialek Negeri Sembilan. Macam kata ustaz saya yang mengkritik seorang pemain bola bungko di sekolah: “mano arah pusek, situ arah bola eh”.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
