TOKOH teater tersohor, Zakaria Ariffin, 73, meninggal dunia akibat stroke pada pukul 2.30 pagi tadi di Hospital Slim River.
Berita pemergian Allahyarham dikongsikan oleh Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohammad Saleeh Rahamad, menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Surau Al Ibroh, Batu 7, Behrang Hulu untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Sekiah.
Allahyarham merupakan penerima Anugerah Seni Negara 2024 kategori Karyawan Seni Lakon (Pementasan).
Dilahirkan di Kuantan, Pahang, Allahyarham juga merupakan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2001.
Beliau mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris) sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia.
Allahyarham pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sebelum bersara, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Dalam dunia teater, Zakaria pernah mengarah serta mementaskan beberapa karya besar, termasuk Matinya Seorang Pahlawan karya Sasterawan Negara Datuk Dr Usman Awang di London, serta Selampit tulisan Dr Anuar Nor Arai di Manila. Beliau turut mengadaptasi novel Imam karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein ke pentas teater.
Antara karya lain yang pernah diarahkan oleh Allahyarham termasuk bangsawan Siti Zubaidah sekitar tahun 2000 serta teater Pentas Opera dan Raja Lawak, yang memperkukuh kedudukannya sebagai salah seorang tokoh teater terpenting negara.
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni dan tanah air.
