SEBUAH pameran khas berkenaan lukisan yang bertajuk ‘Titik Garis Bentuk: Drawing as Practice’ telah dianjurkan oleh di Galeri Ilham. Pameran tersebut telah berlangsung pada awal tahun ini yang bermula pada 24 Mac hingga 28 Julai 2024. Menampilkan hasil kerja oleh pengkarya tempatan seperti Agnes Lau, Ahmad Zakii Anwar, Arikwibowo Amril, Badruddin Syah Abdul Wahab, Binti, Cc Kua Chang Fee, Ming Chang Yoong, Chia Chi Too, Chong Siew Ying, Engku Iman, Faizal Suhif, Foo May Lyn, Haris Abadi, Hasanul Isyraf Idris, Haslin Ismail, Dr Jalaini Abu Hassan, Khairudin Zainudin Khairul Hiffni & Shamin Sahrum, Nadiah Bamadhaj, Novia Shin, Paul Nickson Atia, Roslisham Ismail (Ise), Shika Thibault, Syarifah Nadhirah, Wong Hoy Cheong.
Menurut teks pada brosur pameran, lukisan menjadi asas malah bentuk universal apabila manusia ingin berekspresi. Diperhatikan lukisan gua yang terdapat di Borneo berusia 40,000 tahun yang lampau. Diketahui manusia telah menghasilkan lukisan sebagai kaedah untuk berhubung dengan satu sama lain dan juga menggambarkan persekitaran alam. Teks tertera juga menjelaskan lukisan adalah asas kepada amalan seni yang dipraktikan oleh pengkarya. Lukisan juga adalah unsur yang terdekat dalam bentuk seni dan berhasil mengesan hasil kerja tangan seseorang pengkarya. Secara tradisi lukisan dianggap sebagai sandaran kepada kerja serperti catan atau arca kini sudah diterima setaraf dengan medium yang lain.
Pameran ‘Titik Garis Bentuk’ melihat peranan lukisan dalam eksplorasi seni sezaman serta menempatkannya sebagai sebuah karya yang lengkap. Ia mempamerkan sebanyak 27 buah karya dari pengkarya yang mengutamakan medium lukisan sebagai praktis mereka. Matlamatnya adalah mengkaji bagaimana pengkarya terpilih dalam mendefinasikan medium lukisan dengan mengkaburkan batasan yang wujud pada bentuk seni yang lain seperti instalasi, animasi dan seni persembahan. Ia merangkumi karya yang berbagai seperti berbentuk figura, lanskap, lukisan seni bina dan aliran minimalisme. Diketahui pengkarya dalam pameran berhasil meluaskan definisi lazim yang merujuk kepada lukisan sebagai kaedah mark-making di atas permukaan dua dimensi menerusi aplikasi bahan dan teknik secara yang inovatif. Dari lukisan arang berskala figura sebenar, lukisan lanskap panaromik kepada praktis lukisan yang bersifat meditative.
Pameran ‘Titik Garis Bentuk’ mengetengahkan arah yang berbeza dalam pendekatan lukisan oleh kelompok pengkarya dalam pameran ini. Bedasarkan teks brosur pameran ini melihatkan bagaimana seni sezaman menggunakan kekuatan garisan lukisan bagi memetakan alam semula jadi serta alam bina, mendokumentasikan sejarah kita dan realiti kebudayaan, menceritakan kisah benar dan imaginasi. Oleh demikian, mereka pengkarya dalam pameran ini telah menghasilkan variasi bentuk karya dalam menyatakan kerumitan juga kontradiksi dalam pengalaman manusia.
Penanda aras dan peristiwa dalam perkembangan lukisan di Malaysia
Menyingkap kembali usaha awal mengetengahkan medium lukisan sebagai medium utama telah dianjurkan oleh Balai Seni Lukis Negara (Sekarang dikenali sebagai Balai Seni Negara) pada 1997. Pameran ‘Lukisan Malaysia’ yang berbentuk tinjauan atau survey telah diusahakan oleh Zanita Anuar dan Dr. Jailani Abu Hassan. Pameran ini pertama kali seumpamanya telah berjaya menghimpunkan 90 buah karya berupa lukisan daripada berbagai bentuk dan persembahan karya berupa lukisan. Turut dimuatkan dalam katalog pameran adalah pandang beberapa pengkarya seperti Hasnul Jamal Saidon, Nasir Baharuddin, Yeoh Jing Ling,Yusof Ghani, Wong Hoy Cheong, Dr. Jailani Abu Hassan, Tengku Sabri Ibrahim dan Lim Eng Hooi.
Pameran ini bermatlamat melihat perkembangan seni lukisan sepanjang 40 tahun daripada hasil kerja tangan 60 orang pengkarya. Diperjelaskan pemilihan pengkarya dalam pameran tersebut adalah berdasarkan pendepanan medium lukisan yang ditonjolkan dalam karya-karya yang mereka hasilkan. Di antara karya lukisan yang dihasilkan dalam pameran ini adalah merangkumi bahan seperti arang, pensil, pen, dan juga eksplorasi media campuran dan juga aplikasi multimedia.
Dalam menyentuh perkembangan seni lukisan adalah penting untuk diberikan perhatian kepada penerbitan buku bertajuk ‘Garis: dari Titik ke Titik’ oleh Latiff Mohidin terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia 1988. Buku yang bermuka surat sebanyak 229 ini tidak boleh diketepikan dalam melihat kepentingan dan kefahaman bila membicarakan berkenaan medium lukisan. Pengisian buku ini pada asasnya menyingkap pengalaman Latiff Mohidin sebagai pengkarya. Latiff menyiapkan buku tersebut sewaktu menjadi penulis tamu di DBP di atas dorongan dua Sasterawan Negara iaitu Allahyarham Datuk Usman Awang dan Datuk Baharuddin Zain supaya Latiff merakam sepanjang pengalaman sebagai seniman.
Perkembangan seterusnya adalah di bawah inisiatif Satu: Creative Collective iaitu sebuah platfom seni independen dengan kerjasama Geothe Institut, Kuala Lumpur telah menganjurkan sebuah pameran bertajuk ‘Thinking Drawing’, pada 2014. Pameran tersebut adalah cetusan buah fikiran Dr. Elias Yamani Ismail yang menerajui Satu: Creative Collective. Dr. Elias telah mengusulkan idea tersebut kepada Nasir Baharuddin iaitu kurator Galeri Serdang yang bertempat di Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dr. Elias ingin melihat potensi medium lukisan yang primer bebas dari tanggapan atau sandaran bersifat secondary. Oleh demikian, beliau telah mencadangkan pengkarya dari Berlin bernama Astrid Köppe bagi membantu menjayakan pameran tersebut. Astrid adalah pelukis berpengalaman yang fokus menekuni genre lukisan. Menurut Dr. Elias dengan kehadiran Astrid sedikit sebanyak dapat berkolaborasi serta meningkatkan kefahaman pengkarya tempatan berkenaan medium lukisan dalam bentuk dimensi serta interpretasi yang segar dan baharu.
Pameran seminar tersebut yang melibatkan seramai lima orang pengkarya tempatan iaitu Abdul Latiff Ahmad Padzali, Chuah Shu Ruei, Eddie Choo Wen Yi, Liew Chee Heai dan Phuan Thai Meng. Astrid Köppe adalah selaku kurator bagi pameran ‘Thinking Drawing’ dan di dalam penerbitan katalog dimuatkan penulisan kupasan berkenaan medium lukisan oleh Jan-Philipp Fruehsorge dan Nasir Baharuddin.
Komentar dan Rumusan
Mengulas pameran ‘Titik Garis Bentuk: Drawing as Practice’ anjuran di Galeri Ilham. Dikenalpasti wujud kekeliruan arah, redundancy dan tiada gagasan yang jelas ingin dipandu oleh pihak kuratorial. Adakah pameran ini merupakan survey atau penilaian bentuk yang baharu dikesan dalam genre lukisan? Diperhatikan pemilihan karya-karya yang dimuatkan dalam pameran ini bercampur aduk dengan karya-karya berbentuk konvensional yang mediocre dengan karya percubaan lukisan eksperimental.
Penulis berpendapat adalah lebih bermanfaat fokus diberikan kepada himpunan idea yang melanjutkan bahasa visual dalam genre lukisan. Panduan ini dapat dipelajari seperti dikemukakan dalam pameran ‘Thinking Drawing’ yang lebih bermakna. Sekiranya pameran ‘Titik Garis Bentuk: Drawing as Practice’ berbentuk tinjauan pameran yang perlu dicontohi adalah ‘Lukisan Malaysia’ anjuran Balai Seni Lukis Negara. Pihak Galeri Ilham boleh merujuk model yang dikemukakan oleh kedua pameran dinyatakan tadi untuk panduan pameran akan datang.
Seterusnya kelemahan pameran ‘Titik Garis Bentuk: Drawing as Practice’ dikesan apabila memasuki ruang pameran seolah-oleh amatur sifatnya dengan perletakan susunan karya-karya yang kurang sesuai ditempatnya. Mengakibatkan kekuatan karya tenggelam kerana perletakan di tempat yang kurang sesuai. Pameran ini menjelaskan bahawa ia mempamerkan sebanyak 27 buah karya dari pengkarya yang mengutamakan medium lukisan dalam praktis mereka. Sekadar pemerhatian, praktis pengkarya yang terlibat dalam pameran ini tidak semuanya menekuni atau mendedikasikan praktis mereka dalam medium lukisan. Oleh demikian, ia hanyalah sebuah projek pameran bertemakan lukisan sahaja lalu para pengkarya ini dikumpulkan dalam sebuah pameran. Seharusnya pihak penganjur lebih teliti serta membuat pengkajian dalam arah atau objektif pameran yang ingin dilaksanakan.
************************
- Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis semata-mata. Ia tidak mewakili pandangan dan pendirian Senimalaya.
