Hind Rajab antara lebih 60,000 kanak-kanak Palestin yang dibunuh tentera Israel sejak pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada Oktober 2023. Bagaimanapun suara Hind Rajab yang maut di tangan tentera zionis itu pada 24 Januari 2024 bergema ke seluruh pelosok dunia.
Ironinya wakil-wakil Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang bermesyuarat di bilik berhawa dingin dan dihidang dengan makanan yang enak tidak mendengar suara itu. Kalau dengar pun pembunuhan seperti itu sudah dinormalisasikan sebagai suatu yang tidak dapat dielakkan.

Suara Hind Rajab didengar oleh pengarah filem asal Tunisia, Kaouther Ben Hania ketika berada di lapangan terbang Los Angeles, Amerika Syarikat seminggu selepas tragedi itu. Menurut laporan media, sebanyak 335 kesan peluru pada kereta yang mengorbankan Hind Rajab dan ahli keluarganya.
Filem The Voice of Hind Rajab arahan Ben Hania telah menggemakan lagi suara anak kecil itu. Suaranya yang sebenar menjadi sebahagian daripada filem tertumpu dalam bilik operasi Bulan Sabit Merah Palestin di Gaza. Suara itu tidak pernah mati dalam mendedahkan keganasan yang ‘sah’ pada undang-undang antarabangsa.
Kualiti talian telefon tidak begitu baik, tetapi suara yang bergetar beriring esak dan tangis boleh dirasai dengan jelas dan dalam. Suara yang terputus-putus itu menggambarkan saat-saat genting pada hujung hayatnya.
Filem The Voice of Hind Rajab sedang ditayangkan di negara ini. Selain menggunakan suara sebenar Hind Rajab, pengarah Ben Hania turut mengangkat empat watak sebenar iaitu sukarelawan Bulan Sabit Merah Palestin terdiri daripada Rana Hassan Faqih dilakonkan oleh Saja Kilani, Omar A Alqam (Motaz Malhees), Mahdi (Amer Hlehel) dan Nasreen (Clara Khoury).

Sekalipun filem ini kelihatan mendedahkan kekejaman tentera Israel, hal yang sebenarnya memperkecilkan dan meranapkan bongkak tentera zionis itu. Malah memalukan apabila tentera yang lengkap dengan kereta kebal dan peralatan membunuh yang canggih itu hanya untuk membunuh kanak-kanak yang tidak berdaya.
Saya fikir siapa pun yang berada di tempat tentera Israel pasti rasa terpukul dan dimalukan dengan teruk sekali. Hind Rajab bukanlah lawan mereka. Tetapi apabila tentera meneruskan misi membunuh, itu bukan kehebatan tetapi kedayusan. Itu berlawanan dengan imej tentera zionis yang dipaparkan oleh media Barat.
Filem ini adalah serangan balas secara psikologi apabila tidak ada sepatah pun dialog menunjukkan kekejaman tentera Israel. Maksud dan naratif diterbalikkan secara paikologi. The Voice of Hind Rajab sebenarnya lebih menyerang tentera Israel apabila naratifnya menjurus pada kekejaman.
Ukuran sesuatu perlawanan adalah saingan yang hebat. Kalau kalah sekalipun tetap dianggap hebat. Dalam The Voice of Hind Rajab tentera Israel dianggap pengecut kerana menembak kanak-kanak yang bukan lawannya. Malah tidak ada signifikan pun dengan matlamat untuk menguasai Gaza.
Perang psikologi filem ini terletak pada ketidakseimbangan kuasa antara tentera dengan kanak-kanak tidak berdaya. Kereta kebal, senjata pembunuh automatik, rangkaian komunikasi tentera digerakkan untuk tujuan yang sangat kecil – membunuh kanak-kanak.
Hanya penjajah yang kehilangan legitimasi sahaja yang sanggup membunuh pihak yang paling lemah untuk mengekalkan ilusi kehebatan.

Ketidakseimbangan ini dengan sendirinya membawa mesej tidak bertamadun – kekuatan ketenteraan ditujukan pada golongan yang didominasi. Nyawa seorang kanak-kanak menjadi tidak bernilai apabila dianggap sasaran yang sah daripada sudut undang-undang yang berat sebelah.
Menghayati naratif kekejaman tentera Israel dalam filem ini mengingatkan saya pada ungkapan ‘banality of evil’ yang disebut oleh Hannah Arendt dalam laporan bertajuk, Eichmann in Jerusalem : A Report on the Banality of Evil (1963). ‘Banality of evil’ secara mudahnya boleh difahami sebagai ‘melazimkan kekejaman’. Hal itulah yang dilakukan oleh Israel dan sekutunya di Barat -pembunuhan rakyat Palestin suatu yang lazim dan mengikut prosedur.
Adolf Eichmann tidak membunuh, tetapi menguruskan pembunuhan. Dia seorang birokrat yang sangat patuh dan mengikut prosedur menyusun jadual kereta api yang membawa mangsa ke kem pembunuhan semasa Holocaust. Maknanya kekejaman bukan lagi dilakukan oleh manusia yang sememangnya kejam, tetapi oleh individu yang menjalankan tugas.
Sekalipun begitu kejahatan seperti itu hanya tumbuh daripada setia yang membuta tuli dan rasa manusianya yang sudah lumpuh. Tentunya tentera Israel yang membunuh Hind Rajab tidak pernah kenal, apa lagi membenci kanak-kanak itu. Tetapi melakukan prosedur dan protokol keselamatan yang ditetapkan. Itu satu tugas yang rutin.

Di situlah kebejatan moralnya apabila membunuh termasuk kepada kanak-kanak menjadi sebahagian daripada tugas yang rutin. Kereta kebal dalam The Voice of Hind Rajab adalah metafora protokol membunuh yang dilindungi oleh undang-undang antarabangsa yang bersifat selektif.
Dalam The Voice of Hind Rajab, konsep melazimkan kekejaman dilakukan kepada seorang kanak-kanak yang terperangkap, tetapi masih mampu bersuara dan merayu. Bagaimanapun dia tetap menjadi mangsa pada sebuah mesin kekuasaan yang digerak dengan tanpa rasa bersalah.
Tragedi pembunuhan kanak-kanak dalam filem ini adalah manifestasi kejahatan yang dilazimkan. Tidak ada keperluan mewujudkan watak jahat untuk membangkitkan kebencian. Rantaian perintah, protokol keselamatan dan sasaran yang ‘disahkan’ sudah boleh menanggalkan segala rasa kemanusiaan.
Melazimkan kekejaman menjadikan kerja membunuh tidak lebih hanya satu pematuhan pada tugas. Arendt menegaskan bahawa kejahatan menjadi suatu yang biasa apabila manusia sudah berhenti berfikir dan jiwanya telah mati.

Filem ini juga mendedahkan bagaimana bahasa berperanan menormalisasikan kejahatan. Istilah-istilah seperti neutral, laporan ringkas dan justifikasi keselamatan berperanan sebagai pelindung moral. Ternyata bahasa yang dipuratakan dengan meminimumkan makna adalah alat utama yang menjadikan sesuatu kekejaman itu sebagai perkara biasa.
Lebih tajam lagi, The Voice of Hind Rajab memperlihatkan asimetri kuasa yang melumpuhkan tanggungjawab. Dalam sistem hidup yang penuh hierarki, setiap individu boleh berlindung di sebalik arahan pihak yang lebih tinggi. “Saya hanya menjalankan tugas” menjadi mentera yang menghapuskan sesuatu tindakan yang salah dan rasa bersalah.
Suara Hind Rajab yang berakhir dengan tragis memaksa penonton berhadapan dengan citra kemanusiaan yang cuba dipadamkan. Di sinilah filem ini melawan ‘banality of evil’ yang disebutkan oleh Arendt dengan mengembalikan wajah, nama dan suara kepada mangsa.
Malah memaksa kita bertanya, jika kejahatan menjadi biasa kerana manusia berhenti berfikir, adakah menjadi tanggungjawab kita untuk kembali berfikir dan menolak kejahatan itu? The Voice of Hind Rajab satu desakan moral terhadap dunia yang membiarkan kejahatan beroperasi secara rutin dan sistematik.
Suara Hind Rajab yang terputus kemudian senyap itu menandakan runtuhnya seluruh naratif ketenteraan Israel yang selama ini disucikan oleh bahasa yang lunak dan kebejatannya dibenamkan oleh organisasi media yang berkepentingan. Inilah ekosistem yang menjadi pemangkin kekejaman kepada pihak yang didominasi.

Sinematografi
Dari sudut sinematografi, The Voice of Hind Rajab adalah satu pengalaman visual yang terasa amat menghimpit. Seolah-olah terperangkap bersama-sama watak yang tidak ditampilkan secara visual. Gerakan kamera yang amat terbatas dalam bilik kaca menghasilkan tekanan psikologi yang berterusan kepada penonton.
Sebahagian daripada besar visual dikurung dalam bilik kaca dengan bingkai yang ketat (tight shot) yang seolah-olah menarik penonton masuk ke dalam ruang sempit Hind Rajab. Hampir semua adegan dalam bilik kaca menjadikan keadaan dunia luar agak kabur dan terputus.
Filem ini membuktikan bahawa sinematografi berkesan bukanlah dengan menunjukkan segalanya, tetapi tahu masa yang sesuai untuk menyembunyikan sesuatu daripada pandangan penonton. Ia memberikan rasa terbeban seperti mangsa yang terperangkap.
Filem ini lebih banyak bermain dengan off-screen space atau ruang naratif yang berada di luar bingkai kamera lebih penting daripada yang dilihat. Dalam filem ini bunyi terutamanya suara Hind Rajab yang menjadi naratif di luar bingkai.
Ritma suntingannya perlahan dan setiap shot dibiarkan bernafas dengan lebih lama. Setiap detik terasa begitu panjang telah membangkitkan rasa yang penuh tekanan – sama seperti keadaan Hind Rajab.
The Voive of Hind Rajab dihasilkan dengan penuh teliti daripada sudut pembinaan naratif dam sinematografi. Filem ini mampu membawa maksud yang melampaui segala yang tertera di layar. Menonton filem ini setidak-tidak membuatkan kita berhenti sejenak dari rutin yang sibuk dan berfikir tentang satu penjuru dunia bernama Palestin.
Nota Editorial:
Senimalaya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang prihatin untuk menonton ‘The Voice of Hind Rajab’ yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara (TGV & GSC).
www.gsc.com.my/movie/the-voice-of-hind-rajab/
www.tgv.com.my/movie/the-voice-of-hind-rajab
Kempen siri jelajah ‘The Voice of Hind Rajab’ oleh Zainal Rashid Ahmad (ZRA) (Sabtu – 17 Jan 2026 di Paragon KTCC Mall, Kuala Terengganu), juga dijadualkan bakal diteruskan ke beberapa lokasi lain di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha untuk meluaskan jangkauan mesej kemanusiaannya khususnya kekejaman tentera zionis terhadap rakyat Palestin. Media Prima Berhad turut menyumbang RM1 dari setiap tiket yang dijual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.
‘The Voice of Hind Rajab’ telah meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila memenangi beberapa anugerah di festival filem:
– Chicago International Film Festival 2025 – Jury Award.
– Film Fest Gent 2025 – Grand Prix for Best Film.
– Hamptons International Film Festival 2025 – Brizzola Family Foundation Award for Films of Conflict & Resolution.
– San Sebastián International Film Festival 2025 – City of Donostia/San Sebastián Audience Award for Best Film.
– Venice International Film Festival 2025 – Grand Jury Prize (Kaouther Ben Hania) + 7 kategori lain.
‘The Voice of Hind Rajab’ juga telah dipilih mewakili penyertaan Tunisia untuk pencalonan kategori ‘Best International Feature Film’ di Academy Awards (Oscar) ke-98 pada 16 March 2026.
PALESTIN MERDEKA!
• KU SEMAN KU HUSSAIN adalah mantan Pengarang Mingguan Malaysia yang kini menjadi wartawan bebas. Beliau telah menghasilkan dua buku, ‘Anekdot Ku Seman (2018) dan ‘Kata Ku Seman (2023). Kini sedang menyiapkan sebuah memoir yang mencatatkan insiden-insiden penting di sebalik tabir Jabatan Pengarang Utusan Melayu.
