SIAPA sangka sebuah projek televisyen Perancis bertemakan “2000, Seen By …” yang pernah dibuat suatu masa dahulu bagi menyatakan spekulasi terhadap ketibaan milenial telah menjadi kenyataan lebih dua dekad kemudian.
Secara keseluruhan, ia adalah filem minimalis, gelap dan hampir “senyap” dan ditafsirkan merujuk kepada Antonioni bertajuk The Hole (1998); tentang hubungan emosi yang terpendam dan
dan komunikasi yang terputus akibat kebejatan sosial. The Hole dilihat dari perspektif Taiwan yang mana terdapat pelbagai perspektif dari kesemua 10 negara yang terlibat. Salah satunya selain The Hole yang pernah saya tonton adalah dari Mali. Ia adalah sebuah filem Abderrahmane Sissako bertajuk La Vie Sur Terre (1998).
Secara semiotik, The Hole mengisahkan tentang kemunculan virus aneh yang dipercayai berpunca daripada lipas yang telah menyebabkan penyebaran selesema atau dikenali sebagai Taiwan flu, yang kemudiannya diisytiharkan sebagai wabak. Dia berbeza dengan spekulasi mengenai berlakunya pandemik Koranavirus pada tahun 2020, seperti yang kita baca dari gosip di internet. Namun, wujudnya keadaan terpencil akibat perintah “lockdown”, di situlah terdapat persamaan apabila orang ramai terpaksa menjalani kehidupan dalam kuarantin.
Tsai Ming Liang, seorang pembuat filem yang menggunakan firasatnya untuk melihat masa depan, tidak seperti Nostradamus. Rasanya Tsai hanya mempunyai lebih kemahiran, pemikiran futuristik dan elemen transformatif yang digayakan dalam naratif telah mendefinisikan milenial sebagai kemusnahan era baru. Perspektifnya umpama ayat-ayat gelap yang melihat dunia yang semakin bocor dan bergoncang, ketika berada pada tahap yang paling rapuh, yang menunggu untuk runtuh dan musnah serta berakhir dengan bencana dan kiamat.
Di matanya, Tsai melihat Taiwan sedang nazak dengan lambakan virus yang boleh mendatangkan maut, yang dibawa menerusi hujan yang tidak berhenti mencurah sepanjang hari dan waktu. Orang ramai lebih teruja berganti ke tahun 2000, sebaliknya urbanisasi yang diimpikan tanpa pembangunan rohani akan melupakan manusia kepada akhirat. Barangkali ia seperti apa yang ditanyakan kepada pengkritik filem Robin Wood: Apa ini yang pertama – dan mungkin yang terakhir – filem muzikal mengenai pengakhiran dunia?
Sebuah filem muzikal yang minimalis
The Hole sebuah filem musikal yang minimalis. Filem ini memiliki keindahan yang kurang ajar dan menyedihkan. Ia sebuah kenyataan yang berani, yang terpisah dalam fragmen-fragmen yang mengaum dan tentunya lemah di waktu yang sama. The Hole merayakan secara bersekali keindahan dan kelemahan, keceriaan dan kefanaan, menyangkut segala emosi yang azalinya bersifat sementara. Ada kemungkinan, The Hole merupakan satu-satunya filem muzikal yang menceritakan tentang kehidupan yang penghabisan, yang meriwayatkan tentang datangnya sebuah malapetaka dan hari kiamat.
Kenyataan sering mengingatkan, dalam persoalan mengenai sebuah genre, acapkali filem muzikal dimaksudkan dengan takrifan “the american musical”. Walaupun Rick Altman, seorang profesor dalam bidang kajian sinema dan perbandingan sastera di Universiti Iowa, menggunakan terma muzikal dalam maksud “Hollywood musical” dan “American musical”; dan Brian McFarlane, seorang pengarang, menyatakan perlu untuk mencatatkan bahawa filem muzikal adalah sebuah genre filem yang mana USA telah jadikannya sebagai milik mereka yang khusus; pendapat-pendapat sedemikian bukan sahaja ditentang malah terkesudahan melahirkan bentuk baharu filem muzikal yang mencabar Hollywood.
Penteori sinema dan seorang jogho forma filem yang oposisi, Paul Willemen di akhir tahun 1980 telah menulis esei dengan meninggalkan persoalan kemungkinan terdapatnya bahan untuk mengkaji secara komperatif antara muzikal Mesir, Hindi dan US. Usai dua dekad kemudian, kenyataan ini malah lebih memeranjatkan kerana tiadanya bahan rujukan yang wujud bagi melakar sebuah sejarah dunia yang betul mengenai filem muzikal. Bahan yang ada kelihatan menyimpang dari membicarakan genre muzikal secara tulus, justru perbincangan lebih dihalakan kepada kecenderungan kepercayaana dan ideologi.
Saya rasa pendapat yang sangat relevan dalam mencabar Hollywood, datang dari pemikiran dan keidealan platonik yang membicarakan filem muzikal dengan merangkum semua persoalannya kepada kesenian teater yang artifisial dan ekspresif, yang dimulakan Godard dan French “nouvelle vague”. Ini pemikiran paling totok dalam mentakrifkan sinema sebagai wadah estetika bahasa dan seni isyarat; di mana ia menyatakan setiap perkara yang bergerak, adalah segalanya didalangi dengan penuh makna. Pendapat ini menjajarkan filem muzikal dengan melodrama dan ekspresionisme dalam mentakrifkan fungsinya terhadap satu dari intipati sinema sebagai sebuah medium yang paling komunikatif.
Dinamiknya, ia pemikiran yang mencabar kejumudan Hollywood terhadap genre muzikal; mentajdidkannya dengan kekayaan minda yang memenungkan idealisasi filem muzikal sebagai sebuah cara atau gaya penampilan dalam pengkaryaan. Ia sepertimana yang Godard suarakan, “Jika ada sebuah genre yang dikatakan telah pupus, ia adalah muzikal. Filem muzikal telah mati. Adieu Philippine (1962, terajutama Jacques Rozier) adalah sebuah filem muzikal pada rasanya, tapi genre itu sendiri telah arwah. Ia sebagaimana takda sebab malah pada orang-orang Amerika pun untuk “remake” Singing In The Rain (1952). Kalian kena buat benda yang lain habis. Seperti saya bicarakannya dalam filem saya, yang ada hanya nostalgia, ianya nostalgia kepada genre filem muzikal”.
Pada hari ini di seluruh dunia; perkara yang ketara adalah pembenturan antara dua tradisi, di antara kelahiran sebuah sinema baharu kepada kematian sebuah idea lama. Maka nostalgia yang lebih kompleks mengenai genre muzikal telah lahir. Ia merupakan satu perubahan dan bukan meniru yang lama. Keadaannya seperti yang kelihatan pada genre-genre lain seperti komedi romantik, melodrama atau “western”, di mana tiada siapa yang boleh bikin sebagaimana yang “master” dulu-dulu buat.
Merayakan nostalgia kemudian kelihatan di dalam pelbagai bentuk dan “form”. Secara melankolik; ianya merupakan filem muzikal yang mutan, sebuah saranan-saranan dengan menyatakan bahawa mereka seolah-olah menciptakan filem muzikal yang sebenar. Mengambil contoh The Umbrellas of Cherbourg (1964, Jacques Demy). Demy telah mendobrak atau melanggar tradisi filem muzikal yang normal dengan menjadikan seluruh latar dan bandarnya seperti sebuah pentas. Ruangnya tiada limitasi dan bersifat “timeless”. Ia menjadikan seluruh dialognya diprojeksi secara berlagu dan hampir keseluruhan pergerakan wataknya di dalam keadaan menari. Barangkali muzikal jenis ini selari dengan teori filem Andre Bazin bahawa setiap bingkai filem itu lagaknya seperti jendela yang bergerak ke segenap realiti. Ia dekat dengan apa yang diucapkan Agnes Varda terhadap Demy. Ucapnya, “Jacques bukan seorang pembikin filem yang radikal. Apa yang radikal adalah keberahiannya membawa muzik, lagu dan tarian kepada sesuatu yang dilihat di luar kebiasaan, mirip sebuah pergelutan hidup.”
Terhadap mencabar Hollywood, selain itu terdapat penggayaan filem muzikal dengan pendekatan filem berorientasikan muzik sepertimana popular kelihatan dalam filem-filem Coen Brothers seperti The Big Lebowski (1998) dan O Brother, Where Art Thou? (2000). Maka berbalik kepada The Hole, ia suatu pendekatan yang ekspresionis terhadap bentuk filem muzikal baharu yang sekaligus tegar menjadi pencabar Hollywood. Filem ini menggunakan korpus spesifik lagu-lagu pop klasik nyanyian Grace Chang, iaitu seorang biduan muzikal Hong Kong yang terkenal pada era 1950an, yang juga bintang sohor di seluruh Asia. Lagu-lagu tersebut dinyanyikan secara “mime” di dalam “sequance” yang bersifat khayalan menerusi dua orang pelakon yang kerap berperan di dalam filem-filem Tsai, Yang Kuei-mei dan Lee Kang-sheng.
Namun apakah benar lagu-lagu yang dinyanyikan itu betul-betul khayalan? Tsai juga tidak memberikan kita maklumat yang kuat untuk menjawab persoalan yang diusiknya. Kerana; satu perkara lainnya jelas, bahawa Tsai telah meletak sempadan antara “form” dan “content” genre muzikal secara lengkap atau sempurna dalam dunia sinemanya yang tersendiri. Menyongsong alaf baharu, sebagai pembikin filem Tsai menitipkan pasca-skrip dengan tandatangannya di penutup kredit filem itu dengan ucapan: “Tahun 2000 akan tiba. Kita bertuah kita masih miliki lagu-lagu Grace Chang bersama kita.”
Sememangnya muzik merupakan bahagian yang sangat relevan dengan kehidupan. Ia sebagaimana yang pernah diujar John Cassavetes, “Aku meminati segala jenis muzik. Muzik adalah kebijakan. Ia membuat anda rasa seperti bernyawa. Sunyi adalah kematian.”

