Perjalanan dengan kereta daripada rumah saya di Saujana Utama, Sungai Buloh ke 2hun Studio Galeri di Puchong mengambil masa kira-kira satu jam pada petang Sabtu, 7 Februari 2026 yang baru lalu. Meskipun jalan raya agak sesak dengan kenderaan lebih-lebih lagi pada hujung minggu ataupun barangkali kerana ramai yang keluar membeli-belah menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, saya yang ditemani Prof. Madya Suhaimi Tohid, seniman cetak dan Timbalan Dekan Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTM itu sampai ke lokasi sebelum waktu Maghrib.
2hun Studio Galeri merupakan sebuah galeri seni baharu milik Dr. Abu Bakar Sabran, mantan Profesor Madya dan Pensyarah Seni di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sebelum berhijrah ke UPSI, dia pernah mengajar di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR/AD) di UiTM Shah Alam dalam Jabatan Seni Reka Logam Halus, iaitu bidang kepakarannya. Setelah bersara, dia berkarya sepenuh masa dan membangunkan galeri seni yang baharu ini. Khabarnya, dia membelanjakan hampir setengah juta ringgit untuk membina galeri impian itu di atas tanah milik sendiri.
Galeri yang gah dan tersergam indah di tengah-tengah kawasan perkampungan itu agak unik dan jelas menunjukkan sentuhan artistik seorang seniman dari segi reka bentuknya. Ruangnya luas, bumbungnya tinggi, ada dua tingkat, ruang pameran di atas dan juga di bawah dengan ruang selesa lagi santai untuk berdiskusi atau sambil minum kopi yang boleh dipesan dari kafe usaha anaknya bersebelahan bangunan galeri itu. Pendek kata, suasana artistik ada di sini!

Nama galeri ini, 2hun Studio Galeri adalah berdasarkan sistem perkiraan lama “hun” sebelum datangnya sistem metrik. Menurut Dr. Jamil Mat Isa dalam esei kuratorialnya, “Dua Hun Bukan Sekadar Ukuran,” sistem ini “menjadi amalan kelompok tukang tempatan.” Kaedah mengukur logam ini sudah tentu menjadi kebiasaan pemilik galeri ini kerana mencerminkan salah satu aspek daripada ciri-ciri disiplin kepakarannya.
Selain daripada itu, bunyi atau sebutannya agak unik, semacam ada elemen mainan kata-kata atau “pun.” Kalau disebut dalam Bahasa Inggeris,“2hun” itu menjadi kata sebutan“Two hun” atau “Tuhan.” Saya memberitahu Dr. Abu Bakar Sabran dan Alias Yussof, seniman dan mantan Profesor Madya Seni Reka Logam Halus di FSSR, UiTM, yang juga pemilik Keluli Studio, penganjur bersama pameran seni “Teroka” yang dilancarkan di galeri itu mengenai hal ini, dan mereka hanya tersenyum. Secara tersirat, nama galeri ini semacam membawa suatu makna atau memberi pesanan perihal seni dan segalanya berlaku dengan izin Tuhan.
Pameran seni berjudul “Teroka” yang dikuratorkan Dr. Jamil Mat Isa merupakan pameran sulung di 2hun Studio Galeri pada malam itu. Pameran tersebut sepatutnya dirasmikan oleh pelukis terkenal Rafiee Ghani, namun atas sebab-sebab tertentu dan urusan kecemasan, beliau terpaksa terbang ke luar negara. Sebagai ganti, saya telah diundang oleh pihak galeri untuk mengambil tempatnya sebagai perasmi.
Saya tidak menolak dan menganggap ini suatu penghormatan dan pengiktirafan lebih-lebih lagi pameran tersebut memperagakan karya-karya kenalan saya yang kesemuanya merupakan bekas pelajar atau alumni Fakulti Seni Lukis & Seni Reka UiTM. Ada antaranya bekas rakan sekerja, jiran dan tidak kurang juga bekas pelajar saya. Dalam bidang seni, mahupun bidang-bidang profesional yang lain, penghormatan yang diterima daripada rakan-rakan sendiri merupakan suatu bentuk pengiktirafan yang bermakna dan wajar dihargai.
Jika Rafiee Ghani ada untuk merasmikan pameran malam itu, sudah tentu dia dapat bercerita lebih luas mengenai kembara dan penerokaan seninya. Hal ini kerana beliau memang dikenali sebagai seorang pelukis dan seniman pengembara yang merantau ke serata pelosok dunia untuk menimba pengalaman dan inspirasi, terutamanya di benua Afrika seperti Morocco dan Tunisia.
Sebelum pameran“Teroka” dilancarkan pada jam 8.30 malam itu, telah berlangsung terlebih dahulu majlis perasmian galeri yang disempurnakan oleh Tuan Fiqrie Jusdean, Ketua Kampung Batu 13 yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran kampung itu dan beberapa kampung lain sekitarnya. Beliau teruja dengan pembukaan 2hun Studio Galeri dan berkeyakinan galeri itu akan menjadi hub seni yang memakmurkan kampung dengan penganjuran pelbagai aktiviti seni seperti pameran, bengkel dan forum terutamanya untuk golongan muda. Baginya, galeri tersebut bukan sahaja memajukan ekosistem seni setempat, malahan di negeri Selangor Darul Ehsan secara umumnya. Di samping pelukis, pensyarah dan pelajar seni serta penduduk setempat, turut hadir memberi sokongan malam itu ialah kolektor seni terkenal Encik Pakha Sulaiman dan isterinya Puan Emma.
Hal ini memang selaras dengan semangat seni di lokasi yang dipromosikan oleh Balai Seni Negara mutakhir ini, suatu usaha mendekatkan seni kepada masyarakat, memberi kefahaman dan mendidik mereka tentang keindahan, peranan dan kepentingan seni, serta mewujudkan pelbagai aktiviti setempat. Pembukaan 2hun Studio Galeri juga mengingatkan saya kepada beberapa lokasi lain yang diusahakan oleh seniman kelahiran AD UiTM yang mempunyai konsep hampir sama seperti PantauIraga Art Space milik Awang Damit Ahmad di Sijangkang dan Akal di Ulu oleh Juhari Said di Hulu Langat. Hal ini menunjukkan bahawa para seniman ini bukan sahaja meneroka seni melalui karya-karya mereka, tetapi juga meneroka dengan membuka lokasi-lokasi seni.
Pameran “Teroka” menampilkan 51 buah karya oleh 21 orang seniman yang kesemuanya merupakan alumni AD UiTM. Mereka terdiri daripada Abdul Hakkam Hafiz Abdain, Abu Bakar Sabran, Ahmad Fauzi Amir Hamzah, Alias Yussof, Azhar Ahmad, Badrulzzaman Abu, Jamil Mat Isa, Khairul Zikri Abdullah, Mohd Fauzi Sedon, Mohd Fazli Othman, Mohd Tajalli Abdullah, Mursyidah Zainal Abidin, Natasha Azim, Noriza Arzain, Nik Nor Azidah Nik Aziz, Nik Ridzuan Nik Yusoff, Ramlan Abdullah, Shaliza Juanna, Subri Ismail, Wan Samiati Andriana, dan Zainuddin Abidinhazir.

Apa yang menarik, semua seniman ini mengikuti pengajian asas seni lukis secara formal daripada disiplin yang berbeza, bukan kesemuanya daripada bidang Seni Halus, tetapi juga daripada bidang-bidang Seni Reka seperti Seni Logam Halus dan Fotografi. Sememangnya setelah menamatkan pengajian di peringkat diploma ataupun ijazah sarjana muda di ITM ataupun UiTM, mereka melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi di institusi-institusi lain, sama ada di dalam mahupun luar negara, tetapi semangat kebersamaan itu tetap kekal terjalin dengan subur sehingga memungkinkan mereka bersatu dan bergabung dalam satu pameran. Ini adalah salah satu keunikan bagi para alumni AD. Sebagaimana kata Alias Yussof, penganjur bersama, pameran ini juga bertujuan untuk mengumpulkan kawan-kawan lama.
Dalam konteks ini, “Teroka” yang dimaksudkan bukan semata-mata terbatas pada penerokaan bentuk dan rupa baharu, ataupun bahan, medium, gaya, teknik, kaedah mahupun pendekatan, tetapi penerokaan merentasi bidang dan disiplin. Mungkin ini juga semangat yang diwarisi daripada sekolah seni keramat AD ITM yang membentuk asas dalam kegiatan seni mereka.
Hal ini mungkin ada kaitan dengan struktur kurikulum AD yang ditubuhkan pada tahun 1967 bagi melahirkan graduan yang lengkap, sebagaimana tercermin dalam falsafah penubuhannya bahawa pendidikan yang seimbang dan harmonis melalui penerokaan seni dan penghayatan nilai Islam secara menyeluruh dan bersepadu akan dapat melahirkan insan yang berpengetahuan, berkemahiran, berbudaya, kreatif dan peka. Hal ini selaras dengan falsafah ITM bahawa bakat, minat dan kecenderungan individu jika dididik dan diasuh dengan sempurna secara terbuka dengan penerapan nilai Islam akan dapat melahirkan insan yang berguna untuk diri, masyarakat dan negara (Muliyadi Mahamood, Rupa dan Jiwa: Pelukis, Peristiwa dan Persepsi Seni, DBP, 2025: 250).
Teroka dalam seni atau eksplorasi seni membawa tafsiran yang luas, iaitu suatu proses mengembangkan kreativiti, membina keupayaan dan ketrampilan dan mencari gaya tersendiri melalui pelbagai percubaan atau eksperimentasi media, teknik dan konsep dalam suasana yang terbuka ataupun dalam konteks serta sumber ilham dan inspirasi tertentu. Teroka bukan semata-mata tertumpu kepada produk akhir, tetapi juga kepada proses mencari idea dan kaedah baharu dalam menterjemahkan mesej dan makna, kerana karya seni itu adalah suatu wadah komunikasi kreatif yang bersifat intelektual.
Menurut sejarawan seni Ernst Gombrich dalam Art and Illusion (1960), antara ciri-ciri penting dalam teroka atau eksplorasi seni termasuklah proses membuat dan menyesuaikan, pembetulan dan penambahbaikan, merujuk tradisi, serta mengambil kira reaksi penghayat. Teroka adalah suatu proses penyelidikan. Sebagaimana disebut oleh Dr. Jamil Mat Isa dalam esei kuratorialnya bahawa eksplorasi dan eksperimentasi seni itu berhubung dengan pendekatan penyelidikan yang berasaskan praktis studio, ataupun disebut “practice-based research.”
Teroka seni dalam konteks semasa dianggap lebih mencabar, lebih-lebih lagi dengan saingan teknologi digital dan teknologi kecerdasan buatan AI yang berupaya menghasilkan pelbagai bentuk, imejan, reka bentuk, muzik, pergerakan, kesan khas dan produk luar jangkaan. Namun begitu, sesebuah karya seni itu mementingkan gaya tersendiri, identiti, kepengarangan dan kejiwaan atau kerohanian yang tidak mampu dilunaskan oleh teknologi kecerdasan buatan, justeru itu, teroka dan ekspresi seni berasaskan gerak fizikal dan kerohanian, minda atau pemikiran masih relevan dan diperlukan oleh para seniman.
Karya-karya yang diperagakan dalam “Teroka” berbentuk catan, cetakan, arca dan fotografi dalam ukuran sederhana besar sesuai dengan ruang dan persekitaran galeri. Para pengkarya dalam pameran ini secara umumnya konsisten dalam menghasilkan karya, juateru itu khalayak mungkin dapat menghubungkan karya-karya yang mereka pamerkan dalam pameran ini dengan karya-karya yang pernah mereka lihat dalam pameran-pameran lain sebelum ini. Namun begitu, ini tidak bermakna mereka tidak membuat apa-apa penerokaan baharu, kerana penerolaan dan eksplorasi seni itu adalah suatu proses yang berterusan sifatnya.
Antara yang menarik perhatian ialah Alias Yussof menerusi karyanya yang berjudul “Ruang Waktu, ” akrilik atas kanvas, 90 x 90 cm, (2025). Melalui hantaran-hantaran dalam media sosial miliknya, terutamanya Instagram dan Facebook, khalayak boleh mengesan yang Alias sentiasa membuat penerokaan dan percubaan dalam kerja-kerja kreatifnya, tidak kira dalam reka bentuk produk, lakaran, catan, cetakan, dan arca, justeru menunjukkan sifatnya yang versatile dan sering mencari pembaharuan.

Fauzi Sedon menerusi karya berjudul “Sale,” campuran atas kanvas, 55 x 55 cm (2024) dan Jamil Mat Isa menerusi “Floating Blue,” cetakan mono atas kanvas, 91 x 91 cm (2023/24) merupakan dua seniman cetak yang sering kali berusaha membuat pembaharuan dalam disiplinnya, misalnya Jamil dalam konteks pameran ini, menerusi gabungan teknik cetak mono dengan disiplin seni catan, menerusi gaya pop atas kanvas. Karya-karya catan lain dalam pameran ini menimba inspirasi daripada alam semula jadi, alam binaan manusia, dan isu sosial di samping yang bersifat abstraksi lagi eksperimentasi, sebagaimana ditunjukkan oleh Abu Bakar Sabran, Azhar Ahmad, Badrulzzaman Abu, Mohd Fazli Othman, Natasha Azim, dan Noriza Arzain.
Karya foto montaj Nik Nor Azidah Nik Aziz “Vertical Stories,” foto montaj digital, 88 x 58 cm (2025) didominasi warna-warna segar pada struktur seni bina berlapis-lapis sebagaimana yang biasa dilihat di kawasan Mediteranean. Nik Ridzuan Nik Yusoff menerusi “Stone Series: Similarity #5 Praying Woman,” fotografi, 90 x 90 cm (2018) pula begitu cekap dan sensitif terhadap subjek alam semula jadi yang bersifat unik dan luar biasa. Itulah kepintaran mata dan lensa seorang juru foto, merakam momen dan imejan yang luar biasa, yang jarang dicerap oleh mata kasar khalayak.
Karya-karya seni arca dalam pameran ini dipersembahkan oleh pengarca ternama Ramlan Abdullah, Mohd Tajalli Abdullah, Abdul Hakkam Hafiz Abdain, Abu Bakar Sabran, Ahmad Fauzi Amir Hamzah, Shaliza Juanna, Subri Ismail, dan Zainuddin Abidinhazir. Arca Ramlan Abdullah “Motion in Stillness: Twind Wind,” keluli tahan karat, aluminium dan tembaga, 89 x 37.5 x 37.5 cm, (2023) dan “Gibli,” keluli tahan karat dan aluminium, 49 x 19 x 19 cm (2024) mencerminkan identiti dan gayanya yang konsisten menerusi penampilan kesan kegentingan dan keseimbangan pada bentukan dan keberatan, menterjemahkan pertemuan faktor-faktor sains, fizik dan falsafah kesenian Islam. Karya arca kayu jati oleh Tajalli Abdullah pula “Bujungan” 33 x 32 x 24 cm (2025) dan “Burungan” 33 x 27 x 15 cm (2025) menterjemahkan sifat-sifat konvensional arca yang menekankan perihal bentukan tiga dimensi, kepaduan, permukaan, ruang positif dan negatif, seperti yang kita temukan dalam arca-arca batu Henry Moore.

Berbeza daripada Tajalli dan Subri Ismail yang menekankan kepada kepaduan bentuk, karya-karya arca lain dalam pameran ini umumnya lebih bersifat konstruktif dan struktural, misalnya dalam karya Ahmad Fauzi Amir Hamzah, “Aturan,” besi , 71 x 51 x 61 cm, (2024) ataupun siri arca oleh Zainuddin Abindinhazir seperti “Genggam: Dalam Genggaman Kecil, Ada Dunia Ingin Dipeluk,” logam, 30 x 30cm (2025) yang menimba inspirasi dari alam semula jadi. Namun, yang paling berlainan daripada kesemua arca ini ialah karya arca lembut Shaliza Juanna berjudul “Victor” (2025) dan “Chester” (2019) yang bersifat seni pop, seperti arca-arca lembut Claes Oldenberg, yang bertentangan dengan sifat semula jadi yang seringkali dikaitkan dengan sebuah arca: padu, keras, kukuh dan menarik dari setiap sudut pandang 360 darjah.
Karya-karya seni cetak yang dihasilkan Mursyidah Zainal Abidin, Khairul Zikri Abdullah dan Wan Samiati Andriana merayakan teknik cetak konvensional yang mementingkan disiplin ketat dari segi edisi dan ketepatan proses serta hasilnya. Proses dan teroka dalam disiplin seni cetak sering kali menghasilkan rasa keterujaan di kalangan pengamalnya, lebih-lebih lagi ketika menyaksikan hasil akhir cetakan mereka yang dipisahkan daripada plat atau acuannya.
Secara umumnya, karya-karya dalam “Teroka” membawa tema yang berkaitan dengan alam, manusia, sosiobudaya, warisan, sains dan ketuhanan. Pengolahan karya pelbagai disiplin itu mencerminkan penerokaan, sentuhan kreativiti dan pemikiran yang terancang. Ini merupakan suatu proses teroka minda, rupa dan jiwa.
Jamil Mat Isa dalam memulakan esei kuratorialnya memetik definisi kata “teroka” dalam Kamus Dewan yang berbunyi: “meneroka: 1. membuka kawasan baru untuk dijadikan kampung (sawah, ladang), membuat sawah (ladang dll) di kawasan baharu.” Analogi definisi ini dengan kata “Teroka” dalam konteks pameran ini dapat dilihat dari dua sudut; pertama, perihal Dr. Abu Bakar Sabran yang membuka 2hun Studio Galeri di kawasan kampugnya bagi memperluaskan ekosistem seni setempat; dan keduanya, perihal teroka dan eksplorasi seni oleh para seniman yang berpameran dalam mencari kemungkinan-kemungkinan gaya dan identiti, teknik dan kaedah pengucapan, rupa dan jiwa baharu dalam kegiatan kesenimanan mereka.

Pada tahun 2027, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR/AD) UiTM akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-60, justeru itu, pembukaan 2hun Studio Galeri mencerminkan salah satu contoh semangat penerokaan yang tinggi di kalangan bekas pelajarnya sesuai dengan judul pameran sulungnya, “TEROKA.” Syabas dan tahniah kepada Dr Abu Bakar Sabran atas pembukaan 2hun Studio Galeri dan semua pelukis yang terlibat. Teruslah meneroka, kerana penerokaan itu suatu proses yang berterusan!
