ADA satu hal tentang hujan yang selalu membuat kita ingin diam. Kerana bila air jatuh ke tanah, dunia tiba-tiba menjadi perlahan. Bunyi menjadi dalam, udara jadi lembut, dan kita, entah bagaimana, jadi manusia semula.
Begitu juga dengan After Monsoon Project, satu acara seni yang tidak lahir dari jadual kementerian, atau dari wacana akademik yang berbelit-belit, sebaliknya ia dianjurkan demi keperluan untuk berhenti sebentar selepas hujan. Untuk memerhati semula apa yang tinggal. Untuk menegakkan semula makna di tanah yang sudah basah.
Tahun 2021, di Tumpat, Kelantan, ketika langit masih berat dengan sisa hujan monsun, sekumpulan seniman diketuai Azzaha Ibrahim, berkumpul dengan satu niat kecil iaitu untuk bercakap semula dengan tanah. Itulah kelahiran After Monsoon Project, sebuah program seni yang tidak bermegah dengan pentas besar, tetapi punya jiwa yang pekat dengan tanah dan garam laut.
Tahun 2023, mereka kembali dengan After Monsoon 02, Gastronomy of Langkasuka, juga di Tumpat.
Kali ini, selepas dua tahun, mereka bukan sekadar melukis atau mempamerkan objek malah mereka memasak, menanam, mengingat, dan berkongsi makanan sebagai bahasa. Seni mereka bukan tentang benda, sebaliknya ia tentang rasa. Itu yang membuat After Monsoon berbeza, ia hidup, bernafas, dan berbau tanah.
Tahun ini, After Monsoon Project masuk ke edisi ketiganya.
Dinamakan Tera-Kota (Tanah, Tubuh, Tapak), ia berlangsung dari 24 hingga 30 Oktober 2025 di Pantai Pulau Kundur, Kota Bharu, Kelantan, sebuah pulau kecil yang jauh dari riuh kota, tapi cukup luas untuk menampung semua yang mereka bawa. Tubuh, jiwa, dan tanah.
Tera-Kota bukan sekadar mainan bunyi. Ia mengingatkan kita pada terracotta iaitu tanah liat yang dibakar hingga jadi keras. Tapi di tangan para seniman ini, ‘tera’ bukan tentang membakar tanah, tapi membakar diri. Membakar ego, membakar bekuan yang menghalang kita dari merasai semula dunia.
Di situ, di tepi laut, di antara pasir lembap dan ombak kecil yang malas, 14 seniman dari Malaysia dan Patani datang berkumpul.
Selain Azzaha, seniman lain yang turut bersama adalah Edroger Rosili, E-Suwan Chali, Faizal Suhif, Fazreen Sukri, Haris Abadi, Hawari Berahim, Jehabulloh JehSorhoh, Korakot Sangnoy, Muhammadsuriyeemasu, Muhammadtoha HajiYusof, Nizar Sulaiman, Rizal Salleh, dan Suhaidi Razi.
Mereka datang bukan dengan set kamera atau lampu, tapi dengan tangan yang kotor dan fikiran yang basah. Dan itulah keindahannya.
Tiga perkataan ini, tanah, tubuh dan tapak kedengaran mudah. Tapi cuba duduk diam, pandang bumi bawah kaki, dan kita akan tahu betapa besarnya tiga kata ini. Tanah, tempat kita mula dan berakhir. Ia penyimpan semua rahsia, semua doa yang pernah kita tanam. Tubuh, alat yang menggerakkan niat, kadangkala menyimpan luka. Tapak, ruang di mana keduanya bertemu. Tempat kita berpijak, dan tempat seni menemukan maknanya.
Di Pulau Kundur, mereka bermain dengan unsur-unsur ini. Ada yang menggali tanah untuk menanam memori, ada yang membakar tanah menjadi bentuk, ada yang biar tanah itu sendiri bercakap dengan retaknya.
Tentu ada yang menggunakan lumpur sebagai bahasa, pasir sebagai kanvas, dan bayu laut sebagai suara latar.Dan di situ, seni menjadi bukan sesuatu yang kita lihat, tapi sesuatu yang kita alami.
Di antara nama-nama yang hadir, Azzaha berdiri sebagai saksi bahawa tradisi dan kontemporari boleh duduk semeja tanpa saling menelan. Dia – dengan siri Batik Chop Naga-nya – telah lama mengangkat batik dari sekadar kain menjadi naratif budaya yang hidup. Di tangan Azzaha, cap bukan sekadar hiasan. Ia adalah cap masa, cap jiwa, cap tanah.
Dalam Tera-Kota, dia membawa semangat yang sama, menjadikan batik sebagai cara untuk berbicara dengan bumi. Dia mengangkat lumpur dan air, menekan warna, dan biarkan bentuknya hidup sendiri.
Mungkin bila kita memegang tanah,kita juga sedang memegang masa.Dan mungkin itulah inti After Monsoon,mencari semula masa yang kita hilang dalam kelam modeniti.
Dari Patani, datang nama-nama yang membawa luka dan harapan. Jehabulloh JehSorhoh, Korakot Sangnoy, Muhammadsuriyeemasu. Mereka datang bukan hanya sebagai pelukis, tapi sebagai penjaga cerita. Mereka membawa bersama sejarah yang tidak ditulis dalam buku teks, tapi dalam darah dan air mata. Di Pulau Kundur, mereka menemui saudara yang sama tanah, sama laut, sama bahasa jiwa.
Selepas ribut, tanah mungkin akan retak. Dari retak itu akan tumbuh rerumput yang baru. Dan mungkin itulah sebenarnya sebab After Monsoon diwujudkan. Untuk menumbuhkan sesuatu yang baru.
Kita selalu lupa bahawa seni tidak lahir dari tenang.Ia lahir dari kekusutan, dari ribut yang tidak berhenti di luar, tapi juga di dalam. After Monsoon memahami hal itu. Ia tidak datang untuk memperlihatkan keindahan semata-mata, tapi untuk menelanjangkan proses yang kotor, lembap, melekit, dan jujur.
Mereka tidak bersembunyi di studio atau galeri. Mereka keluar ke tanah, di mana setiap langkah disambut oleh bunyi pasir dan ombak. Di situ, seni tidak dipamerkan malah ia dibiarkan hidup. Siapa yang datang, datang bukan untuk menonton, tapi untuk menyertai.
Setiap kali Malaysia dan Patani bertemu dalam ruang seni, ada sesuatu yang bergetar. Bukan hanya budaya yang dikongsi, tapi perasaan yang difahami tanpa perlu diterjemah. After Monsoon menjadi jambatan halus antara dua wilayah yang terpisah oleh garis politik tapi masih bersaudara di bawah langit yang sama.
Ia juga menjadi peringatan bahawa seni, bila jujur, boleh menjadi bahasa diplomasi paling lembut di dunia.
Di belakang projek ini, ada tangan-tangan yang percaya bahawa seni adalah sebahagian dari kehidupan, bukan sekadar hiburan.
After Monsoon digerakkan bersama oleh Balai Seni Negara, dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta jaringan serantau seperti Patani Artspace, Batik Chop Naga, dan Kotak Seni.
Menarik jika projek ini juga turut menerima dukungan dari Kerajaan Negeri Kelantan, Kerana di saat banyak festival seni berlari ke arah glamour dan komersial, After Monsoon memilih jalan sebaliknya yakni kembali ke tanah. Ia tidak mencari bilangan pengunjung, tidak memuja jumlah tontonan di media sosial. Ia cuma mahu mencipta ruang di mana manusia boleh bernafas semula.
Di dunia yang terlalu cepat, After Monsoon meminta kita melambat. Bukan untuk mundur, tapi untuk ingat. Untuk tidak melupakan dari mana kita datang, dan ke mana akhirnya kita akan pulang. Cuma sedikit melukakan, dari semangat yang cuba dibangkitkan, penganjur masih tidak yakin dengan bahasa ibunda sendiri dengan menamakan acara ini dengan After Monsoon.
