Saya nak berkongsi beberapa slanga yang saya belajar di sekolah dulu. Ia boleh jadi keunikan pertuturan seorang manusia spesifik, atau sekelompok pelajar, atau trend yang menaikkan darjat seorang budak Air Mawang di SMK Datuk Undang Abdul Manap.
Pertama, mas-eh-skang. Ini spesifik untuk seorang kawan saya, Ijat, yang akan potong percakapan seseorang untuk beritahu, ada masalah yang sedang berlaku. Sebenarnya, dia nak sebut masalah eh sekarang tapi sebab dia sebut laju sangat, bunyinya jadi mas-eh-skang.
Contoh dialog: “Tak kiro, den nak jugak kek Munirah tu!” “Mas-eh-skang, dio tak nak kek kau!”
Kedua, sebona-bona-eh. Kalau diterjemah ke bahasa standard, jadi sebenar-benarnya.
Sebona-bona-eh akan diguna pelajar sekolah saya untuk menekankan kebenaran sesuatu perkara. Contoh ayat: “Sebona-bona-eh, Netanyahu dah mati. Video dio tu semuo AI.”
Ketiga, ah tontulah! Lebih tepat, ah toontuuulah! Terjemahannya: tentulah. Ini untuk beritahu orang, kita memang mahukan satu-satu perkara itu.
Contoh ayat: “Nak gi makan ko?” “Ah toontuuulah!”
Contoh ayat (ii): “Kau bia boto nak ponteng?” “Ah toontuuulah!”
Contoh ayat (iii): “Nak SKL strawberi?” “Ah toontuuulah!”
Seingat saya, ada seorang pelajar yang popularkan penggunaan “ah tontulah!” ini di sekolah tapi saya dah lupa siapa dia. Yang pasti, dio budak Mawang.
Pengumuman 54 artis
Berbaloi perjalanan sampai ke Ampang di tengah hari puasa untuk menghadiri sidang media Festival Soundcircus. Sampai saja di The Campus, Ampang, saya mendaftar dan terus diberi sebuah bagasi kecil.
Bukan tote bag. Bukan beg kertas. Bukan fail interview. Dia bagi bagasi.
Di dalamnya ada minuman tenaga, pencuci muka dan deodoran Kahf, kereta Hot Wheels dan bermacam lagi. Saya bagi minuman tenaga itu pada pemandu Grab yang tidak beragama Islam dalam perjalanan pulang. Barang Kahf saya simpan.
Tapi itu bukanlah penting sangat. Lebih penting lagi, dalam sidang media itu, Art of Speed mengumumkan 34 lagi artis yang akan beraksi dalam Festival Soundcircus pada 1 dan 2 Ogos ini di MAEPS, Serdang.
Ini pengumuman fasa kedua. Fasa pertama dah ada 20 artis. Fasa ketiga akan ada sedikit lagi tambahan, menjadikan jumlah keseluruhannya lebih kurang 60 artis.

Sebona-bona-eh, saya dah perasan lama yang Soundcircus mahu buat kelainan dalam edisi kali ini. Beberapa bulan lepas, selepas buat rombongan ke Synchronize Festival di Jakarta, Indonesia, akaun Threads Art Of Speed banyak berborak tentang kelainan yang boleh dibawa dalam festival muzik di Malaysia.
Dalam tempoh itu, idea untuk menampilkan pelbagai pentas dalam Soundcircus muncul. Mereka minta pendapat warganet, berbincang dengan pasukan dan akhirnya, idea itu akan direalisasi.
Pergi festival luar negara kemudian bawa ideanya ke festival tempatan, adakah ini baik? Ah tontulah! Kalau awak pergi dan pulang dengan keseronokan, itu sudah bagus. Tapi skalanya peribadi. Apa yang pasukan Art Of Speed buat berskala komuniti dan masyarakat.
Pastilah ini bukan pertama kali idea pelbagai pentas dibuat di Malaysia. Ramai dah buat. Tapi, sebona-bona-eh, lagi ramai buat lagi bagus.
Eksperimen kelainan
Secara keseluruhannya, ada enam pentas yang akan menyajikan persembahan muzik dalam Festival Soundcircus 2026, yang kesemuanya membawa kurasi berbeza.
Lebih menarik, satu lagi inspirasi yang diambil dari festival muzik luar ialah persembahan berkonsep yang eksklusif untuk festival ini.
Contohnya, Jemson akan bergabung dengan Def Gab C untuk persembahan yang dinamakan Legends X Renegades. Couple akan beraksi bersama Adnan Othman untuk set Power Pop Yeah Yeah.

Ada beberapa lagi set istimewa sebegini, menjadikan Festival Soundcircus lebih eksklusif dan tersendiri.
Mas-eh-skang, ada ke orang nak datang?
Di sini Soundcircus akan menjadi kertas litmus untuk menguji kehendak peminat muzik di Malaysia. Mungkin pada percubaan pertama, hasilnya belum konklusif tapi kita boleh nilai, adakah konsep sebegini sesuai untuk komuniti muzik Malaysia?
Dalam tempoh beberapa tahun ini, peminat muzik, khususnya pembeli tiket konsert sudah selesa dengan kelaziman. Mereka cenderung hadir ke konsert yang lagu-lagunya sudah diketahui. Jika artis membawa set lagu yang kurang popular, akan ada merungut di media sosial.
Sebab itu acara sadur lagu jadi popular. Sebab itu konsert yang seakan sesi karaoke pun boleh laku teruk.
Pengunjung konsert tidak menganggap penerokaan dan persembahan unik sebagai sesuatu yang mengujakan. Ini situasi yang sedang berlaku, baik atau buruk anda nilai sendiri.
Tapi Soundcircus cuba membawa kelainan. Pastilah persembahan Jemson dan Def Gab C nanti akan berbeza, tak seperti konsert-konsert lazim mereka. Ada yang kenal Jemson tapi kurang kenal Def Gab C akan hadir, juga vice versa.

Laga Ratu Rock, ruang untuk yang kecil
Pengarah festival itu, Asep Ahmad Iskandar menganggap kelainan sebagai tiang utama penganjuran Soundcircus. Ini kali ke-10 Soundcircus dianjurkan, dan selepas dua tahun dibuat secara indoor, mereka kembali menganjurkannya secara outdoor.
Kelainan adalah kemestian. Sebab itu, apabila kugiran rock Indonesia, Cokelat bersetuju untuk beraksi, mereka menyusun konsep yang berbeza dengan menggabungkan Cokelat dengan Ratu Rock negara, Ella.
“Kami nak cuba sesuatu yang berbeza. Kami juga beruntung sebab kawan dalam komuniti motosikal dan kereta, ada suami kepada Kikan (vokalis Cokelat). Kami bersembang dan dia cadangkan comeback Cokelat di Malaysia.
“Tapi, saya tanya, boleh tak comeback dengan sesuatu yang berbeza? Mereka cadangkan Ella, Kikan sendiri pun rapat dengan Ella dan pengurusan Ella pun setuju, sebab itu ada gabungan dua legenda itu,” kata Asep.

Bagi Asep juga, ruang acara tersebut di MAEPS, Serdang sangat luas, membolehkan mereka menyusun lebih banyak pentas dengan zon-zon yang strategik. Dengan pentas sebanyak itu, lebih banyak peluang dapat diberikan kepada bakat tempatan untuk beraksi.
Untuk kurasi bakat tempatan, tanggungjawab itu diserahkan kepada generasi muda. Salah seorang ahli pasukan Art of Speed, Baling, yang sudah berada dalam komuniti muzik independen lama diberi kepercayaan untuk memilih artis-artis yang sesuai untuk setiap pentas.
Menurut Baling, pengalaman menghadiri banyak festival sebelum ini membolehkan dia menyusun persembahan mengikut kehendak pengunjung.
“Kebanyakan festival tak membariskan artis dalam genre yang sama semata-mata. Untuk buat pilihan, saya banyak pergi gig-gig kecil untuk kenal pelbagai kugiran. Saya akan balik dan buat penilaian dengan pasukan,” kongsinya.
Menguji zaman
Ah tontulah seronok melihat penganjuran festival yang bersemangat mahu tampilkan kelainan. Pilihan artis yang membarisi festival ini juga seimbang untuk menonjolkan kepelbagaian tempatan dan menarik pengunjung dengan penampilan artis luar.
Mas-eh-skang, kelainan dalam zaman pekat algoritma boleh jadi tembok. Ia menyekat keinginan mengangkat seni kerana sukar menarik minat ramai.
Atau zaman itu sudah berlalu? Tahun ini orang semakin teruja dengan teknologi analog. Peminat muzik sudah disuap dengan kelaziman bertahun-tahun, mungkin mereka mahukan sesuatu yang baharu?
Mungkin kali ini, kelainan dilihat eksotik lalu beramai-ramai manusia mahu menikmatinya, seterusnya menjadikan Festival Soundcircus sebagai sebuah eksperimen yang berjaya. Siapa tahu?
Secara peribadi, sebona-bona-eh, saya mahu peminat muzik Malaysia kembali menikmati kelainan. Kembali merangkul nikmat menjadi alternatif.
Sebona-bona-eh, saya mahu Festival Soundcircus berjaya.
Tak kira apa hasilnya nanti, dengan keberanian menampilkan kelainan itu, kita dah boleh bangun dan tepuk tangan untuk Art Of Speed dan Soundcircus.
Semoga jalan ini turut diambil penganjur festival muzik lain di Malaysia. Amin.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan Muzik dan lain lain hal berkaitan dunia Kontemporari & Subbudaya. Gonzo Tanpa Fiasco, Veritas, Bual Bual Mustahak, Buku Hijau, Tatal & ANGH merupakan buku tulisan beliau.
