SAYA mungkin sedikit terlambat melayani kekecohan debat di media sosial tentang satu portal yang telah begitu ‘palatau’ melabelkan satu senarai pendek filem Malaysia sebagai ‘art berat’. Istilah ini, walaupun sering digunakan untuk menggambarkan filem yang dikatakan ‘sukar dihadam’, sebenarnya memerlukan pembacaan yang lebih luas dalam konteks global. Sebab itu, bila kita bercakap tentang filem yang dikategorikan sebagai art house, experimental film, indie film, atau gerakan new wave, kita sedang berbincang tentang sebuah dunia sinema yang jauh lebih kompleks daripada sekadar label ‘berat’. Semua istilah ini, walaupun berbeza dari segi konteks dan asal usulnya, turut mencerminkan usaha pembikin filem untuk menerobos batasan konvensi dan menuntut penonton untuk merenung serta menafsir dengan cara yang lebih mendalam.
Istilah art berat seringkali diibaratkan sebagai satu label yang terlalu menyederhanakan kekayaan naratif dan visual sesuatu karya. Apa sebenarnya dimaksudkan dengan filem art berat ni? Jika kita mengimbas kembali sejarah sinema, jelas bahawa label seperti art house telah digunakan untuk menggambarkan filem yang mengutamakan estetika, simbolisme, dan eksperimen naratif iaitu satu pendekatan yang memberi ruang kepada pembikin untuk menyuarakan pandangan mereka tanpa semestinya terikat kepada tuntutan komersial. Di peringkat antarabangsa, karya-karya seperti filem-filem Ingmar Bergman, David Lynch, Jean Luc Godard, Michelangelo Antonioni atau Christopher Nolan (sekadar menyebut beberapa nama) sering kali disebut sebagai contoh art house yang berpengaruh, walaupun bagi sesetengah penonton mereka pula kelihatan terlalu berat kerana memerlukan kepekaan dan pemahaman mendalam terhadap tema, watak kompleks, slower pacing, estetik ‘pekat’ dan lapisan penceritaan yang tersirat serta berselirat.
Jadi, siapa sahaja yang larat bertahan dengan filem-filem art house ini? Tentunya mereka adalah dikalangan pentaksub sinema (cinephile) dan peneliti sinema, dimana kematangan penontonannya telah diasah sedemikian rupa dengan skop filem yang cukup meluas dan melampaui batas. Bahkan saya percaya, mereka sendiri tidak akan mampu untuk menyenarai- pendekkan filem yang dikira ‘berat’ pada mereka. Dan sebaliknya begitu pula beberapa filem dari pengarah seperti Wes Anderson, Luca Guadagnino dan Guillermo Del Toro yang pada sesetengah orang mungkin berat, tetapi sebenarnya masih secara relatifnya berlegar pada ciri-ciri mainstream dan menyantuni keperluan komersial. Jadi, di mana kita letakkan garis pemisah antara ‘seni’ dan ‘berat’?
Tidak dapat dinafikan bahawa di pelusuk dunia sinema, istilah seperti experimental film atau avant-garde cinema telah lama digunakan untuk merujuk kepada karya-karya yang sengaja memecah tradisi penceritaan konvensional. Contohnya, karya-karya seperti Meshes of the Afternoon (1943) oleh Maya Deren dan Alexandr Hackenshmied atau eksperimen-eksperimen dari para pembikin seperti Stan Brakhage dan Kenneth Anger, menawarkan satu pendekatan yang jauh lebih bebas, breaking the rules dan crossing limit. Pendekatan seperti ini, jika dibandingkan dengan filem Songlap (2011) yang dilabel ‘art berat’ oleh palatau-palatau di Malaysia, memberikan kita perspektif yang lebih global tentang bagaimana filem boleh dijadikan medium untuk penerokaan kreatif yang tidak terikat kepada norma mainstream.
Istilah indie film pula merujuk kepada filem-filem yang dihasilkan di luar sistem perindustrian besar. Di negara-negara Barat, khususnya di Amerika Syarikat, munculnya gerakan indie pada tahun 1990-an membawa kepada pembentukan karya-karya yang berani menampilkan tema-tema yang jarang disentuh oleh filem komersial. Sementara itu, gerakan New Wave yang bermula di Perancis pada tahun 1960-an pula menekankan pembaharuan dalam teknik penceritaan, pemotongan naratif yang inovatif, dan penolakan terhadap struktur filem klasik. Kedua-dua istilah ini seolah-olah memberi ruang kepada pembikin filem untuk bereksperimen dengan idea-idea baru tanpa perlu risau akan penerimaan pasaran yang besar, sekaligus mencabar penonton untuk melihat dunia melalui lensa yang lebih kritikal.
Pengalaman Peribadi dengan Sinema New Wave Hong Kong
Pengalaman menonton Little Cheung (1999) arahan Fruit Chan dan July Rhapsody (2002) oleh Ann Hui baru-baru ini di dua sesi tayangan filem di Shah Alam membuka perspektif baharu dalam pemahaman saya tentang sinema Hong Kong. Gerakan New Wave Hong Kong, yang muncul pada penghujung tahun 1970-an, lahir sebagai reaksi terhadap industri filem komersial yang stereotaip. Pengarah seperti Fruit Chan, Ann Hui, Patrick Tam, dan Tsui Hark membawa naratif yang lebih realistik dan intim, menolak konvensi demi menyampaikan kisah dengan kedalaman emosi serta konteks budaya yang lebih kaya.
Berbeza dengan filem aksi Hong Kong yang sering mendominasi skrin Malaysia, New Wave memberi ruang kepada penceritaan yang lebih personal dan reflektif. Little Cheung menangkap denyut kehidupan kota dengan sensitiviti yang halus, manakala July Rhapsody menggali konflik dalaman dengan penuh emosi. Sinema, seperti yang saya alami melalui karya-karya New Wave Hong Kong ini, adalah perjalanan mendalam yang mengajak kita untuk menilai setiap lapisan cerita—bukan sekadar ‘berat’ atau ‘ringan’- tetapi sejauh mana ia mampu menyentuh dan menghubungkan kita dengan dunia.
Refleksi Terhadap Sinema Malaysia
Penyertaan empat filem Malaysia di festival antarabangsa seperti International Film Festival Rotterdam sekarang ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi bukti keberanian penceritaan tempatan dan meletakkan sinema Malaysia di pentas global. Ia membuktikan bahawa karya tempatan mampu berdiri setanding dengan produksi antarabangsa. Pertanyaan ‘adakah filem ini art berat?’ harus digantikan dengan apresiasi terhadap estetika mendalam, inovasi penceritaan, dan keberanian meneroka tema baharu. Sinema bukan sekadar hiburan, tetapi medium untuk menyuarakan realiti, menghubungkan budaya, dan meruntuhkan stereotaip yang membelenggu naratif kita.
Sebagaimana gerakan indie film dan New Wave yang mengutamakan penerokaan makna serta identiti budaya, pembikin filem tempatan juga perlu diraikan kerana keberanian mereka mencabar konvensi. Label “art berat” seharusnya digantikan dengan dialog yang lebih terbuka dan inklusif—satu wacana yang menghargai pelbagai pendekatan naratif tanpa dibatasi kategori sempit.
Menuju Pemahaman yang Lebih Matang
Sinema Malaysia kini berada di persimpangan penting-bukan sekadar bergelut dengan label yang sering menyederhanakan nilai sesebuah karya, tetapi juga perlu membuka ruang dialog yang lebih mendalam mengenai istilah seperti art house, experimental film, indie film, dan New Wave. Setiap istilah ini memperkayakan dunia penceritaan dan menegaskan bahawa nilai seni filem tidak boleh dinilai semata-mata sebagai ‘berat’ atau ‘ringan’.
Sinema Malaysia adalah cerminan masyarakatnya yang pelbagai serta platform dialog budaya yang merentas sempadan. Filem-filem ini menuntut penonton dan pengkritik untuk melihat sinema dengan lebih mendalam, menilai bukan sekadar ‘berat’ atau ‘ringan’, tetapi berdasarkan keupayaannya meneroka naratif baharu, mencabar norma, dan menghubungkan pengalaman tempatan dengan persoalan universal. Inilah yang menjadikan sinema Malaysia lebih daripada sekadar medium penceritaan-ia adalah suara, jiwa, dan identiti sebuah bangsa yang kaya dengan kepelbagaian.
Lebih penting, persoalan sebenar bukanlah sama ada sesebuah filem itu sukar dihadam, tetapi bagaimana ia menyumbang kepada landskap sinema yang lebih luas. Filem bukan sekadar hiburan, tetapi ruang wacana yang menghubungkan budaya tempatan dengan persoalan global. Jika kita terus terperangkap dalam label seperti filem art berat, kita mungkin terlepas peluang menyaksikan sinema Malaysia berkembang sebagai medan ekspresi yang berani dan autentik.
Malaysia kini berada di persimpangan kritikal, bukan sekadar bergelut dengan label yang menyempitkan nilai seni, tetapi juga harus menangani pengulas filem ‘bidan terjun’ yang palatau dan semberono. Dengan mudahnya mereka membaling istilah art berat, seolah-olah filem itu semudah dilabelkan berat dan ringan sahaja. Padahal, istilah seperti art house, experimental film, indie film, dan New Wave sebenarnya memperkayakan dunia penceritaan, menunjukkan bahawa seni filem tak boleh diukur hanya dari segi ‘berat’ atau ‘ringan’. Tiada masalah untuk mengulas, tetapi tak perlu sampai melabel-label seperti badan akreditasi. Label melabel itu sekiranya tak berhati-hati, akan mengelirukan menunjukkan kedangkalan kita sahaja.
Sinema Malaysia, cerminan masyarakat yang pelbagai, sepatutnya menjadi ruang dialog budaya yang lebih terbuka. Filem perlu dinilai bukan berdasarkan label cetek, tetapi sejauh mana ia meneroka naratif baru, mencabar norma usang, dan menghubungkan pengalaman tempatan dengan persoalan global. Jadi, bukankah sudah tiba masanya kita tinggalkan mentaliti dangkal itu? Mari kita buka minda, hargai kreativiti, dan beri ruang kepada karya-karya yang berani melangkaui kebiasaan, kerana sinema kita lebih daripada sekadar hiburan; ia adalah suara dan jiwa bangsa.

