SEBAGAI pelukis tegar, bacaan saya perihal arca amat meleset begitu juga minat saya yang amat sedikit. Sebab itu pameran Arca Samudera oleh Rafiee Ghani begitu mengusik kota rasa saya sebagai pencatan.
Bacaan saya tentunya bercampur baur malah dirundung resah cuba berdamai antara cemburu dan keliru. Ini kerana tumpuan saya terkerah kepada bongkah-bongkah kayu yang tercegat bisu di merata ruang lantai Galeri Puteh seperti menunggu dibelai penuh kasih sambil diusap dań digilap.
Semalam, saya tidak ada pilihan selain dari berdepan dengan bongkah-bongkah Mahagoni, Cengal dan Sentang dalam usaha mencari bukan makna tetapi sahsiah asal usul.
Apakah arca-arca ini digodek Rafiee dari muntahan catan seperti muntah Jin Afrit yang dijerut dek Si Badang akan janggutnya? Muntahan sakti itu lalu menjadikan Rafiee pengarca perkasa yang tiba-tiba boleh melapah, menempah, mengupas dan mengilas segala bongkah dan pelepah.
Pada arca-arcanya terdapat warna-warna ranum yang tumpah dari dinding catan mengalir ke celah-celah alunan awan larat yang dikorek dan ditebuk lantainya. Akhirnya ada yang berdiri tercegat seperti tiang totem, melukut kaku seperti batu, mengiring terbaring, melingkar menjalar malah ada yang sergam tersembam.
Semua bongkah arca-arca kayu ini dihias dan dibilas oleh Rafiee untuk menyerlahkan sifat bahan yang bukan sekadar permukaan tetapi pernyataan. Begitu jauh sekali rupanya dari lawatan pertama saya ke studio ‘out-door’ beliau 3 tahun lepas yang membuat tidur saya tidak aman.
Saya masih teringat tulisan saya berbunyi:
‘Today I had taken a visit to his yard and quickly found myself transfixed by series of crudely carved logs scattered around his makeshift wood workshop. I was simultaneously envious & appalled; the urge to quickly reinvent my artistic practice beckoning me.These inchoate forms had been so filled with heart, so honest in their primitive rawness yet deeply filled with vitality’.
Bagi saya Rafiee tetap seorang pencatan berpengalaman yang mampu memberi badan kepada catan-catannya. Badan-badan itu lantas dikupas, ditual dan dikerat penuh kederat membentuk jasad-jasad mujarad yang mempunyai sejarah dan sifat.
Dan jasad-jasad ini walau kaku, ianya bukan sekadar inersia pasif tetapi ternyata punyai sifat dan kehidupannya sendiri yang tentunya terkuis dek kebergantungan kepada tahap pengalaman visual kita untuk ia bernafas.
Saya tidak rasa Rafiee bercita-cita menjadi pengarca (walau perkakas alatan arcanya begitu lumayan) kerana urat-sarafnya catannya tersimpul rapi dalam jalinan kanvas walaupun kulitnya sekeras Jati dan Mahagoni.
Akhirnya saya dengan tabah cuba mendamaikan keriuhan dinding dengan kesepian lantai dalam mengharungi badai Samudera di Galeri Puteh semalam (Sabtu:13 Jan 2024) dan ternyata Rafiee adalah nakhoda pengembara yang jauh berpengalaman mengemudi antara dua benua estetik dan mistik.
Tahniah atas keberanian tuan meneroka keluasan daerah praktik pelukis dengan penuh kesungguhan dan tanggung jawab. Usaha ini tentunya menjadi pendorong bukan saja kepada seniman generasi baru tetapi pertumbuhan ilmu dan minda artistik secara keseluruhan.
Insha-Allah.
**********************************
Tulisan ini disiarkan pertama kali di Facebook Dr Jalaini Abu Hassan dan disiar kembali di portal Senimalaya dengan keizinan beliau. Ia adalah pandangan peribadi penulis.
