Judul: Rintisan
Pengarang: Ali Haji Ahmad
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
TAHUN 1964, melalui Siri Sastera DBP Bilangan 20, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan sebuah antologi yang memuatkan 16 cerita pendek hasil karya 10 pengarang.
Antologi berjudul “Rintisan” ini memuatkan cerpen-cerpen sebelum perang dunia kedua, dikaji dan disusun oleh Ali Haji Ahmad, B.A. (Honours) selaku Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu.
Selaku pengkaji dan penyusun, Ali Haji Ahmad menyatakan dapatan kajiannya bahawa sejarah cerita pendek Melayu di Malaysia (Malaya) bermula kira-kira pada tahun 1925 dan majalah yang pertama kali menyiarkan karya genre ini adalah “Majalah Guru”.
Membuktikan itu, beliau memuatkan cerita “Perusahaan Yang Berpadan Buatlah Tauladan” yang diakui beliau sebagai cerita pertama yang disiarkan di dalam majalah tersebut. Tetapi malangnya nama pengarang cerpen tersebut tidak dicatat atau tidak dinyatakan.
Sebagai pengkaji, beliau mengakui cerita-cerita tersebut walaupun pun belum mempunyai sifat-sifat yang selayaknya mengikut pengertian cerpen masa kini, namun sudah dapat dikatakan sebagai cerita pendek juga.
Walaupun diakui beliau “Majalah Guru” merupakan perintis pertama yang menyiarkan cerita pada tahun 1925, namun majalah ini bagi beliau tidaklah pula memainkan peranan penting dalam perkembangan cerita pendek Melayu di Malaya ketika itu. Sebaliknya, majalah “Warta Jenaka”, “Warta Ahad” dan “Utusan Zaman” yang memainkan peranan besar dan penting ketika itu.

Menurut pengkajiannya, cerita-cerita pendek itu ditulis oleh pengarang Melayu ketika itu yang kebanyakan menulis secara sambilan sahaja.
Masing-masing hanya mengarang beberapa buah cerita pendek, secara “main-main” bila ada kesempatan atau bila tergerak hati oleh sesuatu perasaan untuk menulisnya.
Hal ini memberi kesan besar kepada sifat dan nilai cerita-cerita pendek yang dihasilkan mereka ketika itu.
Kecuali pengarang Haji Abdul Rahim Kajai dan Ishak Haji Muhammad. Mereka menghasilkan cerita pendek dalam jumlah yang banyak, jika dibandingkan dengan pengarang-pengarang yang lain ketika itu.
Kajian Ali Haji Ahmad mendapati Kajai menghasilkan kira-kira 48 buah cerita pendek di Warta Jenaka, Utusan Zaman dan Mastika dan Ishak Haji Muhammad pula menghasilkan kira-kira 23 buah cerita pendek di Warta Jenaka, Warta Ahad dan Utusan Zaman semasa sebelum perang dan selepas perang Ishak pun tetap terus menulis.
Keprolifikan Kajai dan Ishak ini juga dapat dihubungkaitkan dengan kedudukan mereka sebagai sidang pengarang (editorial) majalah-majalah tersebut semasa mereka bekerja dalam jabatan pengarangnуа.
Selain Kajai, Ishak Haji Muhammad dan Syed Sheikh Al-Hadi bertugas sebagai sidang pengarang majalah atau wartawan, kebanyakan pengarang cerita pendek ketika itu terdiri daripada guru-guru yang kebanyakannya berpendidikan Melayu atau Arab. Kalangan ini, kurang memperhatikan persoalan seni atau penukangan karya dan apa yang dipentingkan adalah tujuan-tujuan tertentu yang dapat dijadikan pengajaran dan tauladan kepada para pembaca cerita mereka.
Secara umumnya, menurut kajian dan pengamatan Ali Haji Ahmad, isi dan latar belakang cerita pendek itu ialah tentang masyarakat Melayu di masa itu. Persoalan, masalah dan kejadian-kejadian yang dihadapi oleh masyarakat Melayu ketika itu dijalin oleh pengarang dalam cerita-cerita pendek mereka seperti: persoalan akhlak, pengaruh pendidikan Barat, pengaruh pergaulan bebas, pengaruh hiburan moden, masalah kemunduran Melayu dan kemungkinan tenggelamnya mereka di tanah airnya sendiri, kejadian politik dan sebagainya.
Semua cerita pendek itu boleh dikatakan menggunakan kejadian percintaan lelaki-perempuan, terutamanya antara teruna dengan gadis, sebagai dasar atau landasan ceritanya. Di atas landasan kejadian percintaan lelaki-perempuan inilah berputarnya cerita-cerita mereka; dan melaluinya jugalah disalurkan pelbagai pengajaran dan cita-cita pengarang ketika itu.
Pengajaran dan ajaran yang ditekan oleh pengarang adalah mengenai akhlak peribadi, rajin berusaha, kebersihan dan kemajuan bangsa.
Lantaran itu, makna dan maksud cerita-cerita pendek mereka itu mudah untuk difahami. Tiada persoalan yang sukar, rumit dan mendalam, seperti soal falsafah, dan pergolakan jiwa di dalamnya. Dengan kata lain, tegas Ali Haji Ahmad, cerita pendek itu adalah cerita yang bersifat selapis sahaja.
Menjelang tahun 1935, Ali Haji Ahmad mendapati amanat, pengajaran dan kesedaran kebangsaan mula kelihatan disalurkan melalui cerita-cerita pendek. Pengarang berusaha hendak menyedarkan pembaca mengenai kemunduran bangsa dan kemungkinan akan tenggelamnya bangsa Melayu di tanah airnya sendiri.
Selain Haji Abdul Rahim Kajai dengan cerita pendek Jamil dan Jamilah, Syurga Firdaus Nyaris Menjadi Neraka Jahanam, Gadis Terdorong Dek Gadingnya, Si Mat Pisang Rebus, Apa Salahnya Riadah Gadis? dan Cerita Awang Putat), Ishak Haji Muhammad (Satu Cerita Dari Kampung , Anak Dibuat Denak dan Di Sini Kita Bukannya Orang Dagang) karya cerita pendek yang lain dimuatkan dalam antologi ini adalah: Yusof Adil (Intan), Harun Muhammad Amin (Nasib Seorang Muda), Ahab Darul Takzim (Sahabat Yang Khianat), Penulis Khas Tanjung Malim (Mengikut Rasa Binasa!), Yusof Arshad (Pinang Pulang Ke Tampuk) dan Arifin (Hindun Seorang Murid Yang Miskin). Sementara cerita pendek “Perusahaan Yang Berpadan Buatlah Tauladan” tidak diketahui atau dinyatakan siapa pengarangnya.
– MARSLI N.O merupakan seorang penulis dan penyair yang memilih berjalan sendirian.
