“Kanak-kanak belajar melalui pengalaman, dan teater memberikan mereka kesempatan untuk hidup dalam cerita yang memperkenalkan mereka tentang dunia dan diri mereka sendiri.”
Ini merupakan ungkapan daripada Maria Montessori, seorang tokoh pendidikan berasal dari Itali yang terkenal mengembangkan metod Montessori sebuah teknik pendidikan yang fokus pada pembelajaran yang berasaskan pengalaman dan kebebasan untuk mengeksplorasi dunia sekitar secara mandiri.
Peter Brook seorang pengarah, penulis dan pemikir teater yang sangat dihormati dalam dunia seni pertunjukan, menekankan bahawa:
Teater adalah tempat di mana kita dapat membayangkan dunia menjadi lebih baik dan teater kanak-kanak adalah ruang yang paling murni untuk imaginasi itu tumbuh dan berkembang.
Telah terbukti dalam sejarah yang panjang, teater memberi ruang bagi kanak-kanak untuk menggerakkan kreativiti, mengekspresi diri dan memahami hal-hal yang berlaku di sekelilingnya. Teater mengasah kemahiran sosial melalui kerjasama dan empati serta membina keyakinan. Menerusi lakonan, mereka belajar menghafal, sebab-akibat, pengucapan dan memperkaya pemahaman bahasa. Seni pentas ini adalah jambatan yang menghubungkan emosi, fikiran dan imajinasi serta memberi anak-anak asas yang kukuh untuk berkembang menjadi individu yang percaya diri dan berpengetahuan.
11 Disember, bertempat di The Platform, Menara Ken Taman Tun Dr. Ismail, saya diundang menyaksikan pertunjukan Teater Muzikal Sekolah Sri Aria yang bertajuk Our World, Our Responsibility. Ketika menerima buku program dan melihat poster yang bergantungan di sekitar lobi The Platform Menara Ken–ada rasa yang membuncah dalam dada, seperti bunga yang kuncup, bersedia mekar apabila di sentuh angin. Begitu kagum dan mengujakan. Deretan ibu bapa dan keluarga yang sedang menunggu dengan perasaan bergelora dan penuh harapan untuk menyaksikan anak-anak beraksi buat julung kalinya. Maklumat yang saya terima, ini merupakan persembahan pertama Sri Aria School yang mengetengahkan konsep teater muzikal.

Sri Aria School merupakan sebuah institusi pendidikan yang terkenal dengan pendekatan inovatif dan memberi keutamaan dalam membangunkan potensi pelajar secara holistik. Sri Aria School ditubuhkan dengan tujuan menyediakan pendidikan yang lebih inklusif dan menyeluruh serta mengutamakan bukan hanya pencapaian akademik, tetapi juga kemahiran sosial, emosi dan kreativiti pelajar. Sri Aria School berfungsi sebagai sekolah bersepadu yang menyediakan pendidikan dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat sekolah rendah dan menengah.
Dr. Putri Afzan Maria adalah pengasas dan peneraju Sri Aria School yang merupakan tokoh pendidikan yang berpengalaman serta berpendidikan tinggi. Beliau percaya bahawa pendidikan harus memberi lebih daripada sekadar ilmu akademik; ia harus membentuk personaliti pelajar dan menyediakan mereka menjadi individu yang bertanggungjawab, kreatif dan berdaya saing di dunia global.
Teater muzikal ini mengangkat tema rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar dengan menekankan kesedaran ekologi, pembaziran sumber daya dan kepentingan menjaga bumi kepada generasi akan datang. Ia menyoroti isu-isu global seperti perubahan iklim, pencemaran dan pemanasan global serta menuntut tindakan daripada individu, komuniti, dan pemerintah untuk melindungi planet ini dari kerakusan dan kuasa.
Teater kanak-kanak yang bertemakan alam sekitar berfungsi sebagai alat pendidikan yang mengajarkan nilai-nilai penting dalam menjaga bumi. Antara contoh seperti The Lorax, The Magic School Bus: The Climate Challenge dan Save the Earth! menyampaikan mesej tentang pemeliharaan alam, perubahan iklim, kepentingan biodiversity serta kesedaran terhadap pencemaran dan pemusnahan habitat. Di Malaysia juga ada beberapa buah teater dengan tema yang sama seperti Sungai Kita, Hidup Kita, Taman Hijau, Pokok-Pokok Kita dan banyak lagi. Melalui pendekatan yang interaktif dan menghiburkan, teater sebegini mendidik kanak-kanak untuk memahami tanggungjawab mereka dalam menjaga ekosistem dan menginspirasikan tindakan positif bagi masa depan yang lebih lestari.

Our World, Our Responsibility bertujuan untuk mendidik dan menginspirasi anak-anak serta remaja agar sedar tentang pentingnya tindakan mereka dalam memelihara alam sekitar. Pementasan ini tidak hanya menghiburkan, tetapi juga membangkitkan rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan penonton. Ia mengajak semua pihak untuk berganding bahu dalam usaha menyelamatkan bumi melalui cara hidup yang lebih mampan, penggunaan sumber secara bijak dan mengambil langkah-langkah kecil untuk menjaga kesejahteraan alam.
Persembahan teater muzikal ini yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi pendidikan tentang isu-isu penting yang dihadapi dunia hari ini. Melalui pementasan yang kreatif dan dinamik, teater ini memberi penekanan kepada betapa pentingnya kesedaran dan tindakan kolektif untuk menjaga bumi dan alam sekitar demi masa depan yang lebih baik.
Penglibatan pelajar terdiri dari tiga cawangan Sekolah Sri Aria iaitu Bukit Jelutong, Bandar Sri Damansara dan Bangi. Menggabungkan eleman nyanyian, tarian dan lakonan untuk mencipta pengalaman yang holistik dan memikat. Setiap satunya berfungsi untuk menguatkan pesanan yang ingin disampaikan dengan menggunakan muzik dan lirik dalam memperkuatkan emosi dan kesan yang mendalam. Projek ini diterajui oleh Puan Liya yang juga merupakan pengetua Sri Aria cawangan Bukit Jelutong. Beliau juga bertindak pengarah konsep untuk persembahan ini. Pastinya Puan Liya dibantu oleh pasukan kreatifnya yang merupakan warga kerja Sri Aria School yang memberikan dedikasi yang tidak terhingga demi menjayakan persembahan yang akan dikenang ini.
Cerita asal dan skripnya ditulis oleh Dr. Putri Afzan Maria pengasas Sri Aria School sendiri. Lagu dan liriknya juga ditulis dan dicipta oleh Dr. Putri yang membuatkan saya jaw dropped. Betapa kagum dan hormat saya pada wanita yang serba serbi berbakat ini. Hidangannya untuk persembahan akhir 2024 membuatkan khalayak yang hadir dapat menyelami sejauh mana Dr. Putri peduli, menghargai dan sayangkan semua anak-anak ini. Ternyata segala usaha, keringat dan airmata sejak bertahun lamanya membangunkan sistem pendidikan yang mungkin berbeza dengan apa yang ada di negara kita, berbaloi untuk dinikmati hari ini. Syabas dan tahniah untuk Dr. Putri dan seluruh pasukannya.
Sebuah persembahan teater memerlukan komitmen tinggi kerana ia melibatkan latihan intensif, kerjasama erat dalam pasukan dan pengorbanan waktu serta tenaga yang besar. Setiap individu dari pelakon hingga kru teknikal harus berdisiplin dan bersedia menghadapi cabaran, termasuk masalah teknikal atau perkara yang tidak terduga. Komitmen ini juga penting untuk memastikan kualiti persembahan yang cemerlang dan mesej yang ingin disampaikan dapat dinikmati oleh penonton. Dalam teater, kejayaan hanya dicapai apabila semua elemen bekerja dengan penuh kesungguhan, ketekunan, dan semangat berpasukan yang tinggi. Apalagi jika yang terlibat merupakan anak-anak kecil dan remaja. Selama lebih kurang dua bulan para pelajar ini dilatih dan dipandu oleh barisan pembimbing mereka atau lebih dikenali sebagai fasilitator yang bekerja keras memastikan persiapan berjalan dengan lancar.
Sepanjang persembahan berlangsung mata dan jiwa saya bergemerlapan. Terharu melihat anak-anak ini memberi sepenuh tenaga dan penghayatan, serta bergembira dengan prosesnya. Mereka saling bekerjasama, toleransi dan membantu satu sama lain demi menjayakan persembahan ini. Perkara inilah yang menjadi pasak utama kepada sebuah pertunjukkan teater yang seterusnya memperlihatkan usaha dan komitmen sebagai sebuah pasukan. Saya juga pasti perkara ini tentu didorong oleh kepercayaan ibu bapa untuk melihat potensi anak-anak terus melebar. Terima kasih dan tahniah untuk setiap dari ibu bapa yang tidak ragu-ragu dengan bakat dan kemahuan anak-anak.
Saya pulang dengan perasaan yang sebak dan bangga dengan perjuangan seluruh tenaga kerja pengurusan, teknikal dan kreatif dalam menjayakan persembahan ini. Sebagai sebuah teater muzikal yang pertama kali dipentaskan, tentulah ada kekurangan di sana sini. Namun ketekunan dan semangat yang ada pada setiap dari mereka yang menjayakan pementasan Our World, Our Responsibility ini harus dijulang dan dijadikan contoh buat pendidik di luar sana. Teater bukan sekadar hiburan, namun agen pendidikan. Ia mengajak kita merenung, belajar dan merasai nilai kemanusiaan–menjadikan setiap pementasan sebagai pengalaman yang mengasuh dan membuka ruang untuk perubahan.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.

