Landskap teater Malaysia pasca-pandemik sebenarnya menunjukkan tanda pemulihan yang memberangsangkan. Pada tahun 2025 sahaja, boleh dianggarkan lebih 70 buah pementasan teater telah dipentaskan di seluruh pelusuk tanah air. Saya sendiri berkesempatan menonton hampir 48 buah pementasan, termasuk 11 produksi teater bergenre muzikal yang hampir kesemuanya di sekitar Lembah Klang. Dari sudut kuantiti, ini merupakan peningkatan yang mendadak dan jelas menjadi petanda positif selepas kemurungan panjang akibat pandemik. Masih kecil, tapi ia berkembang dengan agak meyakinkan. Sokongan dana oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kepada produksi-produksi teater turut menyumbang secara signifikan kepada kebangkitan ini. Namun, peningkatan jumlah tidak harus disamakan secara automatik dengan peningkatan kualiti. Di sinilah keperluan untuk menilai dengan lebih kritikal aspek kualiti naskhah, ketajaman pengarahan, disiplin pelakon, serta keberanian estetik, bukan sekadar meraikan statistik pementasan sebagai kejayaan menghabiskan peruntukan.
Masalah yang lebih mendasar dalam landskap teater Malaysia bukan sekadar perbezaan bentuk persembahan, tetapi budaya ego dan toksisiti yang masih mengakar. Sebahagian figura dan kelompok familiar yang menikmati kelebihan dana besar serta saluran promosi dominan cenderung memposisikan diri sebagai penentu tunggal makna “teater terbaik yang sepatutnya”. Mereka menilai yang lain bukan melalui hujah estetika, tetapi melalui hirarki kuasa lama: siapa lebih berpengaruh, siapa lebih sering mendapat tajaan, siapa pernah memproduksi teater berskala mega yang berderet di panggung gah. Maka nampaklah sikap memandang rendah kepada produksi kecil, eksperimental, atau ditulis dan diarahkan oleh generasi muda yang bergerak di pinggir arus utama. Kritikan tidak lagi berfungsi sebagai wacana intelektual, tetapi sebagai alat mengabsahkan dominasi. Inilah wajah sebenar toksisiti industri apabila kuasa dan pengaruh menggantikan dialog seni budaya sihat.
Lebih membimbangkan, nostalgia sering dijadikan modal moral. Produksi-produksi besar silam diungkit-ungkit seolah-olah ia puncak mutlak estetika teater tempatan, walhal banyak daripadanya terperangkap dalam formula lapuk: spektakel berskala besar, format rigid, realisme konvensional, serta eksploitasi populariti artis sebagai tarikan utama. Semua ini hanya dilihat sebagai strategi pemasaran, tetapi tidak boleh dikelirukan sebagai kemajuan kualiti teater. Teater dunia telah lama bergerak melampaui obsesi terhadap set gah dan bintang popular di pentas. Ia kini (tidak juga baharu) berbicara tentang minimalisme radikal, teater pasca-dramatik, interdisiplinasi atau hibrid, auto-biografi, teater verbatim, seni imersif, dan teater digital, multimedia dan VR. Namun sebahagian penggiat tempatan masih mempertahankan acuan lama sambil memandang sinis kepada eksperimen baharu. Sekali lagi, nostalgia dan formula pemasaran lapuk menjadi benteng untuk menolak perubahan.
Selain itu, ekosistem teater Malaysia juga masih berlegar dalam ruang-ruang terpisah: teater Melayu dengan kelompok-kelompoknya, teater Inggeris dengan lingkaran sendiri, teater Cina dengan audiens tersendiri, dan teater indie bergerak di orbit terasing. Kepelbagaian ini bukan masalah, tetapi ia menjadi stagnan apabila tiada dialog silang yang aktif. Teater akhirnya gagal membina imaginasi kebangsaan yang dinamik, wajah teater Malaysia kekal kabur, terpecah, dan defensif. Tanpa pertembungan idea, tiada pembaharuan yang benar-benar berisiko dan bermakna.
Dalam keadaan ini, persoalan paling kritikal perlu diajukan secara terbuka: siapa yang menentukan standard seni teater? Adakah ia dimonopoli oleh segelintir individu yang memiliki dana besar, jaringan media, dan pengaruh politik, lalu menganggap pandangan mereka sebagai kebenaran mutlak? Atau ia ditentukan melalui satu sistem penilaian artistik yang berasaskan wacana, perbandingan antarabangsa, dan keberanian estetik? Di sinilah peranan penganugerahan seni seperti BOH Cameronian Arts Awards dan Anugerah Teater Malaysia menjadi signifikan, bukan sebagai ukuran kecemerlangan seni, tetapi sebagai satu mekanisme legitimasi yang lebih seimbang dan demokratik. Namun, malangnya masih wujud individu dan kelompok toksik dalam industri yang memperlekehkan kewujudan dan penganjuran anugerah-anugarah ini, malah merendah-rendahkan pengkarya yang tercalon atau memenanginya, seolah-olah pengiktirafan hanya sah jika ia lahir daripada lingkaran kelompok mereka sahaja. Sikap ini bukan sahaja memperlihatkan ketakutan terhadap sistem penilaian yang tidak dapat mereka kawal, tetapi juga mencerminkan kegagalan memahami fungsi sebenar anugerah seni dalam ekosistem budaya.

Hakikatnya, anugerah-anugerah hebat seperti Tony Awards, Olivier Awards, Moliere Awards, Helpman Awards, Drama Desk Awards, Obie Awards dan banyak lagi di serata dunia berfungsi mengangkat karya terbaik berdasarkan merit artistik, bukan semata-mata populariti, skala produksi atau nilai komersial. Lebih penting, anugerah ini berpotensi menjadi satu ruang pertemuan nasional, mempertemukan pengkarya Melayu, Inggeris, Cina, Tamil dan pelbagai aliran teater tanpa terikat kepada bahasa, kaum atau ideologi kelompok. Ia memilih karya terbaik dalam konteks Malaysia, bukan berdasarkan nostalgia individu atau hierarki lama. Menolak dan memperlekehkan platform sebegini bukanlah tanda keberanian intelektual, tetapi petanda keengganan untuk berkongsi ruang wacana dan mengiktiraf bahawa seni sentiasa berkembang melangkaui ego peribadi.
Namun, anugerah sahaja tidak akan membaiki ekosistem jika mentaliti lama masih berkuasa. Tanpa kesediaan untuk berkongsi kelebihan dana, ruang, jaringan promosi, industri akan terus beroperasi dalam logik eksklusif. Mereka yang menikmati akses terbesar seharusnya memikul tanggungjawab membina ekosistem, bukan sekadar mengekalkan dominasi. Teater anak muda yang masih terkial-kial, tetapi sarat idea dan keberanian, perlu dilihat sebagai pelaburan masa depan, bukan ancaman kepada status quo.
Di sinilah peranan persatuan dan badan profesional teater harus dipersoalkan secara serius. Persatuan tidak boleh sekadar menjadi pentas simbolik atau penjaga kepentingan kelompok tertentu. Ia perlu berfungsi secara strategik: membina program pembangunan bakat, menggalakkan kolaborasi lintas budaya dan generasi, serta merangka hala tuju teater Malaysia dalam konteks serantau dan global. Tanpa visi dan keberanian institusi, persatuan hanya akan menjadi sebahagian daripada masalah, bukan penyelesaiannya.
Akhirnya, teater Malaysia berdepan satu paradoks yang tidak boleh lagi dinafikan: masih kecil, tetapi sarat dengan ego dan toksisiti dalaman. Selagi kuasa dan pengaruh mendominasi diagungkan lebih daripada idea, selagi nostalgia diungkit-ungkit, dan selagi kritikan berubah menjadi penghinaan, teater kita akan terus berlegar dalam kitaran yang sama.
Kalau mahu terus bernostalgia, silakan bernostalgia. Buatlah teater sebesar mana pun yang dikehendaki. Tetapi jangan bising dan merendah-rendahkan pihak lain seolah-olah semua orang salah dan hanya kamu sahaja yang betul. Revolusi teater tidak menuntut gah pentas semata-mata; ia menuntut keberanian meruntuhkan ego.
Dr. Syahrul Fithri Musa adalah pensyarah kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM Kampus Puncak Perdana, Shah Alam.

Masalah psikologi budaya teater yang “DUKALARA” ini juga sama dengan budaya seni visual negara. Bangunan Batu Tandanya juga berdiri gagah berdekatan saja ditengah tengah Kota Kuala Lumpur. Tidaklah kita menyalahkan sesiapa tetapi mungkin juga salah asuhan, kerana sekolah awal kita juga telah diasing-asingkan angkara kuasa politik semusim. Kesannya bermusim-musim.Ironinya beza budaya inilah yang kita sangat banggakan bila dilihat pelancung sebagai satu tarikan Budaya Malaysia. Pluralisma yang bagaimana kita inginkan?