“Berapa tol dari Semenyih ke Alam Budiman Loy?”
Setelah hampir dua purnama beredar, malam itu entah kenapa saya bertanya. Mungkin telah masuk minggu-minggu akhir pementasan. Debaran makin terasa, perbualan basa-basi diperlukan pada sela-sela pengunyahan skrip dan latihan yang intensif.
“13 ringgit lebih kurang macam tu.”
Saya terkedu. Walaupun sedar kejauhannya. Saya yang dari Denai Alam pulang ke Bandar Seri Putra (rumah mak abah saya) kalau tak jammed makan masa sejam juga. Bayangkanlah kalau terperangkap. Laluan lebuhraya Elite amatlah unpredictable. Itu saya dari Denai Alam ke Bandar Seri Putra. Sekarang kita nak cerita pasal Aloy yang datang nun terperosok di Semenyih ke Alam Budiman. Macam balik kampung perginya.
Saya cuba menghitung jumlah wang yang Aloy harus belanjakan untuk pergi latihan, hampir sekitar empat kali seminggu. Itu belum cerita pasal perjalanan lagi, dengan faktor cuaca yang tak menentu. Juga tenaga yang harus dicurahkan demi memastikan proses persiapan teater ini berjalan lancar. Belum masuk cerita pasal watak dia dengan skrip panjang berjela dan tidak keluar langsung dari pentas. Begitu mencabar hinggakan saya sendiri rasa penat tengok dia.
Kalau saya, memang terus terang cakap tak sanggup.
Setiap hari saya pulang dari latihan, tentunya dalam kepenatan. Namun masih boleh senyum. Dan bersyukur sangat-sangat sebab perjalanan dari rumah ke Studio Sedar Ruang cuma sekitar 20 minit. Apalagi bila ikut DASH Highway, 15 minit pun boleh tiba dengan pemanduan yang tenang. Makanya bila Syahrul Musa pelawa untuk terlibat dalam produksi ini, saya terus setuju. Itupun selepas baca skrip yang pada saya sangat menguji kredibiliti pemainnya. Pada usia saya sekarang, jika dipanggil berproduksi–saya utamakan yang dapat memberi kepuasan secara fizikal, rohani dan spiritual. Yang menduga dan meninggalkan bekas dalam proses pengkaryaan. Ia harus berbaloi untuk dilakukan. Demi membayar segala keringat, darah dan airmata yang kita sudah tumpahkan untuk beberapa waktu dalam menikmati prosesnya. Ini tak termasuk kisah anak dan suami yang turut sama berkorban memberikan ruang dan udara untuk saya tumbuh–segar dan hidup. Dramatikkan? Tapi benda ni real.
Bak kata Anton Chekhov, kita patut rasa kegembiraan itu mengalir kerana masih bernafas. Tubuh rasa sempurna sebab masih hidup. Itulah yang kita mesti berikan pada pentas. Kehidupan kita. Tak kurang seinci pun. Itulah seni: untuk memberikan semua yang kita punya.”
Secara tembak tepat Chekhov kata penat gila buat teater ni. Seolah meminjamkan seluruh hidup kita untuknya. Pastikan iaworth it. Begitulah sandiwara pentas. Mana mungkin latihannya sebentar. Jadi saya pelik bila ada produksi yang mampu bikin produksi back to back, dengan purata latihan sekitar dua ke tiga minggu. Tak masuk akal. Zaman kami aktif berpentas di Stor Teater DBP circa 2010 dan ke atas, sekurangnya latihan tiga bulan. Dua bulan amatlah jarang, sebulan memang tidak mungkin. Itu pun tiga bulan masih rasa tak solid lagi. Rasa belum masak dan matang lagi. Bukanlah nak buat perbandingan–tapi alasan zaman semakin laju dan segala benda kena segera ni, alasan yang tidak sihat beb! Sebab itu bila membaca skrip yang ditulis Saat Omar, saya fikir teater ini harus menjalani latihan yang panjang juga. Bukan instant. Tidak boleh cepat dimasak, sebab tidak mungkin ia akan sedap dimakan. Tambahan kami bukan muda lagi. Zaman berapi-api, penuh nyala dan passion–sebab tiada komitmen. Tiada suami, isteri dan anak-anak yang tunggu di rumah. Otak tidak terganggu dengan kerja hakiki dan tanggungjawab rumahtangga. Rock and roll. Semuanya demi seni. Sanggup mati demi seni. Tak makan pun tak apa, asalkan bikin art. Lucu juga memikirkannya. Tapi begitulah situasinya suatu masa dulu.
Makanya untuk memastikan kami bersedia, dan tidak terjerumus ke kancah arus ‘nak cepat siap’, kami bermula pra produksinya sejurus aidilfitri berakhir. Tolak campur lebih kurang tiga bulan juga, Cuma tidaklah terlalu ketat jadualnya pada peringkat awal. Tambahan kami semua ada kerja hakiki. Aloy semua orang kenal sebagai penulis skrip filem/drama dan juga pelakon komersil, Syahrul Musa dengan pangkal Dr. merupakan pensyarah teater di UITM Shah Alam, Walid Ali yang bertindak sebagai penerbit merupakan rakan sekerja Syahrul dan saya sendiri yang buat macam-macam kerja demi kelangsungan hidup. Oh ya! Hamzah Tahir (seniman dan pensyarah teater) juga terlibat sebagai pengarah artistik. Begitu kompak pasukan ini, seperti mana Syahrul Musa mempertaruhkan prinsip ‘poor theatre’ untuk teater Persiapan Seorang Aktor ini.
Terus terang, produksi ini tiada tajaan dari mana-mana pihak. Semuanya datang dari kocek penerbit dan pengarahnya. Selebihnya duit tiket jika penuh panggung nanti (kalau tak penuh, pasti rugi). Tentunya ia tak mampu membayar perjalanan dan tenaga serta jerih perih setiap dari kami, terutamanya yang tinggal jauh seperti Aloy dan Syahrul (rumahnya di Puchong). Tapi kita semua tentu ada sebab kenapa mahu terlibat dalam prosesnya bukan? Terus terang cakap yang teater adalah ‘me time’ saya. Memang penat nak hafal skrip, sakit-sakit badan berlakon, gajinya ala kadar, tapi itulah ruang untuk saya mendakap diri sendiri. Setelah seharian memakai topi ibu dan isteri. Berkarya adalah tempat untuk melempiaskan segalanya. Keresahan dan kelelahan. Apa lagi yang lebih indah dari perasaan euforia seketika dari bebanan dunia yang fana ini. Bila tanya Aloy pula, dia jawab;
“Aku buat ni sebab kawan-kawan.”
Katanya dia buat sebab pelawaan dari Syahrul dan saya. Sweet sangat kan? Bila fikir balik lebih baik Aloy tumpu buat skrip, ambil tawaran berlakon dan layan anak-anak dari terlibat dengan produksi teater. Melainkan produksi itu menjanjikan sesuatu yang lumayan dan membawa dia ke puncak populariti. Namun dengan bajet yang minimal, skrip yang berat dan menuntut komitmen yang tinggi–penerimaan Aloy pada hemat saya sesuatu yang amat mulia. Saya bangga dan terharu. Dan gembira dapat bergabung kembali dengan Aloy setelah sekian lama tidak beraksi bersama. Semua orang tahu yang kami berdua macam: A match made in heaven dalam dunia teater Malaya. Chewah!
Pasukan marketing pun kami tak ada. Cuma berharap pada ehsan kawan-kawan dari media sosial masing-masing untuk sebarkan poster teater kami yang bercerita tentang dunia di sebalik tabir kehidupan orang seni yang begitu obsesif pada kesempurnaan. Tentang bagaimana peranan orang terdekat dalam memberikan sokongan terhadap kerjaya seni insan tersayang serta realiti kehidupan karyawan yang mencengkam. Kepada orang seni tentulah sangat-sangat digalakkan untuk hadir menonton, begitu juga orang yang luar bidang supaya dapat memahami asam garam dunia wayang yang kononnya disogokkan penuh nista dan marabahaya ini.
Sebelum saya dan Aloy Paradoks keriput dan sakit sana sini sehingga kami tak mampu nak berpentas lagi, jemputlah datang menyokong usaha ini. Saya boleh janjikan jika ia tak mencapai ekspektasi anda sekalipun, ia tetap sebuah pementasan yang menghiburkan. Fingers crossed!
Tiket pementasan boleh dibeli di teaterpsa.peatix.com
************************
FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang ibu yang memakai topi karyawan: penulis, penggiat teater, pengacara, pelakon, penulis lirik, content creator–semualah dia nak jadi.
