SELANG tiga bulan, kita dapat lihat senarai penerima Tabung Bantuan Seni (TBS) dalam media sosial Balai Seni Negara. Inisiatif hebahan yang ringkas tetapi mencerminkan ketelusan. Tabik.
Melalui senarai itu juga, kerencaman projek yang menerima bantuan kewangan khas itu dapat dilihat. Ambil contoh senarai penerima TBS Bilangan 2 Tahun 2025 yang disiar Jun lalu.
Ada bantuan untuk seniman yang berkelana ke luar negara seperti Raja Fadzilah Raja Brima Sulong dan Lim Tong Xin yang ke Ulaanbatar, Mongolia untuk Etugen Contemporary Artcamp 2025 serta Aisyah Zulkifli yang menyertai persidangan The Movable Book Society 2025 di Missouri, Amerika Syarikat.
Juga ada bantuan untuk program-program seni yang meneroka ruang awam di pekan kecil. Contohnya Kem Rebung Seni (KeReS #25) di Studio Tukang Arca, Dewan Terbuka Taman Sg. Baru dan Pantai Pengkalan Balak.
Malah, ada program yang dibuat di sekolah juvana, iaitu Program Seni dan Jati Diri di Rumah Tunas Bakti Taiping, Perak.
“Pendekatan kita untuk TBS adalah supaya aktiviti seni visual berlaku bukan sahaja di Kuala Lumpur, bukan sahaja di dalam galeri,” itu kata Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Amerrudin Ahmad.
Itu antara hal awal yang dikongsi beliau dalam temu bual kami. Mungkin beliau faham, TBS akan menjadi antara topik utama dalam mana-mana temu bual media. Ia melibatkan wang dan harapan penggiat seni visual di seluruh negara.
“Kita mahu kegiatan itu berlaku di luar daerah dan kita bekerjasama dengan kolaborator yang terdiri daripada penggiat seni atau artis sendiri.
“(Ini) termasuk juga untuk menyebarluaskan kefahaman seni visual (dalam kalangan masyarakat) dan mencungkil kearifan tempatan di kawasan itu,” kata Amerrudin.
Menjadi penyokong kegiatan seni
TBS ialah bantuan dana dari Balai Seni Negara yang diwujudkan untuk membantu penggiat seni visual di seluruh negara menjalani latihan, menyertai program dan menjalankan aktiviti seni.
Pada 2025, sebanyak 17 permohonan diluluskan untuk TBS Bilangan 1 manakala 18 lagi diluluskan untuk TBS Bilangan 2.
Menurut Amerrudin, TBS menyasarkan untuk membantu penggiat seni visual dalam pelbagai aspek, namun tetap bergantung kepada had dana dan merit permohonan.
Sebagai contoh, apabila ada seniwan yang berpeluang mengikuti program atau pameran di luar negara, TBS boleh menjadi penyokong dari aspek kewangan.

Begitu juga dengan program atau acara dalam negara, berdasarkan merit, pemohon boleh mendapat bantuan kewangan yang diperlukan untuk menjayakan program tersebut.
“Kebiasaannya, program (yang terpilih) melibatkan masyarakat setempat,” katanya.
Ini dapat dilihat dalam program seperti Moh Menyeni Anjung Tanjung yang dianjurkan Studio Ants Enterprise serta penghasilan pintu gerbang di Kampung Nour Iman dan Kampung Seberang Jaya, Kuala Tatau, Bintulu oleh Muhammad Ariff Ismail. Kedua-duanya merupakan penerima TBS Bilangan 1 Tahun 2025.
Buat orang lebih faham tentang seni
Bukan semua yang memohon akan menerima TBS. Ia realiti pahit yang perlu ditelan mana-mana pemohon untuk mana-mana geran kerana jumlah dana yang disediakan terhad.
Bagi Balai Seni Negara, hasil daripada program yang dibiayai sangat penting. Mereka juga, seperti agensi kerajaan lain, memegang amanah untuk mengagihkan dana secara telus dan berkesan.
Untuk TBS Bilangan 1 2025, sebanyak 44 permohonan diterima manakala Bilangan 2 menerima 34 permohonan. Ini bermakna, dalam kedua-dua pusingan pemberian dana tersebut, ada 43 permohonan terpaksa ditolak.
Amerrudin berkata, sekiranya program yang dirancang dapat melibatkan lebih banyak pihak, ia menjadi kelebihan buat Balai Seni Negara.
“Indeks Prestasi Utama (KPI) Balai Seni Negara mengikut KPI Kementerian (Pelancongan, Seni dan Budaya). Kementerian mengutamakan ketersampaian; berapa ramai orang yang datang, masyarakat yang terlibat.
“Sebagai contoh, kalau buat program di satu daerah, berapa sekolah yang terlibat, adakah guru atau pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat? Itu dari segi bilangan penyertaan,” katanya.

Malah, menurut beliau, kesan terhadap penyebaran seni visual juga diambil kira. Ini penilaian yang lebih abstrak.
“Hasil (yang dimahukan), masyarakat lebih cakna tentang seni visual,” jelasnya.
Bagi Amerrudin, pendekatan program boleh pelbagai, asalkan ia memberi kesan kepada fahaman masyarakat tentang seni visual.
Beliau mengambil contoh program yang lebih dekat dengan masyarakat, walaupun ia tidak begitu dianggap sebagai sebuah seni, seperti memasak.
“Kita panggil ibu-ibu sertai pertandingan memasak. Biar mereka masak apa yang paling disukai, bersama hiasannya. Dan kita jemput seniman dan kurator untuk jadi juri.
“Mereka mungkin tak sedar (nilai) seni yang ada dalam masakan itu. Dia tak tahu selama ini, dia curahkan kasih sayang kepada keluarga (dalam bentuk masakan) itu juga merupakan seni.
“Itu hasil yang paling baik buat kami, apabila mak cik-mak cik ini, mereka tahu yang mereka menghasilkan seni. Mereka lebih faham tentang seni,” katanya.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
