Taylor’s University mengumumkan pelantikan empat tokoh tersohor industri seni persembahan tanah air sebagai Profesor Adjung bagi program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian).
Dalam satu kenyataan, Taylor’s University memaklumkan pelantikan tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam merapatkan jurang antara pengajian akademik dan amalan profesional, serta memperkasa pelajar melalui bimbingan langsung daripada penggiat terkemuka dalam bidang persembahan, muzik dan tarian.
Bagi pengkhususan Persembahan, Taylor’s melantik pelakon Siti Saleha dan Datin Marlia Musa bagi membawa pengalaman luas mereka dalam ekosistem seni tanah air.
“Siti Saleha yang dikenali dengan keupayaannya menjiwai pelbagai watak di televisyen, filem dan teater, menyerlah menerusi lakonan penuh penghayatan serta kepelbagaian bakat artistiknya.
“Turut bersama, Marlia Musa, seorang pelakon berpengalaman dan pendidik seni, yang akan memupuk pemahaman pelajar mengenai landskap seni persembahan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Bagi pengkhususan Muzik, Taylor’s mengumumkan pelantikan Datuk M Nasir, ikon muzik tanah air yang berpengaruh lebih empat dekad dalam dunia seni.
Menurut kenyataan itu, bimbingan beliau akan memberi pendedahan kepada proses kreatif penulisan lagu, gubahan, penerbitan muzik serta strategi membina kerjaya yang berdaya tahan dalam industri.
Sementara itu, pengkhususan Tarian akan dibimbing oleh Maria Sascha Khan, penari balet bertaraf antarabangsa, bekas Principal Ballerina dan kini Pengarah Pembangunan Artistik Ballet Nights di Asia Tenggara.
Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian), Taylor’s University, Raziman Sarbini, berkata pelantikan empat tokoh itu membuka lembaran baharu dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat kreatif tanah air.
“Kami amat berbesar hati menerima barisan tokoh industri ini sebagai Profesor Adjung dalam program Seni Persembahan.
“Wawasan dan bimbingan mereka akan memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar, memberikan perspektif industri yang sebenar serta menginspirasi mereka untuk meneroka dan memperluas batas kreativiti dalam pengkhususan masing-masing,” katanya.
