PERTAMA kali saya menonton persembahan Kuda Kepang ialah pada tahun 1971, ketika saya berada dalam darjah enam di Parit Linau Besar, Bukit Pasir, Batu Pahat, Johor.
Masa itu adalah kenduri perkahwinan ibu saudara saya dari sebelah bapa. Untuk memeriahkan majlis pada sebelah malam selepas kenduri maka diundang kumpulan Kuda Kepang untuk membuat persembahan.
Pada masa itu adalah lumrah kumpulan-kumpulan kebudayaan diundang untuk membuat persembahan. Dengan cara itu, ia juga menyuburkan khazanah seni budaya bangsa. Saya membesar di kampung itu dari tahun 1970 iaitu ketika darjah lima hinggalah tahun 1974 di tingkatan tiga.
Seringkali majlis perkahwinan melalui tiga acara. Malam sebelum majlis diadakan majlis membaca Al-Quran dan membaca bacaan berzanji dan solawat oleh pengantin perempuan yang disertai oleh kaum wanita kampung. Berzanji adalah salah satu aktiviti seni budaya kampung di Johor. Ia merupakan bacaan kitab Mawlid Al- Barzanji yang memuji-muji kemuliaan Rasulullah s.a.w. Ia sering dibaca sewaktu sambutan Maulidur Rasul. Semua anak-anak Johor pada zaman itu diharap dapat membaca berzanji yang mempunyai dendangan lagunya tersendiri. Ia diajar di surau-surau pada kelas membaca Al-Quran. Maknanya daripada enam malam kelas mengaji, satu malam diperuntukkan untuk mempelajari bacaan berzanji, selalunya hari Sabtu.
Pada hari majlis perkahwinan, seialunya upacara akad nikah dilakukan pada sebelah pagi. Di sebelah tengah hari itu bermulalah jamuan sampai ke petang. Sepanjang hari itu, selalunya diundang kumpulan kugiran yang pada awal tahun 1970-an, ia bercambah seperti cendawan di seluruh Malaya terutama Johor kerana negeri ini berjiran dengan Singapura yang merupakan pusat kebudayaan muzik dan filem Melayu sepanjang zaman pentadbiran British. Di Singapura muncul gaya muzik yang dikenali sebagai Pop Yeh Yeh.
Pada sebelah malam, barulah diundang kumpulan kebudayaan untuk membuat persembahan. Sepanjang saya membesar di kampung, saya sudah menonton persembahan Zapin, Ghazal dan juga acara Joget Lambak pada malam majlis perkahwinan. Zapin dan Ghazal adalah seni budaya yang mempunyai asal-usul dari Parsi dan Arab Yaman. Manakala Joget mempunyai pengaruh Portugis. Sementara nyanyian Melayu Asli yang datang bersama kumpulan teater tradisional Bangsawan berasal dari istana Melayu Johor-Riau yang mana Johor adalah sebahagian daripadanya.
Persembahan Kuda Kepang dan juga Barongan dibawa oleh masyarakat Jawa yang berhijrah ke Johor pada sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Kumpulan Kuda Kepang ada di kampung-kampung Melayu Singapura dan juga di daerah Batu Pahat, Johor khususnya di kampung-kampung sekitar Parit Raja, Batu Pahat.
Zapin, Ghazal, Melayu Asli, Kuda Kepang dan Barongan adalah sebahagian daripada khazanah seni budaya Johor sejak zaman Malaya lagi. Maka ia adalah sebahagian daripada seni Malaya dan kini adalah sebahagian daripada Malaysia.

Kumpulan Kuda Kepang yang saya tonton ini bukanlah antara yang paling dikenali. Malah “kuda-kuda” yang digunakan bukanlah dibuat secara kekal atau diolah cantik. Tetapi kuda itu dibuat pada siang hari sebelum persembahan. Terdapat lima kuda kepang yang diperbuat daripada daun dan pelepah pokok kelapa. Daun hijaunya disulam supaya ia berbentuk seperti kuda. Apa yang dimaksudkan dengan kuda kepang ialah ia adalah kuda buatan berbentuk leper. Kuda kepang yang lebih cantik ialah berupa anyaman dari buluh dan daun mengkuang, iaitu daun yang dibuat untuk tikar. Ia dianyam seperti kuda dan diwarnakan dengan cantik dengan rumbai-rumbai bulu tengkuknya. Ia ada mata, hidung dan mulut di kepalanya dan juga ekor yang berumbai-rumbai. Ia cuma tidak ada kaki. Kaki penari itulah yang menjadi kaki kuda kepang.
Saya tidak tahu kumpulan ini datang dari mana tetapi tentulah ia datang dari kampung sekitar Parit Raja. Kemungkinannya ia datang dari di Parit Jelutong di mana moyang saya berasal.
Kumpulan Kuda Kepang dipimpin oleh seorang dukun. Selalunya dia memperoleh ilmu ini secara turun temurun. Pemain muzik pula terdiri daripada beberapa gendang yang merupakan alat utama, beberapa jenis alat gamelan, sederet angklung (alat muzik tradisi Jawa yang diperbuat daripada buluh) dan beberapa gong. Ia berupa alat muzik ketuk-ketuk (repurkusi) saja. Pesertanya adalah anak-anak muda kampung, lelaki dan perempuan. Tetapi dalam persembahan yang saya tonton itu hanya lelaki yang terlibat.
Perlu diingat bahawa di kampung di mana saya membesar ketika itu belum ada bekalan elektrik dan bekalan air. Kebanyalan penduduk kampung adalah penoreh getah dan pendapatan mereka adalah kecil. Maka kumpulan itu pasti hanya mendapatkan bayaran yang sedikit. Persembahan itu dibuat pada bulan mengambang supaya orang boleh menyaksikan. Lampu-lampu minyak dipasang pada buluh-buluh di keliling gelanggang. Halaman rumah datuk saya menjadi gelanggang.

Persembahan dimulakan dengan membakar kemenyan dan membaca mentera oleh dukun. Ini kerana Kuda Kepang mempunyai “semangat” atau “ruh” tersendiri. Ini yang membuatkan persembahan Kuda Kepang nempunyai misteri dan mistik yang menarik.
Kemudian gendang dipalu, angklung digegarkan dan gamelan digaungkan. Sebaik saja saya dengar muzik kuda kepang ini, saya teruja kerana ia mengkhayalkan. Dalam fikiran saya, siapa yang mencipta muzik ini adalah genius. Sejak itu saya menjadi peminat Kuda Kepang.
Kemudian peserta-peseta mengambil kuda masing dan mula menari mengikut rentak muzik. Ia didahulukan dengan gerakan oleh ketua penari. Rentaknya mendatar dan berulang. Tidak susah bagi sesiapa pun untuk menyertainya dengan meniru gerakan penari-penari. Kaki diangkat seperti kuda dan berjalan di keliling gelanggang.
Tujuan tarian ini adalah untuk membawa penari-penari ini kepada keadaan tidak sedarkan diri. Ini kerana muzik itu membawa ke arah itu. Kuatnya kesan muzik itu hinggakan ada penonton secara spontan memasuki gelanggang. Tetapi tidak semua yang akan “naik syeikh” atau dalam keadaan “dirasuk” Selepas beberapa ketika, dukun akan mengambil cemeti dan melibas berhampiran para penari yang tidak boleh masuk ke fasa berikutnya. Beliau tidaklah memukul penari itu tetapi melibas berhampiran dengannya. Bunyi libasan itu kuat dan mengejutkan hingga membuat penari itu tersedar dan keluar dari gelanggang.
Maka tinggallah penari yang benar-benar dirasuk dan tidak sedarkan diri. Mereka terus menari mengikut rentak muzik. Di satu peringkat mereka akan membuat sesuatu yang di luar kebiasaan.
Ada kalanya, persembahan itu melibatkan perbuatan memakan kaca atau memijak kaca tanpa penari itu tidak terasa sakit atau berdarah.
Tetapi pada malam itu, kejadian luar biasa yang saya nampak ialah seorang penari boleh melompat tinggi sampai ke bumbung rumah. Sememangnya pelik dan menakjubkan. Dukun kemudian menyuruhnya turun dan memulihkan semua penari supaya sedarkan diri.
Proses pemulihan tidaklah mudah. Beberapa orang membantu dukun mereka yang membaca mentera ke atasnya.
Setelah menjadi peminat Kuda Kepang saya menunggu acara-acara akan datang.
Pada hari sambutan Hari Kebangsaan pada tahun 1974, satu perarakan peringkat daerah diadakan di bandar Batu Pahat. Saya pun turun menyaksikannya. Turut serta dalam perarakan kebudayaan termasuk dari komuniti Cina dan India Maka dari komuniti Jawa ditampilkan kumpulan Kuda Kepang dan Barongan.
Pada hari yang sama, beberapa acara kebudayaan turut diadakan di Tasik Merdeka, Parit Bilal yang terletak di jalan yang menghubungi Batu Pahat dengan Tongkang Pechah, Yong Peng dan Parit Sulong.
Ketika itu, Tasik Merdeka dijaga dengan baik oleh Majlis Bandaran Batu Pahat (MBBP). Bukan saja ia dipelihara dengan baik tetapi dibina struktur-struktur hiasan seperti kapal hiasan dan rumah Jepun. Antara pulau di tengah tasik itu ada beberapa pulau dan salah satunya dinamakan Pulau Wanita. Pada tahun 1971, Jambori Pengakap Rantau Asia Pasifik diadakan di situ. Tetapi sekarang ini saya perhati bahawa tasik itu terbiar dan tidak dipedulikan oleh pihak berkuasa tempatan.
Jadi masa perayaan hari kemerdekaan itu, satu kumpulan Kuda Kepang mengadakan persembahan. Kuda-kuda kepang dan penarinya dihias dengan cantik. Acara dibuat di sebelah petang. Walaupun saya seronok menonton persembahan itu, tetapi penari-penarinya tidaklah melakukan sesuatu yang luar biasa.
Ketika YouTube mula diperkenalkan, maka saya menonton persembahan Kuda Kepang yang diadakan di Singapura dan Indonesia. Di Singapura, ia diadakan di padang sebuah bangunan rumah pangsa.
Pada satu hari, saya ada terlihat satu persembahan Kuda Kepang di Medan Pasar, Kuala Lumpur. Rupa-rupanya ia dianjurkan oleh Pusaka, sebuah pertubuhan yang berusaha mempertahankan aktiviti kebudayaan di negara ini dan antara projeknya ialah Kuda Kepang di Johor dan Mak Yong di Kelantan.
Saya kemudian terbaca pengumuman Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang menyatakan bahawa permainan Kuda Kepang sama ada tarian biasa atau drama tari atau tarian gelanggang adalah haram kerana ianya bercanggah dengan akidah, syariah, akhlak Islamiyah.
Pada Ogos lalu keluar berita bahwa kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dan mengambil tindakan penguatkuasaan segera susulan penularan video ajaran sesat di Parit Raja, Batu Pahat baru-baru ini.

Video berdurasi satu minit di media sosial memaparkan ritual dipercayai berkaitan Kuda Kepang yang dikaitkan dengan amalan syirik di Batu Pahat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata insiden itu menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan kerajaan negeri akan terus komited dalam mengenal pasti serta membanteras sebarang bentuk ajaran menyeleweng tanpa sebarang kompromi.
Peristiwa yang ditunjukkan itu adalah persembahan Kuda Kepang di Parit Raja, pada 10 dan 11 Ogos lalu.
Pada 2 September lalu, keluar berita Mahkamah Syariah Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 terhadap tiga individu selepas mengaku bersalah terbabit dalam upacara pemujaan tarian Kuda Kepang. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 iaitu kesalahan berhubung aqidah: pemujaan salah, serta Seksyen 43(b) enakmen sama kerana persubahatannya.
Kemudian keluar satu berita bahawa satu garis panduan baharu itu akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama untuk mencakupi pelbagai aktiviti persembahan kebudayaan, silat atau sukan yang mempunyai unsur tidak menepati ajaran dan akidah Islam.
“Garis panduan ini akan melibatkan semua persembahan atau aktiviti yang mempunyai unsur sajian (kepada makhluk lain), pemujaan dan hilang kewarasan seperti permainan Kuda Kepang.
“Kita bukan nak hapuskan kuda kepang, tidak. Persembahan kuda kepang dibenarkan asalkan tidak mengandungi tiga unsur tersebut ,” kata jurucakap pihak berkuasa itu.
Kuda Kepang yang juga dikenal sebagai Kuda Lumping berasal dari Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia ia tersebar bukan saja di Malaysia dan Singapura tetapi juga Suriname, Amerika Selatan di mana terdapat komuniti Jawa.
Kuda Kepang dikatakan dicipta oleh salah seorang daripada Walisongo (Wali Sembilan) yang berperanan menyebarkan agama Islam di Jawa. Kaedah mereka adalah menggunakan tradisi sedia ada untuk menyampaikan pemahaman Islam.
Dalam tarian itu, dilakonkan peristiwa-peristiwa dalam sejarah Islam khususnya mengenai Saidina Hussein bin Ali, cucu Rasulullah, bermakna kehadiran unsur-unsur Syiah.
Namun begitu adalah dipercayai bahawa asal usul Kuda Kepang berasaskan pada zaman yang lebih lama lagi iaitu ketika orang Jawa berfahaman animisme
Kuda Kepang dikenali sebagai Kuda Lumping di Jawa Barat. Di Jawa Tengah, ia dikenali sebagai Jaran Kepang atau Jathilan. Di Bali ia dikenali sebagai Sang Hyang Jaran. Sanghyang merujuk kepada tarian yang melibatkan kerasukan pada semangat.
