“Cepat betul kita berubah,” saya kata pada Gob. Kami bersandar di kereta Myvi entah milik siapa, selepas puas menonton tiga anggota Iqbal M. buat persembahan tak berbaju.
Lama juga. Saya fikir hampir sejam kami berdiri, kemudian duduk bersembang tentang lapangan muzik independen Malaysia yang entah ke mana arah tujunya.
Dalam fikir serius itu ada terselit kenangan lama. Saya mengusahakan Rondivu hampir sama tempohnya dengan Gob yang mengusahakan LUAS. Fasa awal, kami berjuang.
Bersungguh-sungguh mahu mengangkat muzik independen. Ada bara juang yang menyalakan rasa. Naif tapi semangatnya marak.
Ambil masa kira-kira dua tahun baru saya sedar, lapangan tak perlukan pejuang. Sudah banyak parasit yang wujud, kita tak perlukan pejuang dengan saviour complex pula.
Rondivu sudah dikebumi. LUAS masih bergerak tapi berkali-kali Gob tanya, apa lagi aku nak buat?
Apa lagi yang boleh dibuat? Apa yang perlu dibuat? Apa cara lagi yang mahu diteroka?
Dan segala soalan-soalan ini timbul kerana TAPAU. Institusi dan kolektif itu menyambut ulang tahun ke-10 di Studio AB, Petaling Jaya pada 28 dan 29 Disember. Dan sambutan itu jahat.
Ketika Faris tersedu
Acara pada Sabtu bermula dengan TAPAUkon Mini. Versi TAPAUkon yang lebih kecil. Ahmad Faris, pengasas dan pengarah kreatif TAPAUtv buka pagi Sabtu dengan ucaptama bersifat nostalgik dan emosional. Dia bentang sejarah TAPAUtv dari mula sampai habis.
Ia kemudiannya disambung dengan borak bersama pemilik ruang acara, yang dikendali Faris lagi. Kemudian dia berborak pula bersama saya dan dua penulis muzik lain, Farhira Farudin dan Zhafirin Zulkifli. Akhir sekali, Faris mengendali “sesi hadam dan kongsi beramai-ramai”.

Hal ini mungkin akan dipotong dari rakaman video TAPAUkon Mini nanti jadi biar saya rakam di sini. Dalam sesi pertama, ada detik air mata Faris jatuh membasahi misai dan janggutnya. Bukan satu, malah dua kali suaranya tersedu.
Ini kerana tahun depan berkemungkinan TAPAU (dengan segala cabangnya – TAPAUtv, TAPAUfest, TAPAUasia) bergerak lebih perlahan sebab Faris akan jadi bapa. Tumpuannya akan terarah kepada keluarga, seperti seharusnya.
Mungkin tak tutup, kata Faris, tapi tetaplah ia menyumbang kepada borak lama penuh menung saya dan Gob pada malam itu.
“Kalau ‘bapak’ tu dah tak ada, habislah,” kata Gob, pesimis, merujuk kepada Faris yang legasinya susah kami, generasi baharu, mahu tanggung. Saya tak balas apa-apa.
Bukanlah kami ini cikai sangat, mengada-ngada mahu tangiskan penghujung legasi TAPAU macam anak-anak kehilangan bapa. Cuma sukar mahu ulang gemilang para senior. Apabila lapangan semacam hilang arah, mahu tak mahu, ada segumpal rasa bersalah.
Legasi TAPAU
TAPAU menyambut ulang tahun ke-10 berdasarkan kiraan sejak penganjuran TAPAUfest pertama. Saya secara peribadi menganggap usia TAPAU sudah 14 tahun, sejak projek pertama mereka, TAPAU: the music, the road & a camera mula digerakkan di bawah IkanPaosCollective pada 2010.
Tapi benih kewujudan TAPAU juga sudah ada dua tahun sebelum itu, dengan penglibatan Faris dalam rancangan The Hoppers & Ahli Muzik di 8TV pada 2008. Fasa itu saya gelar sebagai proto-TAPAU.

Sejak itu, TAPAU menjadi watak penting dalam subbudaya seni independen di Malaysia. Penganjuran TAPAUfest pertama pada 2014 mencipta sejarah sebagai acara dana awam terbesar Asia Tenggara, dengan kutipan sumbangan sehingga RM85,000.
Projek video dan tivi atas talian mereka juga membawa revolusi. Nama-nama besar muzik independen – dari Yuna, Hujan sampai Mohd Jayzuan – ada tercatat dalam rangkaian TAPAU. Gaya visual mereka menjadi sebahagian identiti subbudaya alternatif Malaysia.
TAPAU sudah lama menjadi legasi. Jauh sebelum mereka menjadikan Lenggong, Perak sebagai destinasi tahunan peminat muzik. Lama sebelum Faris bakal jadi papa.
Gerak elak sesat
“Macam biasa. Kalau sesat, kita gerak saja sampai jumpa jalan,” saya kata pada Gob. “Tak gerak, sampai bila-bila kita sesat”.
Dalam TAPAUkon, saya ambil watak pesimis. Berbeza dengan Zhaf yang lebih zen dan Farhira yang lebih analitikal. Mungkin sebab dah lama pendam — hal-hal buruk lapangan hanya dibual dengan kawan rapat sebelum ini, tidak ditulis atau dihebah.
Adam Afifi kata, saya bawa orang pada realiti hari itu. Alhamdulillah, kalau betul itu yang saya buat.
Saya fikir lapangan perlukan kebenaran. Situasinya sedang tidak sihat. 2024 tahun lapangan menunjukkan simptom, saya jangka 2025 adalah tahun untuk jatuh sakit.
Akan perit untuk ramai orang tapi itulah jangkaan terbaik saya boleh buat, sebab tak nampak tanda-tanda untuk pulih. Tak ada tablet Kam Mao Qing Hurix yang boleh menunda demam.
Tapi kami – saya, Gob dan kawan-kawan lain – akan terus bergerak. Biarlah sesat dan tak nampak jalan, kami akan terus bergerak.
Malam itu di Studio AB, saya dan Gob memilih untuk jadi kebudak-budakan. Mahu tuai rasa ada senior, kononnya.
Hari ini kami bangun sebagai dewasa semula. Melempias berahi kepada muzik, berusaha mencari semula keseronokan berkomuniti dan bermandiri.
Semoga apabila TAPAU sudah tiada nanti, kami tidak bernostalgia kosong bagai anak indie meratib XFM, sebaliknya semangat TAPAU diresap jadi kekuatan dalam bentuk kami, dalam gaya kami.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.

