Dalam sesi pembentangan Simposium Muzik Ipoh 2025, khalayak bertanyakan persoalan rumit ini: Bagaimanakah kita dapat memahami dan mentafsirkan lirik-lirik lagu? Tidakkah ia sangat bersifat subjektif?
Saya mahu memulakan wacana ini dengan memetik sebuah catatan dari hagiografi sufi. Adalah diberitahu bahawa seorang ulama menemui Ibn al-Farid. Ulama ini memohon izinnya bagi mensyarahkan karya Ibn al-Farid; Nazm al-Suluk.
“Berapa jilid dapat kamu siapkan?” tanya Ibn Farid.
“Saya cuma dapat syarahkan dua jilid,” ujar ulama tadi.
“Aku dapat menulis dua jilid kitab untuk satu-satu bait syair ini,” Ibn Farid menjelaskan.
Dalam menghuraikan makna dan maksud yang terdapat dalam mana-mana lirik; kita terdedah kepada ragam tafsiran. Masing-masing akan memahami dalam perspektif yang unik. Teks lirik itu bersifat tertutup dan terbuka. Ia menjadi tertutup kerana masih menyembunyikan kedirian pengarang. Pengarang tidak pernah mati. Diri pengarang sudah membaur dalam hasil kepengarangannya. Namun begitu, teks tadi menyimpan sisi terbuka. Pembaca sedang bergelut untuk memahami segala maksud yang mahu disampaikan.
Apa mungkin khalayak dapat memahami lirik dengan sebaiknya?
Adakah nanti tafsir itu sah dan diterima?
Apa pula kaedah bagi mencapai maksud tersebut?
Para peminat lagu-lagu nyanyian M. Nasir mengabaikan lirik-lirik yang termuat dalam genre nasyid. Keadaan ini kemungkinannya dilatarkan oleh tanggapan khalayak terhadap genre nasyid itu sendiri. Rata-rata menumpukan perhatian kepada lagu-lagu dari album Kembara dan solonya yang diterbitkan dekad 1980-an. Malahan ada kalangan berpendapat bahawa penulisan lirik sufistik M. Nasir hanya bermula dekad 1990-an.
Perihal ini wajar diperhalusi kembali. Hal ini dapat membantu khalayak menyusuri geneologi kepengarangan tema kerohanian M. Nasir di awal-awal kerjayanya dalam industri muzik.
Dalam lirik-lirik Kembara di Tanah Gersang (1980), Perjalanan (1981) dan Perjalanan 2 (1982), nasyid Al-Jawaher mula merintis persoalan estetika kerohanian. Kata kunci yang digunakan dalam ketiga-tiga lagu ini adalah frasa “perjalanan” yang jelas mengisyaratkan keperluan kepada manusia untuk memulakan kembara kerohanian mereka.
Lirik ini dapat dipecahkan kepada tiga tipologi pengalaman kerohanian iaitu permulaan, pertengahan dan pengakhiran. Masing-masing tipologi ini diwakili oleh ciri-ciri tertentu. Ia merujuk struktur naratif tiga tahap pengalaman rohani. Hal ini diterokai berdasarkan analisis mendalam terhadap lirik pilihan.

Kembara di Tanah Gersang merujuk permulaan pencarian. Tema asas bersifat awalan langkah, ujian dan kesunyian. Perjalanan sebagai suasana pertengahan yang penuh rintangan. Pemilihan kata dalam lirik ini menggambarkan rintangan batin, godaan dunia dan pencarian makna. Perjalanan 2 merujuk puncak penyerahan diri. Dalam rangkap-rangkap terilham doa dan pengharapan kepada akhirat.
Kembara di Tanah Gersang membuka naratif dengan gambaran seorang pengembara yang menempuh “tanah gersang”. Simbolisme “tanah gersang” melambangkan kehidupan yang penuh cabaran, ketandusan makna dan ujian keimanan. Namun, di tengah kesunyian dan kepayahan itu, wujud cahaya harapan melalui perlambangan bintang dan bulan yang menjadi penunjuk arah. Tujuan “perjalanan” ini hanya “mencari jalan pulang”, walaupun “pengembara di tanah gersang” akan sendirian. Penulis menyatakan bahawa perjalanan “di tengah khatulistiwa” tersebut masih tidak dapat “menghilangkan dahaga” pencarian rohani. Rangkap “kami semua senasib denganmu” menyampaikan pesan bahawa “pengembara di tanah gersang” sebenarnya tidak lagi bersendirian kerana wujud ramai lagi insan yang memulakan perjalanan kerohanian mereka.
kembara berjalan bersendirian
mencari jalan pulang
bilakah masanya embun akan menjelma
di tanah gersang yang membakar
alangkah pedihnya nasib kembara
ditengah khatulistiwa
tak siapa yang dapat menghilangkan dahaga
namun tetap ia bertahan
Naratif Perjalanan memulakan liriknya dengan naratif “mencari ketenangan abadi”. Pencarian ini dimulakan dengan menemukan “kasih insan yang sejati”. Namun, keadaan ini menjadi kabur ketika penulis menggambar dua kemungkinan, iaitu “di lembah ini” atau “di syurga kekal abadi”. Rangkap ini jelas menunjukkan bahawa lirik ini bersifat orientasi dalaman. Penutupnya menyimpulkan pertanyaan, “apakah ini hanyalah sekadar harapan saja” bagi memperihalkan keadaan jiwa yang sedang dialaminya. Khalayak dapat merasakan emosi yang mencengkam dalam lirik-lirik ini:
perjalananku sangatlah jauh
dan meletihkan
apakah ada yang mengasihani
semangat untuk mencari-Mu
wahai hati suci
takkan pudar walau rintangan menghalang
Dalam “semangat mencari-Mu” ini, penulis menyatakan bahawa perjalanan tersebut sangat jauh dan meletihkan. Namun pujukan-pujukan “hati suci” tidak akan memudarkan pencarian rohani. Malahan dalam lirik berikutnya, diberitahu bahawa mata manusia “dipermainkan” hanya disebabkan kelesuan perjalanan. Ini mengisyaratkan bahawa pengalaman rohani ini masih diganggu oleh mata zahir yang melihat “emas dan permata, wang dan juga harta” yang “dikejar ramai manusia”.

Dalam Perjalanan 2 agenda pencarian kerohanian disampaikan dalam bentuk dialog. Melalui dialog-dialog ini khalayak dapat mengetahui bahawa wujudnya suatu keperluan hubungan intim antara guru dan murid dalam perjalanan kerohanian. Dalam rangkap pertama, ia memperlihatkan harapan murid kepada gurunya. Murid sedang memperteguhkan niat dan tekad “ketemui sinar-Nya”. Murid turut berharap gurunya menyediakan bekal al-Fatihah. Simbolisme “bekal al-Fatihah” ini dapat difahami sebagai petunjuk yang terbaik dalam menempuh pengalaman kerohanian. Dalam rangkap seterusnya, guru memberitahu bahawa perjalanan kerohanian yang ditempuhi hampir tamat. Guru menyatakan bahawa murid harus mendengar “suara memanggil bagai bersenandung” yang dapat ditafsirkan sebagai bisikan-bisikan laduniyyah dari Tuhan. Pemilihan kata soleh dan redha adalah maqamat yang sedang dialami oleh murid tersebut.
urusanku belum selesai selagi belum kutemui sinar-Nya
hendaknya dalam perjalanan ini
kau bekalkan ku Al-Fatihah
dengarlah suara memanggil bagai bersenandung
sedarlah perjalanan kita hampir tamat
sampaikan hasratku pada mereka yang soleh
katakan kuingin bersama memohon keredaan-Nya
aku pohon keredaan-Nya
Ketiga-tiga lirik ini diletakkan dalam tiga album yang berbeza. Semua lagu dan lirik ditulis oleh M. Nasir.
Ini dapat difahami sebagai suatu gambaran pengalaman kerohanian pengarang. Pengarang mengumpulkan segalanya dalam tiga lirik berasingan tetapi saling melengkapi.
Dalam ketiga-tiga lagu ini, frasa “perjalanan” menjadi simbol kerohanian. Perjalanan sebagai proses yang berterusan. Ini melibatkan perjuangan, pembersihan jiwa dan kembali kepada fitrah. Rintangan di jalan ini tidak hanya bersifat fizikal, psikologi dan rohani. Ketiga-tiga lirik ini mengharapkan akan ada sinaran yang menuntun perjalanan. Melalui tema “perjalanan” ini, al-Jawaher sedang membina ‘peta kerohanian’ yang sarat dengan simbol dan pengajaran. Trilogi ini memberitahu bahawa hidup adalah sebuah perjalanan panjang yang memerlukan kesabaran, kesedaran, dan penyerahan sepenuhnya kepada Yang Maha Pencipta.
Setiap judulnya merumuskan kesatuan naratif dan simbolisme. Ia menggambarkan metafora perjalanan jiwa dalam mencari makna, kebahagiaan dan kedamaian. Dalam garis-garis naratif, rintangan dan harapan muncul dalam semua keadaan (kehausan, kepenatan, godaan dunia, datang sinaran (bulan, bintang), taman indah, pulang dalam ketenangan, bersatu dengan redha-Nya).
Dalam pembacaan intim, ketiga-tiga lagu ini mengisyaratkan i) permulaan perjalanan rohani yang sarat dengan ujian dan pencarian, ii) semakin jauh perjalanan kerohanian, penjelajahan jiwa akan menghadapi cabaran dunia dan iii) untuk mencapai penyatuan dengan nilai kerohanian memerlukan doa dan harapan agar semuanya diberkati-Nya.
– MOHD ROSLI IBRAHIM merupakan seorang penulis dan aktivis Orang Kurang Upaya (OKU). Beliau telah menulis tiga buah buku iaitu, O.K.U. Bangkit, Gelap Mata: Percikan Renungan Seorang OKU dan Masyarakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU.
