JAWAB dengan jujur, perlu lagikah kita kepada malam gala setiap kali mahu menguar-uarkan kehadiran filem baharu dalam sinema tanah air? Hampir kesemua penerbit filem tempatan yang terkandas di panggung mengatakan bahawa mereka mengalami kekangan bajet untuk memasarkan filem sebesar-besarnya. Dalam pada itu, boleh kata kesemua mereka pasti bermula dengan sesi tayangan gala di lantai utama panggung untuk memperkenalkan filem. Eh, ada pula duit?
Pengurusan acara yang serba-serbi memakan belanja itu sudah pasti didoakan agar menjadi ibu duit ke dalam kantung panggung bagi menarik ratusan ribu pencandu-pencandu filem yang tidak keruan hidup tanpa seminggu sekali bermunajat dalam ruang gelap sinema. Masalahnya, adakah malam gala itu berfungsi sebegitu rupa?
Bijak pandai sering menasihatkan, tidak boleh mengharapkan hasil luar biasa kalau asyik mengulang rutin-rutin biasa. Jika secara konsisten, hanya 3 daripada 30 filem yang di’gala’kan berjaya mengumpul kutipan tiket mencecah RM1 juta, mengapa filem ke-31 yang sedang melihat dari jauh itu tetap mengikut langkah pendahulu sebelumnya? Bila tiba gilirannya, penerbit ke-31 akhirnya tetap membuat malam gala. Soalnya, apakah rasional barisan pelabur yang bersedia melihat operator perniagaannya mengambil tindakan sebegitu?
Benar. Dunia hiburan dan sinema tidak boleh lari daripada budaya glamour. Ia sudah menjadi darah daging atau semacam rukun yang tidak boleh dilangkau. Untuk ditemu ramah bercakap tentang keterujaan melakonkan watak pembantu, sebuah majlis mahal-mahal hampir lewat malam diperlukan kononnya bagi menguatkan pengalaman berharga itu. Peragaan busana di permaidani merah semacam menjadi pelaris artikel akhbar keesokan harinya yang menitipkan iklan berbentuk sinopsis (yang dijenamakan sebagai ulasan dan kritikan filem).
Pengarah perlu bersengkang mata dini hari, semata-mata mahu memanggil khalayak datang menonton filemnya. Pempengaruh media sosial perlu mencipta pelbagai istilah rating masing-masing bagi menjolok kerongkong peminatnya agar menikmati juadah filem yang baru sahaja mereka tonton itu. Oh ya! Pekerja belakang tabir dan soldadu penerbit juga turut hadir dengan t-shirt jenama filem bagi memeriahkan gambar Bersama-sama selebriti yang kehadirannya itu dibayar dalam rangka kerja promosi. Penulis cerita senyum-senyum sahaja di tepi tebing, memegang pas masuk percuma.
Setelah selesai majlis gelak tawa dan puji-memuji itu, penerbit pulang ke rumah dengan dada yang dipenuhi harapan palsu. Masa dipercepat, selepas tiga hari filem ditayangkan, tersedarlah bahawa kemeriahan malam gala tempoh hari hanyalah sekilas mimpi dalam tidurnya. Lalu, secara reaktif, cepat-cepat skim wajib tayang dilibas seperti yang biasa disilatkan penerbit sebelumnya. Tak semena-mena, bendera #SapotLokal dikibarkan penerbit itu buat pertama kalinya agar khalayak beramai-ramai turun menyokong filem yang sedang nazak di panggung. Penerbit lain yang baru dua minggu lepas giat mengibarkan bendera #SapotLokal pula sudah siap-siap menyimpan bendera di dalam laci. Tak terdengar suaranya menyokong filem yang baharu ini.
Khalayak jadi bingung dan serba-salah. Duit di dalam poket kita yang sedikit ini dijadikan subjek menimbulkan ragu. Niat di hati, mahu menonton Florence Pugh terjun bangunan. Namun, duit tidak cukup mahu menonton filem tempatan lain selepas itu. Jadi, ragu-ragu dikatakan tidak #SapotLokal jika tetap mahu menonton Florence Pugh. Bingung, walhal, memang duit penonton itu terhad bukan infiniti macam tauke ais dalam tahi lembu. Mahu memilih filem tempatan yang baru dua minit tadi dia tersedar wujud? atau Florence Pugh yang sudah dipromosikan berbulan-bulan awal?
Kalau benarlah pelaburan ketika berbelanja mengajak beracara di malam gala itu bakal membawa hasil, sudah pasti kita boleh melihat kehadiran 4,000 penonton pada hari pertama tayangan. Apakah matematiknya? Jika ada 10 pempengaruh yang datang, kita mengharapkan mereka dapat menjamin sekurang-kurangnya 100 orang (per pempengaruh) hadir pada hari pertama. Sudah 1,000 orang. Lagi, 3,000 orang datangnya dari pengikut seorang selebriti yang dibayar untuk hadir pada malam itu. Berilah alasan pasaran yang macam mana pun, sekurang-kurannya pada hari pertama sudah ada 4,000 orang hadir ke panggung.
Masalahnya, adakah ia berlaku sebegitu rupa? Jika tidak, sejauh mana malam gala itu berfungsi membantu pemasaran? Mengapa wang yang dibelanjakan untuk malam gala itu, tidak boleh disalurkan kepada strategi lain? Adakah penerbit filem tidak serik melihat penerbit lain digula-gulakan dengan malam gala?
Ada banyak kaedah lain. Orang kreatif harus berfikir dengan lebih kreatif. Mungkin penerbit boleh mencuba bekerjasama dengan komuniti kecil filem untuk dibuat tayangan test-screening. Gunakan bajet malam gala dan buat di beberapa tempat. Cari penaja tayangan khas dari institusi yang berkait rapat dengan filem terbabit. Sebagai contoh, kalau buat filem tentang nelayan, cuba dapatkan tajaan tiket dari Jabatan Nelayan Negara untuk menayangkan filem kepada 10 ribu nelayan di 100 panggung di seluruh negara pada hari pertama dan kedua tayangan.
Fikirlah apa jua cara, asalkan tidak mengulangi kesilapan orang sebelum yang terlalu bergantung kepada mihun, popcorn dan Coke pada malam gala.
Oh, ya! Sebagai penafian dan penutup, semua perbincangan ini terbina atas keprihatinan memasarkan filem-filem yang sedia ada berkualiti. Kalau filemnya itu sendiri bermasalah, usahlah dibawa ke sinema. Bawalah ke tengah laut dalam.
Nota: Malam gala ialah satu acara tayangan perdana filem yang bersifat eksklusif dan berprestij. Kebiasaannya, dibentang dengan hamparan permaidani merah, kehadiran selebriti, media dan tetamu jemputan dalam rangka promosi filem.
