KETIKA membentangkan makalah bertajuk ‘Hala Tuju Sastera Kebangsaan’ pada Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) ke-4 akhir Disember lalu, salah seorang pembentang, Dr Muhaimim Sulam menyebut, “Secara retoriknya, sastera bukan sekadar bersifat suci, murni, indah tetapi memiliki kuasa dan kesaktian tersendiri. Sasterawan Negara Usman Awang pernah menyebut: Tajam keris raja, tajam lagi pena pujangga.”
Saya tertarik dengan ungkapan ‘Tajam keris raja, tajam lagi pena pujangga.’ Ungkapan itu turut membina puisi ‘Berkayuh Rindu Di Selat Tebrau ‘ yang dihasilkan tahun 1983. Sejak kali pertama meneliti puisi itu pada tahun yang sama, saya sudah terpesona dengan ungkapan pendek itu
Tidak sahaja indah dibaca dan sedap disebut, tetapi yang lebih utama ungkapan itu memperlihatkan keberanian dan ketegasan seorang sasterawan yang sebelum itu sudah senama dengan perjuangan rakyat bawahan. Dengan pena pujangga yang tajam, Usman Awang membawa suara rakyat hingga ke Parlimen.

Puisi itu bukan sahaja sebuah seruan supaya sasterawan yakin dengan pena yang tajam di tangan mereka, tetapi juga bukti tajamnya ‘pena pujangga.’ Secara mudahnya kalau ada yang bertanya bagaimana ukurannya tajam pena pujangga, jawabnya telusurilah puisi ‘Berkayuh Rindu Di Selat Tebrau’.
Sama ada secara kebetulan atau sememangnya sebuah sebuah reaksi sosial, puisi ‘Berkayuh Rindu Di Selat Tebrau ‘ terhasil ketika tercetus krisis antara istana dan eksekutif (pimpinan politik arus utama) pada 1983. Krisis itu bertolak daripada pindaan Perlembagaan yang mengurangkan kuasa istana yang seluas laut dan setinggi langit itu.
SKPM dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan dihadiri oleh lebih 200 peserta yang terdiri daripada sasterawan dan penulis. Ada yang berusia muda dan yang sudah dewasa, juga yang baru berjinak-jinak dan sasterawan mapan termasuk Sasterawan Negara. SKPM adalah acara penting kepada sasterawan dan penulis.
Dr Muhaimim melontarkan beberapa hujah yang dilihat amat relevan dengan matlamat persidangan sasterawan itu. Lontaran itu perlu diangkat oleh semua badan dan persatuan yang berkaitan kesusasteraan.
Tentulah suatu yang merugikan sekiranya makalah berkenaan tidak ditelusuri dan memetik pemikiran dan kupasannya. Penganjur telah mengedarkan versi digital makalah itu dan semua peserta perlu menelaah dengan teliti. Suatu yang menarik adalah sekalipun Dr Muhaimim seorang ahli akademik, tetapi makalah dan juga pembentangan mudah difahami oleh semua peringkat.
Sastera kebangsaan
Perkara pertama yang boleh dicerapkan selain perihal pena pujangga adalah gagasan sastera kebangsaan. Menurut beliau, secara dokumentasinya sastera kebangsaan sudah ada dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971. Sekalipun tidak disebutkan secara khusus tentang ‘sastera kebangsaan’, akan tetapi kebudayaan kebangsaan itu sudah merangkumi bidang kesenian, budaya dan persuratan yang bertunjangkan akar budaya dan tradisi.
Sifat-sifat kebangsaan itu tentulah sesuatu yang tidak bertentangan dengan Islam sebagai agama Persekutuan, budaya Melayu atau budaya kaum-kaum lain yang tidak bertentangan dengan Islam. Budaya Melayu secara tidak langsung terkait dengan kedudukan bahasa Melayu juga persuratan Melayu.
Kedua, tentang kesasteraan kita yang kehilangan roh dan semangat sejak merdeka lebih enam dekad lalu. Malah perkara itu menjadi bertambah tenat apabila globalisasi mengunjur ke seluruh dunia dan menghakis garis-garis kedaulatan bangsa dan negara. Di negara ini misalnya, kedudukan bahasa Melayu teranjak ke bawah dari tempat yang selayaknya seperti dalam Perlembagaan.
Ketiga, beliau menyentuh perihal tandusnya keazaman politik (political will) dalam kalangan sesetengah ahli politik untuk mengangkat kedudukan sastera kebangsaan. Malah bahasa kebangsaan pun terus terabai di papan catur politik.
Perkara terakhir, Dr Muhaimim mengingatkan golongan sasterawan atau penulis bahawa kuasa mereka berada di pena. Sekiranya ada perkara yang perlu disanggah, sanggahlah dengan sastera yakni dengan kewarasan dan ketinggian pemikiran dalam karya.
Hal demikian membawa maksud pena pujangga itu besar pengaruhnya. Maka dalam kalangan sasterawan dan penulis tidak perlu sedikit pun rasa apologetik untuk menegur penguasa dengan ketajaman pena yang diselarikan dengan kewarasan dan tanggungjawab.
Semua perkara yang disebutkan di atas secara khususnya memperlihatkan pengaruh sastera ada di tangan para sasterawan. Kuasa itu amat besar hingga mampu mengatasi ‘keris raja.’ Dalam kata lain, kesusasteraan menjadi landasan bagi golongan sasterawan membina masyarakat dan negara dengan kesanggupan memperbaiki kelompangan atau menyuraikan pergulatan yang berlaku dalam masyarakat.
Mengulang sebut ‘Tajam keris raja, tajam lagi pena pujangga’ dalam makalah itu menjadikan pembentangan Dr Muhaimim begitu memikat. Malah lebih memikat berbanding isu popular seperti kecerdasan buatan (AI) yang kelihatannya dipaksa-paksa dikaitkan dengan sastera, tetapi masih di permukaan.
AI ternyata tidak mampu mempertajamkan pena pujangga yang tumpul kerana banyak termakan budi, misalnya. Pena pujangga perlu ditajamkan dengan pemikiran dan tanggungjawab sasterawan, bukan AI. Kepada sasterawan yang oportunis atau pengecut, AI tidak mampu mengubah menjadi pemberani.
Sekalipun ungkapan ‘Tajam keris raja, tajam lagi pena pujangga’ itu pendek dan ringkas, tetapi maksud yang boleh diumpil daripada itu sangat besar sekaligus menyentuh secara langsung perihal sasterawan dan kesusasteraan kita. Hal itu tidak jauh bezanya dengan kata-kata bahawa mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Mata pena yang tajam pun perlu jatuh ke tangan yang tepat, tidak bermakna tajamnya kalau jatuh ke tangan yang takut kehilangan habuan dan jawatan.
Sasterawan di zon selesa
Ungkapan Usman Awang yang diapungkan oleh Dr Muhaimim itu adalah penggera untuk mengejutkan mana-mana dalam kalangan sasterawan atau penulis yang terleka dengan zon selesa, terlupa akan tugas dan tanggungjawab hakiki mereka. Maka, bangkitlah dengan ketajaman pena pujangga yang ada di tangan.
Gagasan sastera kebangsaan dan ‘tajam lagi pena pujangga’ saling terkait antara satu dengan lain . Misalnya gagasan sastera kebangsaan hanya tinggal nama sahaja sekiranga pena pujangga sudah tumpul dan tidak seperti yang dibayangkan Usman Awang.

Sekali lagi, pena pujangga itu amat berpengaruh. Tidaklah tajam pena itu melainkan dipertajamkan oleh sikap dan pendirian serta kesedaran akan tanggungjawab yang dipikul oleh golongan sasterawan. Semoga sasterawan kita dilindungi daripada segala anasir atau keadaan yang boleh menumpulkan pena yang ada di tangan mereka.
Tentunya itu jugalah tujuan Usman Awang dengan tegas mengulang ungkpan itu sebanyak dua kali – pada pertengahan dan akhir puisi. Itulah tunggak pada puisi yang berbicara tentang sastera yang tercerap daripada peristiwa berkaitan sasterawan dalam kitab Sejarah Melayu.
Maka tidak hairanlah apabila ungkapan itu menjadi amat bertenaga tidak sahaja di layar feudalisme yang sudah lama berlalu. Akan tetapi berdiri melihat persoalan dan permasalahan semasa yang menuntut keterlibatan golongan sasterawan dan penulis untuk mengapungkan pemikiran dan pendirian.
Disebabkan tajamnya pena pujangga, karya itu terus membawa pemikiran besar dan memberikan sumbangan kepada khalayak dan masyarakat. Kesannya tentulah tidak sama dengan kata-kata yang melompat keluar dari mulut sesetengah dalam kalangan ahli politik. Hayat kata-kata ahli politik itu tidak panjang, hilang sahaja dia dari persada kuasa, kata-kata itu pun kehilangan makna.
Maka amat tepatlah kalau dikatakan ungkapan ‘Tajam keris raja, tajam lagi pena pujangga,’ dianggap sebagai pencetus semangat golongan sasterawan dan penulis. Hal itu kerana sastera dan kesusasteraan itu merangkumi sosiopolitik, budaya dan ekonomi. Malah sentiasa memerhati dengan penuh tanggungjawab terhadap segala sesuatu tanpa rasa terikat dengan mana-mana pihak.
Ungkapan itu sebenarnya mencabar golongan sasterawan dan penulis supaya dengan penuh sedar tidak membiarkan pengaruh mereka berada bawah naungan penguasa atau ahli politik. Tentulah salah satunya tidak memposisikan diri seolah-olah entiti yang bercakap bagi pihak penguasa atau ahli politik.
Sasterawan dan penulis semestinya mendukung wibawa dengan kewarasan dan demi kepentingan golongan rakyat. Tentu sahaja tidak sekadar mempunyai kelebihan berkarya (menulis dan sebagainya) tetapi juga memiliki pendirian yang tidak mungkin boleh digugah dengan apa sekalipun.
Politik dan sastera
Dr Muhaimim membawa kita menoleh ucapan Sasterawan Negara Keris Mas pada majlis penganugerahan Sasterawan Negara tahun 1981 di Parlimen di mana hubungan politik dengan sastera berlaku dalam tiga bentuk. Ucapan penuh itu disiarkan dapam surat khabar Utusan Malaysia dan Utusan Melayu.
Perkara pertama yang disebutan oleh Keris Mas adalah politik sastera yang bermaksud pendirian politik terhadap sastera dalam konteks sifatnya yang bertaraf kebangsaan.
Kedua, adalah sastera politik di mana sastera digunakan oleh kelompok ahli politik. Hal itu berlaku disebabkan kebergantungan pada dukungan politik padahal yang sepatutnya bergerak bersama-sama malah dalam keadaan tertentu pena pujangga lebih tajam daripada ‘pena penguasa.’
Ketiga, ialah sastera yang menjamin kebebasan berfikir dan mencipta dalam kalangan sasterawan. Dalam kata lain sastera yang memberi suasana bernafas untuk sastera dan berkembang maju.
Ketika-tiga perkara yang disebutkan oleh Keris Mas dan sebagaimana dipetik oleh Dr Muhaimim mempunyai pertautan yang amat rapat dengan tajam atau tumpulnya pena pujangga. Sama seperti masa kini, ada yang bergantung kepada ahli politik, zaman Keris Mas juga berlaku perkara yang sama.
Dr Muhaimim ternyata amat kecewa dengan perkembangan sastera di peringkat sekolah hingga unversiti. Beliau mendapati dengan jelas keadaan sastera atau sasterawan serta karya-karya sastera seperti melukut di tepi gantang, dimasukkan tidak bertambah, dikeluarkan tidak berkurang.
Saya percaya hal itu bukanlah disebabkan oleh soal sikap masyarakat semata-mata. Tetapi juga disebabkan oleh sesetengah dalam kalangan penguasa yang tidak mempunyai keazaman politik untuk meletakkan sastera, sudah tentu sastera kebangsaan pada tempat yang selayaknya. Kebergantungan sesetengah dalam kalangan sasterawan kepada penguasa atau ahli politik menyumbang pada tumpulnya ‘pena pujangga.’
Maka amat tepat Dr Muhaimim mengingatkan kembali ungkapan, “Tajam keris raja, tajam lagi pena pujangga.’” Semoga dengan bersandarkan pada ungkapan yang lahir daripada sasterawan pejuang rakyat seperti Usman Awang mampu menyakinkan sasterawan masa kini bahawa di tangan merekalah penentu tajam atau tumpulnya pena pujangga.
– KU SEMAN KU HUSSAIN adalah mantan Pengarang Mingguan Malaysia yang kini menjadi wartawan bebas. Beliau telah menghasilkan dua buku, ‘Anekdot Ku Seman (2018) dan ‘Kata Ku Seman (2023). Kini sedang menyiapkan sebuah memoir yang mencatatkan insiden-insiden penting di sebalik tabir Jabatan Pengarang Utusan Melayu.

