AZALAN Hussain atau ramai yang mengenaiinya dengan Sinaganaga Lan Ben Hussain terkenal sebagai pengerak utama buku-buku swaterbit, kembali dengan buku baru dengan judul ‘Ragam Tidur Orang Ternama’.
Buku-buku yang diterbitkan oleh penerbitan Studio Anai Anai dan juga Buku Orang Lidi memang selalunya meriangkan. Penerbitan ini banyak menumpukan kepada buku-buku sajak dan juga puisi. Namun mereka juga ada menebitkan buku kritik sosial, cerpen dan juga memoir.
Kedua-dua penerbitan ini juga tidak hanya menumpukan kepada kandungan buku terbitan mereka malah rekabentuk luaran buku sangat diambil kira.
Buku ‘Kata Plato Kettew’ yang diterbitkan pada tahun 2023 misalnya mengetengahkan reka bentuk yang sangat menarik. Tidak seperti kebiasaan, buku ‘Kata Plato Kettew’ dipersembahkan bagaikan sebuah arkodian. Muka suratnya bersambut diantara satu dengan yang lain sementara buku kumpulan cerpen lima orang penulis terkenal tanahair yang diterbitkan sebelum itu pula diasing-asingkan. Kesemua limah buah buku berkenaan bila dicantum akan membentuk seekor ikan tenggiri.
Buku-buku terbitan mereka sentiasa dinantikan oleh kerana kelainan yang mereka persembahkan baik dari kegirangan isinya mahupun rekabentuk buku itu sendiri. Mungkin nama penerbitan ini tidak akan disebut bila kita bercerita mengenai buku-buku ‘healing’ yang laku keras sekarang ini namun sesuatu yang tidak dapat dinafikan adalah penerbitan ini sudah lama menjual judul-judul yang menghilangkan tekanan.
‘Ragam Tidur Orang Ternama’ adalah satu lagi buku yang ‘fun’. Ianya mungkin tidak akan memenangi sebarang anugerah sastera namun seperti drama cinta ditelevisyen, ianya adalah sebuah buku yang perlu ada.
“sebenarnya sofa biru di dalam Studio Anai Anai telah terkena sumpahan.Barang siapa yang duduk di atasnya-akan mengantuk dan seterusnya tertidur”.
Demikian kata Sinaganaga melalui buku kecil ini. Dan memang pun buku ini mengandungi foto orang terkenal yang sedang tidur. Diantara mereka ialah Pyanhabib, Roslan Madun, Zainal Rashid Ahmad,Ludin Nuawi dan juga Datuk Budiman Mohd Zohdi.
Foto mereka sedang tidur lena dirakam oleh Sinaganaga sewaktu mereka datang berkunjung ke studionya di Rumah Pena.
Walau pun kelihatan ringkas, buku ini memberikan satu gambaran sisi sebenar mereka yang selama ini kita kenali sangat menjaga penampilan mereka. Ianya adalah satu momen yang tidak dibuat-buat dan seperti kata orang pandai agama, tidur adalah ibadat yang paling Ikhlas.
Tidak semua buku diterbitkan hanya untuk menang anugerah atau menunjukkan keahlian penulisnya dalam mengolah bahasa atau beria-ia mahu membentuk bangsa. Buku ‘fun’, girang dan tidak pura-pura juga mesti diberi tempat untuk menambah warna pada dunia penerbitan buku.
‘Ragam Tidur Orang Ternama’ diakhiri dengan foto penyanyi dan ratu cantik terkenal Soo Wincci yang tidak tidur.
