PELIK bunyinya. Ada ke kes macam ini? Jenayah apa ini? Tak nak menyanyi pun boleh ke mahkamah? Ertinya boleh ke penjara?
Ini kes pelik tapi benar. Kes berlaku dalam tahun 1993. Ambo dan Ahmad Busu terima surat dari Sony Music Entertainment( M) Sdn. Bhd.
Kisahnya begini, ambo dan Ahmad sign kontrak buat album dengan Sony Music pada tahun 1992. Sony mahu keluarkan album lagu raya untuk tahun itu. Lagu komedi. Kebetulan masa itu lagu komedi tengah laris di pasaran. Lagu Salih Yaacob meletup. Imuda dah ada album sendiri. Lagu An Evening In Parit nyanyiannya popular ketika itu
Sony Music tawarkan pada kami berdua. Ambo pada awalnya menolak. Ambo pernah kata dua perkara dalam dunia ini ambo tak boleh buat, menyanyi dan menari kecuali bila dalam keadaan tidak normal sahaja. Namun demikian Ahmad tidak mahu buat album solo. Dia mahu berteman. Ambo tahu dia nak sangat buat album. Dia memang boleh menyanyi. Kawan-kawan lain sudah ada album. Imuda sudah ada album solo. Dengan syarikat EMI lagi. Trio Santan Berlada lebih awal, pada tahun 1991. Ini peluang untuk Ahmad.
Ya dia pujuk ambo. Ambo pun setuju tanpa tanya apa-apa dengan penerbit album iaitu Poe. Ambo kenal Poe, sejak tahun 80-an ketika dia bekerja dengan sebuah majalah kartun sebagai kartunis dan belum lagi dikenali sebagai penyanyi.
Maka kami pun sign kontrak dengan Sony Music. Bukan tahu baca kontrak pun. Ahmad sign, ambo pun sign. 10 lagu dah siap. Lagu khas untuk hari raya. Selain kami berdua, Sony Music juga sedang terbitkan album lagu raya untuk artis-artis baru mereka. Beberapa artis nyanyi dalam satu album. Ada Ning Baizura, Ameng Spring, AG dan yang lain ambo tak ingat. Semuanya masih baru. Baru-baru jadi penyanyi.

Hari pertama masuk studio, ambo minta dengan Poe dan Johari Teh untuk tukar lirik-lirik yang dah Poe siapkan. Johari ketika itu merupakan orang nombor dua Bahagian Melayu Sony Music. Dia juga seorang penyanyi. Ambo tak nak kelakar cara Poe. Ambo nak cara ambo dan Ahmad. Ada juga lagu yang kami tukar sebab susah nak nyanyi. Apa pun semua lagu saduran kecuali lagu Dikir Raya. Ambo ubah sikit dari Dikir Karut Patani. Poe dan Johari setuju.
Semua lirik ambo tulis pada hari rakaman. Ambo ada sedikit pengalaman mendengar lirik lagu-lagu dikir barat. Ambo cuba bawa kaedah macam tu. Ahmad pun tolong juga. Maka kami letak nama bersama sebagai penulis lirik.
Oleh kerana ambo memang tak boleh nyanyi, Ahmad lah yang cover banyak lagu. Ambo banyak ad-lib dialog saja. Ada bahagian nyanyi rap, ambo buat. Begitulah. Beberapa hari siaplah sepuluh lagu dirakam.
Dua minggu sebelum raya puasa 1993, bulan Mac album bertajuk Jangan Main Mercun dikeluarkan. Pada hari itu ambo secara rasmi sudah ada album. Dah jadi penyanyi. Tiba-tiba jadi artis rakaman. Kalau 60-an, 70-an orang panggil artis piting hitam. Jadi kena lah buat promosi. Surat khabar banyak tulis pasal album ini. Ambo mengaku yang ambo tak boleh nyanyi. Banyak tempat kami pergi. Kami tak hafal lagu-lagu tu, jadi kami miming saja. Kami mula dengan berdiri membelakangi penonton. Konon itu showmanship lah. Sebenarnya tak tahu nak masuk macam mana. Kami cuma pusing ke arah penonton selepas dua baris lirik kedengaran. Jadi penonton tidak tahu sebenarnya kami miming. Pernah sekali tengah nyanyi tiba-tiba lagu terhenti. Ada kesilapan teknikal berlaku. Nasib baik kami ikut terhenti sama dengan lagu itu. Serentak. Tak bocor pada penonton yang kami hanya miming. Ini berlaku di Pulau Pinang.
Sepanjang dua minggu sebelum raya, beberapa buah lagu kami sangat popular. Radio ada putarkan. Shopping kompleks memang meriah mainkan lagu kami.
Kebetulan tahun itu raya puasa tak jauh jarak dengan raya cina. Kami buat satu lagu yang jodolnya Kongsi Kongsi Kongsilah. Kami tukar lirik dari lagu raya cina Gong Xi Gong Xi. Malangnya lagu ini dibanned oleh radio. Tapi di shopping kompleks ia sangat popular. Beberapa tahun selepas itu barulah Hari Raya Aidlifitri dan Tahun Baru Cina disambut serentak. M.Sharif bersama The Zurah 2 buat lagu Kongsi Raya. Masa itu radio dah benarkan untuk siarannya.
Banyak juga show hari raya kami terlibat. Majlis rumah terbuka kami menyanyi. Semuanya miming.

Alhamdulillah, selepas raya album kami tercatat di carta Salem Power Station tempat ketiga. Pertama Ella and The Boys, kedua Shima. Kami dapat lah rasa duit jualan album itu. Tak banyak pun. Tapi syukurlah.
Maka Sony Music mahu terbitkan album kedua kami. Enam lagu sudah Poe siapkan. Kalau album pertama semua lagu-lagu hari raya, kali ini tidak lagi. Kami dipanggil berbincang. Ambo menolak untuk nyanyi lagi. Ambo memang tak boleh nyanyi. Album yang dah buat itu kalau dimute suara Ahmad, tinggal suara ambo sahaja bukan hanya ke laut tapi ke dasar laut.
Ambo tahu Ahmad berhasrat nak buat album kedua. Memang dia patut buat. Ambo minta maaf dengan dia.
Katanya, “kontrak kita dua album”. Alamak! Ambo tak baca. Ambo main sign sahaja. Ahmad sign, ambo ikut. Dia tak pernah cakap pun sebelum ini.
Ambo bagi tahu Johari, ambo tak nak buat album kedua. Ambo minta biarlah Ahmad buat album solo. Ahmad pula tak mahu. Dia seboleh-bolehnya nak ambo bersama. Perbincangan hari itu tak selesai.
Masa berlalu. Lagu-lagu kami dilupakan. Lagu tu hanya untuk musim hari raya sahaja. Ambo sendiri pun lupa.
Akhirnya ambo terima sepucuk surat dari Sony Music. Surat menyatakan sekiranya ambo tak buat album kedua, ambo akan didakwa di mahkamah atas alasan melanggar kontrak.
Aduhh.. kali kedua dalam hidup ke mahkamah. Kali pertama masa umur 19 tahun. Ambo kena saman naik motor tak ada lesen. Ambo buat tak tahu saja. Tak bagi bagi tahu ayah pun. Akhirnya naik mahkamah di Kota Bharu.
Hakim kata kena bayar RM170 selepas diskaun. Oleh kerana ambo tak bayar, kena masuk lokap dalam mahkamah sementara urusan yang lain.
Pintu mahkamah dibuka, ambo diarah masuk. Sebelum kaki melangkah masuk ambo teringat ayah ada di luar. Ayah sebenarnya tak masuk dalam ruang bicara itu. Dia tunggu di luar. Ambo segera berlari cari ayah.
Bayangkan dua orang polis kejar ambo dari dalam bangunan mahkamah hingga luar bangunan. Sambil berlari ambo laung, “nak cari ayah saya… ayahhh.. ayahhh..“ semua orang tengok scene itu. Ayah ada menunggu kat luar.
Ambo minta ayah bayar, kalau tidak ambo masuk lokap. Ambo tak nak sial masuk lokap.
Ambo call Ahmad. Dia juga dapat surat yang sama. Dia agak panik. Ambo kata kita jumpa Johari. Petang tu ambo call Johari. Ambo tak bincang pun isu surat tu dalam telefon, cuma cakap nak jumpa.
Esok petang ambo dan Ahmad ke Sony Music. Di tempat parking ambo beritahu Ahmad, “biar aku yang cakap. Kau diam dulu”. Ahmad setuju. Dia mungkin tak tahu nak cakap apa sebab dia memang nak teruskan album kedua tu.
Johari nampak serius tak macam sebelum ini. Selalunya kami bergurau. Petang itu dia bukan lagi seorang kawan tapi lebih pada seorang yang berjawatan di Sony Music. Poe tak ada dalam perbincangan kali ini.
Katanya, “syarikat dah rugi 6 ribu buat lagu baru…”
Ambo kata, “kalau kami teruskan juga mungkin syarikat akan menambah kerugiannya lebih dari 6 ribu lagi. Bayangkan kami buat dengan tidak ikhlas tapi hanya kerana takut dengan mahkamah.”
Ambo kata lagi, “sekiranya pihak Sony tetap nak hantar ke mahkamah saya tak ada masalah. Pertamanya kalaulah saya di heret ke mahkamah, dibicarakan, dijatuh hukum dan dipenjarakan kerana tak nak menyanyi… ayah saya di kampung masih boleh pergi ke masjid tapi kalau saya ke mahkamah, dibicarakan, dijatuh hukum dan dipenjarakan kerana mencuri, hisap dadah atau merogol, ayah saya di kampung tak boleh pergi ke masjid, dia malu”.
Ambo sambung lagi, “yang kedua, ayah saya juga tentunya akan bangga dengan saya. Anaknya yang paling nakal dan banyak menyusahkan dia sebelum ini akhirnya dia boleh berbangga”.
Johari diam dan mengangguk kecil. Ada senyum dibibirnya.
Ambo teruskan hujah, “yang ketiganya, saya akan jadi orang pertama di Malaysia dan mungkin dalam dunia jadi banduan kerana tak nak menyanyi, nama saya akan dikenang untuk seratus tahun akan datang”.
Akhirnya Johari bersuara, “kami boleh batalkan perjanjian tapi syarat jangan pergi pada company lain”.
“Saya tak nak menyanyi bukan tak nak menyanyi dengan Sony Music,” ambo potong cakap dia. Bukan tak hormat dia tapi lebih pada untuk dia faham kenapa kami tak nak buat album kedua. Bukan ada offer dari syarikat lain.
Alhamdulillah, akhirnya kami capai persetujuan untuk tidak teruskan album dan kami berdua digugurkan sebagai artis Sony Music.
Johari sangat memahami masalah ambo. Ambo berterima kasih. Kami berjabat tangan. Ahmad juga memahami. Pada Ahmad, yang pentingnya jangan sampai ke mahkamah. Selesai dengan aman.
Ambo memang tak boleh nyanyi. Tukang karut dikir barat lain. Tak semua tukang karut boleh menyanyi. Lain dengan Tok Jogho. Lagu-lagu jogho itu nyanyian. Ada melodinya.
Kalau ambo boleh menyanyi tentunya lagu Langgam Pak Dogo tu ambo yang nyanyi. Asalnya M.Nasir pelawa ambo. Bila ambo kata tak boleh nyanyi dan ambo kenalkan pada dia Pok Ya Pantai Dalam (pendikir/ dalang wayang kulit di KL). Ambo ikut ad-lib dialog saja dalam lagu itu.
Yang penting dalam hidup ambo ada satu lagu dalam album seniman M.Nasir. Tak semua penyanyi dapat peluang itu.
Dan yang kedua dalam senarai kerjaya ambo, ada satu album dengan label syarikat ternama Sony Music.
Secara tak langsung juga telah menempatkan nama untuk seratus tahun akan datang. Hahaha.. atau begitukah?
Apa pun tak semua mampu “pergi dengan angin”. Ada kalanya kita “putuh angin”.
Demikianlah adanya.
– SABRI YUNUS merupakan seorang pengarah dan pelakon yang sering menampilkan kesenian dan kebudayaan Kelantan dalam karyanya.

