Saya antara orang yang berpuas hati apabila Jagat (2015) arahan Shanjhey Kumar Perumal (Sun-J Perumal) diangkat sebagai Filem Terbaik Malaysia di FFM28, walaupun ketika itu agak pening dengan kewujudan dua kategori ‘filem terbaik’, satu lagi diberi kepada Munafik arahan Syamsul Yusof di bawah label Filem Terbaik Nasional. Bagi saya, Jagat membuka satu perspektif baharu dengan menunjukkan bentuk kejujuran baharu dalam sinema Malaysia. Filem berbajet rendah itu tidak punya niat mahu menawan pasaran, sebaliknya memegang cermin di depan wajah masyarakat dengan cahaya yang mentah, jujur dan tidak menipu. Tidak ramai pengarah di Malaysia yang mampu menulis dan mengarah dengan kesedaran sinematik yang begitu organik, antara ritual dan realisme, antara sosiologi dan spiritual. Saya masih ingat pertemuan saya dan Sun-J Perumal di Tingin ASEAN Film Festival, Manila 2017, di mana Jagat dan Wayang (2008)mewakili Malaysia untuk ditayangkan di sana. Ada sesuatu pada dirinya yang diam tapi padat dalam fikiran.
Hampir sedekad berlalu, Macai muncul tahun ini, dan berita ia bertanding di International Film Festival Rotterdam (IFFR) memberi bayangan kepada saya yang Sun-J Perumal belum selesai dengan dunia Jagat, cuma kali ini nadanya nampak lebih liar dengan elemen ambiguiti gaya ‘pembikin filem faham sinema’. Saya menonton Macai di malam hari pertama tayangan umumnya. Lima minit pertama Macai seakanmembawa mood realisme magis, dengan visual seorang lelaki menyuluh hutan gelap dan kemudiannya bertemu satu susuk tubuh berjubah merah dengan wajahnya masih disembunyikan. Kemudian masuk di pertengahan, filem ini bergeser menjadi road movie yang longgar, liar, santai, dan sedikit ketat pada reaksi watak utama, Siam. Lingkungan latarnya ialah republik fiksyen Lingapura, sebuah negara yang berjiran kepada Singapura dan Thailand. Sudah tentu kita tahu negara apa yang dimaksudkan.
Dari awal lagi, filem ini menanam benih perbualan halus tentang isu-isu rentas sempadan. Dalam satu babak awal, sekumpulan lelaki di tempat cuci kereta berbual tentang Singapura dalam bahasa Inggeris seolah memberi isyarat tertentu. Lewat sedikit baharu kita nampak di televisyen berita tentang kes warga Malaysia yang baru dijatuhi hukuman mati di sana kerana mengedar dadah. Ia hanyalah cebisan kecil, tetapi dalam tangan Sun-J Perumal, cebisan itulah metafora: bahawa sempadan antara negara dan manusia sebenarnya kabur, dan moraliti sering kali ditentukan oleh siapa yang punya kuasa menulis undang-undang.
Macai adalah mengenai Siam (Karnan G. Crak), seorang pengedar dadah kecil yang ‘terpaksa’ mengedar, kehilangan stok dadah (Methamphetamine) milik tokan dadah yang dikenali sebagai Ibu. Dia meminta bantuan rakannya Oosi (Kuben Mahadevan), yang kemudian bertemu seorang kawan lama Oosi, iaitu Jack (Irfan Zaini) di meja arak. Mereka bertiga memulakan perjalanan untuk menebus kehilangan itu melalui idea rompakan oleh Jack, kemudian penculikan dan tebusan. Apa yang bermula sebagai misi jenayah berubah menjadi perjalanan batin, penuh rintangan, kekacauan dan halusinasi moral yang meracuni mereka.

Apa yang membezakan Macai dari kebanyakan filem Malaysia ialah kekemasan semiotiknya yang tidak terlalu pretentious.Simbol-simbolnya tidak menjerit minta difahami, tapi tetap konsisten: pertarungan antara jahat (Evil) dan baik (God) berulang dalam dialog dan visual. Ia bukan moralistik, tapi teologi yang diseleweng kerana dalam dunia Lingapura, Tuhan tidak hanya dilihat suci, dan syaitan tidak lagi bersembunyi.
Saya perasan, perhatian Sun-J pada hal-hal kecil yang tampak remeh tapi padat makna. Dalam beberapa adegan, botol-botol arak berlabel ‘rekaan’ Old Speckled Lynch disusun di warung-warung makan Cina jelas sekali parodi terhadap bir British Old Speckled Hen, tetapi lebih menarik ialah kemungkinan maksud tersembunyi di sebalik nama ‘Lynch’. David Lynch, pengarah yang sinonim dengan dunia surreal dan absurd, sering berbicara tentang manusia yang terperangkap antara realiti dan mimpi. Dalam Macai, gabungan ‘Old Speckled’ dan ‘Lynch’ memberi aroma masa lalu yang mabuk, kabur, dan tidak selesai seperti a Lynchian hangover.
Filem ini juga memperlihatkan sisi spiritual Sun-J Perumal yang makin matang. Unsur hinduisme, khususnya gambaran tentang Dewa Khinzir (Varaha), muncul di beberapa babak, baik dalam dialog mahupun visual. Watak pelayan Nepal yang menghidang bir memakai rantai Dewa Khinzir, kemungkinan merujuk kepada Varaha, inkarnasi Dewa Vishnu yang turun ke bumi dalam bentuk khinzir untuk menyelamatkan dunia. Dalam Macai, ia menjadi alegori dunia terbalik, ‘penyelamat’ muncul dalam bentuk yang dianggap ‘kotor’, malah kotor itu sendiri menjadi lambang kesedaran. Simbol itu bergema dalam watak Oosi, teman Siam yang pada mulanya kelihatan setia (terdapat juga beberapa poster presiden dan voice over radio yang menekankan soal SETIA sebagai motto Lingapura) tetapi akhirnya licik.
Oosi dalam Macai bukanlah villain sepenuhnya, tetapi lebih kepada shadow-self Siam; sisi gelap yang menyimpan keinginan, ketamakan dan naluri survival yang Siam sendiri cuba sembunyikan. Walaupun kelihatan mabuk, bengap, dan selalu cuai, Oosi sebenarnya paling faham bagaimana sistem bawah tanah Lingapura bergerak, dan pengkhianatannya bukan tindakan jahat peribadi tetapi refleks struktur masyarakat: orang kecil akhirnya memakan orang kecil juga. Dinamik ini mengingatkan kepada Lost Highway (1997) karya David Lynch, khususnya motif identiti ganda dan pengkhianatan sebagai bentuk transformasi diri. Sama seperti Fred Madison yang “bertukar” menjadi Pete Dayton ketika realiti menekan dari segala arah, Oosi juga berubah bentuk daripada sidekick tak berguna kepada manusia paling licik ketika terdesak menjadikan pengkhianatannya bukan kejutan, tetapi kelangsungan logik dunia yang mereka hidupkan. Lagipun, antara mereka bertiga hanya Oosi yang dilihat punya keluarga untuk disara sebagai logiknya.
Macai juga menyimpan lapisan kritikan sosial yang sangat Malaysia walaupun namanya Lingapura. Lingapura menunjukkan spektrum moral manusia: polis ada yang menjual maruah untuk wang, ada yang menolak rasuah atas alasan membawa mudarat. Tapi Sun-J Perumal tidak menghukum mana-mana pihak; dia hanya menunjukkan paradoks manusia yang beroperasi dalam sistem yang busuk tapi tetap mencari kebenaran. Ada polis yang korup, tetapi masih percaya dia sedang melindungi sesuatu yang lebih besar. Ada yang jujur, tapi akhirnya dimakan oleh sistem yang sama. Semua ini dipersembahkan tanpa moralising cuma pemerhatian tentang manusia yang hanyut, tapi masih mahu percaya pada keadilan walaupun samar.
Sun-J Perumal membina Macai dengan kesedaran bahawa simbol yang berulang boleh mengikat naratif dan membentuk pengalaman penonton. Botol-botol bir Old Speckled Lynch, khinzir, dewa, poster Ibu (Susan Lancaster), semuanya muncul beberapa kali, kadang dalam konteks berbeza, kadang seolah echo dari babak sebelumnya, saling menggantikan makna. Perulangan ini bukan hiasan, ia adalah cara filem ini menunjukkan bahawa dunia Lingapura berputar di atas kitaran dosa, keserakahan, dan keinginan untuk mencari jalan keluar. Di sinilah kekuatan Sun-J Perumal, dia tidak sekadar mencipta plot, tapi mencipta lingkaran falsafah.
Sun-J Perumal sungguh mabuk bir Old Speckled Lynch, tetapi dia sedar sepenuhnya tentang dunia yang kacau dan absurd. Apabila saya katakan Sun-J Perumal ‘mabuk Old Speckled Lynch’, saya maksudkannya sebagai satu pujian. Mabuk itu bukan kehilangan arah, tapi satu bentuk trance, kesedaran yang tercabut dari permukaan realiti supaya kita dapat melihat lapisan bawahnya. Macai ialah sebuah filem tentang manusia yang terperangkap antara dosa dan penebusan, antara sistem dan nurani, antara mabuk dan sedar.
Dalam dunia sinema Malaysia yang sering bermain selamat, Sun-J Perumal berani ‘meneguk’ dari botol berlabel nama Lynch yang orang lain jarang atau takut sentuh. Dan dari tegukan itu, lahirlah Macai, filem yang membuatkan kita sedar bahawa kadang-kadang untuk melihat dunia dengan jelas, kita perlu ‘mabuk’ dengan pelbagai persoalan dahulu. Dan itulah kekuatan Sun-J Perumal, dia membiarkan kita tersasar, mabuk makna, dan akhirnya menyedari bahawa watak yang berjaya keluar dan insaf adalah watak Siam yang ketika Oosi dan Jack melayan mabuk bir berbotol-botol, dia tenang dengan air panas segelas dan uncang teh yang dibawanya sendiri.
NOTA: Tulisan ini ialah kritikan eseistik dan bukannya ulasan bebas spoiler. Tulisan ini membaca Macai sebagai karya sinema dan menyingkap struktur, simbol, serta lapisan makna yang mungkin mendedahkan elemen penting dalam naratif.
