SUDAH hampir setahun saya berniat untuk menulis tentang siri ini, sama lamanya saya ambil untuk habis membaca novel asalnya. Apabila saya ternampak petak One Hundred Years of Solitude di Netflix malam itu, saya terus klik dan bergegas ke rak buku untuk mencari naskah paperback yang dibeli lama dahulu, untuk mencari rujukan. Pada usia sebegini, tak banyak yang saya ingat. Malangnya, bukan sekadar ingatan yang entah ke mana. Bukunya pun saya tak jumpa.
Apa yang tinggal dalam ingatan bukanlah butiran cerita yang lengkap, tetapi perasaan ingat lupa tentang sebuah keluarga besar, sebuah penempatan bernama Macondo dan suasana pelik antara realiti dan fantasi. Siri adaptasi Netflix ini bakal mengingatkan saya segalanya, walaupun belum lengkap. Bahagian 1 ini hanya ada 8 episod, lebih kurang separuh novel dan merangkumi drama empat daripada tujuh generasi keluarga Buendía.
Saya mahu dibawa semula ke dunia yang pernah saya kenal tetapi kabur, kini divisualkan dengan warna, set dan wajah manusia sebenar serta dilengkapkan sari kata Bahasa Inggeris. Saya tahu akan ada ketika ia terasa berat, penuh simbol, ada ketika ia begitu indah hingga saya akan membiarkan sahaja diri hanyut dan ada juga ketika ia akan membuatkan saya ketawa. Saya tahu ia bukan tontonan untuk terburu-buru, sama seperti bukunya yang tidak boleh dibaca sekali imbas.
Namun seingat saya, saya hanya membaca bukunya sekali sahaja. Itu pun terjemahan Gregory Rabassa ke Bahasa Inggeris. Gabriel García Márquez sendiri memuji terjemahan Rabassa, sehingga menganggapnya lebih baik daripada Cien años de soledad. Sewaktu Dewan Bahasa dan Pustaka menghasilkan terjemahan Bahasa Melayunya, Sumpah Tujuh Keturunan, saya sesat dalam Macondo versi saya sendiri. Barangkali saya tidak tahu atau tidak sempat ambil peduli. Maka saya tiada rujukan tentang terjemahan DBP itu.

Tidak seperti ketika membaca buku, siri One Hundred Years of Solitude membuka tirai dengan amaran yang panjang: sex, nudity, sexual violence, suicide, self-harm. Ia seperti satu tanda awal bahawa dunia Macondo yang akan kita masuki bukan sekadar ajaib, tetapi juga gelap, penuh dosa, luka dan sarat dengan sisi-sisi manusia yang rapuh.
Pembukaan Episod 1 terus mengheret penonton masuk ke dalam suasana yang suram. Rumah usang yang ditinggalkan dan diselubungi tiupan angin yang berdebu. Kamera menyorot sebujur mayat di atas katil, ditutupi selimut putih yang berlumuran darah, tubuhnya dihurung semut. Di sudut lain, seorang lelaki muda berdiri diam di meja, membelek sebuah kitab besar dalam senyap, seolah-olah sedang mencari jawapan kepada nasib penghuni rumah itu.
Namun kesetiaan kepada teks asal tetap dijaga. Sama seperti di dalam buku, baris pertama yang menandai babak pembukaan adalah kalimat legenda bila mana narator memperkenalkan kita kepada Kolonel Aureliano Buendía. “Many years later, as he faced the firing squad, Colonel Aureliano Buendía was to remember that distant afternoon when his father took him to discover ice.” Saat ayat itu dilafazkan, penonton sedar mereka sedang masuk ke dalam sebuah kisah yang lebih besar daripada realiti, sebuah sejarah keluarga yang akan berulang-ulang seperti lingkaran takdir.
Pujian wajar diberikan kepada pengarah Alex García López (Episod 1, 2, 3, 7 dan 8) dan Laura Mora (Episod 4, 5 dan 6) yang berjaya mengekalkan roh realisme magis dalam setiap bingkai. Mereka tidak tergesa-gesa, malah memberi ruang pada visual untuk bercerita. Lebih istimewa, keseluruhan penggambaran dibuat di negara kelahiran Gabriel García Márquez sendiri, dengan restu warisnya, menjadikan siri ini bukan sekadar adaptasi, tetapi juga penghormatan kepada novelis legenda yang telah meninggal dunia pada 2014. Warisnya juga mahu setiap watak dilakonkan oleh pelakon-pelakon dari Colombia.
Dua episod pertama menjadi semacam kitab asal-usul, menceritakan bagaimana sebuah komuniti lahir daripada nafsu dan nekad sepasang sepupu, José Arcadio Buendía dan Úrsula Iguarán. Dari awal lagi, perkahwinan mereka dibayangi sumpahan mengerikan, bahawa keturunan mereka bakal dilahirkan dengan ekor babi akibat hubungan darah sesama keluarga.
Hadir pula Prudencio Aguilar yang menghantui José Arcadio Buendía. Prucendio dibunuh oleh José Arcadio apabila kejantanannya dicabar. Hantu Prudencio Aguilar menambah lapisan pelik pada awal penceritaan. Ia seolah mengingatkan bahawa masa lalu tidak pernah mati, malah terus duduk bersama-sama di meja makan, menyibuk di kamar pelamin, mengisi ruang dan berbual seperti ahli keluarga lain.
Ia hadir bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai tanda bahawa batas antara hidup dan mati dalam cerita ini begitu nipis, seakan-akan suatu kesinambungan. Jelik dengan kelibat Prudencio yang masih berdarah dan tidak berhenti mencuci lukanya, José Arcadio dan Ursula, bersama-sama anak sulung mereka José Arcadio dan sekumpulan jiran lain meninggalkan kampung untuk mencari kehidupan baharu.
Penemuan dan pembukaan Macondo menggambarkan titik permulaan baharu. Ketika rombongan orang gipsi yang dipimpin oleh Melquíades tiba di Macondo, mereka membawa keajaiban dunia luar, seperti magnet yang boleh mengangkat periuk belanga, ais yang kelihatan seperti mukjizat, ramuan pelik dan kitab kuno yang penuh rahsia. Bagi José Arcadio Buendía, semua itu lebih daripada hiburan; ia adalah pintu ke alam pengetahuan tanpa batas.
Melquíades, dengan wajah penuh misteri dan suara seperti tahu rahsia masa, menjadi tokoh yang mengubah arah hidup José Arcadio Buendía. Dari seorang lelaki kampung yang sederhana, dia berubah menjadi obses, memburu pengetahuan dengan rakus, seolah-olah setiap penemuan Melquíades adalah kunci kepada masa depan Macondo. Namun, di sebalik semua itu, ia juga membuka ruang kepada kesunyian, kegilaan dan takdir yang kelam.
Jika dua episod pertama memaparkan Macondo sebagai tanah baharu yang penuh kemungkinan, episod ketiga mula memperkenalkan retakan-retakan halus dalam keluarga Buendía yang sudah mula bercambah. Nama-nama seperti Aureliano dan Arcadio silih berganti. Mungkin disebabkan ini, Gabriel García Márquez meletakkan peta salasilah keluarga Buendía pada halaman awal novelnya. Penonton yang tidak biasa dengan novel mungkin pening dengan nama yang sama diulang-ulang.

Namun, di sebalik kekeliruan, ada tema besar iaitu sejarah keluarga yang berulang-ulang, seakan-akan manusia tidak pernah belajar daripada kesilapan. Kita lihat bagaimana cinta, keinginan dan dosa menjadi pola berulang. Generasi muda semakin berani melawan suara orang tua, bukan kerana degil semata-mata, tetapi kerana sejarah yang berulang, seperti sumpahan yang tak dapat dielak.
Dalam episod keempat, ketegangan makin terasa. Setiap watak seolah-olah tahu mereka sedang mengulangi nasib generasi sebelumnya, namun tetap meneruskan langkah yang sama. Di sinilah reliasme magis Márquez benar-benar hidup. Sumpahan, cinta dan kematian bukan hadir untuk menakutkan, tetapi untuk mengingatkan bahawa hidup manusia sebenarnya tidak linear.
José Arcadio Buendía, patriarch yang dikemudi oleh mimpi besar dan rasa ingin tahu tanpa batas, akhirnya menjadi gila. Dengan tubuhnya yang renta dan fikirannya yang hanyut dalam bisikan ghaib, dia terpaksa diikat di sebatang pokok berangan di hadapan rumahnya. Bermula saat ini, dia menjadi semacam saksi bisu kepada perjalanan keluarganya, terikat antara dunia nyata dan dunia magik, antara sejarah dan mitos.
Seterusnya, nada siri berubah ketara. Daripada penuh keajaiban dan keterujaan, ia kini getir dan gelap. Fantasi tetap hadir, tetapi fungsinya bukan lagi untuk mempesona, sebaliknya untuk menyingkap sisi sejarah Amerika Latin yang penuh luka. Realiti perang saudara, politik yang bercelaru, serta perebutan kuasa dipaparkan ketara, meskipun tetap disalut dengan lapisan magis yang menjadi roh karya Márquez.
Kolonel Aureliano Buendía (sudah mula keliru? Nama pertama yang disebut di dalam novel dan siri ini adalah anak kedua José Arcadio Buendía dan Úrsula Iguarán. Dia juga bayi pertama yang lahir di Macondo. Dia juga bapa kepada 17 anak haram yang kesemuanya bernama Aureliano) tampil sebagai watak utama. Dari seorang lelaki pendiam, dia menjelma menjadi ikon revolusi dan simbol keberanian. Perang yang dipimpinnya bukan sekadar konflik politik, tetapi juga pertempuran batin yang menelan dirinya. Episod ini sarat dengan darah, kehilangan dan kekecewaan. Nyawa melayang satu demi satu, termasuk kesemua 17 Aureliano, meninggalkan kekosongan yang tidak pernah dapat diisi, seolah-olah Macondo sendiri sedang tenggelam dalam kabut kesedihan.

Namun di tengah keperitan, fantasi terus berbisik. Sumpahan masih mengintai, seakan-akan mengingatkan bahawa sejarah keluarga Buendía dan sejarah bangsa itu sendiri terikat pada kitaran yang mustahil dihindari. Penonton tidak hanya menyaksikan perang, tetapi juga bagaimana sebuah keluarga dan sebuah kota perlahan-lahan hancur dari dalam.
Selepas perang meragut segala-galanya, episod ini memaparkan sebuah keluarga yang tidak lagi utuh. Generasi baharu Buendía lahir, namun mereka tidak membawa harapan, sebaliknya kebingungan, keterasingan dan beban sejarah yang tidak mampu ditanggung. Anak-anak membesar di rumah besar yang kian sunyi, dengan dinding-dinding yang seperti menyimpan gema pertengkaran dan tangisan generasi terdahulu.
José Arcadio Buendía akhirnya mati di pokok berangan. Tubuhnya yang layu menjadi lambang kegagalan impian untuk membina dunia baharu yang bebas daripada beban sejarah. Sehingga detik terakhir, kelibat hantu Prudencio Aguilar masih datang menemaninya, membayangkan luka lama yang tidak pernah sembuh. Pokok berangan itu sendiri menjadi penjara sunyi, mengikat jasad dan fikirannya, memerangkapnya dalam kenangan serta delusi yang tidak pernah dilepaskan.
Realisme magis Márquez tetap menjadi nadi naratif. Hujan yang turun tanpa henti, rama-rama kuning yang setia mengikuti watak atau suara roh yang berbisik dari kitab Melquíades, semuanya memberi petanda bahawa masa lalu tidak pernah benar-benar mati. Namun kali ini, unsur-unsur magis itu tidak lagi indah, sebaliknya getir, seakan-akan menjelma sebagai sumpahan yang mengikat keluarga Buendía agar terus mengulangi nasib lama.
Macondo sendiri berubah wajah. Kota yang dahulu riuh dan penuh tenaga kini mula pudar, seolah-olah dilupakan oleh dunia luar. Kegiatan manusia perlahan-lahan lenyap, meninggalkan lorong-lorong kosong dan halaman yang dipenuhi rumput liar. Episod ini membawa penonton menyedari bahawa bukan hanya keluarga Buendía yang terperangkap, tetapi seluruh kota itu menjadi satu dunia yang sedang menuju kehancurannya sendiri. Ia juga menandakan peralihan penting di mana berakhirnya era pengasas dan bermulanya era generasi baharu yang hidup dalam bayang-bayang sejarah keluarga serta sumpahan yang perlahan-lahan mencengkam Macondo.
Ketegangan mencapai kemuncaknya apabila Kolonel Aureliano Buendía bersiap untuk melancarkan serangan terhadap Macondo. Episod ini sarat dengan gambaran kegelapan jiwa manusia: perang yang tak berkesudahan, pengkhianatan dan luka sejarah yang tak pernah sembuh. Aureliano semakin terperangkap dalam obsesinya dan Macondo sendiri terasa seperti kota yang menunggu untuk dihukum.
Namun sebelum dentuman meriam pertama, siri ini memberi ruang sunyi yang menyayat. Ursula, simbol kewarasan dan kasih sayang dalam keluarga Buendía, berdiri di pusara suaminya. Di sana, dia berdoa dengan penuh pilu, seolah-olah berharap roh suaminya dapat menahan anak mereka daripada hanyut dalam kegilaan perang. Doa itu menjadi gema terakhir episod, secebis bisikan kecil yang melawan arus sejarah yang kian ganas.
“We didn’t free ourselves of anything, José Arcadio. We ended up raising a monster.”

Siri ini bukan untuk semua orang. Rentaknya perlahan, nama-nama watak boleh bikin pening, dan ia menuntut penonton benar-benar memberikan perhatian. Namun bagi yang sabar, Bahagian 1 ini menghadiahkan pengalaman visual yang memukau. Macondo terasa hidup, realisme magis tercapai dan setiap watak bagaikan berdiri di ambang antara mitos dan realiti.
Lebih penting, siri ini tidak menutup sisi gelap manusia. Di sebalik magis dan keindahan, ia berani menyingkap tabu yang diwarisi keluarga Buendía, iaitu cinta terlarang, inses, pedofilia dan obsesi yang merosakkan. Semua ini tidak dipaparkan untuk mengejutkan, tetapi untuk menunjukkan bagaimana dosa, rahsia dan nafsu yang tidak pernah diurus akan sentiasa kembali menghantui generasi seterusnya.
Akhirnya, One Hundred Years of Solitude bukan sekadar saga keluarga. Ia adalah alegori tentang sejarah Amerika Latin yang penuh mimpi besar, keajaiban, darah, cinta dan kegagalan yang berulang. Dan inilah yang menjadikan siri ini sebuah pengalaman yang getir, indah dan sukar dilupakan. Baki separuh buku kini masih dalam produksi dan dijadualkan menemui kita pada tahun hadapan, menandakan bahawa kitaran nasib keluarga Buendía masih belum selesai dan penonton akan kembali diseret ke dalam lingkaran magis yang sama.
– AHMAD KAMAL ABU BAKAR ialah seorang bekas penulis blog yang suka tulis panjang-panjang dan laju-laju sampai orang tak habis baca.
