HARI ini, 29 Oktober 2025, genap lima tahun sejak pemergian Allahyarham Salleh Ben Joned: “the bad boy of Malaysian literature”, “penyair kurang ajar”, “anak nakal sastera Melayu”, “angkasawan negara” dan entah apa lagi gelaran yang pernah disematkan pada beliau. Beliau tidak pernah reti duduk diam, dan mungkin itu sebab kita masih bercakap tentang beliau hari ini.
Pak Salleh (nama yang sering saya guna bila merujuk kepada beliau) bukan sekadar penyair atau penulis. Beliau ialah suara yang mengingatkan kita bahawa sastera tidak harus tunduk pada adat, dan bahasa bukan milik golongan elit. Dalam setiap karya, sama ada esei, sajak, skrip, lakon layar atau apa pun, beliau menyoal ketulenan, menentang kepura-puraan, dan menuntut agar kita berani menjadi manusia yang jujur, walaupun menyakitkan.
Beliau pergi ketika dunia sedang tunggang-terbalik akibat Covid-19. Di saat semua orang terkurung, cemas dan sunyi, kita kehilangan figura yang paling berani bersuara, yang selama ini menegur dunia dengan provokasi dan kejujuran.
Saya akui, saya sedikit keberatan untuk menulis tentang arwah. Bukan kerana tiada rasa, tetapi kerana tidak pasti sama ada saya layak untuk menulis tentang seorang ikon sastera yang begitu disegani. Tiada pangkat “Dr” di hadapan nama saya, dan saya juga bukanlah seorang yang layak dicerca di internet dengan label “terpaling sastera”. Saya hanya seorang penulis bebas yang sekali-sekala menulis.
Saya mengenali Pak Salleh bukan sebagai kenalan rapat, jauh sekali sebagai murid atau protégé. Saya hanya mengenali beliau melalui tulisan, berita, cerita orang, urban legend yang bercampur antara kagum dan salah faham (dan mungkin terjebak menjadi fitnah), dan dua pertemuan yang terus terbuku di hati, blog dan buku.
Kata orang putih, never meet your heroes. Mereka akan meruntuhkan imej yang selama ini kita puja dari jauh. Mereka bukan tokoh mitos, bukan patung suci yang bebas daripada cacat cela. Mereka manusia biasa, dengan segala kelemahan, kesilapan dan keanehan. Tapi dalam kes Pak Salleh, kata-kata itu tidak betul sama sekali. Imej beliau tidak pernah runtuh di mata saya, sama ada dari dekat atau jauh.
Saya mula berjinak dengan tulisan beliau melalui kolum As I Please di New Straits Times sekitar awal 1990-an. Arwah abah saya melanggan akhbar itu, maka beberapa kali abah suruh saya baca esei-esei Pak Salleh, dengan satu niat sahaja iaitu agar saya dapat kuasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik daripada apa yang diajar di sekolah.
Saya masih muda waktu itu, agak curious, agak rebellious, pastinya impressionable. Buku-buku Kerouac, Ginsberg dan geng seangkatan mereka tersumbat dalam beg saya. Muzik bertenaga Black Flag dan Ramones sentiasa di telinga. Saya juga mula berjinak dengan penulisan dan mesin fotostat menerusi budaya fanzine DIY yang mekar dalam dunia bawah tanah waktu itu. Itulah medan pertama saya belajar tentang ekspresi dan kebebasan.
Saya tidak sentiasa faham semua yang ditulis oleh Pak Salleh, tapi saya dapat rasakan tenaga beliau: tajam, lucu, sinis, kadang-kadang lucah, dan selalu menyentuh perkara yang orang lain elak. Ada sesuatu tentang suara beliau yang buat saya terfikir kalau ini pun boleh ditulis, maka apa-apa pun boleh ditulis. Sejak itu, Pak Salleh masuk ke dalam senarai hero saya. Karya-karya beliau mula mengisi beg dan rak saya.
Budaya fanzine mengajar saya bahawa menulis tidak perlu tunggu izin sesiapa. Kita tulis, kita salin, kita edarkan. Semua dengan tangan sendiri dengan semangat DIY yang lahir daripada budaya punk. Ia bukan sekadar muzik, tapi falsafah untuk hidup dan berkarya tanpa bergantung pada sistem. Bila saya kenal tulisan Pak Salleh, saya sedar beliau juga membawa semangat yang sama. Jangan tunggu pengiktirafan. Kalau kata-kata kita benar, tulis saja.
Bagi saya, Pak Salleh menulis bukan untuk suka-suka atau menghibur, tetapi untuk mengoyak, mengusik dan mentertawakan kepalsuan. Tulisannya penuh humor gelap, sindiran, kadang-kadang bersulam lucah.
Hidup beliau sendiri seperti karya yang sentiasa menolak arus. Bagi saya, Pak Salleh adalah a punk who writes, and a writer who punks. Beliau tidak mahu sastera jadi jinak, tidak mahu ia sekadar jadi bunga dalam jambangan. Bagi beliau, sastera mesti mencucuk, menyakitkan, malah menyinggung. Beliau tahu bahasa boleh jadi alat kuasa, dan tugas penulis adalah untuk membongkar, bukan menutup. Checkhov dengan senapang, Salleh dengan keris.
Awal Abad Ke-21 saya sudah berhijrah sepenuhnya ke Kuala Lumpur dan rezeki saya dapat bertapak di Bangsar. Pertemuan pertama saya dengan Pak Salleh berlaku secara tidak sengaja di Silverfish Books, sekitar tahun 2001 atau 2002. Waktu itu, Silverfish masih di lokasi lama, di tingkat atas bangunan kedai Jalan Telawi.
Saya sedang duduk di lantai, khusyuk membaca beberapa halaman novel yang saya tidak mampu beli. Tiba-tiba, riuh rendah kedengaran di penjuru kedai. Seorang lelaki tinggi lampai, berumur, sedang rakus menarik buku-buku dari rak. Beberapa naskhah jatuh berselerakan ke lantai. Beliau membebel sendirian, seolah-olah baru menemui kitab-kitab rahsia yang dicari bertahun-tahun. Tuan kedai kelihatan cemas, namun cuba menenangkan suasana. Mereka berbalas kata dalam bahasa Inggeris.
Saya cuba untuk tidak peduli. Jaga hal sendiri. Tapi sebaik saya dapat melihat jelas wajah orang itu, saya terus bangun. Dalam fikiran saya, inilah penyair liar yang dikatakan pernah melondehkan seluar di DBP, dan kencing di galeri seni sebagai tanda protes. Tetapi realitinya di depan saya agak berbeza.
Pak Salleh, yang ketika itu sudah pun berusia sekitar 60 tahun, kelihatan terkial-kial mengutip buku-buku yang jatuh dari rak. Sosok nakal mencabar norma yang sering saya lihat di dalam gambar-gambar di internet itu seakan berganti dengan seorang pakcik tua yang kelihatan rapuh, manusiawi, hampir vulnerable.
Saya ketawa kecil dalam hati. Ada rasa lucu, ada rasa sayu. Inilah orang sama yang menulis tentang “the rainbow arc of my piss” kepada Reza Piyadasa berikutan insiden beliau kencing di galeri puluhan tahun terdahulu. Kini, di hadapan saya, membongkok perlahan, mengutip buku-buku yang jatuh.
Saya gelabah bila Pak Salleh mula merenung ke arah saya. Pada saat itu, saya tidak lagi melihat seorang lelaki tua di sebuah kedai buku kecil, tetapi ikon yang selama ini hanya saya kenal melalui puisi, anekdot dan cerita orang.
“Kau nak aku raba kau ke?” beliau tiba-tiba kata kepada saya, dengan nada garang dan muka serius macam ustaz atau guru besar.
Saya terkedu. Saya tidak pasti sama ada beliau bergurau, menguji atau sekadar mahu melihat reaksi saya. Tetapi begitulah Pak Salleh, suka menggoncang, walaupun hanya dengan satu soalan yang tidak masuk akal.
Beliau menuding ke arah tulisan yang tercetak pada t-shirt saya, Gabba Gabba Hey. Mungkin penglihatan beliau sudah tidak berapa baik sehingga ia berbaca Raba Raba Hey di mata beliau. Bila difikirkan semula, saya terhutang budi kepada sahabat saya Weng yang membelikan t-shirt Ramones itu kepada saya. Jika saya tidak memakai t-shirt itu pada hari itu, pada saat itu, tidak mungkin Salleh Ben Joned akan bertanyakan soalan gila itu kepada saya.
“Excuse me,” saya bertanya kepada beliau soalan yang saya sudah pasti jawapannya. “Are you Salleh Ben Joned?”
Saya lihat muka beliau terus berubah. Saya jadi semakin gelabah.
“Unfortunately,” beliau jawab dengan nada yang tenang dan lembut, “I am.”
Perbualan kami selepas itu lebih tenang dan waras. Saya beranikan diri untuk mengaku saya juga menulis, atau sedang cuba untuk menulis.
“Dalam bahasa apa?” beliau tanya. “Inggeris,” jawab saya. Pak Salleh menghela nafas panjang, dan dengan suara hampir berbisik, “Tulis dalam Bahasa Melayu.”
Saya terdiam. Nasihat itu kedengaran mudah, tapi ia datang daripada seorang yang selama ini dilihat terlalu kebaratan. Salleh menuntut di Australia di bawah James McAuley, lazimnya menulis dalam Bahasa Inggeris, malah sering dikritik kerana kononnya terlalu Barat dalam gaya dan sikap.
Seingat saya juga, beliau dikatakan “merajuk” untuk menulis dalam Bahasa Melayu akibat kritikan terhadap Sajak-Sajak Saleh (Boleh baca tulisan Dr. Faisal Tehrani “Belasungkawa Salleh Ben Joned” yang disiarkan di MalaysiaNow beberapa hari selepas pemergian Pak Salleh pada 2020).
Saat itu, saya masih belum faham kenapa beliau menasihatkan saya untuk menulis dalam bahasa ibunda. Namun saya ikuti juga nasihat Pak Salleh. Pada awalnya janggal. Seperti cuba mengalunkan lagu dalam rentak yang belum biasa. Tetapi dari situ, saya mula belajar menulis dalam bahasa yang lebih dekat dengan jiwa, bahasa yang diwariskan kepada saya, dan bahasa yang pernah Pak Salleh pertahankan walau dirinya dituduh tidak cukup Melayu.
Tahun 2007, saya bertemu lagi dengan Pak Salleh di sebuah acara bacaan puisi di No Black Tie, Kuala Lumpur. Malam itu istimewa, bukan hanya kerana Pak Salleh ada dalam senarai penyair, tetapi juga sebab saya biasa ke kelab kecil itu menonton persembahan muzik bawah tanah. Suasananya intim, penuh tenaga, penuh suara. Saya ke sana bersama sahabat-sahabat saya Nikmat, Fairul Nizam, Nate dan beberapa orang lain yang saya tidak ingat lagi.

Di atas pentas, suara beliau serak, tubuh dimakan usia, tetapi aura beliau tidak pernah padam. Setiap baris puisinya disampaikan dengan gaya eksentrik dalam dwibahasa, mengundang ketawa, kadang-kadang keluhan. Seingat saya, beliau mengakui sudah dimakan usia, sudah keletihan, under medication, namun semangatnya masih menyala seperti anak muda yang baru belajar marah pada dunia.
Kita mungkin kehilangan tenaga untuk menjerit, tetapi tidak akan kehilangan sebab untuk melawan. Pak Salleh tahu zaman sudah berubah, tapi jiwa gelisahnya tak pernah tunduk pada masa. Dalam serak suaranya malam itu, saya dengar pesanan halus, seolah-olah ditujukan pada generasi muda: jangan jinakkan diri, jangan biarkan dunia buat kita diam. Kerana bagi Pak Salleh, diam itu bukan tanda tenang, tetapi tanda kalah.
Selesai acara, Pak Salleh sudi ikut kami ke sebuah kedai makan berhampiran. Kami berbual panjang seolah sudah lama kenal. Di tengah kepulan asap rokok dan gelak tawa, beliau meminjam telefon bimbit saya untuk menelefon Adam, anak beliau, untuk memaklumkan akan pulang lewat malam itu. Momen itu kecil, mungkin nampak remeh, tetapi bagi saya ia menyingkap sisi lain seorang figura besar: seorang bapa, seorang manusia biasa, bukan sekadar penyair yang lantang dan kontroversial.
Saya dapat melihat beliau sebagai seorang insan yang jujur dengan diri sendiri, baik dalam keberanian mahupun kelemahan. Kadang-kadang, bertemu hero sebenar bukan membuatkan kita hilang kekaguman, tetapi menambah rasa hormat yang lebih mendalam.
Salleh Ben Joned akan terus dikenali sebagai penyair, eseis, pengkritik budaya yang tidak pernah tunduk pada norma. Puisinya berani, nakal, kadang-kadang mengundang kecaman, tetapi tetap menyala dengan kejujuran. Beliau percaya bahawa bahasa bukan hanya untuk menghias, tetapi untuk menggoncang fikiran.
Bagi Pak Salleh, menulis ialah melawan, dan setiap karya beliau adalah satu bentuk keberanian untuk mengoyak kepalsuan, walaupun harga yang dibayar ialah kontroversi, salah faham dan kecaman. Inilah legasi yang menjadikan Salleh Ben Joned kekal relevan hari ini.
Kadang-kadang saya terfikir, mungkin Pak Salleh tidak pernah mahu dikenang sebagai wira, tetapi sebagai manusia yang menulis dengan jujur. Dunia mahu kita sentiasa sopan, teratur dan patuh, tapi beliau memilih jalan sebaliknya.
Sahabat saya Rahim mengingatkan saya betapa Pak Salleh begitu obses dengan konsep amuk, dari The Ballad of Mat Solo ke The Amok of Mat Solo, malah karya beliau The Amok of Wan Man turut diangkat ke layar perak oleh Adman Salleh pada tahun 1995. Ya, filem yang diharamkan tayangan sebelum beberapa suntingan dibuat untuk mematuhi garis panduan Finas.
Bagi Pak Salleh, amuk bukan sekadar ledakan marah tanpa arah, tetapi manifestasi tekanan yang terlalu lama dipendam; jeritan batin daripada jiwa yang ditindas dan akhirnya meletup mencari ruang untuk didengar.
Dalam dunia yang sering mendesak kita untuk diam, beliau melihat amuk sebagai bentuk kejujuran paling mentah: luahan manusia yang enggan lagi berpura-pura. Pak Salleh tidak mahu kita hanya melihat kepada amukan itu semata-mata, tetapi memahami apa yang melahirkannya. Beliau mahu kita melihat pada luka, kekecewaan dan kerinduan mendalam terhadap kebebasan yang tulen. Beliau mahu kita melihat pada ketidakadilan, hipokrasi dan penindasan yang menjerut manusia dari dalam.
Pemergian Pak Salleh pada tahun 2020 meninggalkan kekosongan yang sukar diisi. Dunia sastera kehilangan suara yang berani menyoal, dunia budaya kehilangan seorang pemikir yang tidak takut melawan arus. Namun, saya fikir legasi beliau masih hidup dan akan terus hidup, di dalam puisi, di dalam filem, di dalam esei dan di dalam cerita-cerita kecil seperti yang pernah saya alami, bersama beliau.
Kerana tokoh seperti Pak Salleh tidak pernah benar-benar pergi. Suara beliau masih bergema setiap kali kita membaca puisi yang jujur, atau ketika seseorang berani menulis tanpa takut untuk menyinggung sesiapa. Dalam dunia yang semakin berhati-hati, dikawal algoritma dan tertakluk kepada attention economy, keberanian untuk menulis tanpa topeng adalah satu pengajaran besar. Kejujuran dalam seni, walau sekeras atau seaneh mana sekalipun, tetap ada tempatnya. Dan mungkin itulah hadiah paling berharga yang Salleh Ben Joned tinggalkan kepada kita
– AHMAD KAMAL ABU BAKAR terpaksa pinjam The Amok of Mat Solo daripada sahabat beliau Rahim Sadri untuk siapkan esei ini.
