Di suatu masa yang telah berlalu, ada satu suara yang pernah bergema, memenuhi malam-malam di kampung dengan cerita tentang raja dan dewa, dengan doa dan penawar, dengan tarian dan nyanyian yang diwarisi turun-temurun. Suara itu datang dari pentas Menora, seni tradisi yang berasal dari Selatan Siam dan tersebar ke Kelantan, Kedah dan Perlis. Kini, suara itu semakin hilang, semakin perlahan, seperti gema yang tidak lagi disambut.

Menora, atau dikenali juga sebagai Manora, bukan sekadar persembahan. Ia satu kehidupan. Di dalamnya termuat seni drama tari, nyanyian dan gerak tubuh yang menuntut penghayatan mendalam. Persembahan ini lazimnya berlangsung berjam-jam lamanya, malah ada yang semalaman menyampaikan kisah legenda purba, sejarah keramat, dan ritual penyembuhan yang mempertautkan manusia dengan alam dan ketuhanan.
Namun, zaman telah berubah. Skrin-skrin kecil di tangan menggantikan panggung buluh dan suara serunai. Mereka lebih akrab dengan tarian viral dan muzik elektronik. Maka, di Kampung Mentua, Tumpat, seorang tokoh Menora duduk sendiri di tepi gelanggang.

“Dulu, kalau aku main serunai, budak-budak datang berlari. Sekarang, aku main, bunyi pun tak dipandang. Aku pernah janji pada guruku, aku akan wariskan ini. Tapi budak-budak sekarang lebih minat K-pop. Bila aku ajak datang belajar, depa senyum saja. ‘Nanti, Tok…’ Tapi ‘nanti’ tu tak pernah jadi hari ini.”
Begitulah rintihan Pak Eh Dam Kampong Mentua atau nama sebenarnya Eh Dam A/L Cha Cheng , tokoh Menora Kelantan yang masih memelihara seni ini dengan sabar dan duka. Beliau adalah generasi terakhir tokoh Menora Kelantan. Setiap helaian mempunyai cerita. Setiap gerakan tangan dan lentik tubuh adalah pusaka.
Namun begitu, cahaya tidak semestinya padam. Sebagai usaha menghidupkan kembali seni yang kian suram ini, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah menganjurkan Program Santuni Madani 2025 pada 11-12 Julai, 2025 di Kampung Mentua, Tumpat, Kelantan, sebuah program bersepadu yang menghubungkan Tokoh Menora, Adiguru Wayang Kulit, penggiat seni tempatan, pelajar, dan komuniti dalam satu pelantar pewarisan.

Yang paling mengharukan — program ini telah dirasmikan oleh Rektor ASWARA, Profesor Dr. Tan Awang Besar sendiri. Beliau bukan sekadar hadir sebagai tetamu kehormat, tetapi turut turun bersama menyertai bengkel Menora yang dikendalikan oleh Pak Eh Dam Kampong Mentua. Di situlah simbolisme lahir. Apabila seorang pemimpin akademik bersila bersama rakyat, memegang alat muzik warisan dan mendengar cerita tua, maka seni itu tidak lagi terasing.

Turut menyantuni program ini ialah Adiguru Wayang Kulit, Pak Nasir bersama dua fasilitator utama, Cik Nur Liyana Che Mohamad (Alumni ASWARA) dan Cik Noor Amiera Saila Ramlee yang telah memimpin sesi interaktif dan koordinasi bengkel. Program ini disertai oleh komuniti Kampong Mentua, Kampung Jubakar dan kawasan sekitar daerah Tumpat, Kelantan yang berumur antara 9 -13 tahun. Bengkel ini juga menggandingkan pensyarah-penyarah muzik dari Pusat Seni Pentas Tradisional (PUTRA) dan pelajar-pelajar dari Fakulti Tari, ASWARA.
“Kami bukan mahu paksa Menora diterima zaman moden, tapi kami mahu ia dikenali semula. Dihargai, difahami, disambung semula dengan nafas baharu,” kata salah seorang peserta muda, yang buat pertama kali menyertai bengkel Menora.
Harapan tidak hilang. Ia hanya sunyi menunggu dipanggil.

Menora mungkin tidak akan kembali seperti dahulu, tetapi jika ia dapat dijadikan bahan dokumentasi, kurikulum seni, pertunjukan khas, festival warisan, atau diadaptasi dengan kaedah persembahan kontemporari, maka suaranya masih akan kekal. Bukan di pentas buluh mungkin, tetapi di hati dan dalam kesedaran budaya generasi baharu.

Suara tradisi seperti Menora adalah gema masa lampau yang memanggil kita semua untuk merenung siapa kita, dari mana datangnya akar kita. Dalam dunia yang makin laju, seni-seni seperti ini memberi jeda, memberi jiwa. Maka biarlah suara ini, yang tidak lagi dipanggil, akhirnya disahut semula setiap detik dan masa oleh generasi yang mengerti nilai diam dan dalamnya warisan.
