BILA M. Nasir bertemu ‘suaranya’? Adakah seawal album pertama atau selepas bertahun-tahun menebas lalang industri muzik?
Itu antara yang bermain dalam fikiran sewaktu menonton Konsert Cipta Raya di Zepp KL pada 13 April. Saya berfikir, kemudian mata sakit. Fikiran itu hilang. Kemudian saya dengar nyanyiannya tanpa memandang ke hadapan, fikiran itu datang semula. Lalu YB Datuk Dira Abu Zahar berdiri di sebelah saya. M. Nasir jadi tak penting.
Suara yang saya maksudkan bukan hal-hal teknikal macam julat vokal atau tona jantannya yang karismatik. Saya maksudkan identiti – keupayaan menjadikan apa saja melodi yang keluar dari mulutnya itu milik dia. Nyanyi lagu Saloma, masih kedengaran M. Nasir. Tulis lagu untuk kumpulan rock, lagu itu menjulang popular tapi bila dia nyanyi sendiri, berkecai imej kumpulan rock itu tadi.
Ini kemahiran menyanyi tahap tinggi. Dapat dicapai setelah khatam segala hal teknikal. Setelah menyanyi menjadi oksigen yang dihirup, meresap dalam darah yang mengalir ke setiap benang urat.

Faktor ini menjadikan M. Nasir sebagai penyanyi ulung. Duduknya di puncak yang susah nak dicapai penyanyi lain. Tapi tetaplah saya tertanya, pada fasa karier yang mana M. Nasir melengkapkan juzuk nyanyian, lalu bertemu suara yang membuatkan dia kekal ulung sampai hari ini?
Psikedelik bercitarasa rendah
Ah, mata sakit. Kenapa mata saya sakit? Biar saya jelaskan di sini. Saya buka ulasan Konsert Cipta Raya dengan membangkitkan soal visual di skrin pentas.
Kalau perlu pilih kelemahan terbesar Konsert Cipta Raya, letaknya pada skrin besar di atas pentas. Pilihan visual yang digunakan nampak canggung, terutamanya apabila jelas ia janaan kecerdasan buatan (AI).
Saya faham, AI adalah segalanya pada zaman ini. Nak nampak canggih, guna AI. Nak nampak mengikuti peredaran, ratib AI. Cuma, ambillah sedikit masa dan fikir, sesuai atau tidak visual itu diguna dalam konsert sebegini?
Imej masjid dengan lampu warna-warni berlitar laju itu membantu menyampaikan mesej kesejagatan Salam Dunia? Perjalanan neon psikedelik yang melatari persembahan Sahabat Gua, adakah itu sesuai?
Konsert Cipta Raya dibuka dengan video acah oleh pasukan Ariff Zulkarnain dan Indigo Films. Ia membawa tema klasik, kenangan dan ketulenan (authenticity). Mengapa tema-tema ini tidak dibawa dan dimanfaat pada visual sepanjang konsert?
Ini belum masuk soal etika. Saya mohon, jika dengar cadangan produk AI ingin diguna dalam mana-mana acara seni, fikirlah dua-tiga kali. Kaedah janaan AI itu sendiri mengkhianati seni.
Transaksi industri
Visual pada skrin pentas ialah gangguan terbesar saya sepanjang konsert berlangsung. Susah nak elak pandang, skrinnya besar.
Selain itu, saya juga kurang berpuas hati dengan susunan muzik dan adunan audio. Separuh pertama konsert, lagu-lagu yang didendang susah nak melekat perhatian, walaupun sebahagiannya lagu yang sangat lazim didengar.
Mungkin sebab kelaziman saya jadi bosan. Lagu seperti Hati Emas dan Raikan Cinta dipersembah tanpa perubahan besar pada susunan. Mulanya, saya susah nak hadam bagaimana lagu yang sudah dipersembahkan berkali-kali masih disusun seperti biasa-biasa. Bukankah itu membosankan buat pengkarya?

Namun, setelah difikir berkali-kali, saya mungkin bertemu jawapannya. M. Nasir dan seluruh produksi konsert itu mungkin sedang mengerjakan muzik tapi duduknya mereka itu dalam industri muzik. Dalam industri, segala hal tersempit pada transaksi produk-wang dan dalam transaksi itu, pengguna menjadi keutamaan.
Dalam industri, apa yang peminat mahu lebih penting daripada apa yang pengkarya mahu.
Maka, susunan yang lazim didengar lebih sesuai diguna. Biar peminat mudah tangkap dan selesa tidak dicabar kelainan.
Atau, mungkin juga – it’s not that deep. Masa persediaan tak banyak jadi lagu awal disusun macam biasa. Tak payah fikir dalam-dalamlah, kan?
Sebab separuh kedua konsert, susunan mengujakan mula kedengaran, khususnya lagu Sahabat Gua, Apokalips dan medley Esok Hari Raya/Ada. Ia jelas susunan yang khusus untuk persembahan bertaraf konsert. Saduran Selamat Hari Raya nyanyian asal Saloma juga okay, cuma bukan untuk saya yang, saya percaya, tergolong dalam kelompok penonton muda konsert itu.
Empat faktor hibur
Secara keseluruhannya, Konsert Cipta Raya menghiburkan. Dan ini bukan ayat templat kosong. Saya ada alasan mengapa ia menghiburkan.
Satu, faktor lagu. Lagu-lagu M. Nasir, terutamanya yang memang popular, didendang dengan sistem audio kenduri kahwin di Dewan Orang Ramai Renggoh pun boleh dinikmati dengan gembira. Begitu juga lagu-lagu raya yang dipilih.
Kedua, faktor M. Nasir dan rakan-rakan pemuziknya. Bukan sahaja persembahan yang bersih, gelagat mereka juga seronok dinikmati. Kelakar dan masing-masing serasi, kimianya mencengkam. Cuma, saya fikir, tambahan kuartet alat tali (strings) boleh melicinkan lagi bunyi pada malam itu.
Ketiga, faktor penonton. Mereka gigih berbusana. Semua datang dengan gembira. Dari eskalator ke laman pentas, suasana meriah. Ada sekumpulan brader berperwatakan rock kapak tak berhenti mencuba melawak. Tak banyak penonton datang solo, kebanyakannya berkeluarga menikmati muzik.

Keempat, perjalanan konsert sejak saya sampai hingga ke akhir berjalan lancar, terutamanya untuk kami para media. Tidak ada layanan yang kurang atau berlebihan. Mereka tunjuk jalan dan tempat, kami bergembira dan menjalankan tugas. Pasukan PR konsert ini matang.
Rumah terbukanya betul-betul seperti rumah terbuka. Warna-warna baju raya bersilau segak, borak-borak melantun ceria. Rendang cukup rempah. Lemang tebal. Dendeng habis. Cuma sate liat, itulah yang kurang.
M. Nasir membuktikan statusnya sebagai penyanyi mega. Setakat ini, sudah tiga konsert dijayakan dalam tempoh kurang setahun. Khabarnya, akan ada satu lagi konsert pada Ogos, menjadikan dia penyanyi paling aktif menganjurkan konsert solo dalam tempoh setahun. Ini dibuat dalam usianya yang sudah hampir 70 tahun.
Dan saranannya supaya konsert bertemakan hari raya menjadi budaya saya sambut baik. Budaya konsert atau persembahan langsung kita memang lemah, sekurang-kurangnya untuk penyanyi perdana. Kalau boleh ditambah baik, pastilah bagus untuk budaya muzik di Malaysia.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
— Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan pasukan editorial Senimalaya.
