BEKAS anggota kumpulan legenda Pink Floyd, Roger Waters, kini berdepan kemungkinan tindakan undang-undang selepas secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Palestine Action, sebuah pertubuhan yang baru-baru ini diharamkan oleh Parlimen United Kingdom (U.K.) dan digazetkan sebagai organisasi pengganas.
Waters memuat naik sebuah video ke akaun media sosialnya pada Sabtu lalu, memuji Palestine Action sebagai “sebuah organisasi yang hebat,” sambil memberi penghargaan kepada artis punk-rap Bob Vylan yang mengetuai penonton di Festival Glastonbury dalam laungan kontroversi, “Death, death to the IDF.”
Dalam video tersebut, ikon Rock & Roll Hall of Fame itu berkata beliau sedang berada di studionya sambil menulis di atas sekeping kadbod perang menggunakan pen penanda. Kamera kemudiannya beralih dari wajah Waters ke kadbod tersebut.
“Tertulis di sini, ‘Roger Waters menyokong Palestine Action, 5 Julai 2025. Parlimen telah dikorup oleh ejen kuasa asing yang melakukan pembunuhan beramai-ramai. Bangkit dan bersuara. Sekarang adalah masanya,’” ujar Waters sambil membaca tulisan itu. “Ini adalah saatnya. Saya adalah Spartacus.”
“Ini Hari Kemerdekaan, 5 Julai 2025,” tambah beliau. “Saya mengisytiharkan kemerdekaan saya daripada kerajaan U.K., yang baru sahaja mengisytiharkan Palestine Action sebagai organisasi pengganas.”
Walaupun keputusan Parlimen jelas, Waters tetap mempertahankan Palestine Action sebagai organisasi yang “tidak ganas” dan “sama sekali bukan pengganas dalam apa jua bentuk.”
“Mereka adalah organisasi protes tanpa kekerasan yang membantah kehadiran Elbit Systems di U.K., iaitu sebuah syarikat pengeluar senjata dari Israel,” kata Waters. “Jadi itu sahaja. Saya menyokong Palestine Action, dan saya akan terus menyokongnya kerana itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan.”

Waters turut memberi penghargaan kepada mereka yang menyokong rakyat Palestin, termasuk Bob Vylan, yang menjadi tajuk utama selepas memimpin laungan anti-Israel di Glastonbury.
“Kita mesti menyokong saudara-saudara kita di Palestin dan berdiri bersama mereka tanpa syarat,” kata Waters. “Jadi syabas kepada kamu, siapa nama kamu tadi? Vylan. Syabas Vylan, dan juga kepada semua yang berani bersuara. Saya sayang kamu semua.”
Menurut laporan Reuters, kerajaan U.K. minggu lalu meluluskan pengharaman ke atas Palestine Action di bawah undang-undang antikeganasan, selepas aktivisnya menceroboh sebuah pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) dan merosakkan dua buah pesawat sebagai tanda protes terhadap sokongan Britain terhadap Israel.
Susulan undian di Parlimen, kumpulan itu kini secara rasmi menjadi organisasi yang dilarang, dan larangan tersebut berkuat kuasa pada tengah malam hari yang sama.
Mengikut undang-undang di U.K., adalah satu kesalahan jenayah untuk menyatakan sokongan, meluahkan persetujuan, atau mempamerkan simbol bagi mana-mana organisasi yang diharamkan. Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan/atau denda.
Ketika ini, terdapat 81 organisasi yang disenaraikan di bawah undang-undang antikeganasan di Britain, termasuk al-Qaeda, ISIS dan Hamas.
— Berita ini, berdasarkan laporan dari Fox News dan Reuters.
