SIDANG Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) merupakan satu inisiatif penting yang memberi ruang kepada para penulis tempatan untuk berkumpul, berinteraksi, dan menyuarakan pandangan mereka terhadap perkembangan sastera di Malaysia.
Memasuki edisi ketiganya, SKPM telah berjaya mencapai pelbagai pencapaian yang signifikan dalam memperkukuhkan ekosistem sastera negara.
Pada edisi ketiga ini, SKPM mengambil langkah lebih besar dengan memberikan fokus kepada penulis muda dan memperkenalkan platform yang lebih luas bagi mereka untuk mengetengahkan karya mereka.
Senimalaya menemubual Pengarah SKPM, Mohd Khair Ngadiron, yang memberikan gambaran lebih mendalam tentang perjalanan SKPM, pencapaian-pencapaian penting yang telah dicapai, serta cabaran-cabaran yang dihadapi dalam penganjuran acara ini.
Menurut Mohd Khair, SKPM edisi ketiga ini diharapkan dapat menghubungkan penulis dengan pelbagai pihak, dari penerbit hingga pengedar untuk memperkenalkan karya mereka ke peringkat antarabangsa.
Dalam temubual ini, Mohd Khair menjelaskan perancangan dan strategi yang bakal diterapkan dalam usaha merapatkan jurang antara penulis, pembaca, dan penerbit, serta bagaimana SKPM berperanan dalam memupuk semangat sastera Malaysia Madani dalam kalangan generasi muda.
Selain itu, Mohd Khair menjelaskan tentang peranan teknologi digital dalam perkembangan sastera dan bagaimana SKPM berusaha memastikan tradisi penulisan tetap relevan di era digital ini.
Mari kita ikuti perbincangan menarik bersama Mohd Khair Ngadiron mengenai cabaran, kejayaan, dan harapan SKPM dalam memperkukuhkan ekosistem sastera di Malaysia.
SENIMALAYA: Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) memasuki tahun ketiga kali ini. Mengikut pengalaman saudara sebagai pengarah dalam penganjuran dua tahun sebelumnya, apakah pencapaian utama yang dapat dilihat dalam memperkukuhkan ekosistem sastera Malaysia, dan apa yang dapat kita harapkan pada tahun ketiga SKPM ini untuk memperbaiki pencapaian tersebut?
MOHD KHAIR NGADIRON:Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) telah memasuki edisi penganjuran ketiga, dan penganjuran acara ini telah berjaya mencapai beberapa pencapaian utama yang memperkukuhkan ekosistem sastera di Malaysia. Sebagai contoh, pada edisi pertama dan kedua, SKPM telah memberikan ruang yang signifikan terhadap penulis dari pelbagai genre, latar belakang, dan geografi yang berbeza untuk bertemu, berkongsi pandangan, dan mengetengahkan karya mereka. Salah satu pencapaian utama yang jelas adalah peningkatan kesedaran masyarakat terhadap peranan penulis dalam membentuk budaya dan pemikiran masyarakat Malaysia.
Selain itu, SKPM juga berjaya menjalinkan hubungan yang lebih erat antara penulis dan industri penerbitan, dengan banyak penerbit dan persatuan sastera memberikan lebih fokus terhadap penulis-penulis tempatan. Ini adalah langkah besar dalam memperkukuhkan industri penerbitan tempatan yang sering kali berhadapan dengan cabaran pengedaran dan pemasaran karya sastera Malaysia di pasaran global. Dalam edisi SKPM kali ini, kami berharap untuk terus mengukuhkan hubungan ini, terutamanya dengan meningkatkan peluang kerjasama antara penulis, penerbit, dan pengedar untuk memperkenalkan karya Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Pencapaian SKPM juga dapat dilihat melalui penglibatan lebih banyak penulis muda yang kini mempunyai platform untuk menonjolkan karya mereka. Acara-acara khas yang dilaksanakan di SKPM seperti sesi forum, pembentangan makalah, dan dialog memberikan peluang kepada penulis muda untuk mendapat bimbingan langsung daripada penulis berpengalaman. Oleh itu, dalam edisi ketiga ini, kami menggabungkan SKPM dengan Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) Keempat untuk memperkenalkan lebih banyak sesi pembinaan kapasiti khusus untuk penulis muda, serta menyediakan lebih banyak peluang bagi mereka untuk menyertai dunia penerbitan.
Dalam usaha merapatkan jurang antara penulis dan pembaca, apakah langkah-langkah khusus yang akan diambil tahun ini untuk memastikan lebih banyak interaksi dan kolaborasi antara kedua-dua pihak?
Merapatkan jurang antara penulis – penerbit – pembaca adalah salah satu matlamat utama SKPM. Dalam edisi ketiga ini, kami merancang untuk meningkatkan interaksi dan kolaborasi antara ketiga-tiga pihak melalui pelbagai inisiatif yang lebih interaktif dan menyeluruh. Salah satu langkah yang diambil adalah dengan mengadakan sesi “meet and greet” antara pelbagai pihak dan latar melalui program Malam Baca Puisi PENA yang turut menyediakan banyak meja pameran buku. Di sini, pembaca berpeluang untuk bertanya terus kepada penulis tentang proses kreatif mereka, inspirasi di sebalik karya, serta cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan karya tersebut.
Kami juga merancang untuk memanfaatkan teknologi dengan lebih meluas. Dalam dunia digital yang semakin berkembang, SKPM akan menyediakan siaran langsung dalam talian yang membolehkan audiens dari seluruh negara (dan luar negara) menyertai program ini. Melalui platform dalam talian, sesi panel, pembentangan makalah, perbincangan sastera, dan forum dapat disiarkan secara langsung. Ini memberikan peluang kepada pembaca yang tidak dapat hadir secara fizikal untuk tetap berinteraksi dengan penulis dan mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai penulisan dan sastera.

Dalam konteks isu-isu kontemporari, apakah tema atau topik yang akan dibincangkan pada SKPM tahun ketiga, dan bagaimana ia relevan dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh penulis Malaysia?
Pada sesi ketiga penganjuran SKPM, tema utama yang akan dibincangkan adalah “Penulis Teras Malaysia Madani”. Tema ini dipilih dengan tujuan untuk menggambarkan peranan penting penulis dalam membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, berbudaya, dan berpandangan jauh dalam era moden (madani) ini. Tema ini juga relevan dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh penulis Malaysia, terutamanya dalam konteks pembangunan negara yang berteraskan nilai-nilai kemanusiaan, integriti, inklusif, dan kemajuan sosial yang terkandung dalam konsep Malaysia Madani.
Apakah cabaran terbesar yang dihadapi oleh penganjur dalam menganjurkan acara besar seperti SKPM, terutama dalam mengumpulkan penulis-penulis dari pelbagai latar belakang dan memastikan kelancaran program?
Sebagaimana acara-acara besar yang lain, penganjuran SKPM tidak terlepas daripada cabaran. Salah satu cabaran utama adalah menyatukan penulis dari pelbagai latar belakang, persatuan, demografi, dan geografi. Kepelbagaian ini memerlukan perancangan yang teliti bagi memastikan semua pihak mendapat ruang dan perhatian yang sewajarnya. Selain itu, faktor kewangan dan logistik juga menjadi cabaran besar. Namun, sokongan daripada pihak seperti Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), kerajaan (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya [MOTAC]), institusi perbukuan (Dewan Bahasa dan Pustaka, Perbadanan Kota Buku, dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia), dan sektor swasta telah banyak membantu mengurangkan cabaran ini.
Cabaran lain adalah memastikan program berjalan lancar dan mencapai matlamatnya. Bagi mengatasi ini, SKPM telah melibatkan pakar-pakar dari pelbagai bidang sebagai panel dan moderator bagi setiap sesi. Pendekatan ini bukan sahaja mengoptimumkan kualiti perbincangan, malah juga menjadikan sesi-sesi SKPM lebih inklusif dan relevan kepada pelbagai audiens.
Tahun ini, apakah bentuk platform atau sokongan yang disediakan kepada penulis muda dan baharu untuk menyertai SKPM dan memperkenalkan karya mereka kepada audiens yang lebih besar?
Edisi SKPM kali ini, perhatian khas diberikan kepada penulis muda dan baharu. SKPM menyediakan platform seperti sesi Forum, Pembentangan Makalah, dan Dialog Interaktif, di mana penulis muda dapat memperkenalkan karya mereka kepada audiens yang lebih besar. Selain itu, penganjuran PPMN IV bersekali dengan SKPM bertujuan untuk menyediakan ruang diskusi dan jaringan yang khusus kepada generasi muda, di hadapan penulis-penulis yang mapan.
PENA dengan kerjasama GAPENA juga merancang untuk memperkenalkan program mentor-mentee di mana penulis mapan akan membimbing penulis baharu. Program ini diharapkan dapat membantu penulis muda memahami selok-belok dan realiti dunia penulisan dan penerbitan. Projek Penerbitan Buku PENA – Malaysia Madani adalah salah satu gerak kerja yang memberikan peluang kepada penulis baharu untuk menampilkan karya mereka dalam bentuk penerbitan yang berprestij.
Dalam melihat perkembangan dunia penulisan yang semakin dipengaruhi oleh teknologi digital, apakah pendapat anda tentang masa depan sastera Malaysia, dan bagaimana SKPM dapat memainkan peranan dalam memastikan tradisi penulisan terus relevan di era digital ini?
Teknologi digital telah mengubah cara kita membaca dan menulis. Walaupun ada yang melihatnya sebagai ancaman, ia sebenarnya adalah peluang besar bagi penulis khususnya di Malaysia. Platform seperti e-buku, blog (sebelum ini), Wattpad, TikTok, YouTube, dan pelbagai media sosial membolehkan karya sastera diakses oleh audiens global. Namun, cabaran utama adalah memastikan kualiti karya tidak terjejas dan penulis mendapat imbuhan yang sewajarnya.
Dalam konteks ini, PENA melalui SKPM memainkan peranan penting untuk memangkinkan atau menerajui pelbagai perubahan tersebut. Dengan menampilkan sesi seperti “Integrasi Sastera dan Teknologi dalam Sastera Madani”, panel-panel tersebut adalah yang berpengalaman dan terbukti mendepani semua teknologi tersebut dalam mengimarahkan penerbitan buku. SKPM memberikan peluang kepada penulis untuk memahami bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan dengan betul dalam proses kreatif dan promosi karya. Di samping itu, kolaborasi dengan syarikat teknologi tempatan dan antarabangsa turut dirancang untuk membuka ruang baru bagi pengkaryaan digital.


Satu usaha yg jitu utk menaikkan taraf penulis Malaysia, bukan saja yg baru dan yg mampan juga.
Syabas pada Pengarah SKPM dan juga PENA..
Satu syor utk kebaikan bersama elok kiranya Panel Penilai beri landasan menolak satu karya utk tidak diterbitkan. Ini akan dot membantu penulis baru belajar secara langsung utk penambahbaikan karya mereka masa akan dtg.. tq.