SIRI Syarah Kebudayaan 2025 akan membuka tirainya pada 15 November ini di Muzium Telekom Kuala Lumpur, dengan memberi penghormatan kepada tokoh besar persuratan Melayu moden, Sasterawan Negara Arena Wati, sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100.
Dianjurkan sebagai permulaan kepada sebuah usaha jangka panjang, acara ini bukan sekadar memperingati seorang tokoh sastera, tetapi juga menjadi wadah baharu yang menghimpunkan para penggiat seni, penulis, sarjana, dan masyarakat umum untuk meraikan serta memperbaharui semangat kebudayaan bangsa.

Mengangkat tema Gelora Laut dan Tekad Anak Jantan: 100 Tahun Arena Wati, program sehari ini akan berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga 6.30 petang. Antara acara utama yang dinantikan ialah syarahan utama oleh Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, yang akan mengupas pemikiran serta warisan sastera Arena Wati yang terus relevan dalam konteks masyarakat hari ini.


Selain itu, dua sesi forum turut dijadualkan bagi menyorot karya dan pemikiran Arena Wati daripada pelbagai sudut pandang. Forum-forum tersebut akan mempertemukan para pengkaji, editor yang pernah meneliti manuskrip asal Arena Wati, penggemar karyanya, serta khalayak pembaca. Penganjur turut menyediakan sesi pembacaan karya serta pameran buku-buku Arena Wati yang jarang ditemui umum, bagi memperlihatkan keluasan dan kedalaman dunia penulis agung ini.
Menurut kenyataan penganjur, penganjuran Siri Syarah Kebudayaan ini membawa matlamat yang lebih luas daripada sekadar acara akademik. “Kami mahu memulakan sebuah wadah berterusan yang meraikan idea, budaya kesenian, sastera, perbukuan dan penerbitan yang mengangkat kebudayaan tempatan dan serantau. Ia juga platform bebas untuk pertukaran pendapat dalam kalangan penggiat seni dan masyarakat,” ujar wakil penganjur.
Acara ini juga menjadi sebahagian daripada usaha untuk menghidupkan kembali tradisi wacana dan pemikiran dalam masyarakat, serta mengingatkan generasi muda terhadap warisan penulis besar tanah air. “Kami mahu membangkitkan semula kesedaran generasi muda terhadap tokoh-tokoh penulis dan warisan budaya yang semakin dilupakan,” tambah kenyataan itu lagi.

Siri Syarah Kebudayaan 2025 dibayangkan sebagai satu gerakan jangka panjang yang akan memberi tempat sewajarnya kepada khazanah bangsa, sambil meraikan kepelbagaian idea, seni dan budaya dalam bentuk yang lebih segar dan sesuai dengan zaman ini. Dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, ia diharap dapat menjadi titik mula kepada jaringan intelektual dan budaya yang lebih kukuh serta inklusif.
Inisiatif ini digerakkan melalui kerjasama beberapa kolektif yang diterajui oleh Jurnal Svara dan kedai buku Riwayat, dua entiti yang berkongsi hasrat sama untuk mengangkat semula hal-hal asas dalam kebudayaan yang sering terpinggir. Penganjur menjelaskan bahawa mereka mahu menyediakan ruang terbuka untuk para penggiat seni, penulis, sarjana dan masyarakat umum bertemu, berbahas serta berkongsi pandangan secara lebih bermakna.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, orang ramai boleh menghubungi Roestam Alias di talian 019-2339113.
