“Apabila dirimu diselubungi kesedihan,
hingga tak daya berjalan, mahu pun menangis,
fikirlah pada daunan hijau yang berkilau selepas hujan.
Apabila siang mu amat melelahkan, lalu berharap
malam terakhir menutup dunia
fikirkan tentang kebangkitan seorang anak kecil.”
– Omar Khayyám (Rubaiyat Omar Khayyam)
Di bawah langit yang terbakar: warisan yang tak mudah tunduk
Perang yang membantai Iran kini telah memasuki hari yang ke-31, perlakuan ‘jenayah perang’ dengan pencerobohan ruang udara negara berdaulat itu juga kelihatan seolah tiada tanda untuk mereda.
Dalam perkembangan terbaru beberapa hari lepas, diberitakan serangan peluru kendali yang menghunjam bumi Iran turut menjejaskan rumah pengarah filem legenda Abbas Kiarostami, di daerah Chizar, kawasan kejiranan itu antara yang terkesan teruk, sekali gus mengakibatkan gangguan bekalan tenaga di sebahagian besar Tehran.
Ahmad Kiarostami, anak lelaki Abbas, berkongsi di IG beliau;“Malam tadi, kawasan kejiranan Chizar telah dibom, di mana kedua-dua rumah ibu dan ayah saya terletak. Ibu saya menelefon, dengan suara yang gementar, memberi khabar tentang kesejahteraannya, tetapi pagi ini saya mendapat tahu bahawa rumah ayah saya telah musnah.”

Abbas Kiarostami dikenali sebagai salah seorang pembikin filem paling berpengaruh di Iran, memenangi pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan juga pengarah Iran pertama memenangi anugerah ‘Palme d’Or’ di Festival Filem Cannes 1997 untuk ‘Taste of Cherry’.
Beliau turut diiktiraf melalui ‘Through the Olive Trees’ (1994), ‘Certified Copy’ (2010), dan ‘Like Someone in Love’ (2012). ‘The Wind Will Carry Us’ (1999) meraih Silver Lion di Festival Filem Venice. Kiarostami meninggal dunia pada 4 Julai 2016 di usia 76 tahun.
Jiwa Tamadun Persia: Ilmu & Seni Bercerita yang Abadi
Sejak serangan pertama dicetuskan pada 28 Febuari lalu, Iran kembali menjadi sorotan antarabangsa, kemampuan mereka untuk bersatu, mengendali serta membalas serangan, walaupun berhadapan dengan pelbagai sekatan selama lebih dari 45 tahun, mengagumkan warga timur dan barat. Di sebalik hentaman peluru dan retorik perang, Iran masih berdiri bersama sejarah panjang dengan daya tahan yang luar biasa.
Sejak diasaskan oleh ‘Cyrus the Great’ melalui Empayar Achaemenid, 2500 tahun yang lalu, Persia muncul sebagai antara tamadun paling berpengaruh dalam sejarah dunia, bukan hanya melalui kekuatan wilayah, tetapi melalui kematangan pentadbiran, jaringan komunikasi, serta prinsip toleransi budaya yang mendahului zamannya.
Tradisi intelektual mereka melahirkan tokoh seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Razi, Al-Biruni, Imam Bukhari, Al-Ghazali, Omar Khayyam dan ramai lagi, dimana karya dan penemuan mereka melangkaui sempadan geografi dan masa.
Bahasa Parsi berkembang sebagai medium penting dalam pentadbiran dan kesusasteraan, sekali gus memperkukuh identiti budaya yang berterusan hingga ke hari ini.

Pada era Safavid, kota Isfahan berkembang sebagai pusat seni dan estetika dunia. Kubah-kubah masjid yang megah, corak geometri yang halus, seni permaidani dan lukisan miniatur memperlihatkan satu falsafah visual yang menekankan keseimbangan dan makna simbolik. Seni di Persia bukan sekadar hiasan, ia adalah bahasa pemikiran.
Lebih daripada itu, kekuatan sebenar tamadun Persia terletak pada tradisi penceritaannya (Naqqāli, Dastangoi, Shahnameh Khani). Dari epik kebangsaan Iran Raya ‘Shahnameh’(Kitab Raja Raja) karya agung Ferdowsi hingga puisi mistik Rumi, Hafez, Sa’di, Attar dan Yazid Busthami, masyarakat Persia telah lama menjadikan naratif sebagai cara memahami dunia.
Dalam tradisi ini, realiti sering bertaut dengan unsur spiritual, menghasilkan lapisan makna yang mengundang renungan berterusan. Pengaruh penceritaan Persia meluas, ‘Musyawarah Burung’, ‘Gulistan & Bustan’ (Taman Mawar & Dusun) dan Kisah Seribu Satu Malam’, antara yang membentuk naratif pemikiran dan menjadi sumber rujukan.
Dari Istana ke Ruangan Awam
Sejarah perfileman Iran bermula seawal abad ke-20 di istana Qajar. Sekitar 1900, Mirza Ebrahim Khan Akkas Bashi memperkenalkan teknologi filem sebagai alat dokumentasi diraja. Namun medium ini tidak kekal eksklusif.
Menjelang 1920-an, pawagam dibuka kepada masyarakat umum di Tehran, menandakan peralihan daripada ruang elit ke ruang awam. Kemunculan filem bersuara pertama dalam bahasa Parsi, ‘Lor Girl’ (1933) arahan Ardeshir Irani, menjadi titik penting dalam pembentukan identiti sinema nasional.

Era 1950-an hingga 1960-an menyaksikan perkembangan industri filem Iran melalui dominasi genre yang dikenali sebagai ‘Filmfarsi’, istilah yang digunakan dalam kritikan sinema Iran Pra-revolusi oleh pengkritik filem Amir Hushang Kavusi, menggambarkan apa yang dianggap sebagai filem berkualiti rendah yang ditiru dari Bollywood, dengan plot yang buruk, diatur bersama tarian dan nyanyian serta bergantung kepada populariti bintang.
Walaupun berjaya menarik penonton, pendekatan ini dikritik kerana kurang mencerminkan realiti sosial yang kompleks.

Revolusi 1979 & Transformasi Estetika
Revolusi Iran 1979 mengubah landskap budaya dan perfileman secara drastik. Industri filem berdepan sekatan ketat; pawagam ditutup, produksi dihentikan dan garis panduan moral mula diperketatkan.
Namun daripada kekangan ini lahir bentuk ekspresi baharu. Pengarah mula menggunakan alegori dan simbolisme sebagai strategi penceritaan. Watak kanak-kanak menjadi medium penting untuk menyampaikan kritikan sosial secara tersirat.
Elemen alam seperti hujan dan landskap desa digunakan sebagai metafora emosi. Gaya minimalis, ruang terhad dan dialog bersahaja menjadi ciri utama bahasa visual sinema Iran pascarevolusi.

Realisme Puitis & Kedalaman Emosi
Berbeza dengan produksi global berskala besar, sinema Iran mengangkat naratif melalui kesederhanaan, kejujuran, dan emosi mendalam. Ia menampilkan realisme puitis, renungan falsafah, dan kritikan sosial yang halus. Kisah kecil seperti kehilangan sepasang kasut atau perjalanan seorang kanak-kanak menjadi cermin persoalan moral dan nilai kemanusiaan yang lebih besar.
Abbas Kiarostami menemukan persoalan eksistensial dan identiti melalui naratif minimalis dan eksperimental, manakala Asghar Farhadi menelusuri konflik moral masyarakat.
Karya Farhadi, ‘A Separation’ (2011) bukan sekadar kisah perceraian, tetapi pemerhatian mendalam dan berlapis tentang kelas sosial, tanggungjawab, dan kebenaran relatif. Filem ini menerima anugerah ‘Academy‘ (2012) untuk kategori ‘Best Foreign Language Film‘.
Dalam ‘The Salesman’ (2016), adaptasi drama ‘Death of a Salesman’ (1949) karya Arthur Miller, Farhadi menggabungkan trauma peribadi dengan persoalan maruah dan keadilan. Naratifnya perlahan tetapi sarat ketegangan psikologi, menunjukkan konflik dalaman sering lebih dahsyat daripada pertentangan luaran.
Pendekatan ini berakar daripada karya karya Abbas Kiarostami. Dalam ‘Taste of Cherry’ (1997) Kiarostami mengemukakan persoalan eksistensial tentang kehidupan dan kematian melalui struktur naratif minimalis.
Sementara ‘Close-Up’ (1990) mengaburkan sempadan antara dokumentari dan fiksyen, menyorot identiti serta keinginan pada pengiktirafan.
Dalam ‘No Date, No Signature’ (2017) arahan Vahid Jalilvand, isu sosial, kemanusiaan dan etika digabungkan dengan baik. Filem ini merupakan antara produksi sinema Iran yang paling berjaya dalam tempoh 10 tahun yang lalu.
Kemurnian Kanak-kanak sebagai Cermin Masyarakat
Sinema Iran menonjol melalui kesederhanaan dan kejujuran. Penggunaan perspektif kanak-kanak menjadi unsur penting sinema Iran. Pandangan mereka yang murni membuka ruang untuk memahami realiti sosial tanpa bebanan ideologi.
‘Children of Heaven’ (1997) arahan Majid Majidi menjadi contoh paling jelas. Kisah dua beradik yang berkongsi sepasang kasut bukan sahaja menyentuh hati, tetapi juga membuka ruang untuk memahami makna kemiskinan dengan penuh empati. Ia tidak mengeksploitasi kesusahan, sebaliknya memperlihatkan sisi ketabahan dan kasih sayang.
Begitu juga dengan karya Kiarostami ‘Where Is the Friend’s House?’ (1987) di mana perjalanan seorang budak lelaki untuk memulangkan buku rakannya menjadi alegori tentang tanggungjawab dan integriti, sebuah naratif sederhana tapi penuh dengan makna yang mendalam.
Dalam ‘The White Balloon’ (1995) Jaafar Panahi berkisah tentang usaha seorang kanak-kanak perempuan untuk membeli ikan emas menjelang Tahun Baru Iran yang menjadi jendela kepada struktur sosial masyarakat. Melaluinya, khalayak diperkenalkan kepada realiti tanpa didaktik yang berat.
Filem ‘The Color of Paradise’ (1999) arahan Majid Majidi mengangkat pengalaman seorang kanak-kanak buta dalam memahami dunia sekelilingnya. Dimana alam menjadi bahasa visual yang puitis, sementara hubungan antara anak dan bapa mencerminkan konflik antara penerimaan dan perasaan malu.
Sementara filem arahan Bahman Ghobadi ‘Turtles Can Fly’ (2004) pula menggambarkan kehidupan kanak-kanak pelarian di sempadan Iraq-Turki, memperlihatkan realiti perang melalui mata yang polos tetapi menyayat hati.
Sinema sebagai Wahana Sosial & Politik
Sinema Iran berfungsi sebagai medium kritikan sosial yang halus tetapi berani. Dalam dilema masyarakat yang berdepan pelbagai sekatan, pembikin filem menggunakan simbolisme dan naratif metafora untuk menghantar isyarat mereka.
Jafar Panahi merupakan antara suara paling lantang dalam hal ini, karya beliau seperti; ‘No Bears’ (2022), ‘Taxi’ (2015), ‘The Circle’ (2000) keseluruhannya berkisar tentang politik.
Dalam ‘Offside’ (2006) Panahi berkisah tentang sekumpulan gadis yang menyamar sebagai lelaki untuk memasuki stadium bola sepak, sebuah ruang yang dilarang untuk wanita. Dengan pendekatan yang menggabungkan humor dan realisme, Panahi mengkritik tanpa perlu berkonfrontasi dengan secara langsung.
Dalam dimensi yang berbeza, ‘Persepolis’ (2007) arahan Marjane Satrapi menawarkan naratif autobiografi tentang pengalaman membesar semasa Revolusi Iran. Dengan animasi hitam-putih yang sederhana, dia menyampaikan kisah tentang identiti, pengasingan, dan pergolakan politik dengan kejujuran yang tajam.
The Seed of the Sacred Fig (2024) oleh Mohammad Rasoulof pula berkisah tentang pergelutan dan paranoia di tengah-tengah pergolakan politik di Tehran.
Karya-karya ini membuktikan bahawa sinema Iran bukan sahaja reflektif, tetapi juga responsif terhadap realiti sosial. Ia berbicara tentang sekatan, kebebasan, dan identiti, serta isu-isu yang melangkaui sempadan geografi.
Warisan Sinema dan Pengaruh Gelombang Baharu
Sejarah ‘gelombang baharu’ sinema Iran tidak lengkap tanpa menyentuh karya awal seperti ‘The Cow’ (1969) arahan Dariush Mehrjouei, mengisahkan seorang petani yang kehilangan lembu kesayangan, berkembang menjadi potret psikologi tentang kehilangan dan identiti.
Filem pendek Hajir Darioush; ‘Serpent’s Skin’ (1964), adaptasi dari novel terakhir DH Lawrence ‘Lady Chatterley’s Lover’ (1932) ini menandakan penyimpangan radikal daripada kebiasaan sebelumnya. Darioush memperkenalkan tahap baharu yang hampir tidak pernah ada sebelumnya, merangsang pemikiran kritis dan penerokaan nilai moral.

‘Still Life’ (1974) arahan Sohrab Shahid-Saless, juga dianggap sebagai perintis gelombang baharu sinema Iran; gerakan yang merangkumi dua cabang utama; filem moden dan abstrak, dan filem komersial. dengan memperkenalkan gaya perlahan dan realisme ekstrem, tanpa pelakon profesional, malah hampir tanpa plot konvensional.
Pendekatan ini membuka ruang kepada eksplorasi bentuk naratif baharu, merupakan sumbangan Shahid-Saless kepada sinema Iran.
Karya-karya ini memberi inspirasi kepada generasi seterusnya seperti Kiarostami, Panahi dan Farhadi. Tradisi ini diteruskan oleh pengarah seperti Mohsen Makhmalbaf ‘A Moment of Innocence’ (1996), tentang catatan separa autobiografi pada satu kejadian dalam hidupnya ketika remaja.
Asghar Farhadi ‘About Elly’ (2009) mengkaji hubungan dan evolusi naratif sekumpulan warga Iran kelas menengah yang lebih kompleks.
Estetika Kesederhanaan & Kemanusiaan
Sinema Iran mengajar bahawa kekuatan filem tidak hanya bergantung kepada produksi berskala besar, kecanggihan‘editing’ dan ‘special effects’ semata-mata. Kejujuran penceritaan dan keupayaan menyentuh nilai kemanusiaan juga mampu membekas emosi khalayak.
Dalam dunia yang semakin bising dan sarat dengan sensasi visual, sinema Iran mengajak kita untuk memperlahankan langkah, merenung, memahami, dan merasai realisme puitis, simbolisme halus, dan naratif dalam kehidupan seharian. Indentiti sinematik sinema Iran yang kuat terus hidup melalui filem, seni, dan cerita-cerita yang tak pernah habis ditafsir walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan.
Ketika rumah Kiarostami runtuh, seni tetap berdiri. Dalam bayang-bayang runtuhan dan igauan peperangan, seni menemukan maknanya sebagai ingatan yang tidak mungkin dimusnahkan, suaranya hidup walaupun dunia di sekelilingnya runtuh, dan sinema Iran mekar seperti mawar yang bergema dalam bait puisi Tupac:
Mawar yang tumbuh dari Konkrit
Pernahkah kau mendengar perihal mawar yang tumbuh
dari rekahan konkrit?
Menyatakan hukum alam tak selalu benar
dia belajar berjalan tanpa kaki.
Terlihat lucu, tapi dengan mengekalkan impiannya,
dia belajar menghirup kesegaran udara.
Panjanglah usia mawar yang tumbuh dari konkrit
di waktu tak seorang peduli.
– Tupac Amaru Shakur
Moga sejahteralah Iran Raya dan Sinema Persia.
