Judul: Oh, Tak Ku!
Pengarang: Faizal Hassan Abdul Hamid
Penerbit: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) – Malaysia Madani
Tahun terbit: 2025
KUMPULAN yang memuatkan 15 cerpen ini ditulis oleh seorang pengarang pemula berbakat dari Subang Jaya dan memiliki latar belakang dalam bidang undang-undang.
Dalam Prakata kumpulan cerpennya ini, pengarang Faizal Hassan Abdul Hamid mengakui suka menjadikan pelbagai makhluk seperti cacing, ikan, dan kucing sebagai watak dengan tujuan bagi memberikan warna dan kepelbagaian dalam penceritaan beliau.
Ini misalnya dalam cerpen “Dalam Gelap” (halaman 87), watak saya yang telah dikuburkan berdialog dengan seekor cacing.
Hebat dan istimewanya watak cacing di dalam cerpen ini adalah bijaksana dalam berkata-kata serta berintikan falsafah:
“Jangan sangka apa yang terang itu sentiasa membimbing jalanmu. Cahaya yang terlalu silau boleh membutakan, mencipta bayang-bayang yang memperdaya dan mendatangkan bahaya. Di sini dalam pekat kegelapan, tetap ada petunjuk dan hikmah tersembunyi. Kegelapan juga mampu menjadi pemandu setia, memberikan arah dan makna kepada perjalananmu. Tanpa mata untuk melihat, aku bergerak berlandaskan kebenaran, menuju kebenaran, dan setiap kali, kebenaran itulah yang akhirnya kutemui.” (halaman 94)
Tanpa berselindung, di dalam Prakata kumpulan cerpennya ini juga pengarang mengakui betapa beliau: “Cuba menyelitkan nasihat, teguran, pandangan, omelan, serta pelbagai emosi yang bermain di hati dengan pendekatan yang lucu, sinis, santai, dan bersahaja. Falsafah penceritaan saya mudah iaitu yang ringan lebih mudah menyentuh hati pembaca dan difahami. Membaca tidak semestinya memerlukan tafsiran yang kompleks atau berat, yang lebih penting ialah menikmati cerita yang mampu mengusik perasaan serta merangsang imaginasi pembaca.”
Pengakuan pengarang yang sangat berterus-terang ini menjadi tarikan untuk melanjutkan bacaan cerpen-cerpen di dalam kumpulan ini.
Cerpen pertama di dalam kumpulan ini, “Abang” menuangkan sebuah kisah psikologi daripada perspektif naratif seorang adik mengenai abangnya seorang psikopat.
Di dalam cerpen “Belon” yang bertitik tolak daripada kisah percintaan tiga segi antara seorang gadis bernama Nia, Cakra dan Bakti, secara berahsia pengarang menyembunyikan sebab dan punca kenapa Nia begitu asyik mencium sebiji belon daripada majlis sambutan hari jadi sehingga mendatangkan rasa jengkel kepada rakan lelaki sepejabatnya Cakra:
“Nia menundukkan pandangan ke arah belon merah di tangannya. Dengan lembut, dia mencium belon itu sekali lagi, membuatkan Cakra berasa sedikit jengkel. Entah kenapa, sekelumit rasa cemburu timbul di hatinya, menyedari dia tidak mungkin seberuntung belon itu yang menerima ciuman-ciuman daripada Nia. Cepat-cepat Cakra mengusir perasaan itu, memarahi dirinya sendiri kerana membiarkan fikirannya melayang ke arah yang tidak wajar dalam situasi segenting ini. (halaman 21)
Persoalan yang berlegar di benak Cakra ialah, “Mengapa Nia begitu tekun mengucup belon merah itu?”
Di akhir cerpen ini baru didedahkan pengarang betapa bermaknanya belon merah tersebut kepada Nia:
“Kau jangan nak riak sangat Cakra, aku masih berduka lara. Lagi pula, hanya inilah tinggalan Bakti yang masih bernyawa,” kata Nia, masih memeluk kemas si belon merah.
“Belon itu?” Cakra tidak faham.
“Bukan. Saki-baki nafas Bakti yang ditiup dan yang masih bernafas di dalamnya,” jawab Nia. (halaman 24)
Cerpen “Botol” pasti mengecewakan perasaan seorang pembaca cerpen yang sudah biasa dengan alur cerita (plot) konvensional kerana ini tidak tersedia di dalam cerpen ini.
Pelbagai watak dan kisah bermunculan. Namun demikian, yang penting adalah selitan sindiran sinis pengarang di dalam cerpen ini.
Pertama mengenai belajar: “Kata orang belajar tanpa guru itu sama dengan bergurukan syaitan. Namun, banyak sahaja saya tonton rencana yang menunjukkan berapa ramai yang telah sesat walaupun belajar dengan guru-guru, yang menggunakan kitab-kitab atau yang berserban tinggi dan berjanggut panjang nan lebat.” (Halaman 29)
Keduanya, menggunakan watak seekor kucing sebagai model, disinggung pengarang mengenai bahasa:
“Siapa tahu, lagi 50 atau 70 tahun, bakal hilang di dunia kerana semua penuturnya telah mati dan tiada siapa lagi yang menggunakan bahasa itu. Kerana itulah, saya telah bertungkus-lumus mengajar Cobain untuk bertutur dan menggunakan bahasa Melayu, sehingga dia sangat fasih selepas tiga bulan menetap di rumah saya.”
Tanpa selindung, pengarang melontarkan sindiran melalui naratifnya: “Hairan juga saya seekor kucing lebih cepat memahami dan pandai menggunakan bahasa Melayu berbanding dengan seorang manusia seperti jaga berbangsa Nepal itu. Jika saya tidak salah, dia pernah memberitahu saya yang dia sudah menetap di Malaysia tiga tahun sebelum dia menemui dan membawa saya pulang ke rumahnya.
Bagi saya, itu suatu jangka masa yang agak panjang bagi seseorang yang mempunyai otak untuk belajar dan mahir dengan bahasa baharu.” ( Halaman 43).
Apa pula yang ingin ditonjolkan pengarang di dalam cerpennya “Oh, Tak Ku!” ? Cerpen ini merupakan cerpen terpanjang di dalam kumpulan ini. Mengisahkan watak Bob selaku pencerita yang membahasakan dirinya di dalam cerpen ini sebagai “saya” yang menanggung kesakitan kepala yang amat parah.
Setelah pengsan pada suatu malam ketika menonton perlawanan bola sepak antara Manchester United dan Liverpool, saya dikejarkan ke hospital. Hasil ujian imejan MRI mendapati di dalam kepalanya ada busut anai-anai!
Kerisauan Bob kerana tidak lagi memiliki otak diredakan oleh Dr. Musalmah yang membuat keputusan untuk menahannya di hospital sebagai langkah pemerhatian.
Kata Dr. Musalmah, “Jangan risau, manusia telah hidup tanpa menggunakan otak sejak ribuan tahun lamanya. Buktinya sehingga sekarang, spesies homo sapien terus bertahan hidup. Encik Bob akan baik-baik saja. Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, saya membuat keputusan untuk menahan encik di hospital ini untuk pemerhatian. Kita tunggu beberapa hari dahulu. Sekiranya tiada apa-apa lagi yang menimbulkan risiko atau berbahaya, encik boleh pulang,” jawab doktor wanita ini.(halaman 128).
Ketika ditahan di hospital inilah Bob mengalami pelbagai “halusinasi”. Antaranya adalah melarikan diri daripada hospital, berjaya mengelak ditangkap oleh petugas keselamatan yang kurang cergas dan paling mengasyikkan adalah dikunjungi dan seorang gadis cantik yang memperkenalkan dirinya sebagai Intan Syakila yang mahu disapa sebagai Intan sahaja.
Di hadapan Intan yang mengaku telah menyelamatkan dirinya Bob memperkenalkan dirinya sebagai Burhanuddin al-Helmi bin Ismail Ibrahim atau Burhanuddin al-Helmi. Berasa terhutang nyawa, Bob meminta Intan menjadi kekasihnya.
Apakah hikmah dan nikmatnya bagi Bob atau Burhanuddin al-Helmi yang kini tidak memiliki otak? Berbahagiakah dia kini hidup sebagai lelaki yang tidak berotak?
Secara sinis pengarang menaratifkan betapa watak mengakui: “Bukan sahaja kepala, tetapi seluruh jasad saya berasa sangat ringan seperti kapas. Saya berasa seumpama sedang melayang, terbang dihembus angin ke sana ke mari. Bebas. Merdeka. Tidak dibebani oleh apa pun. Kepala yang kosong ini sangat memberikan kepuasan dan nikmat tidak terperi kepada saya.
Buat pertama kali sejak bertahun lamanya, saya berasa jiwa saya sangat bersih, suci dan murni seolah-olah saya baru sahaja dilahirkan. Perasaan aneh ini hampir membuat saya menitiskan air mata.”
(halaman 130)
Tetapi ini tidak bagi seorang gadis cantik bernama Intan Syakila: “Awak dah tak sayang saya, ya? Mama saya dah pesan, jangan bercinta dengan lelaki yang tak punya otak. Inilah bahananya tidak patuh kepada amanat mama saya.”
(halaman 139)
Membaca cerpen lain dalam kumpulan ini berjudul “Siapa” (halaman 177) terbetik tanya di benak, apakah niat sebenar pengarang dalam cerpennya ini sekadar ingin menghuraikan definisi “tragedi” secara lucu dan santai bila menjadikan putus cinta dan sokongan kepada pasukan sepak bola Harimau Malaya mahupun Manchester United sebagai contoh?
Huraian ini melarat pula kepada kenangan watak saya sewaktu berusia 10 tahun melakukan kesalahan menghisap rokok dan kegiatan ini dianggapnya subversif.
Kemudian, cerita kembali ke masa kini watak berhadapan dengan situasi mengelirukan bila dipaksa mengakui jenazah palsu seorang temannya.
Tetapi pengarang secara licik mengakhiri cerpen ini dengan nuansa seram di luar duga, bila di kamar mayat, temannya yang sebenar itu terlentang di salah satu kaunter mayat menjawab panggilan telefon dan menyeringai ke arahnya.
Naratif cinta yang sia-sia diutarakan oleh pengarang di dalam cerpennya “Syuhada Cinta” (halaman 189)
Ismadi yang mampu terus bertahan bekerja di bawah seorang majikan baran dan keras kerana seorang Kesuma akhirnya dipermain oleh kekasih hatinya itu yang bermain kayu tiga dengan sahabat serumah Ismadi, Arjuna.
Sekilas, pengarang melontarkan amanatnya betapa sia-sia cinta manusia yang diperankan melalui watak Kesuma, Arjuna dan Rabecca di dalam cerpen ini.
Fikir Ismadi dengan perasaan bercampur baur, celaru, bengang, dan lucu: “Betapa peliknya cinta ini, yang melanda dan mempermainkan kami semua.”
“Aku cintakan Kesuma, Rebecca cintakan Arjuna, tetapi Kesuma dan Arjuna menolak cinta kami dan bercinta sesama mereka.”
(Halaman 199)
Sejumlah cerpen lain di dalam kumpulan ini, yang tidak disebut di sini tetap menampilkan sisi lucu dan kegelapannya yang tersendiri.
Misalnya bagaimana jantung seorang gadis dikembalikan kepada bekas kekasihnya dalam cerpen “Perpisahan ” ( halaman 142).
Atau perdebatan isu semasa dan perdebatan pemikiran dalam cerpen
“Sembang Kedai Mamak” (halaman 151). Tidak lupa juga naratif bernuansa magis dalam cerpen “Senget” (halaman 163).
Kepada pembaca yang sudah terlalu akrab dengan aliran realisme dan sekian lama menghayati penceritaan dengan susunan plot kronologi, pasti akan berasa terganggu dengan cara dan gaya cerpen-cerpen di dalam kumpulan ini dinaratif atau dihidangkan kepada pembaca.
Namun kepada pembaca yang sukakan cabaran di dalam pembacaannya dan tidak hanya mengharapkan cerita daripada sebuah cerpen, membaca kisah-kisah di dalam kumpulan ini, yang dihidangkan secara kolaj dan episodik oleh pengarangnya ini, akan menawarkan satu pengalaman pembacaan yang menarik.
Tidak percaya? Bacalah seterusnya sebagai contoh cerpen ‘Di Matamu Ada Syurga” (halaman 101). Bagaimana pengarang secara licik mempermainkan latar masa silam dan kini di hadapan pembaca dengan cara menampilkan naratif perdebatan watak saya (Syed Hilmi) dengan sahabatnya Megat Adli pada permulaan cerita.
Kemudiannya, kembali ke latar masa kini, watak saya ditemukan pula dengan satu lembaga misteri yang berdiri di tengah hujan di halaman rumah.
Watak itu ternyata adalah seorang gadis cantik yang mempunyai kuasa renjatan elektrik.
Gadis misteri ini enggan bertentangan mata dengan watak saya dan ini segera mengingatkan kembali saya apa yang pernah diucapkan oleh sahabatnya Megat Adli: “Mata itu berbicara lebih ikhlas dan tajam dari lidah. Mata selalunya tidak berbohong. Dalam mata kau akan ketemui kebenaran. Mata manusia tidak mampu menyembunyikan apa-apa melainkan kebenaran tentang dirinya. Manusia yang enggan bertentang mata dengan kau adalah manusia yang penuh tipu daya atau cuba menyembunyikan kebenaran. Orang itu banyak muslihat. Waspadalah dengan orang sebegitu.” (halaman 110).
Namun di bahagian akhir cerpen ini baru ketahuan siapa sebenarnya gadis cantik seiras artis Hong Kong, Cecilia Cheung yang pernah digilai watak saya satu ketika dahulu.
Tanpa berselindung, gadis cantik ini menampik: “Mana mungkin syaitan seperti saya menunjukkan syurga kepada awak!” ( halaman 113).
Selamat membaca.
– MARSLI N.O adalah penulis dan penyair yang memilih berjalan sendirian. E-mail beliau: marslino57@gmail.com
