Seni tradisional Melayu terus mendapat perhatian melalui Simfoni Asli 2026, sebuah pertandingan nyanyian lagu Melayu Asli bertaraf kebangsaan yang dianjurkan oleh Exco Kesenian dan Kebudayaan, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama JKKKN (Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara) dan juga ASWARA.
Dengan tema “Alunan Asli, Penyatu Seni”, program ini membuka penyertaan kepada semua mahasiswa IPTA dan IPTS seluruh Malaysia, selain orang awam yang berminat untuk menyelami keindahan irama Melayu klasik.
Simfoni Asli bukan sekadar pertandingan; ia merupakan platform berprestij yang menghimpunkan bakat muda dalam genre klasik yang semakin jarang dipertandingkan. Program ini direka untuk memartabatkan warisan seni budaya negara, sekaligus memberi peluang kepada generasi muda untuk menghargai dan mengekalkan identiti budaya bangsa melalui muzik.
Menurut penganjur, Simfoni Asli bertujuan memupuk pemerkasaan warisan dan kelestarian seni vokal tradisional, di samping membangunkan bakat baharu dalam kalangan mahasiswa. Program ini menekankan profesionalisme, disiplin vokal, dan persaingan sihat, serta menyediakan platform untuk peserta mengasah bakat, meningkatkan keyakinan diri, dan membuka peluang kerjaya dalam industri seni dan budaya.
Selain pertandingan, peserta akan diberi pendedahan melalui Bengkel Laras Asli, yang menekankan teknik vokal, intonasi, kawalan suara, serta penghayatan lenggok tradisional Melayu. Bengkel ini bertujuan melahirkan penyanyi muda yang mampu mengekalkan keaslian dan identiti irama Melayu Asli, serta membina asas vokal yang kukuh untuk persembahan berkualiti tinggi.
Program ini turut menampilkan pakar seni ternama, Dr. Nor Azura Abu Bakar, Ketua Program Pusat Pengajian Pasca Siswazah, ASWARA, sebagai panel jemputan. Berpengalaman lebih 15 tahun dalam nyanyian lagu Melayu Asli, beliau pernah memenangi pelbagai pertandingan kebangsaan, termasuk Pertandingan Nyanyian Puspanita Kebangsaan 2015 dan Festival Belia Putrajaya 2014. Kehadiran Dr. Nor Azura dijangka memberikan panduan profesional kepada peserta dan menambah kredibiliti program.

Simfoni Asli menyasarkan tiga kumpulan utama: mahasiswa UPSI sebagai tuan rumah dan penyertaan aktif, mahasiswa IPTA/IPTS seluruh Malaysia untuk persaingan sihat dan pertukaran idea seni, serta komuniti dan orang awam yang berminat terhadap irama Melayu Asli. Kehadiran komuniti luar kampus diharapkan dapat memperluas capaian program dan mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat, sekali gus menyokong kelestarian seni tradisional secara lebih inklusif.
Selain fokus kepada pembangunan bakat dan kelestarian warisan, program ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk pendidikan berkualiti melalui bengkel dan pertandingan, bandar dan komuniti mampan melalui pemeliharaan warisan budaya, serta keamanan dan keadilan melalui penglibatan pelbagai latar belakang peserta dalam suasana harmoni.
Simfoni Asli juga membuka ruang untuk kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan korporat, dan pihak media bagi meningkatkan impak program di peringkat nasional. Melalui liputan media dan promosi, program ini bukan sahaja memartabatkan seni warisan tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai dan keindahan irama Melayu tradisional.
Acara yang bakal berlangsung di Kolej Harun Aminurrashid, UPSI, dijangka menjadi salah satu acara kebudayaan yang paling dinantikan pada tahun 2026. Program Bengkel Laras Asli akan diadakan pada hari Khamis, 23 April 2026 manakala Majlis Malam Kemuncaknya pula akan berlangsung pada hari Sabtu 25 April 2026.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut, hubungi:
010 287 1308 (Hana) atau e-mel: simfoniaslikhar2026@gmail.com
