Biarkan gunung ledang berdiri
mengingatkan
ada bunga yang tidak dapat digubah
sesedap titah
seorang perempuan pun ada kalanya
berhak memiliki kebebasan
seorang Sultan pun ada kalanya
harus tunduk kepada kekalahan.
-Zurinah Hassan, Pesanan Putri Gunung Ledang Kepada Sultan Mahmud.
Bait sajak ini menendang benak saya, saat berkunjung ke pameran solo Chang Yoong Chia, Thinking Like a Mountain di Cult Gallery, di Bukit Tunku. Suatu perasaan yang membuncah tatkala menyaksikan deretan produk seni yang mengangkat gunung sebagai akarnya. Tambahan pula ia berada di lokasi yang sinonim dengan peristiwa misteri lagi mengerikan. Kawasan yang terkenal dengan petempatan golongan elit ini, dikelilingi hutan rimba dan jalan berbukitan yang hening–terutamanya pada waktu malam. Walau pun saya datang siang hari, sedikit sebanyak menimbulkan rasa cemas dan seram juga.
Siapa yang tidak kenal dengan kisah Puteri Gunung Ledang, yang memberi tujuh syarat sebagai cara halus menolak pinangan Sultan Mahmud? Cerita rakyat yang penuh lagenda dan mitos ini mungkin paling berpengaruh dalam warisan budaya Melayu.

Di balik keindahan puncaknya, Gunung Ledang menyimpan simbol kekuatan budaya dan spiritual yang sangat mendalam. Lagenda Puteri Gunung Ledang, dengan perletakkan cabaran-cabaran yang mustahil, diberikan kepada Sultan Melaka–abadi dalam ingatan kolektif masyarakat. Meskipun asal-usul sejarahnya kabur dan tidak dapat disahkan, cerita ini tetap relevan kerana ia mencerminkan nilai-nilai moral dan kepercayaan masyarakat Melayu.
Kisah Puteri di atas ancala Ledang ini bukan hanya sebuah lagenda romantik dan misterius, tetapi mengandungi unsur-unsur pembedayaan wanita yang harus diakui keistimewaannya. Terutamanya dalam konteks keberanian, kuasa, dan resolusi yang diputuskan oleh sang puteri itu sendiri. Perempuan tidak hanya menjadi objek untuk dicapai–tetapi juga simbol kekuatan, autonomi, dan pengaruh.
Dalam banyak kisah klasik, perempuan sering kali digambarkan sebagai objek yang pasif, hanya menunggu aturan lelaki. Namun, dalam dongeng ini Puteri Gunung Ledang bertindak sebagai figura utama yang mengawal persekitarannya dan menentukan siapa yang layak mendapatkan cintanya. Keberanian Puteri menetapkan syarat-syarat ini menggambarkan dia bukan hanya berkuasa, tetapi juga bijaksana dan cerdas dalam mengawal takdirnya.
Kisah ini mengajarkan bagaimana mitos dan legenda berfungsi sebagai alat pembelajaran sosial sekaligus memperkukuh nilai-nilai emansipasi wanita. Masyarakat diajar bahawa wanita berhak mengawal nasib, menuntut penghormatan, dan menentukan siapa yang layak menjadi pasangan hidupnya. Ini secara tak langsung mendorong wanita di luar sana untuk berdiri teguh, berani dan tidak ragu dengan setiap keputusan yang diambil.
Selain itu, lagenda dan mitos ini dengan jelas menggambarkan bagaimana kuasa patriarki telah berabad lamanya membentuk norma sosial dan budaya–menjadikan wanita sering terperangkap sebagai objek cinta, kuasa, dan politik. Walaupun Puteri simbol kekuatan dan pemberdayaan–naratif ini tetap mencerminkan ketidaksetaraan yang berakar dalam struktur patriarkal masyarakat.
Seiring berjalannya waktu, cerita lagenda ini tidak hanya terperangkap dalam bentuk lisan semata-mata, tetapi juga telah diterjemahkan ke dalam pelbagai medium kesenian seperti teater, filem, seni visual, karya sastera, puisi, dan lagu. Setiap medium memberikan tafsiran baru dan perspektif berbeza, sambil tetap mempertahankan nilai-nilai dalam naratifnya.

Chang Yoong Chia meminjam istilah yang digunakan Aldo Leopold (penulis dan ahli ekologi Amerika Syarikat) dalam eseinya mengenai hubungan manusia dengan alam semula jadi. Leopold menyifatkan gunung sebagai entiti abadi dan ekosistem sebagai saling berkait–di mana tindakan manusia mempengaruhi keseimbangan alam keseluruhannya.
Lahir pada tahun 1975 di Kuala Lumpur, Chang Yoong Chia merupakan seniman yang mengusung naratif dan isu sosial-politik Malaysia sebagai tema utama dalam karyanya. Konsep kraf yang mendalam menjadi inti dalam amalan seninya, di mana beliau menggabungkan teknik tradisional seperti batik dan sulaman dengan permukaan yang unik, seperti daun dan kulit ketam. Setiap karya mencerminkan pencarian identiti dan hubungan antara seni, budaya serta masyarakat.
Keterpesonaan Chang terhadap Gunung Ledang bermula pada tahun 2021, saat beliau dan isterinya, nekad meninggalkan kesibukan kota konkrit Kuala Lumpur dan berpindah ke pekan kecil Tangkak. Keputusan ini diambil sehari sebelum perintah kawalan pergerakan seluruh negara akibat pandemik Covid-19, membawa mereka ke kehidupan baru yang lebih mendamaikan.
Dari kediaman baru mereka, Chang disajikan dengan pemandangan Gunung Ledang yang menakjubkan setiap hari. Yang seterusnya mencetuskan ilham-ilham segar yang menggugah.
Chang dan Teoh (rakan kolaborator) memulakan kajian mendalam tentang sejarah Gunung Ledang dengan meneliti pelbagai teks, termasuk Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, teks Portugis seperti Description of Malaca dan Suma Oriental, serta teks kolonial British seperti Malay Magic dan esei akademik kontemporari seperti The Legend You Thought You Knew oleh Mulaika Hijjas.
Thinking Like a Mountain menyajikan 45 karya seni dengan kepelbagaian medium–yang dengan cermat menggabungkan sejarah dan mitologi. Chang meneroka dunia di sebalik pengkisahan Puteri Gunung Ledang dan berusaha menjawab persoalan-persoalan tentang mengapa setelah sekian lama dongeng ini masih bertahan. Juga tentang apakah makna tersirat disebaliknya dan bagaimana ketamadunan bangsa dibentuk oleh mitos dan kisah lagenda sebegini.
Paling mengujakan adalah menyaksikan karya seni yang diterjemahkan menggunakan teknik ‘decalcomania’. Pendekatan yang dipelopori oleh seniman surealis Jerman iaitu Max Ernst ini, melibatkan penekanan cat di antara dua permukaan untuk mencipta corak abstrak secara spontan. Pertama kali Chang menggunakan teknik ini, yang dirasakan sesuai dengan gambaran seolah mimpi yang menjadi latarnya.
Chang percaya bahawa daya tarikan kita terhadap gunung dan cerita-ceritanya berasal daripada minda bawah sedar. Oleh itu, beliau memilih untuk menggunakan teknik yang dapat mengungkapkan dan menggali fikiran ini, agar dapat memberi respons terhadap cerita-cerita tersebut dengan lebih mendalam dan autentik.

Tarikan utama juga pada karya seni dihasilkannya menggunakan teknik gouache pada daun yang begitu halus dan teliti prosesnya. Lebih menarik apabila Chang memungut daun-daun yang telah jatuh ke tanah dari pohon yang tumbuh di tepian air terjun Gunung Ledang. Imej puteri dan kehidupannya di gunung diabadikan pada urat daun-daun tersebut. Ini bukti kesungguhan dan dedikasi yang tinggi dalam perjalanan kesenimanannya. Menganga mulut saya melihat betapa indahnya lakaran yang dihasilkan oleh Chang. Begitu cermat, kreatif dan terperinci sekali.
Melalui karyanya, Chang mencipta ruang pertemuan antara fakta dan fiksyen. Beliau dengan bijak menggabungkan mitos-mitos agung yang diwarisi turun-temurun bersama pemerhatian tajam terhadap kuasa kolonial yang lebih realistik. Pada masa yang sama, beliau menyoal semula representasi konvensional mengenai kuasa dan tempat, serta hubungan intim antara ritual dan alam.
Beruntungnya saya ditemani Angel, kurator Cult Gallery yang mesra dengan senyuman dan sentiasa menyampaikan maklumat berguna seiring langkah saya menyusuri siri pameran ini. Angel tidak sekadar membantu menambah pengetahuan, namun lebih besar lagi beliau menyunggahkan pertanyaan-pertanyaan kritis yang mendorong saya merenung dan berfikir. Inilah esensi seni dan kreativiti, bukan sekadar memberi hiburan atau menyelubungi minda dalam keselesaan–tetapi juga mengganggu kita untuk terus mencari makna dan pemahaman lebih mendalam.
Angel memaklumkan yang Chang dan Teoh sedang mengerjakan novel grafik fiksyen fantasi-sejarah tentang Puteri Gunung Ledang serta pertemuannya dengan roh wanita gunung dan tokoh sejarah seperti Hang Li Po dan Ratu Kidul. Saya teruja mendengarnya dan Angel lantas menghulurkan zine lukisan tangan yang dijadikan cenderamata untuk pengunjung pameran Thinking Like a Mountain. Tanpa ragu saya membelinya untuk jadikan koleksi kerana saya benar-benar menghargai usaha dan ketekunan seniman sejati ini.
Sebelum pulang saya dijamu teh panas oleh Angel dan pasukan pengurusan Cult Gallery yang penuh kasih sayang. Yang kesemuanya perempuan. Yang membuatkan saya berfikir bahawa kisah legenda dan mitos yang melibatkan gunung sering kali dikaitkan dengan perempuan. Selain Puteri Gunung Ledang, Puteri Gunung Salang, Puteri Sejenjang dan Santubong, Ratu Kidul dan banyak lagi. Kenapa agaknya? Mungkinkah disebabkan oleh hal-hal yang melibatkan simbolisme, peranan sosial dalam budaya, serta kepercayaan alam yang bersifat transenden dan misteri? Saya percaya elemen perempuan dalam mitos gunung bukan hanya bersifat mitologi, tetapi juga mencerminkan nilai-nilai budaya dan pandangan masyarakat yang membentuk kisah-kisah tersebut.
Mitos memperlihatkan hubungan antara gunung dan perempuan sebagai lambang kekuatan, misteri, dan keabadian. Gunung mewakili kuasa alam dan spiritual, sementara perempuan, dengan kebijaksanaan dan kekuatan mistiknya–berperanan sebagai pengawal atau penghubung kuasa tersebut. Perempuan bukan hanya objek, tetapi subjek yang mengendalikan alam dan takdir–menggambarkan perjuangan, pengorbanan, dan kekuatan dalaman untuk menakluk rintangan hidup.
Thinking Like a Mountain telah berlangsung pada 23 November 2024 sehingga 19 Januari 2025 di Cult Gallery.
Rujukan:
The Star. Hanis Maketab. 1 Jan 2025. Malaysian artist revives Gunung Ledang myths, linking nature, culture, and identity.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.

