DALAM usaha memperkenalkan warisan budaya Malaysia kepada dunia, Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC telah menganjurkan acara Songket Malaysia Day Reception yang bertemakan “Unesco Intangible Cultural Heritage: The Magnificent Golden Threads of Songket Fashion Show”.
Acara sempena sambutan Hari Malaysia ke-61, menonjolkan kekayaan budaya negara melalui tekstil songket yang diiktiraf oleh Unesco pada tahun 2021 sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, yang mana kehadirannya membuktikan hubungan diraja dan kepentingan sejarah Songket. Penglibatan Tengku Mahkota Kelantan dalam acara tersebut menyerlahkan peranan abadi Songket dalam masyarakat dan tradisi Malaysia.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah duta-duta asing, pegawai kerajaan Amerika Syarikat, serta golongan elit Washington DC yang terpukau dengan kehalusan seni pembuatan Songket yang memadukan antara warisan dan kemodenan. Kemuncak acara malam itu adalah pertunjukan fesyen yang mempertemukan rekaan tradisional dengan sentuhan moden dari pereka fesyen terkemuka Malaysia.
Pertunjukan Fesyen: Tradisi Bertemu Inovasi
Pertunjukan fesyen malam itu menampilkan hasil karya pereka, Sharifah Kirana. Rekaannya memaparkan keanggunan abadi Songket yang diolah semula untuk era moden.
“Songket bukan sekadar tekstil, ia adalah cerita yang dijalin merentas generasi. Saya berasa teruja untuk memperlihatkan keindahannya di pentas antarabangsa ini,” ujar Kirana.
Turut menyerikan pertunjukan adalah koleksi rekaan pereka muda, Zachrin Jaafars, yang mendapat sokongan FELDA. Koleksi beliau diilhamkan oleh kepelbagaian budaya 14 negeri di Malaysia, meraikan pelbagai etnik dan pakaian tradisional dengan menggunakan bahan-bahan yang diperoleh secara lestari.
“Jenama kami bertujuan memastikan tiada pembaziran, terutamanya kerana tekstil dan bahan-bahan ini dianyam tangan,” katanya.

Zachrin menekankan kesedaran alam sekitar dalam karyanya. Koleksinya dihasilkan oleh generasi baharu komuniti peneroka FELDA Chini, Pahang.
Setiap helaian Songket yang dipersembahkan dalam kedua-dua koleksi ini diimport khas dari Malaysia, menekankan komitmen untuk mengekalkan warisan budaya ini.
Meraikan Seni dan Kraf Malaysia
Selain pertunjukan fesyen, acara ini turut mempersembahkan hasil karya kraf tangan oleh artisan terkemuka Malaysia. Antara yang turut serta ialah Adiguru Kelthom Hussein, pemilik Che Minah Songket, yang memperlihatkan kepada tetamu proses tenunan Songket yang halus dan kompleks.
Menambah kepada keindahan seni pada malam itu adalah demonstrasi lukisan secara langsung oleh peluksi muda Dani Omar, yang terkenal dengan karya seni media campuran berinspirasikan Songket. Lukisan-lukisan beliau, bersama-sama 27 karya seni oleh Sharifah Kirana, menjadi tarikan utama pameran.
Tetamu juga berpeluang melihat koleksi Songket bersejarah dari Muzium Tekstil Negara Malaysia, termasuk tekstil yang berasal dari abad ke-19, yang menceritakan sejarah panjang seni dan tradisi tenunan Songket.
Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata, “Adalah sangat jarang bagi rakyat Malaysia sendiri untuk menyaksikan bagaimana Songket dihasilkan. Kami berpendapat bahawa wajar untuk berkongsi proses tenunan ini dengan rakan-rakan kami di Amerika, satu proses yang jarang dilihat oleh rakyat Malaysia sendiri.”
Isteri Duta Besar, Datin Seri Haflin Nazri Aziz, turut menyatakan kekagumannya terhadap kehalusan seni yang dipamerkan.
“Saya selalu tertarik dengan keindahan Songket, tetapi menyertai acara ini telah memberi inspirasi kepada saya untuk lebih mendalami naratif budaya yang terkandung dalam tekstil ini,” katanya.

Memperluaskan Kehadiran Budaya Malaysia di Washington
Sebelum acara utama, Kedutaan Besar Malaysia telah menganjurkan acara pra-tayangan di The George Washington University Museum dan The Textile Museum pada awal Oktober lalu, menarik hampir 200 peserta. Acara ini menggabungkan ceramah hibrid dan pameran mini tentang seni tenunan Songket serta kepentingan budayanya.
Sambutan ini akan diteruskan dengan pameran awam dari 11 hingga 25 Oktober, yang menjemput warga Washington untuk menyelami warisan seni Malaysia. Pameran ini, yang percuma kepada umum dengan pendaftaran melalui Eventbrite, menawarkan beberapa tarikan menarik seperti:
• Demonstrasi langsung: Tenunan Songket oleh Adiguru Hajjah Kelthom, seorang artisan berusia 78 tahun, memberikan peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan seni tenunan yang rumit.
• Pameran seni: Karya seni oleh artis kontemporari Malaysia, Dani Omar dan Sharifah Kirana, yang menggabungkan pengaruh tradisional dan seni moden.
• Pameran tekstil Songket: Koleksi Songket yang eksklusif, termasuk rekaan fesyen oleh Zachrin Jaafars dan Sharifah Kirana, yang meraikan gabungan antara tradisi dan rekaan moden.
Pameran ini menjanjikan eksplorasi menarik bagaimana kraf tradisional dapat menginspirasi kreativiti kontemporari, menjadikannya acara yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat seni dan budaya.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan tempat, sila layari Eventbrite.

