Artis Silas Oo tampil dengan pameran solo pertama bertajuk Roadkill yang sedang berlangsung di The Back Room, Kuala Lumpur, hingga 7 Jun 2026 ini. Pameran ini menandakan pencapaian penting dalam perjalanan seninya setelah sekian lama aktif menyertai pelbagai pameran berkumpulan di seluruh negara.
Dikenali dengan lukisan dakwat dengan garisan halus serta terperinci, Silas pernah disenarai sebagai finalis Bakat Muda Sezaman anjuran Balai Seni Visual Negara pada tahun 2024.
Roadkill merupakan siri karya pertama yang dibangunkan secara menyeluruh olehnya untuk sebuah pameran solo.
Pameran ini menampilkan 10 karya lukisan atas kertas menggambarkan bangkai haiwan yang ditemui di jalan raya sekitar bandar. Namun, imejan yang lazimnya mengundang rasa tidak selesa itu diberi tafsiran baharu dengan bahagian tertentu tubuh haiwan digabungkan bersama elemen dan komponen kenderaan, mewujudkan bentuk hibrid antara organisma dan mesin.
Melalui siri ini, Silas meneruskan eksplorasi tema kematian, ketakutan dan kewujudan manusia yang telah lama menjadi teras kepada amalan seninya. Jika karya awalnya ketika menuntut di The One Academy banyak dipengaruhi budaya popular dan imaginasi kanak-kanak yang gelap, perkembangan terkini memperlihatkan pendekatan yang lebih langsung terhadap tubuh fizikal dan realiti kematian.
Menurut The Back Room, karya-karya dalam Roadkill mencerminkan usaha artis untuk mendekati persoalan kematian secara lebih intim dan nyata. Bangkai haiwan yang ditemui secara kebetulan di jalan raya menjadi simbol kepada sifat kehidupan yang rapuh dan tidak dapat diramal, selain berkait rapat dengan pengalaman peribadi serta kebimbangan yang membentuk zaman kanak-kanaknya.
Walaupun mengangkat tema yang suram dan introspektif, pameran ini turut menyerlahkan keupayaan teknikal Silas sebagai antara pelukis kontemporari Malaysia yang semakin menonjol. Kehalusan garisan, ketelitian perincian dan keupayaan menggabungkan unsur surealisme dengan estetika futuristik menjadikan karya-karyanya mempunyai identiti visual yang tersendiri.
Silas merupakan artis multidisiplin yang berpangkalan di Kuala Lumpur yang memberi tumpuan kepada lukisan dakwat serta arca, dia pernah memenangi Anugerah Gangsa kategori Emerging dalam UOB Painting of the Year 2018.
Sepanjang kerjayanya, Silas menyertai pelbagai pameran berkumpulan termasuk Immersio (2024), Ways of Seeing (2024), The Studio Spectrum (2023) dan Leaving Traces (2023). Dari tahun 2024 hingga 2025, beliau juga mengikuti program residensi artis di Hin Bus Depot, Pulau Pinang yang menghasilkan pameran 余 Oo: A Post-Residency Showcase pada tahun 2025.
Roadkill akan berlangsung hingga 7 Jun 2026 di The Back Room dan dibuka kepada orang ramai dari Rabu hingga Ahad, 12 tengah hari hingga 6 petang.
Sebarang pertanyaan sila email ke:
hello@thebackroomkl.com (Liza Ho, Director)
ellenlee.jl@gmail.com (Ellen Lee, Gallery Manager)
www.thebackroomkl.com
