Tidak adil sebenarnya jika ada yang menganggap karya-karya berasaskan cat air sentiasa berada dalam kelas kedua berbanding karya yang menggunakan cat akrilik atau cat minyak. Persepsi ini wujud kerana cat air sering dilihat sebagai medium yang ringan, mudah diakses, dan lazim digunakan dalam konteks santai seperti hobi, aktiviti rekreasi, atau terapi untuk warga emas. Hakikatnya, anggapan sebegitu amat mengecilkan potensi sebenar medium tersebut. Cat air ialah medium yang menuntut kawalan yang sangat tinggi, ketepatan yang halus, serta kefahaman mendalam tentang cahaya, lapisan dan ketelusan. Dan sesuatu yang tidak kurang mencabarnya berbanding medium lain.

Dalam sejarah seni, cat air memainkan peranan besar dalam dokumentasi budaya, landskap, botani dan potret, malah menjadi pilihan utama ramai pelukis besar dunia. Di Malaysia sendiri, karya-karya cat air oleh nama-nama penting seperti Maamor Jantan dan Chang Fee Meng telah melangkaui batas persepsi lama. Hasil mereka bukan sahaja diiktiraf oleh Balai Seni Negara sebagai karya bermutu tinggi, malah turut dipamer, dikaji dan dikumpulkan oleh institusi serta pengumpul seni dari dalam dan juga luar negara. Kejayaan ini membuktikan bahawa cat air bukan medium kelas kedua, tetapi satu bentuk seni yang memerlukan disiplin, kematangan visual dan kepekaan artistik yang sangat tinggi. Persepsi lama perlu diganti dengan penghargaan yang lebih adil terhadap kekuatan dan keindahan medium cat air.


Dalam masa yang sama, seniman yang menekuni medium cat air juga tidak boleh berhenti pada tahap selesa. Mereka perlu terus bergerak lebih jauh, bereksperimen dan mencabar sempadan baharu medium ini. Menghasilkan karya yang sama berulang kali selama bertahun-tahun akan menjemput kebosanan bukan sahaja kepada khalayak, tetapi juga kepada seniman itu sendiri. Perkembangan seni yang segar hanya berlaku apabila keberanian untuk berubah hadir. Seniman cat air harus meneroka idea baharu, pendekatan visual baharu, atau teknik yang lebih mencabar agar karya mereka terus relevan, hidup dan mampu menyumbang kepada dialog seni yang lebih luas.

Jika diperhatikan dengan teliti, para pempamer dalam pameran ini boleh dibahagikan kepada dua kelompok utama. Kelompok pertama terdiri daripada pelukis seperti Juhari Said, Rafiee Ghani, Elly Nor Suria, Tajali Abdullah, Norlisham Selamat dan Che Ahmad Azhar. Nama-nama yang tidak begitu sinonim dengan penghasilan karya cat air. Mereka lebih dikenali melalui medium lain seperti akrilik, minyak, atau pendekatan campuran. Mungkin sedikit pengecualian boleh diberikan kepada Rafiee Ghani, yang sememangnya cenderung menggunakan pelbagai medium dan sesekali memilih cat air sebagai bahasa visualnya.

Di pihak yang lain pula, terdapat kelompok seniman yang memang sudah lama dikenali sebagai pengamal dan penguasa media cat air. Zamri Ismail, Azman Nor, Calvin Chua, Ruzaidi M. Nor, Lee Wee Xian, Hisham Salmin, Ryzalman Misrandan Syed Nahar merupakan antara nama yang sering dikaitkan dengan eksplorasi serius dan konsisten dalam medium ini. Untuk pameran ini, Ruzaidi M. Nor , yang juga dikenali sebagai pelukis batik, telah diminta menggunakan media batik sebagai pengantara visual. Ini satu pendekatan yang diperluaskan dalam kerangka cat air bagi menambah variasi dan lapisan perbincangan medium. Padil Osman, yang bergerak aktif sebagai pelukis serta pengusaha batik, turut dibawa masuk atas pertimbangan yang sama.

Pertembungan antara dua kelompok ini adalah disengajakan. Ia dirancang sebagai satu dialog visual antara pelukis yang ‘asing’ dengan medium cat air dan mereka yang sudah lama menekuninya. Jika selama ini cat air sering dianggap sebagai agen romantis dalam dunia catan kerana lembutnya , puitisnya dan bersifat introspektif, maka melalui pameran ini para seniman telah dicabar untuk bergerak keluar daripada kebiasaan tersebut. Atas sebab itu juga, pameran ini ditetapkan untuk membawa motif politik sebagai kerangka utama.

Pada peringkat awal, terdapat kekhuatiran dalam kalangan beberapa pelukis yang dihubungi, kerana istilah ‘politik’ sering disalah ertikan sebagai sikap menentang secara langsung atau propaganda sempit. Namun setelah dijelaskan bahawa politik boleh difahami secara lebih luas iaitu ia meliputi persoalan kuasa, identiti, budaya, ekonomi, alam sekitar, dan kehidupan seharian, kebimbangan tersebut mula reda. Seniman yang terlibat akhirnya menyedari bahawa hampir setiap pilihan estetik dan naratif dalam seni itu sendiri adalah suatu tindakan politik.


Pameran ini, dengan itu, bukan sahaja menjadi ruang eksplorasi medium, tetapi juga medan pertembungan idea di mana cat air dipaksa keluar daripada zon selesa dan diberi peranan baharu sebagai alat wacana yang kritikal, reflektif dan relevan dengan realiti semasa.
Kunjungi pameran SIASAH (Naratif politik dalam Cat Air) dari 22 Dis 2025 – 22 Jan 2026 bertempat di: Galeri Ruang Teduh – Lot UG 31 & 32, Menara Exchange 106, TRX, Kuala Lumpur.
- Abdullahjones telah mempertingkatkan ‘Maqam’ seni nya sebagai Kurator untuk pameran ini.
